21 Disember 2010

Pulau Pinang tolak pembinaan loji nuklear

15 Muharam 1432H

Kerajaan Pulau Pinang tidak akan membenarkan kerajaan persekutuan membina loji janakuasa nuklear di negeri itu, kata ketua menterinya Lim Guan Eng.

"Saya hendak tegaskan selagi Pakatan Rakyat memerintah Pulau Pinang, kerajaan negeri tidak akan menyokong atau membenarkan sebarang loji nuklear dibina di Pulau Pinang bagi memastikan rakyat negeri selamat daripada pencemarannya," kata Lim (kanan).

Semalam, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin berkata, Malaysia merancang untuk membina dua loji kuasa nuklear yang masing-masing akan menjana 1,000 megawat sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk mengimbangi bekalan tenaga.

Loji pertama akan siap dan mula beroperasi pada 2021 manakala loji kedua, setahun kemudian.

Dalam kenyataan hari ini, Lim berkata rancangan itu tidak mempunyai rasionalnya kerana Malaysia sudah mempunyai margin simpanan tenaga yang tinggi sehingga 40 peratus.

Beliau juga menambah, terdapat kos tersembunyi yang "besar" terlibat dalam pembangunan dan penyeliaan loji tenaga nuklear.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: