26 September 2010

KENYATAAN MAHATHIR MEMBUKTIKAN PEMIMPIN UMNO TAKUT HILANG KUASA

17 Syawal 1431H.
Mohd Hafez Sabri

IPOH 24 September, Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussain hari ini menegaskan bahawa pandangan yang dikeluarkan oleh Tun Mahathir Mohamad hanyalah kenyataan politik lama dengan tujuan untuk mengugut pengundi Melayu agar tidak memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum ke 13 akan datang.

Beliau berpandangan sebenarnya Tun Mahathir Mohamad dan pemimpin Umno kini sudah dapat menjangkakan bahawa mereka akan kehilangan kuasa pada pilihanraya umum ke-13 nanti.

Menurut beliau jika umno menjadi pembangkang maka tidak ada siapa baik pemimpinnya atau pengikutnya yang sanggup menyumbangkan tenaga dan kewangan untuk pergerakan parti umno itu pada masa akan datang, serta berkemungkinan besar parti umno ini akan menjadi tidak relevan dan ditolak oleh seluruh rakyat akan kewujudannya.

Beliau juga menjelaskan bahawa terdapat menteri-menteri umno yang sudah membeli tanah dan rumah di luar negara untuk menyenangkan mereka tinggal disana jika umno tidak dapat memerintah Malaysia pada masa akan datang.Sebenarnya pemimpin umno kini sentiasa berada dalam ketakutan kerana satu persatu kes-kes mereka semua akan dibongkar dan dibawa kemuka pengadilan jika Pakatan Rakyat dapat megmbil alih pentadbiran kerajaan pusat.

Memetik kata-kata beliau ” Kita tahu selama ni pemimpin-pemimpin umno memperolehi duit dari pengusaha-pengusaha kilang dan syarikat-syarikat kroni mereka untuk menjana kewangan parti mereka. Jika umno jadi pembangkang selepas ini maka tiada siapa yang sanggup beri duit pada umno ”

Beliau menyimpulkan kenyataan yang dikeluarkan Tun Mahathir itu adalah kenyataan yang berbaur ugutan kerana Tun Mahathir sudah menjangkakan Umno berkemungkinan besar untuk kalah pada Pilihanraya umum ke 13 nanti.

Umno patut malu, mereka lulus lesen judi

17 Syawal 1431H.

KEPALA BATAS, 25 Sept: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan dakwaan yang telah dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semalam yang mendakwa Kerajaan Negeri menggunakan wang dari sumber judi Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang untuk program miskin tegar.

Semalam, Reezal dalam sidang media beliau di Kepala Batas telah mendakwa kerajaan negeri memperolehi wang dari sumber judi sebanyak RM500 ribu dari kelab tersebut sebagai sumber untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.

Guan Eng berkata, sejumlah 90 peratus dari mereka yang tergolong dalam miskin tegar adalah masyarakat Melayu.

Namun begitu, katanya harus diketahui bahawa baki sebanyak 10 peratus lagi adalah di kalangan masyarakat bukan Melayu dan bukannya beragama Islam.

"Jumlah yang kita gunakan untuk masyarakat bukan Islam tidak harus dipertikaikan. Manakala bagi masyarakat Islam kita sedia maklum apa yang baik untuk mereka dan apa pula yang sebaliknya.

"Oleh kerana itu, maka usaha Umno memburukkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat (PR) ini sebenarnya tidak akan menjadi nyata kerana rakyat sudah tahu dan faham mengenai usaha mereka untuk menjatuhkan serta mencalarkan imej kerajaan negeri," katanya.

Menurut beliau lagi, jika sebelum ini Umno melalui Reezal juga telah menuduh kerajaan negeri menggunakan wang dari sumber judi untuk pemberian RM100 kepada warga emas dan tidak menjadi kenyataan setelah dinafikan dengan fakta, kini mereka beralih pula kepada wang kepada penerima miskin tegar.

Kata Lim lagi, adalah tidak munasabah untuk Kerajaan Negeri memberi sumbangan dari sumber judi kepada masyarakat Islam di negeri ini.

"Kita juga tahu apa yang boleh dan tidak boleh untuk diberikan sebagai sumbangan kepada masyarakat Islam. Oleh kerana itu janganlah Umno menjadikan isu ini sebagai modal politik mereka walaupun hendak mencari semula pengaruh yang hilang.

"Umno sepatutnya malu dengan kenyataan ini kerana merekalah sebenarnya yang menguasai kepimpinan Kerajaan Pusat bersama Barisan Nasional (BN) yang meluluskan kesemua lesen judi yang ada di seluruh negara ini.

"Bak kata pepatah menepuk air ke dulang terkena muka sendiri. Inilah umpama yang patut saya nyatakan kepada Umno dan BN yang cuba mencari kesalahan PR sejak kita mula memenangi pilihan raya 2008 yang lalu sehinggalah ke hari ini," tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan program 'Pembersihan Pantai Antarabangsa' di Pantai Robina, Teluk Air Tawar, Butterworth pagi tadi.

Harakahdaily/-

Nizar lancar Cartoon-O-Phobia tanpa Zunar

17 Syawal 1431H.

KUALA LUMPUR, 25 Sept: Meskipun tanpa kehadiran Zunar, majlis pelancaran buku Cartoon-O-Phobia tetap diteruskan di Dewan Perhimpunan Cina-Selangor (KLSCAH) malam tadi dengan dirasmikan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Zunar atau atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar Ulhaque yang ditahan polis di bawah Akta Hasutan kerana menerbitkan Cartoon-O-Phobia diwakili isterinya, Fazlina Rosley ke majlis berkenaan

Fazlina dalam ucapannya mewakili Zunar mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyokong dan peminat Zunar yang setia memberikan sokongan terhadap perjuangan Zunar mendidk rakyat melalui karya-karya kartun beliau.

"Zunar sebelum ini sudah berbincang dengan saya apa yang akan dicakapkan pada malam ini. Belaiu kata pada saya, beliau tidak mahu sentuh pasal politik tapi cuma mahu cakap pasal perjuangan beliau melalui media yang nampaknya sangat ditakuti.

"Zaman Tun (Abdul) Razak dahulu adalah fear of comunist tapi zaman (Datuk Seri) Najib ini fear of cartoonist," katanya disambut dengan gelak tawa hampir 200 orang yang memenuhi dewan.

Fazlina yang hadir ditemani peguam, Fadiah Nadwa Fikri turut membacakan pesanan Zunar yang dihantar melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya petang semalam.

"Tangkapan ini tidak akan mengubah pendirian saya untuk membongkar penyelewengan dan korupsi kerajaan malah tindakan ini mengesahkan tajuk buku (Cartoon-O-Phobia) bahawa kerajaan takut dengan kartun.

"Mereka boleh kurung badan saya tapi mereka tidak boleh kurung otak saya," kata Zunar dalam sms yang dibaca Fazlina.

Sementara itu, Nizar dalam ucapan perasmiannya menyifatkan tindakan pihak polis menyerbu dan merampas buku-buku Zunar serta menahannya untuk disoal siasat sebagai menunjukkan 'kekartunan' mereka.

"Apabila pihak polis bertindak begini dan mahu mengharamkan buku kartun Zunar, ini merupakan satu tindakan yang menujukkan 'kekartunan' mereka.

"Adakah negara ini mahu kembali ke zaman 30 hingga 40 tahun ke belakang? Kalau mereka haramkan buku ini pun, orang tetap boleh dapat daripada pelbagai sumber khususnya daripada internet," kata Nizar yag juga ahli Parlimen Bukit Gantang.

Nizar secara berseloroh mencadangkan agar istilah Cartoon-O-Phobia dimasukkan ke dalam Wikipedia agar rakyat mengetahui maksudnya bahawa kerajaan takut pada kartun.

"Kita mintak buat Wikipedia Cartoon-O-Phobia supaya bila kita tengok sahaja, kita boleh tahu apa maksudnya.

"Kita jugak secara senyap dan lembut berterima kasih kepada (Datuk Seri) Hishammuddin kerana turut mempromosikan buku ini, daripada orang tak tahu, jadi tahu mengenai buku ini," katanya yang turut disambut dengan gelak tawa hadirin.

Menurutnya juga, Umno Barisan Nasional mula menyedari bahawa zaman kegemilangan mereka bakal berakhir dan mula melakukan tindakan untuk mengugut rakyat terutanya golongan muda yang mula menyokong Pakatan Rakyat.

"Ramai rakyat Malaysia khususnya golongan muda menyokong Pakatan Rakyat. Mereka mahu supaya perubahan besar dan mereka sedar di atas kezaliman yang berlaku di negara kita hasil buatan Umno Barisan Nasional dan mereka dapat kesedaran itu melalui kartun-kartun yang dilukis Zunar.

"Umno sekarang ini berada dalam suasana akhir hayat. Hayat dia tinggal nyawa-nyawa ikan. Biasanya manusia ini kalau dia sampai ke tahap akhir hayat, dia akan buang tabiat dan buat sesuatu yang melucukan," katanya.

Turut berucap malam tadi, ketua editor laman web Malaysiakini, Steven Gun.

Dalam pada itu, setakat awal pagi tadi, Zunar yang ditahan kira-kira jam 4.30 petang semalam telah dibawa ke tujuh balai polis.

Beliau dibawa ke balai polis Brickfields, Ibu Pejabat Polis (IPD) petaling Jaya, Serdang, Puchong, Bukit Puchong, Sepang, dan akhirnya ke KLIA.

Zunar ditemani peguamnya, Latheefa Koya.

Pagi ini, beliau dibawa ke Mahkamah Majistret Sepang untuk mendapat perintah tahanan reman.

Dalam serbuan di pejabatnya semalam, polis telah merampas sebanyak 66 naskhah Cartoon-O-Phobia yang sepatutnya dibawa ke majlis pelancaran itu.

Walaupun orang ramai yang hadir tidak boleh mendapatkan buku itu di majlis pelancaran malam tadi, mereka tetap membuat pesanan daripada kakitangan pejabat Zunar yang membuka kaunter di luar dewan.

Harakahdaily/-

Mustaffa Kamil tewas ketua cabang

17 Syawal 1431H.

Naib Presiden PKR Mustafa Kamil Ayub menerima tamparan awal apabila tewas tipis 17 undi dalam pemilihan peringkat cabang Pasir Salak hari ini.

Dalam pertembungan dua penjuru, Mustaffa mendapat 94 undi manakala pesaingnya Osman Abdul Rahman - bekas ketua cabang itu - mendapat 111 undi.

Menurut seorang pemimpin cabang itu, Mahmud Yahya, Mustaffa bagaimanapun akan membuat bantahan berhubung kekalahannya itu dalam masa terdekat kerana mengesyaki berlakunya "politik wang".

"Ada konspirasi untuk menjatuhkan karier politik Mustaffa di Perak dan peringkat pusat," dakwa Mahmud yang juga salah seorang penyokong kuat bekas pemimpin NGO Islam itu.

Setakat ini, tambah Mahmud, pihaknya sedang mengumpul bukti berkaitan untuk dikemukakan kepada jawatankuasa pemilihan PKR.

Bagaimanapun, menariknya, beliau dicalonkan bertanding jawatan timbalan presiden daripada cabang itu berganding dengan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara itu, usaha Malaysiakini menghubungi Mustaffa setakat ini belum berhasil.

Pemerhati politik berpendapat, kekalahan itu bakal menyukarkan lagi laluan Mustaffa yang juga merebut jawatan timbalan presiden parti menentang dua tokoh heavyweight Naib Presiden Azmin Ali dan Penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim.

Untuk pencalonan sebagai jawatan nombor dua PKR itu, Mustafa setakat ini mendapat 13 pencalonan daripada 100 cabang yang keputusannya telah diperoleh.

Beliau ditinggalkan jauh oleh Azmin dengan 58 pencalonan manakala Zaid pula sebanyak 25 pencalonan cabang setakat ini. Malaysiakini/-