26 Mei 2010
Kes OKT Demo Kuala Kangsar bersambung hari ini.
KUALA KANGSAR, 26 Mei :- Perbicaraan terhadap Orang Kena Tahan (OKT) dalam Demonstrasi di Kuala Kangsar pada 6 Februsri 2009 disambung semua bermula hari ini dan esok, 26 dan 27 Mei di Mahkamah Seksyen Kuala Kangsar di sini. Demikian makluman yang disampaikan oleh salah seorang peguambela OKT yang juga Ahli Badan Perhubungan PAS Perak, Sdr. Aminuddin Zulkifli yang dihubungi lewat petang kelmarin.
Pada Perbicaraan pada hari ini Speaker DUN Perak Pakatan Rakyat, YB. Sivakumar dan Ketua Penerangan PAS Perak, YB. Drs. Khalil Idham Lim telah mengesahkan diri untuk hadir sama memberikan sokongan kepada OKT.
Disamping itu dijangka hadir ialah ADUN Pakatan Rakyat Perak yang lain , disamping pimpinan PAS disemua peringkat untuk memberikan sokongan kepada perbicaraan yang sedang berlangsung itu.
Menyangkal Artikel YADIM Tentang Isu Halal Judi Dan Arak
ibnuirfadzil.blogspot.com
“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani”
Akhbar Utusan Malaysia pada hari Isnin bertarikh 24.5.2010 telah menyiarkan satu rencana yang telah dikarang oleh saudara Mohd Shauki Abdul Majid, pengurus penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIEM) yang bertajuk ‘Kerajaan Tidak Menghalalkan Judi dan Arak’.
Rencana itu dikarang dengan tujuan menjawab isu lesen perjudian bola sepak yang diberikan oleh kerajaan Malaysia. Di dalam rencana tersebut pengarang mendakwa bahawa pemberian lesen perjudian tersebut tidak bercanggah dengan kaedah siasah syariyyah sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w dan Saidina Umar al-Khattab.
Namun setelah diteliti dengan mendalam mengikut nas-nas al-Quran dan hadis serta kaedah syarak, rencana tersebut secara jelas tidak dapat memberikan hujjah yang benar dan didapati banyak kesilapan yang telah dilakukan oleh pengarang dalam usaha membenarkan dakwaan beliau. Secara ringkas, pengarang mahu menyamakan hukum berkaitan arak dengan hukum perjudian yang mana membenarkan sebuah negara membuka ruang aktiviti perjudian sebagaimana arak dibenarkan kepada bukan Islam berdasarkan maslahah. Di sini pihak saya akan menyatakan kesilapan-kesilapan tersebut berdasar beberapa perkara dibawah:
Kesilapan Pertama:
Pengharaman judi disamakan dengan pengharaman arak
Dalam muqaddimah rencana tersebut, pengarang telah menyebut perihal pengharaman arak secara beransur-ansur (tadarruj) sebagaimana yang tersebut di dalam Al-Quran pada surah Al-Baqarah (ayat 219), surah Al-Nisaa’(ayat 43) dan surah Al-maidah (ayat 90). Tujuan pengharaman arak secara beransur-ansur adalah untuk meraikan keadaan dan suasana umat Islam pada ketika itu yang masih lagi dalam peringkat pembinaan iman. Pengarang walaubagaimana pun telah menyamakan pengharaman judi dengan arak semasa mengulas ayat 43 surah al-Nisaa’ dengan kata beliau:
“Pada peringkat kedua, Allah SWT menurunkan ayat selanjutnya, iaitu ayat 43, surah al-Nisa. Antara kandungannya ialah Allah melarang orang Islam menunaikan solat ketika mereka mabuk, sehinggalah mereka benar-benar mengetahui apa yang mereka bacakan. Pada tahap itu, arak dan judi masih belum diharamkan secara tegas.”
“Akhirnya, Allah menurunkan firman-Nya dalam surah al-Maidah, ayat 90 yang dengan tegas mengatakan bahawa arak, judi, menyembelih korban untuk berhala dan nujum adalah lebih keji dan lahir daripada perbuatan syaitan.”
Pada hakikatnya pengharaman judi tidak boleh disamakan dengan pengharaman arak dari sudut tadarruj (bertahap). Pengharaman judi sebenarnya adalah sama dengan pengharaman zina, bunuh, mencuri, merompak dan lain-lain yang mana pengharamannya datang secara terus tanpa disebut secara bertahap sebagaimana pengharaman arak kerana mudarat aktiviti perjudian amat besar kepada masyarakat berbanding arak yang mana ia digunakan juga untuk aktiviti lain seumpama tujuan perubatan oleh masyarakat pada ketika itu selain daripada minuman.
Oleh itu pengharaman sekaligus telah diwahyukan oleh Allah dalam surah Al-Maidah ayat 90. Maka jelaslah di sini pengharaman secara bertahap adalah dikhususkan untuk arak tidak termasuk judi dengan hikmah tertentu. Walaupun pengharaman judi tidak disebut di dalam al-Quran sebagaimana arak tetapi ia tidak bermakna judi dihalalkan oleh Islam sebelum dinyatakan secara jelas di dalamnya. Kalaulah kaedahnya begitu, maka perbuatan lain seperti membunuh, merompak dan berzina dikira halal sebelum diharamkan oleh al-Quran.
Kesilapan Kedua:
Mendakwa dalil orang bukan Islam boleh meminum arak berdasarkan perbuatan Rasulullah s.a.w menyuruh para sahabat membayar ganti rugi(dhoman) terhadap bekas arak yang dipecahkan.
Pengarang berkata:
“Pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW, beberapa sahabat memecahkan tempat menyimpan arak milik bukan Islam. Rasulullah telah meminta supaya para sahabat berkenaan membayar diat (ganti rugi) yang jumlahnya setimpal dengan nilai barangan yang telah dirosakkan. Ini boleh dijadikan asas bahawa orang bukan Islam boleh meminum minuman yang memabukkan atau memprosesnya selagi tidak memudaratkan orang lain”
Pertama, pengarang mengistilahkan ganti rugi dengan perkataan diat. Istilah tepat yang sepatutnya digunakan mengikut ilmu feqh adalah dhoman. Kedua, hadis tersebut langsung tidak menyebutkan orang bukan Islam harus minum arak secara jelas (sorih) atau melalui mafhumnya (samada mafhum muwafaqah, mafhum mukhalafah dan lain-lain yang digunakan untuk memahami nas).
Ketiga, Rasulullah menyuruh para sahabat membayar ganti rugi adalah kerana merosakkan harta iaitu bekas-bekas yang masih boleh digunakan sedangkan yang diharamkan adalah arak bukan bekas-bekas tersebut. Bekas-bekas tersebut tiada kaitan dengan pengharaman arak.
Keempat, hukum bukan Islam meminum arak di dalam syariat Islam juga adalah berdosa dan dihisab pada hari akhirat. Ini kerana mengikut pendapat yang paling kuat di sisi para ulama, bukan Islam juga ditaklifkan dengan perkara furu’ (seperti solat, zakat dan lain) sebagaimana mereka ditaklifkan dengan perkara usul (iaitu beriman dengan Allah). Maka tiada dalil yang membenarkan atau mengharuskan perbuatan tersebut mengikut nas Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.
Cuma perkara yang membenarkan mereka meminum arak adalah berdasarkan dasar toleransi Islam itu sendiri yang membenarkan penganut agama lain yang berada dalam negara Islam melakukan aktiviti yang dibenarkan oleh agama mereka seperti meminum arak dan memakan daging khinzir. Sesebuah negara Islam itu tidak boleh menghalang mereka dalam soal tersebut. Ianya berlainan dengan judi yang tidak dibenarkan atau dihalalkan oleh mana-mana agama utama di dunia. Oleh itu Khilafah Islamiah sejak dahulu tidak membenarkan judi kerana diharamkan oleh seluruh agama di dunia. (Rujuk Ghairul Muslimin Fi Mujtama’ Islami, Dr. Yusuf Al-Qaradawi, ms 47-48, cetakan Maktabah Wahbah, Kaherah)
Seterusnya pengarang berkata:
“Namun, mereka perlu sedar bahawa perbuatan tersebut bercanggah dengan ajaran umat Islam. Jika mereka hendak meneruskan juga perbuatan itu, maka hendaklah dilakukan secara yang tidak mengganggu umat Islam seperti di tempat-tempat khusus dan tersembunyi.
Pengajaran dan pembinaan hukum Islam seperti dalam kes pengharaman arak ini amat sesuai dengan situasi yang wujud di Malaysia, iaitu umat Islam dan bukan Islam hidup bersama dalam sebuah entiti negara.”
Kemudian pengarang berkata lagi:
“Prinsip itu terkandung dalam siasah syariah. Imam Syafie r.a. dalam kitabnya Asybah Wa al-Nazair ada membincangkan satu kaedah yang bermaksud: Pemimpin seharusnya bertindak ke atas rakyatnya berdasarkan kesesuaian maslahah (kebajikan dan kepentingan umum).”
Memang diakui sekiranya bukan Islam ingin melakukan aktiviti yang dibenarkan oleh agama mereka tetapi diharam oleh Islam (seperti kes minum arak), maka hendaklah dilakukan ditempat khusus dan tersembunyi supaya tidak menyinggung perasaan umat Islam. Tetapi persoalannya, adakah perkara ini betul-betul diangkat menjadi undang-undang Malaysia atau diamalkan secara baik?
Apa yang terjadi adalah berlawanan sebagaimana yang dakwaan-dakwaan yang terdapat di dalam rencana tersebut yang berkaitan dengan arak. Kita boleh lihat sendiri arak dijual secara berleluasa tanpa kawalan, dihidangkan di dalam hotel-hotel, dijual oleh peramugari beragama Islam di dalam kapal terbang, kilang yang terbesar di Asia Tenggara dan diminum serta dijual secara terbuka oleh orang Islam sendiri. Adakah wujud satu kaedah khusus dalam Islam yang membenarkan sebuah negara menjalankan aktiviti perniagaan arak sampai ke tahap itu? Di mana maslahah yang didakwa?
Keadah yang disebutkan oleh pengarang sedikit pun tidak tepat dengan realiti yang berlaku ataupun boleh dianggap telah menyeleweng daripada maksud yang tujuan asal. Apa yang berlaku sekarang adalah satu mafsadah dan bukan maslahah. Adakah tepat sekiranya semata-mata ingin menjaga satu kepentingan kita mengundang satu kecelakaan kepada umat? Adakah sama perbuatan Saidina Umar mengutip cukai import arak dengan keadaan sekarang? Itu adalah persoalan kepada pengarang kerana saya tidak mahu membahaskan persoalan maslahah di dalam Islam secara panjang lebar kerana isu yang diulas adalah berkaitan judi.
Kesilapan Ketiga:
Pengarang silap menyebut kaedah syara’
Samada secara sedar atau tidak, pengarang sebenarnya telah melakukan kesilapan dalam menyebut satu kaedah penting iaitu katanya:
“Malah dalam usul fikah juga terdapat perkara yang menekankan menangani bahaya yang khusus adalah lebih diutamakan daripada bahaya yang umum (yang boleh melibatkan kemudaratan yang lebih besar).”
Kaedah yang sebenarnya adalah berbunyi, “menangani bahaya yang umum (melibatkan masyarakat umum atau lebih besar) lebih diutamakan daripada bahaya khusus (yang bersifat peribadi dan kecil).
Bagi sesiapa yang mempelajari Fiqhul Muwazanah (rujuk Siasah Syariyyah, Dr. Yusuf al-Qaradawi, m.s 300-301, Maktabah Wahbah, Kaherah) akan memahami dengan mudah kaedah tersebut. Kaedah yang sama dalam bahasa arab berbunyi:
"دفع المفسدة العامة يقدم على المفسدة الخاصة"
Mengelak kemudaratan umum lebih utama daripada yang khusus
"ضحى بالمصلحة الخاصة من أجل المصلحة العامة"
Dikorbankan maslahah khusus kerana menjaga kepentingan umum
"يتحمل الضرر الأدنى لدفع الضرر الأعلى"
Ditanggung mudarat yang lebih kecil kerana mengelakkan mudarat yang lebih besar
"يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام"
Ditanggung mudarat yang khusus untuk mengelak mudarat yang umum
Semua kaedah di atas mempunyai maksud yang hampir sama iaitu menjaga kepentingan umum diutamakan dengan menggadaikan kepentingan khusus atau mengelakkan bahaya yang lebih besar dan yang melibatkan masyarakat secara amnya perlu diutamakan dengan hanya menanggung bahaya yang lebih kecil atau khusus.(Qawaid Fiqhiyyah, Dr. Abdul Aziz Muhammad Azzam, m.s 144, Darul Hadith, Kaherah)
Pengarang berkata:
“Pada masa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, beliau pernah mengenakan cukai import ke atas minuman keras yang dibawa masuk dari luar negara. Hasil kutipan tersebut dimasukkan ke dalam sumber am negara dan dibelanjakan untuk pengurusan infrastruktur seperti jalan raya.
Ini menggambarkan suatu pemerintahan yang bijaksana apabila pengimportan najis tersebut dibenarkan dan dikawal. Maksudnya, pemerintah telah mengambil langkah memilih bahaya (kemudaratan) yang sedikit daripada bahaya yang lebih besar.”
Untuk pengetahuan pembaca, kaedah yang digariskan adalah kaedah“menanggung bahaya yang lebih ringan daripada dua bahaya atau Irtikab Akhaffu dharurain”. Maksudnya lebih kurang kaedah di atas. Selain itu, soal yang dilaksanakan oleh Saidina Umar adalah berkaitan arak dengan berdasarkan toleransi Islam dengan bukan Islam seperti yang telah saya nyatakan tadi dalam perbahasan kedua. Kerajaan Islam yang dipimpin oleh sahabat Nabi Muhammad yang agung ini tiada kena mengena sedikit pun dengan urusan perjudian.
Selain itu juga, kaedah ini juga tidak terpakai dalam isu judi kerana memberikan lesen perjudian pada hakikatnya akan menimbulkan darurat yang lebih besar kepada negara bahkan menggalakkan aktiviti perjudian di kalangan rakyat kerana mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan. Mereka juga tidak menanggung risiko penanggkapan polis.
Oleh itu, sekiranya kaedah ini ingin digunakan maka yang sepatutnya yang dilaksanakan ialah kerajaan seharusnya mengharamkan aktiviti perjudian dan menangkap mereka yang berjudi sekalipun terpaksa mengorban harta, masa dan tenaga kerana risiko pengorbanan itu lebih ringan berbanding membiarkan rakyat terjebak dengan aktiviti yang keji lagi mempunyai mudarat yang besar. Dengan itu, barulah kaedah yang tersebut di atas tepat pada perlaksanaannya sebagaimana yang disebut oleh para fuqaha’ serta kerajaan juga dapat mendidik masyarakat agar tidak terjebak dengan arak dan judi.
Kesilapan Keempat:
Menqiyaskan hukum arak dengan hukum judi
Kesilapan yang paling utama dan juga tujuan utama rencana ini dikarang adalah untuk membenarkan tindakan kerajaan mengeluarkan lesen judi dengan membawa dalil-dalil yang mengharuskan perniagaan arak dalam negara Islam.
Maaf, saya ingin katakan bahawa pengarang belum memahami selok belok ilmu siasah syariyyah dengan baik atau memahami ilmu qawaid fiqhiyyah secara sempurna sehinggakan dalil yang dibawa untuk mengharuskan arak dijual dalam negara Islam pun banyak menyeleweng dan salah. Apatah lagi ingin menggunakan hujjah tersebut untuk menghalalkan aktiviti perjudian. Pengarang telah menyebut dalam rencana tersebut:
“Inilah persepsi yang sepatutnya difahami apabila kerajaan mengizinkan pengimportan ke atas arak, atau mengeluarkan lesen judi. Kerajaan juga tidak menghalalkan arak dan judi atau mendorong dan menggalakkan rakyatnya berjudi dan meminum arak.”
“Tegasnya arak dan judi adalah untuk mereka yang bukan beragama Islam, yang menjadikan judi dan arak itu sebagai lumrah dalam kehidupan mereka. Lagi pun undang-undang dalam enakmen syariah di setiap negeri ada memperuntukkan fasal-fasal yang menjatuhkan hukuman ke atas kegiatan dan penglibatan umat Islam dalam kes judi dan arak.”
Sekali lagi ingin saya nyatakan bahawa Islam tidak membenarkan langsung aktiviti perjudian kerana semua agama di dunia tidak menghalalkannya. Ini berlainan dengan isu arak yang mana ia merupakan hak bukan Islam untuk meminumnya dalam negara Islam kerana ia dibenarkan oleh sebahagian agama mereka walaupun Islam meletakkan piawaian tertentu untuk mengelakkan berlaku kemudaratan. Hak ini samalah dengan hak mereka untuk beribadat di kuil-kuil, merayakan hari kebesaran agama mereka dan lain-lain.
Kesimpulan hujjah yang didakwa pengarang ialah judi diharamkan bersama arak yang mana pengharamannya secara bertahap. Judi juga adalah amalan dan budaya jahiliyyah seperti arak maka hukumnya adalah seperti arak. Memberikan lesen judi pula adalah daripada satu perinsip pemimpin negara untuk menjaga maslahah umum dan menanggung mudarat yang ringan.
Setelah dijawab satu persatu maka jelaslah dalil-dalil tersebut adalah dalil rekaan yang tidak berdasarkan keilmuan yang jitu dan tidak menepati realiti. Mereka yang benar-benar mengkaji hukum dan tarikh tasyri’ sangat mudah untuk mematahkan hujjah yang dangkal tersebut.
Tegasnya, mengqiyaskan soal arak dengan soal judi dalam persoalan ini adalah Qiyas maal fariq. Sejarah Islam belum pernah mencatatkan mana-mana kerajaan di bawah mana-mana Khalifah membenarkan aktiviti judi kerana judi itu seolah-olah telah membunuh aktiviti ekonomi rakyat.
Akhir sekali, saya menyeru dan mencadangkan kepada kerajaan Malaysia supaya mengharamkan aktiviti perjudian dan menasihati kepada golongan agamawan dalam sektor-sektor kerajaan supaya berani menegur kesilapan dan bukannya mengeluarkan fatwa yang menyeleweng. Saya memohon ampun sekiranya jawapan ringkas ini mengandungi kelemahan. Wallahu A’lam.
JUDI BOLASEPAK: SIAPA YANG LULUS LESEN?
Oleh: safarizal saleh
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) melihat pendirian Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang juga ‘anak emas’ Tan Sri Dato' Seri Haji Harussani Haji Zakaria berkaitan kelulusan lesen judi bolasepak Piala Dunia tahun ini oleh Kerajaan Pusat kepada Berjaya Group masih dilihat samar dengan cuba mengalihkan isu sebenarnya.
Persoalan yang ditimbulkan oleh Datuk Seri Zambry berkaitan premis lesen judi pula perlu ditanya di Negeri Perak yang dahulunya di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama telah meluluskannya. Mengapa tidak diambil tindakan jika kelulusan premis lesen judi itu di bawah kerajaan negeri?
Jika Datuk Seri Zambry menyedari hukum Haram berkaitan judi ini, mengapakah tiada desakan oleh Badan Perhubungan Umno Negeri Perak di bawah kepimpinannya? Adakah Datuk Seri Zambry hanya memahami akan hukum tersebut tetapi enggan membantah bahkan akur terhadap keputusan yang telah dibuat oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak, selaku Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.
Sudah tentu rakyat pasti menolak BN kerana mengizinkan perjudian bolasepak yang tidak sepatutnya berlaku di Negara ini. Bagi DPPN Pk, Datuk Seri Zambry jangan lagak untuk berlakon bagi mengalih isu besar yang sedang diperkatakan hari ini oleh seluruh rakyat Malaysia. Hakikatnya bahawa Umno / BN lah yang meluluskan lesen judi bolasepak ‘HALAL" dan rakyat pasti akan bangkit menghukum mereka.
ZAWAWI HASSAN
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.
Belajar daripada alam kukuhkan aqidah kita
Oleh: Ahmad Baei Jaafar
Selepas kita mengetahui hikmah musibah, marilah kita belajar daripada alam pula pada kali ini. Banyak perkara yang perlu kita tahu sebagai hamba Allah.
Manusia yang dapat belajar dengan baik, tidak akan ada manusia yang sombong, sombong kepada manusia, apatah lagi kepada Allah.
Umat Islam yang baik akan akur dengan ciptaan Allah, malah dapat mengambil manfaat daripada ciptaan Allah itu. Umat Islam dalam keadaan ini akan kuat aqidahnya kepada Allah, tauhid tetapi kepada Allah dan mereka menjadi umat yang paling bersyukur.
Bencana alam Allah sediakan kepada manusia untuk menguji manusia dan jika mereka dapat belajar daripada bencana alam itu sudah tentu mereka boleh bertaubat.
Sekali gus mereka akan berjaya membangunkan alam ini mengikut kehendak Allah. Selamat memiliki Solusi no 20 dan selamat membaca dan membuat perubahan ke arah kebaikan.
Dari Judi Kuda ke Judi Bola; Lepas Ni Mungkin Judi Pilihanraya
Oleh: annuar kamaruddin
Masa zaman Supermokh, Spiderman dan rakan-rakannya dulu, saya baru sekitar tujuh belas tahun. Ada juga kawan-kawan saya ajak betting siapa menang siapa kalah bila ada bola. Tapi kerana tak minat sangat hal bola ni, saya buat dek aja.
Selepas masuk kolej, masa tu ada piala Dunia, ada juga si mamat yang jadi promoter betting. Keliling hostel dia cari siapa nak betting. Saya tak tahu hal betting membetting ni dengar ajelah.
Tapi apa yang saya tau diaorang ni suka-suka je. Lepas menang betting belanja kawan-kawan. Masa tu kat surat kabar pun ada teka bola. Budak-budak sekolah main-main je. Tak tahu pun bola boleh jadi Judi.
Tahu-tahu hari ni bising pasal bola nak jadi judi. Dari hal suka-suka oleh budak-budak, kerajaan jadikan serius pulak. Budak-budak sekolah pun pening kepala Tanya Cikgu mereka Judi Bola tu apa benda?
Pada saya senang je jawabnya. Kerajaan pun nak berjudi jugak. Nak suka-suka tapi duit masyuukk….Bagi lesen. Alasan kalau tak bagi orang berjudi. Tak boleh kutip cukai judi jadi bagi lah lesen judi untuk bola. Sekejap je. Habis Piala Dunia habis lah judi tu.
Betul ke ni? Berjaya Grup nanti akan minta sambung lesen pulak. Sebabnya dah banyak bukak premis. Tak balik modal. Eh ye ke! Tak pe. Kerajaan nanti bagi lesen untuk Judi Bola Piala Malaysia , lepas tu Judi Liga Malaysia , Judi Pesta Bola Merdeka, (Tak lama dah!) Judi Bola MSSM. Eh! Itu baru dalam negeri. Kat luar negeri pun ada lagi boleh buat judi. Liga Sepanyol, Liga Inggeris, Liga Eropah, Liga Copa Amerika. Hal Bola ni mana pernah habis. Maka lesen judi bola tak akan tamat setakat piala Dunia je.
Dengar cerita orang Taiping ada main judi hujan. Teka pukul berapa hujan turun. Dulu pernah heboh. Yang ni pun boleh bagi lesen juga. Tak lama lagi pilihanraya. Boleh bagi lesen juga. Bertaruh parti mana menang. Lepas tu rasuah calon supaya tarik diri. Tauke judi boleh atur.
Kawan saya Ah Wa , seorang mekanik kereta pernah beritau saya, ini judi memang kerja gila. Mana ada orang menang judi jadi kaya. Ini tauke judi dia tak takut orang menang juta-juta. Yang dia takut, kalau nanti tak ada orang nak main judi.
Tapi kata ketua umno nombor dua, saya tak tahu pun rakyat bantah pasal judi bola. Mengapa dia orang tak bagi tau saya!
JAMIL KHIR - KITA TANYA SOAL JUDI, DIA CERITA PASAL LOMPAT PARTI
Oleh: WFAUZDIN NS
Lambang Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT)
DI DALAM kesibukan kita bertanya kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir tentang komen, ulasan atau pandangannya tentang lesen judi yang dikeluarkan oleh kerajaan, bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera ini bercerita pasal lompat parti di Kedah pula. Beliau yang juga Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Kedah menyatakan jika ada Adun dari PR yang melompat keluar dari parti adalah kerana Adun berkenaan tidak mahu menipu rakyat, katanya.
Hakikatnya malam semalam di dalam satu ceramah umum di Kedah, telah dibuktikan dengan jelas tiada sebarang niat Adun-Adun dari PR yang ingin melompat parti. Justeru itu, usahlah Jamil Khir bersusah payah untuk mengutip isu berkenaan. Sewajarnya beliau selaku Menteri yang bertanggungjawab di dalam urusan berkaitan agama Islam terlebih dahulu peka dan sensitif dengan isu lesen judi bola sepak yang baru diluluskan itu.
Tidak hairan jika beliau tidak mampu untuk bersuara membela agama di dalam kabinet Najib sedangkan sewaktu beliau menjadi Pengarah KAGAT di dalam ATM iaitu satu organisasi sekecil itu pun beliau gagal melahirkan warga tentera yang mempunyai kemantapan iman yang kuat. Masakan beliau berupaya mengubah dasar negara di dalam keadaan jawatan yang beliau pegang sekarang pun datangnya dari belakang tanpa melalui pilihan raya.
Siapalah Jamil Khir yang mungkin ingin mengubah Umno dari dalam sepertimana juga Mashitah Ibrahim dan Firdaus bekas Imam Besar Masjid Negara itu. Apa yang mereka lakukan di dalam kabinet Najib? Memalukan, sebaik sahaja Jamil Khir dilantik sebagai Menteri yang menjaga agama tiba-tiba lesen judi bola sepak diluluskan. Tidakkah Jamil Khir, Mashitah dan Firdaus merasa tercabar?
KUASA SPEAKER: MAHKAMAH CAMPURI URUSAN DUN
Oleh: safarizal saleh
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) sudah menjangkakan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar yang telah memaklumkan kekosongan dengan bersurat daripada 3 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar parti menjadi wakil rakyat Bebas telah di kosongkan amat dikesali.
Bagi DPPN Pk, Mahkamah di lihat telah mencampuri urusan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana kuasa yang telah diberikan kepada Speaker adalah jelas tanpa boleh di cabar oleh mana-mana Mahkamah. Jika perkara ini berlaku, jelas pengasingan kuasa yang sepatutnya dilaksankan berdasarkan legislatif dan kehakiman tidak berlaku di dalam Negara kita.
Apakah kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menafikan kuasa Speakar dan mencemar DUN yang dipelihara oleh Perlembagaan. Secara tidak langsung Perlembagaan Malaysia dibawah Artikel 72 telah dikhianati oleh sistem itu sendiri. Sekarang ini jelas menunjukkan seperti ada campur tangan pihak-pihak tertentu di dalam memastikan pelanggaran perlembagaan negara yang sudah dirancang ini.
Bermula dengan Pegawai Kerajaan Negeri dan di tambah pula dengan SPR, SPRM, Polis dan sebagainya. Rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap sistem yang sepatutnya menjaga dan memilihara rakyat daripada salah guna kuasa oleh orang politik tetapi tidak berlaku.
DR RAJA AHMAD AL-HISS
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.
TARIAN EZAM SESUMPAH SEMAKIN SUMBANG
Oleh: WFAUZDIN NS
PERLANTIKAN Ezam raja sesumpah sebagai Senator bukan diberi percuma. Bekas Pengerusi Gerak ini sejak keluar dari Gerak dan menyertai Umno jelas menampakkan sikapnya yang sebenar dan baru kita ketahui hikmah mengapa Ezam keluar dari kelompok perjuangan membela rakyat. Melihat kepada sikapnya sekarang, Ezam wujud di dalam Umno bukan untuk membasmi rasuah sepertimana janjinya sewaktu menyerahkan borang keahlian Umno kepada Pak Lah dulu.
Sebaik sahaja Ezam raja sesumpah menyanjung `keris telanjang' Umno, beliau telah lupa segala atur langkah keramat perjuangan yang diajarkan oleh gurunya DS Anwar sekian lama. Kini, beliau mula belajar pencak silat mengikut tari Umno yang beliau sendiri tahu sentiasa sumbang tarinya. Namun, demi masa depan yang diharapkan dari Umno Ezam rela meletakkan maruahnya lebih rendah daripada Ibrahim Al-Kataki walaupun sedikit tinggi daripada Zahid Md Arip atau Ruslan Kassim rakan se`pengkhianatan'nya.
Di dalam blognya, Ezam bersusah payah untuk memikirkan alasan untuk memperlihatkan usaha MB Selangor Tan Sri Khalid menubuhkan SELCAT sebagai tidak telus. Berikut sedikit tulisan Ezam sesumpah berkaitan SELCAT;
"Tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengarahkan SELCAT untuk menyiasat dakwaan dan penyelewengan didalam syarikat konsesi pasir tunggal di negeri Selangor, SEMESTA Sdn Bhd yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Kapar, Yb S Manikavasagam adalah satu tindakan yang BERNIAT JAHAT dan SALAH kerana;
i] bercanggah dengan prinsip ketelusan
ii] bersifat menutup menutup penyelewengan [eyewash]
iii] bertujuan mempengaruhi siasatan tersebut dengan “gundah gujara” [with fear and favour]
iv] tidak menghormati perlembagaan persekutuan
v] tidak menghormati institusi kehakiman
SELCAT memperolehi bidang kuasa daripada arahan Dewan Undangan Negeri. Jesteru Menteri Besar tanpa mandat DUN tidak boleh sewenang-wenangnya mengarahkan SELCAT untuk membuat siasatan apatah lagi siasatan tersebut bersifat JENAYAH yang mana SELCAT tidak mempunyai bidangkuasa untuk menyiasat." (ezam-mohdnor.blog)
Pertamanya ingin kita bertanya Ezam sesumpah, mengapa beliau tidak membuat sebarang laporan atau tindakan jika beliau sendiri yakin bahawa penubuhan SELCAT itu BERNIAT JAHAT atau SALAH? Bukankah Ezam ini terkenal dahulunya yang tidak henti-henti suka membuat laporan sehinggakan berkotak-kotak? Setelah berada di dalam `geng kerajaan', masakan Ezam takut untuk membuat laporan? Sebenarnya hati kecil Ezam merasakan bahawa tindakan MB Selangor itu adalah satu tindakan yang lebih telus dari mana-mana kerajaan negeri yang ada. Cuma, bila diri sudah terjual maka mulut kelu untuk berkata.
SELCAT bercanggah dengan prinsip ketelusan? Persidangan SELCAT yang diadakan secara terbuka sehinggakan boleh diikuti melalui internet itu dikatakan tidak telus? Terbukti SELCAT sebelum ini berupaya mendedahkan berbagai salah laku pemimpin Umno termasuk bekas MB Selangor Khir Toyo, isterinya dan beberapa Exco mereka sebelum ini. Cumanya, tiada susulan dari pihak yang berkuasa walaupun segala bukti berjaya didedahkan. Sekaligus SELCAT tidak boleh dikatakan untuk menutup segala penyelewengan kerana semua rakyat boleh mengetahui perjalanan SELCAT.
Tidakkah SELCAT sebenarnya banyak boleh membantu pihak berkuasa seperti SPRM seandainya SPRM peka dan serius dengan sesuatu kes yang dibawa ke SELCAT. Bagaimana Ezam sesumpah boleh menuduh SELCAT boleh mempengaruhi siasatan? Mungkin maksud Ezam, SELCAT mungkin boleh menyusahkan pihak yang ingin `cover' sesuatu kes yang melibatkan sekutu di dalam parti Ezam. Contohnya seperti isu banglo mewah Khir Toyo, lawatan BALKIS, pembelian hadiah dan cenderahati yang meragukan dan berbagai lagi kes yang telah dibawa ke SELCAT sebelum ini. Di mana akhirnya kes tersebut?
Tuduhan bahawa SELCAT tidak menghormati Perlembagaan dan institusi kehakiman adalah tuduhan berat jika benar. Maka, Ezam semestinya mengambil tindakan segera membuat laporan terhadap Kerajaan Negeri Selangor. Mengapa Ezam sesumpah menyalak di luar sahaja? Adakah beliau bimbang dengan adanya SELCAT, semakin banyak pula nanti isu-isu dan kes penyelewengan masa lampau Umno mentadbir Selangor akan terdedah.
Kita seharusnya bersyukur di atas keberanian MB Selangor menangani segala tuduhan ke atas Kerajaan PR Selangor sehingga kini. Terbaru semalam, MB Selangor ulangi lagi kesediaannya untuk bekerjasama dengan SPRM untuk membuat siasatan ke atas kerajaan Selangor. Bahkan, MB Selangor mempelawa SPRM mengadakan pejabatnya di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor. Saya syorkan sekiranya SPRM menolak pelawaan tersebut, Tan Sri Khalid mungkin boleh mempelawa Ezam sesumpah untuk menetap di pejabat MB Selangor.
PRU 13: BN PERAK SASAR PENGUNDI CINA
Oleh: safarizal saleh
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) melihat langkah Barisan Nasional (BN) Negeri Perak yang telah mengemaskinikan anggota Jawatankuasa Penyelarasnya dengan melantik 3orang muka baru di dalam menganggotai jawatankuasa tersebut termasuk Presiden MCA Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek adalah tindakan terdesak untuk memenangi hati pengundi Cina.
DPPN Pk juga merasakan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13, adalah sudah hampir jika mengambil kira persiapan BN Perak tersebut. Malah BN Perak juga sedang memfokuskan pengundi-pengundi Cina bagi menghadapi PRU ke -13 nanti dengan memastikan DAP di tewaskan, kerusi BN Perak akan bertambah kerana kerusi MCA yang mewakili BN akan meningkat.
Tetapi bagi DPPN Pk, jika PAS diberikan mandat dan sokongan oleh rakyat semasa PRU ke -13 nanti sudah tentu kerusi BN yang di wakili oleh Umno akan tewas dan kerusi BN akan turut berkurangan. Umno Perak yang di lihat semakin meninggalkan orang Melayu dengan pelbagai kemudahan dan janji yang mereka salurkan kepada MCA merupakan perkara yang perlu dinilai semula oleh orang Melayu.
DPPN Pk menyeru orang Melayu agar menolak Umno sekarang ini dan memastikan kuasa orang Melayu di bawah PAS di perkukuhkan supaya terpelihara kuasa orang Melayu terutamanya di Negeri Perak ini.
SALMAN SALEH
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.
Lebih 96% Lulusan Sekolah Teknik China Mendapat Pekerjaan
Lebih 96% lulusan sekolah teknik China kini mendapatkan pekerjaan. Inovasi tenaga yang mempunyai kemampuan teknikal yang tinggi sedang memainkan peranan penting yang tidak boleh digantikan dalam masyarakat.
China telah meluluskan lebih 280 buah pusat latihan tenaga teknik berkemahiran tinggi berasaskan sekolah teknik, maktab juruteknik dan sejumlah besar kumpulan dan syarikat besar.
Serentak itu, China juga membina banyak pusat latihan praktikal awam melalui peruntukan kerajaan dan pengumpulan dana dari sector swasta, untuk memberikan perkhidmatan awam kepada pekerja seperti latihan praktikal kemahiran vokasional dan penilaian kemahiran.
Sehingga akhir tahun lalu, jumlah juruteknik China mencecah lebih 100 juta orang.
CRI/-
Ambil iktibar senario di Thailand
Oleh: M Faqih
KOTA BHARU, 24 Mei: Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pemerintah di negara ini wajar mengambil iktibar terhadap senario yang berlaku di Thailand sekarang.
Ini kerana suasana gawat yang berlaku di Bangkok itu boleh berulang di negara ini sekiranya lunas-lunas demokrasi dicabuli pemerintah sewenang-wenangnya.
“Ini sebagai satu pengajaran apabila pemerintah dalam sesebuah negara tidak menghormati demokrasi yang diamalkan.
“Jika suara rakyat melalui sistem pilihan raya yang adil dan telus dinafikan, tidak mustahil kejadian yang berlaku di Thailand boleh merebak ke Malaysia,” katanya di sini.
Kekacauan yang berlaku di Thailand sekarang mengakibatkan sebanyak 86 nyawa melayang dan mencederakan 1,900 orang.
Kumpulan Baju Merah yang didokong bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra bertempur dengan anggota keselamatan sehingga menyebabkan Bangkok menjadi lumpuh.
Selain Bangkok dan 23 wilayah lain juga diisytiharkan perintah berkurung. Kawasan membeli belah utama di Bangkok lumpuh sejak enam minggu lalu.
Sehubungan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan berharap pemerintah di Thailand dapat menyelesaikan krisis yang berlaku di meja rundingan.
“Ini berikutan pertempuran senjata yang meletus di Bangkok telah mengorbankan banyak nyawa dan menyebabkan kecederaan,” katanya.
Menurutnya, seluruh Thailand sekarang diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga ekoran krisis yang berlaku.
Beliau juga berkata, rakyat Malaysia khususnya Kelantan yang berjiran dengan Thailand berharap krisis yang berlaku itu dapat diselesaikan secepat mungkin.
Katanya, amat diharap semua pihak mengutamakan kepentingan ramai kerana krisis yang berlaku mendatangkan kesan kepada rakyat yang tidak berdosa.
Beliau berkata, lunas-lunas demokrasi hendaklah sentiasa dipatuhi agar tidak mendatangkan rasa tidak puas hati kepada mana-mana pihak.
“Jika demokrasi yang telus tidak dihormati dan penyelewengan dilakukan dalam apa jua bentuk, ia hanya akan menatijahkan pertumpahan darah yang tidak berkesudahan,” ujarnya.
Harakahdaily/-
DHPP: Umno semakin 'sawan'
Oleh: Ustaz Zolkharnain Abidin
Apabila PAS menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), berbunyi suara sumbang kononnya PAS tidak mempercayai DAP dan PKR untuk mengawal orang bukan Islam yang menyokong PR. Niat suara sumbang itu ialah untuk memecahbelahkan PR. Agendanya ialah, biar PAS, DAP dan PKR ‘bertokak’ kerana isu bukan Islam ini.
Orang bukan Islam bebas untuk memilih sama ada PKR, DAP atau PAS. Amalan demokrasi membenarkan dan memberikan hak kepada mereka untuk memilih mana-mana parti sama seperti mereka berhak untuk memilih MCA atau MIC.
Selepas ini, PAS, DAP dan PKR akan menjadi parti pelbagai agama dan budaya. Sepertimana ada Melayu dan Islam dalam DAP, maka begitu juga akan ada Cina, India dan bukan Islam dalam PAS. PKR memang semenjak awal membuka keahlian kepada semua kaum dan agama.
PAS, DAP dan PKR benar-benar memenuhi aspirasi rakyat Malaysia yang tidak ingin lagi hidup dalam ‘longkang perkauman hanyir’ bikinan dan kebanggaan BN untuk sekian lama.
Selepas ini hanya komponen BN sahaja yang akan kekal dengan perkauman hanyir itu. Umno dengan Melayu-nya, demikian MCA dan MIC dengan label perkauman yang tertera nyata pada nama parti masing-masing.
Mampukah komponen BN, terutamanya Umno untuk terus bertahan dengan ‘kehanyiran’ perkauman Melayu-nya itu?
Inilah musykilah besar terkini Umno. Selepas parti itu berhadapan dengan kemerosotan sokongan Melayu, orang bukan Melayu yang dikatakan pernah menjadi tongkat kanan dan kiri Umno tidak lagi bersedia terus menongkat Umno. Jika Umno kehilangan kedua-dua tongkat ini, BN pasti tumbang dalam PRU akan datang.
Tiada apa lagi yang boleh dibuat oleh Umno untuk membendung penghijrahan orang bukan Islam ke dalam PR, kecuali dengan menggambarkan komponen PR sebagai saling curiga-mencurigai antara satu sama lain.
Salah satunya ialah, gambarkan kepada umum PAS mencurigai DAP dan PKR untuk mengurustadbir penyokong bukan Islam. Inilah modal yang Umno ada setakat ini.
Bukan mustahil Umno akan berkata, PAS lebih Cina daripada DAP, PAS lebih liberal daripada PKR dengan serangan dua laras kepada PR. Satu laras dengan tujuan menanamkan keraguan orang PAS kepada PAS dalam isu dasar atau teras PAS. Satu laras lagi dengan tujuan melaga-lagakan parti-parti komponen PR, kononnya PAS merampas ahli atau penyokong mereka.
Adakah Umno akan berjaya dengan serangan ini?
Jawabnya, tidak. Orang PAS hari ini amat mengalu-alukan penubuhan DHPP. Dan, penubuhannya sebenarnya memang ditunggu-tunggu. Penubuhan DHPP menjadikan ufuk perjuangan PAS lebih luas dan melebar selaras dengan ufuk kesyumulan Islam yang menjadi dasar PAS itu.
Sebagaimana PAS tidak pernah bimbang dengan penyertaan orang-orang Islam ke dalam PKR dan DAP, demikian juga PKR dan DAP tidak akan bimbang dengan penyertaan orang-orang bukan Islam ke dalam PAS.
Menyediakan lebih banyak ruang dan peluang adalah lebih baik daripada menutupnya. Apa yang penting mereka bersama PR.
DHPP adalah merupakan cabaran baru kepada PAS. Kita memasuki daerah baru yang serba indah tetapi mencabar. Walau apa pun cabarannya, PAS mesti memasuki daerah baru ini dengan penuh keberanian. Keberanian ini menggambarkan kita semakin kuat.
Inilah kekuatan kita dan inilah kelemahan Umno. Apabila Umno meuar-uar bahawa parti itu adalah Melayu totok, hari ini Umno sedang menanggung padah dan akibatnya. Parti itu hari ini tenggelam dalam kebusukan perkauman bikinannya itu.
Umno hilang kebergantungan kepada orang Melayu kerana orang Melayu sudah tahu bahawa Umno hanya memperalatkan Melayu untuk tembolok pemimpinnya. Hilang kebergantungan kepada Cina dan India, kerana kedua-dua kaum itu juga sedar mereka diperalatkan oleh Umno untuk menakut-nakutkan dan berkelahi dengan Melayu.
Semuanya; Melayu, Cina dan India selama 50 tahun diperalat untuk memenuhkan tembolok pemimpin Umno dengan khazanah kekayaan negara yang mereka punggah dengan kuasa.
* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.
Harakahdaily/-
Betulkah Selangor luluskan 10 lesen judi untuk I City?
Oleh: http://iskandar56100.blogspot.com/
Ketika di dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke rumah, saya telah mendapat panggilan telefon dari Setiausaha PAS Selangor, Sdra Khairuddin Othman, memberitahu bahawa seorang ahli Parlimen mendakwa Mesyuarat Exco telah meluluskan 10 lesen judi untuk I City dekat Shah Alam. YB itu mempersoalkan peranan Exco-Exco PAS. Kenapa tidak membangkang?
Di sini saya ingin menjelaskan Mesyuarat Exco tidak pernah meluluskan lesen-lesen judi untuk I City. Untuk sebulan lepas, Exco ada membincang tentang judi tetapi bukan untuk meluluskan lesen-lesen judi. Lesen judi adalah kuasa kerajaan Persekutuan.
Saya pun hairan macam mana ada yang membuat pelbagai andaian walhal minit-minit adalah rahsia. Ianya dimusnahkan selepas mesyuarat. Sebelum ini ada seorang ahli Parlimen mendakwa bahawa Exco PAS Selangor Dato Hasan Ali tidak pernah bercakap di dalam mesyuarat. YB itu bercakap seolah-olah dia hadir di dalam mesyuarat. Begitulah manusia!
Berbalik kepada judi, saya ada bangkitkan tentang kedai nombor yang dilanggani umat Islam. Ini selepas PAS Pandan telah membuat Ops Kasih di luar kedai nombor Angsana Hilir.
Menteri Besar pula telah mencadangkan agar lesen premis tidak diberi oleh PBT kepada kedai-kedai di kawasan majoriti Islam. Menteri Besar juga mencadangkan agar tidak ada lagi lesen premis baru untuk kedai nombor atau kedai ekor.
Tidak ada agenda untuk meluluskan lesen judi tambahan. Cadangan melanjutkan operasi pusat hiburan hingga jam 3 pagi pun ditentang oleh Exco-Exco PAS ini pula 10 lesen judi baru di Shah Alam atau dengan lebih tepat lagi I City.
Tetapi saya mengakui payah bagi menyahut cabaran UMNO atau Perkasa. Apa tidaknya lesen judi memang dari Persekutuan tetapi lesen premis dari PBT. Kalau PBT tidak memberinya maka tidak ada kedai nombor atau kedai ekor. Kalau semua ahli-ahli Majlis sepakat untuk tidak membenarkan lesen premis maka tidak ada kedai nombor atau kedai ekor.
Ketika kita menentang judi bolasepak, kita ditempelak oleh UMNO yang berkata, 'Bila nak tutup kedai ekor di Selangor'. Memang payah untuk menjawab. Tapi hidup ini bukan mudah.
Inilah juga realiti demokrasi. Itu sebab ada yang berkata demokrasi tidak syar'ie. Tapi kita tidak beriman dengan demokrasi. Ianya sebagai satu jalan untuk mendapatkan kuasa, walaupun sedikit kuasa Telah ada banyak keuntungan kepada umat Islam dan perkembangan Islam di Selangor. Adakah ahli-ahli mahu kita mengangkat kaki dan menjadi penonton sahaja? Adakah saya bercakap seperti UMNO? Menghalalkan cara? Terpulang kepada anda untuk menilainya.
Tapi PAS tetap menentang arak dan judi. Exco, ADUN dan ahli Majlis bercakap dengan lantang tentangnya. Kita bukan seperti UMNO yang membisu tentang perkara-perkara itu. Atau menghalalkannya.
Ingat kes rampasan arak di 7-11? Siapa yang bersuara kalau tidak PAS. Atau kuasa diberi kepada pegawai-pegawai Masjid untuk menangkap orang Islam meminum arak di khalayak ramai. Bukankah Exco PAS mengumumkannya? Tetapi ada pula orang PAS termasuk YB yang tidak setuju.
Setiap parti ada matlamat masing-masing. DAP mahu pilihanraya kerajaan tempatan walaupun ia tidak pernah ada dalam manifesto PAS. Akhirnya cadangan itu diluluskan oleh sidang DUN Selangor. PAS pun ada matlamat.
Pernah saya tulis sebelum ini, saya kagum dengan politik baru di Britain. Walaupun saya tinggal hampir 10 tahun di sana dan membenci Konservatif seperti membenci UMNO tetapi kerajaan campuran Konservatif dan Liberal Demokrat patut membuka mata kita. Ia persefahaman dan pakatan yang penuh tolak ansur.
Contohnya ia memberi kebenaran kepada ahli-ahli Parlimen Liberal Demokrat untuk tidak mengundi menyokong kerajaan dalam perkara-perkara yang bertentangan dengan manifesto mereka. Walaupun ketua Liberal Demokrat, Nick Clegg, adalah Timbalan Perdana Menteri namun mereka boleh tidak menyokong kerajaan. Dua perkara tersebut adalah tenaga nuklear dan yuran IPT.
Ada banyak lagi yang membuka mata kita. Begitulah kematangan politik di sana.
Iskandar Abdul Samad
ADUN Chempaka.
* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.
Harakahdaily/-
Halal judi kerana banyak termakan budi?
Oleh: Angkasanuri
Lesen judi bola telah pun diluluskan. Sehingga hari ini tidak nampak tanda-tanda 'sijil halal' judi kepada Berjaya Group yang dikuasai oleh Tan Sri Vincent Tan akan ditarik balik.
Walaupun wujud pelbagai desakan dan bantahan Umno-BN terus memekakkan telinga seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Tindakan serupa dilakukan apabila kerjasama Umno-BN dengan Apco Worlwide milik Yahudi menerima kecaman daripada pelbagai pihak.
Bagi saya, Umno-BN tidak berupaya untuk menarik semula 'sijil halal' yang diberikan kepada syarikat Berjaya. Jika 'sijil halal' ini ditarik balik bermakna lebih banyak gantirugi atau imbuhan lain terpaksa diberi kepada syarikat Berjaya.
Bukan sesuatu yang rahsia lagi, syarikat milik Berjaya yang menguasai beberapa syarikat judi di negara ini telah banyak menghulurkan 'sedekah' kepada Umno-BN terutama setiap kali pilihanraya.
Kalau tidak siapa yang hendak menampung kos pilihanraya Umno-BN yang mencecah ratusan juta ringgit. Itu belum termasuk lagi 'sedekah' kepada Umno-BN setiap kali berlangsung pilihanraya kecil.
Maka, sebagai ganjaran dan balasan Umno-BN terpaksa mengikut sahaja kehendak dan kemahuan syarikat-syarikat besar yang memiliki pelbagai pusat judi dan pertaruhan untuk terus mengembangkan empayar judi mereka di negara ini.
Oleh itu mana mungkin Umno-BN berupaya untuk menarik balik 'sijil halal' ini. Semua ini kerana Umno-BN sudah terlalu lama dan banyak berhutang budi. Maka hutang budi dibalas dengan judi!
Maka untuk memastikan syarikat Berjaya dan syarikat lain terus kekal dengan status 'sijil halal' judi ini maka mereka yang menentang seperti demontrasi besar-besarkan yang dirancang bakal berhadapan tindakan keras daripada pihak berkuasa yang hanya mengikut telunjuk pemimpin Umno-BN.
Jadi tidak ada cara lain untuk memastikan 'sijil halal' judi ini ditarik balik selain daripada memastikan Umno-BN tidak lagi diberi kuasa untuk memerintah pada pilihanraya umum akan datang supaya tidak ada lagi 'sijil halal' judi akan diluluskan.
* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.
Harakahdaily/-
Apakah Najib tiada 'setitis iman' ketika lulus lesen judi?
Oleh: Tok Pepijat
Sejak isu judi bola heboh seluruh negara, kita dapat melihat "wajah sebenar" politikus-politikus yang mewarnai negara.
Wajah sebenar Umno terserlah dengan "kemunafikan melampau" oleh PM, Najib yang meluluskan lesen judi tersebut.
Wajah dan jawapan selamba Najib tentang perbuatannya meluluskan judi itu begitu "buruk lagi hodoh" sebagai pemimpin parti "Islam Terbesar Dunia" dan sebagai pemimpin Negara Islam.
Adakah Najib begitu "bertaqwa" menjawab ," Kita tidak akan bincang mengenainya (judi bola),"apabila disoal wartawan.
Adakah Najib dalam "keadaan beriman" ketika meluluskan lesen judi bola kepada Vincent Tan?
Kita melihat ramainya pimpinan Umno menyokong secara "berlapik dan berbelit" tentang kelulusan judi ini. Antaranya MP Kota Belud, Khir Toyo, Zamry Kadir dan beberapa MP lainnya. Juga tidak ketinggalan Presiden PERKASA.
Alasan mereka begitu mudah. Antaranya untuk elakkan "Judi haram" dan negeri PR juga ada judi.
Kita juga melihat begitu bersungguh-sungguh PDRM menerusi mulut Bakri Zinin untuk memastikan rakyat Malaysia hanya berjudi dengan Ascot Berhad sahaja. Berapa RM Vincent bagi Bakri atas ikrarnya itu. Bolehlah ganti Tun Hanif Omar sebagai Pengerusi Berjaya selepas pencen nanti!
Setakat ini tiada suara kedengaran dari Majlis Fatwa Kebangsaan tentang perbuatan jijik Najib ini. Mufti-mufti juga agak takut bersuara. Hanya Mufti Perak bersuara. Itupun agak sentimental dan "romantik".
Barangkali elok Zaid Ibrahim buat road show untuk umumkan senarai peminum arak dan juga kaki judi dari kalangan pimpinan atasan Umno.
Tentu Muhyiddin Yasin bersetuju dengan cadangan ini !
Juga semasa Majlis Musabaqah Al Quran nanti, para qari pakat baca ayat-ayat tentang arak dan judi untuk halwa perdengaran Najib.
Najib akan insaf jika dia ada "dua telinga" dan lidah tidak bercabang !
* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.
Harakahdaily/-
Gempa di Brazil tidak ancam Malaysia.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia pusat gempa itu dikesan di 8.1 darjah selatan dan 71.6 darjah barat, 749 km ke timur laut Lima, Peru dan 18,879 km ke barat daya Kunak, Sabah.
Tidak ada ancaman tsunami kepada Malaysia, kata kenyataan itu.
Kerajaan bongkak yang tidak boleh ditegur
Oleh: Mutaligat
Oleh kerana tidak boleh ditegur dan dinasihat maka kerajaan menggunakan kuasa yang ada untuk menutup segala kebobrokan dan kejahatan mereka. Sebab itulah apa sahaja keburukan dan kelemahan mereka yang difikirkan akan menyebabkan rakyat tidak suka kepada mereka akan ditutup dan diberhentikan.
Mereka juga tidak dapat menangkis fakta dan hujah yang dihidangkan oleh media dan tidak ada jalan lain bagi mereka kecuali menggunakan sedikit kuasa yang ada di dunia ini bagi memastikan kejahatan mereka dapat diteruskan.
Oleh kerana itulah 3,000 akhbar Kabar Era Pakatan dirampas kerana memuatkan isu yang menyentuh perdana menteri.
Akhbar yang dirampas itu merupakan nashkah edisi pertama (5 hingga 20 April) dan edisi ketiga (9 hingga 22 Mei).
Keluaran pertama akbar tersebut mengandungi tajuk utama "Siasat hubungan Najib-APCO: Anwar" manakala keluaran ketiga pula digariskan dengan tajuk besar "Najib, Razak Baginda tersenarai" berhubung isu pembelian kapal selam Scorpene.
Mat Zahari sebelum ini merupakan ketua pengarang Konsep Era Pakatan yang berjaya diterbitkan sebanyak 20 keluaran, namun permit tabloid politik itu tidak diperbaharui sejak September tahun lalu.
* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.
Harakahdaily/-
Beri kuasa kepada negeri atasi jenayah
Oleh: Yusri Amin
KOTA BHARU, 25 Mei: Kerajaan negeri tidak berkuasa mengatasi persoalan jenayah yang kian berleluasa kini kerana kuasa pemerintahan khususnya membabitkan perundangan termasuk undang-undang syariah adalah dikuasai Kerajaan Persekutuan.
Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi negeri, Dr Mohd Fadhli Hassan menggesa Kerajaan Persekutuan menggunakan peruntukan Perlembagaan 76A dengan memberikan kuasa kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan undang-undang termasuk undang-undang syariah.
Katanya, kerajaan negeri hanya melaksanakan pentadbiran negeri kerana kuasa ‘pemerintahan’ khususnya membabitkan perundangan termasuk undang-undang syariah adalah dikuasai Kerajaan Persekutuan.
“Sementara Kelantan adalah satu unit dari federal yang mengamalkan konsep federalisma,” katanya kepada media pada Majlis Penutup Bengkel Videografi anjuran Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kemahiran Negeri Kelantan (Kesdec) di Darul Digital di sini petang semalam. Turut hadir ialah Pengarah Kesdec, Zailani May.
Beliau yang juga Pengerusi Darul Digital yakin dengan kuasa diberikan kepada kerajaan negeri, maka kejadian jenayah dan gejala sosial khususnya membabitkan remaja akan dapat diatasi.
“Kita di Kelantan tidak boleh memerintah secara Islam, kita hanya mentadbir negeri, itu saja. Ini kerana pemerintahan tetap dikuasai Pusat lantaran Kelantan satu unit daripada federal,” ujarnya.
Jelasnya,Islam menegaskan bahawa sekiranya hendak menghapuskan kejadian jenayah, maka undang-undang jenayah mesti dilaksanakan.
“Namun ianya tidak boleh dilaksanakan walau pun kita dikatakan kerajaan negeri lantaran kerajaan negeri tidak ada kuasa, yang ada kuasa ialah Kerajaan Pusat.
“Dari sudut undang-undang, kita tidak boleh mengatasi persoalan jenayah termasuk jenayah syariah, kecuali Kerajaan Persekutuan, dengan menggunakan peruntukan Perlembagaan 76A; memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan undang-undang syariah, maka dengan itu barulah kerajaan negeri mempunyai kuasa.
Dengan, itu, katanya adalah diyakini dengan itu bahawa kerajaan negeri akan dapat mengatasi kejadian jenayah termasuk gejala sosial.
Harakahdaily/-
Manfaatkan teknologi maklumat dalam berdakwah
Oleh: Roslan Hamid
TERTARIK benar penulis dengan penjelasan seorang tok guru dalam tazkirah di sebuah masjid berhampiran rumah penulis baru-baru ini bahawa dalam perkembangan teknologi komunikasi sekarang ini lebih mudah untuk seseorang mendekatkan dirinya dengan Penciptanya, Allah SWT.
Katanya, dalam telefon selular boleh dimasukkan cip bacaan al-Quran sebanyak 30 juzuk, jadi bolehlah seseorang itu menghayati bacaan al-Quran sepanjang masa dan di mana saja dia berada. “Tetapi janganlah dibuka dalam tandas,” beritahu tok guru.
Katanya, pada zaman serba canggih ini semakin mudahlah seseorang itu mendekatkan dirinya dengan Allah, namun keberkesanannya bergantung kepada individu juga; jika teknologi hebat dia hanya berminat untuk mendengar lagu-lagu penyanyi kesukaannya, maka gagallah dia mendekatkan dirinya dengan Allah.
Tok Guru berkata; “dah tua-tua ni janganlah terlalu berminat dengan suara Siti Nurhaliza lagi, bertaubatlah, gunakanlah kemudahan moden itu untuk mendekatkan diri dengan Allah. Hayatilah bacaan al-Quran, ketenangan akan kita perolehi.”
Bercakap mengenai penggunaan teknologi komunikasi dalam dakwah, berdasarkan pengalaman penulis mengikuti tazkirah dan kelas pengajian di masjid berbanding kursus umrah yang dianjurkan syarikat swasta, ternyata yang kedua ini selalunya menggunakan pendekatan multimedia mendatangkan kesan lebih mendalam kepada hadirin.
Pada kebanyakan kelas pengajian di masjid yang biasanya diadakan antara solat maghrib dan isyak, komunikasi adalah sehala, ustaz saja yang bercakap sedangkan jemaah mendengar saja. Jarang benar ustaz bersedia membuka soalan kepada jemaah.
Apabila berlaku komunikasi sehala, penulis perhatikan ada jemaah tersenguk-senguk, menandakan mereka tertidur tetapi pada persembahan multimedia ketika kursus umrah penulis mendapati hadirin begitu tertarik dan bersemangat sekali.
Teknologi komunikasi berkembang pesat, jadi tidakkah teringin pemimpin masjid meningkatkan kaedah penyampaian termasuk tazkirah dengan menggunakan alat bantuan multimedia seperti slaid Powerpoint dan skrin gergasi?
Berhubung perkara ini, Abdul Halim Ismail dalam majalah Risalah, Bilangan 4 (April 1992) antara lain menulis: “Dengan meningkatnya teknologi komunikasi canggih bermakna meningkatlah darjah persaingan antara pelbagai kelompok, badan dan pertubuhan serta organisasi-organisasi untuk memenangi hati massa.
“Kini badan perniagaan dan korporat, parti politik, agensi pelancongan, badan budaya dan pengusaha industri hiburan terlibat dalam perang maklumat (infowar) yang sengit sekali. Dalam kebisingan dan hiruk pikuk seperti ini, mesej agama selalunya menjadi terpencil dan tidak didengari. Apatah lagi kalau badan-badan dakwah dan gerakan Islam memilih untuk menarik diri daripada perlumbaan yang hebat ini, pastilah suara dakwah menjadi bertambah perlahan.
“Kita yakin bahawa mesej Illahi adalah perutusan unggul yang harus ditebar seluas-luasnya. Allah sendiri menegaskan, “siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang mengajak kepada Allah? (terjemahan al-Quran, surah Fussilat 41:33). Namun tanpa ikut serta dalam ‘technological leap’ yang pantas kini, dakwah akan hanya mampu menguasai ‘market share’ yang kecil sahaja seperti yang disebut dalam American Demographics, ‘God may not be dead, but the mass market is’.
“Walaupun survival gerakan Islam tidak banyak bergantung kepada teknologi maklumat komunikasi, tanpa impak daripada operasi dakwahnya yang merupakan raison d’etre kehadirannya bergantung besar kepada kaedah dan media yang dimanfaatkan.”
Berdasarkan pengamatan penulis, jemaah yang mengikuti kelas pengajian di masjid pada setiap kali adalah orang yang sama. Mereka mungkin terdiri daripada 20 orang daripada seluruh penduduk kariah atau kampung seramai 2,000 atau 3,000 orang.
Jika orang dewasa di kampung itu ada 2,000 orang, kehadiran hanya 20 orang menunjukkan betapa gagalnya pentadbiran masjid dalam mendidik orang Islam. Tentunya masjid gagal diimarahkan kerana dengan tidak hadirnya 1,980 daripada 2,000 penduduk lelaki dewasa atau lebih 99 peratus penduduk kampung bermaksud mesej Islam gagal disampaikan secara berkesan.
Jadi bagaimana mahu berkomunikasi dengan lebih 99 peratus penduduk itu? Tentunya kaedah tradisional di mana ustaz duduk menghadap 20 ‘murid tua’ itu perlu diperkemaskan agar seruannya dapat didengar dan dimanfaatkan oleh seluruh penduduk kampung.
Sebuah masjid di ibu kota (Masjid Sayidina Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar) telah memulakan alat bantuan multimedia pada khutbah Jumaatnya. Dua skrin gergasi yang setiap satu bernilai RM6,000 diletakkan di sebelah mimbar, dan apabila khatib berkhutbah, persembahan slaid mengiringi isi khutbah, sekali gus menaikkan minat jemaah yang biasanya terkulai layu pada tengah hari yang panas itu.
Di beberapa masjid lain di Wilayah Persekutuan sudah ada persembahan Powerpoint bagi mengiringi khutbah Jumaat. Semuanya dilakukan dengan harapan jemaah akan lebih memahami sesuatu isu itu di samping mengelakkan mereka daripada terlena.
Alangkah baiknya, alat bantuan ini juga digunakan ketika diadakan tazkirah dan kelas pengajian di masjid. Pengurusan masjid juga boleh memikirkan bagaimana tazkirah itu dapat dipanjangkan kepada ratusan atau ribuan penduduk kariah yang tidak hadir berbanding dengan 20 jemaah tetap masjid.
Berdakwah kepada 20 ahli tetap masjid ini amatlah baik tetapi alangkah besar manfaat dan ganjarannya jika ribuan penduduk kampung dapat disampaikan ilmu dan maklumat. Memang betul, anak murid perlu mencari guru tetapi alangkah beruntung jika kita dapat memanfaatkan teknologi komunikasi yang kini berada di depan mata untuk menyeru seluruh penduduk ke arah kebaikan.
Bayangkan apa yang dapat dilakukan sekiranya organisasi dakwah mempunyai ‘linkage’ rangkaian telekomunikasi dengan setiap rumah dengan data dan maklumat yang sedia dimanfaatkan oleh semua pihak.
Ya, apa kata kita wujudkan telekomunikasi antara masjid dengan rumah penduduk dalam sesebuah kariah itu. Dengan itu apa saja sesi tazkirah di masjid boleh diikuti di rumah, tetapi harap-harap ia tidak disalahgunakan oleh penduduk lelaki dewasa untuk tidak hadir ke masjid.
Mungkin orang lelaki akan berterusan dipujuk ke masjid tetapi dengan wujudnya hubungan telekomunikasi masjid-rumah itu boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan perempuan terutama suri rumah yang terlalu sibuk dengan anak-anak dan urusan rumahtangga.
* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.
Harakahdaily/-
Hanya 123 ribu rakyat Malaysia ambil vaksin H1N1
Penerimaan rakyat Malaysia terhadap vaksin Influenza A (H1N1) masih tidak memberangsangkan walaupun ia boleh diperolehi secara percuma di klinik dan hospital kerajaan seluruh negara, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata, senario itu tidak seharusnya berlaku memandangkan wabak berkenaan masih menular dalam negara dan orang ramai khususnya golongan yang berisiko tinggi seharusnya mendapatkan vaksin itu dengan segera.
Menurut beliau, setakat ini hanya 123,000 rakyat Malaysia termasuk golongan berisiko tinggi yang sudah mendapatkan vaksin ini dan masih ramai yang tidak mengendahkan seruan kerajaan agar mendapatkan suntikan berkenaan.
"Vaksin ini tidak mempunyai sebarang kesan sampingan yang serius kecuali sedikit kesakitan di bahagian lengan, demam sedikit atau mungkin juga pening kepala kepada sesetengah orang," katanya.
Beliau berkata, pada peringkat pertama pemberian vaksin, keutamaan diberikan kepada 89,000 petugas barisan hadapan dari Kementerian Kesihatan dan 73,000 petugas barisan hadapan dari kementerian lain termasuk anggota polis, imigresen dan kastam yang bertugas di semua pintu masuk negara.
Malaysiakini/-
KDN rampas tabloid Kabar Era Pakatan
Oleh: Salhan K Ahmad
Baru dua bulan di pasaran, tabloid politik - Kabar Era Pakatan - sudah berdepan dengan tekanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) apabila kira-kira 3,000 nashkah tabloid tersebut dirampas Jumaat lalu kerana memuatkan isu yang menyentuh perdana menteri.
Akhbar yang dirampas itu merupakan nashkah edisi pertama (5 hingga 20 April) dan edisi ketiga (9 hingga 22 Mei).
Ketua pengarangnya, Mat Zahari Ali hairan mengapa akhbar tersebut dirampas sedangkan KDN tidak mengeluarkan apa-apa notis kepadanya sebelum tindakan tersebut diambil.
Sepatutnya, kata beliau, KDN bertindak lebih profesional dengan memaklumkan terlebih dahulu kepada mereka sebelum mengambil tindakan seperti itu.
Tambahnya, nashkah tersebut dirampas di beberapa premis pengedar di Ipoh dan Taiping di Perak dan juga Gombak, Selangor.
"Ada juga dirampas di kedai-kedai, saya percaya ia bertujuan menakut-nakutkan penjual," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Mat Zahari mendakwa, beliau tidak menerima apa-apa surat daripada kementerian tersebut yang boleh mengesahkan rampasan berkenaan.
"Cuma pada Jumaat lalu saya dimaklumkan (oleh seorang pegawai kementerian) melalui telefon dan melalui e-mel supaya berjumpa mereka bersabit soal permit.
"Tapi mereka langsung tidak cakap mengenai rampasan. Apabila saya tanya (telefon) beberapa orang pegawai kementerian, mereka meminta saya merujuk kepada pegawai atasan.
"Jadi saya rasa tindakan ini diambil dari segi politik, kerana isu-isu yang dimuatkan," katanya.
Keluaran pertama akbar tersebut mengandungi tajuk utama "Siasat hubungan Najib-APCO: Anwar" manakala keluaran ketiga pula digariskan dengan tajuk besar "Najib, Razak Baginda tersenarai" berhubung isu pembelian kapal selam Scorpene.
Mat Zahari sebelum ini merupakan ketua pengarang Konsep Era Pakatan yang berjaya diterbitkan sebanyak 20 keluaran, namun permit tabloid politik itu tidak diperbaharui sejak September tahun lalu.
Berikutan itu, beliau menerajui pula tabloid Kabar Era Pakatan yang mula diterbitkan dengan kekerapan dua minggu sekali sejak awal April lalu.
Mat Zahari menjelaskan, keluaran pertama itu adalah berkenaan hubungan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dengan firma perundingan awam Apco Worldwide.
"Keluaran ketiga (kanan) pula pula berkenaan skandal pembelian kapal selam Scorpene," katanya.
Katanya, kesemua pegawai KDN yang dihubunginya enggan memberi penjelasan memuaskan.
Pagi ini beliau ke ibu pejabat KDN di Putrajaya untuk bertemu dengan seorang pegawai bernama Abdul Razak Abdul Talib, daripada bahagian permit penerbitan.
"Saya tanya dia kenapa akhbar ini dirampas, dia kata dia tak tahu kerana itu (urusan) bahagian penguatkuasa.
"Saya hairan kenapa bahagian penguatkuasa tidak rujuk bahagian permit. Sepatutnya (Abdul Razak) maklum dengan perkara itu," katanya.
Mat Zahari berkata, beliau kini sedang berusaha untuk menghubungi ketua setiausaha bahagian kawalan penerbitan tersebut Datuk Zaiton Abdul Samad.
"(Ada pegawai) yang kata tindakan itu sebab tajuk tidak sama dengan contoh penerbitan yang dihantar kepada kementerian," katanya lagi.
Mat Zahari berkata, pegawai berkenaan juga memberitahunya bahawa penerbitan itu dikeluarkan tanpa permit.
"Kenapa pula (sebab) tidak ada permit, sebab di (kepala) akhbar ini memang dicetak sekali nombor permit," katanya.
Malaysiakini/-
Malaysia setuju serah tanah KTMB di Singapura
Malaysia bersetuju memindahkan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar di Singapura ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) menjelang 1 Julai 2011.
Malaysia akan juga menempatkan kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) kereta apinya di WTCP.
Keputusan itu dicapai pada pertemuan Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong di Hotel Shangri-La Hotel di Singapura.
Pada sidang akhbar bersama itu, kedua-dua pemimpin berkenaan berkata tanah yang akan dikosongkan itu akan dimajukan oleh sebuah syarikat usaha sama Malaysia-Singapura dikenali M-S Pte Ltd yang akan ditubuhkan sebelum 31 Dis tahun ini.
Syarikat itu melibatkan Khazanah Nasional Berhad dari Malaysia yang akan memegang 60 peratus kepentingan, dan Temasek Holdings Limited, cabang pelaburan kerajaan Singapura, yang akan memegang baki 40 peratus ekuiti dalam syarikat usaha sama itu.
Menurut satu kenyataan bersama, pertemuan Najib dan Lee banyak berkisar kepada Perkara-perkara Dipersetujui (PoA) mengenai tanah KTMB di Singapura yang menjadi penghalang kepada hubungan baik antara kedua-dua negara.
Tanah KTMB di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands serta tiga keping tanah tambahan di Bukit Timah, yang kesemuanya berjumlah 271 hektar, akan diserahkan kepada syarikat berkenaan untuk dimajukan.
Menurut kenyataan berkenaan, tanah-tanah yang dimajukan itu boleh ditukar, berdasarkan nilai masing-masing, dengan tanah di Marina South dan Ophir Rochor di Singapura.
Kedua-dua negara akan membuat penilaian masing-masing, dan Lee dijangka melawat Kuala Lumpur dalam tempoh sebulan ini, dengan cadangan mengenai penukaran tanah itu untuk pertimbangan Malaysia.
Malaysiakini/-
Lesen judi: PAS pohon Raja Melayu campurtangan
Oleh: Abdul Rahim Sabri & Puteri Aida Haryani
PAS hari ini menyerahkan memorandum kepada Raja-raja Melayu melaui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bagi memohon campur tangan baginda dalam isu pemberian lesen judi bolasepak.
Memorandum berkenaan disampaikan kepada Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah.
Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang juga ahli parlimen Pokok Sena, pemberian lesen bagi membolehkan pertaruhan bolasepak akan membawa padah kepada rakyat, khususnya golongan muda.
"Kelab bolasepak dan pemain mereka menjadi idola remaja, jadi kita bimbang tindakan kerajaan itu akan membawa padah kepada golongan muda,” katanya.
Menurut Mahfuz, alasan kerajaan pemberian lesen itu bertujuan menghindarkan kegiatan pertaruhan secara haram juga tidak dapat diterima.
Dalam pertemuan tersebut, Engku Ibrahim berkata beliau akan mempersembahkan memorandum berkenaan kepada Raja-raja Melayu.
Selain Mahfuz, rombongan itu turut disertai beberapa ahli parlimen PAS yang lain, termasuk Khalid Samad (Shah Alam); Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (Titiwangsa); Datuk Kamaruddin Jaafar (Tumpat); Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang).
Sementara itu, pada sidang medianya, Mahfuz mendakwa keputusan kerajaan meluluskan lesen judi sukan khususnya lesen judi bagi bola sepak Piala Dunia sebagai amat “memalukan” dan "tidak menghormati Raja-raja Melayu, tidak menghormati agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan tidak menghormati agama yang menolak kegiatan perjudian".
"Seingat saya, ini kali kedua Datuk Seri Najib meluluskan (lesen judi) sejak mengambil alih menjadi perdana menteri, dengan meluluskan perjudian baru - pertama cabutan khas dan kedua yang ini (lesen judi sukan)," katanya.
Katanya, memorandum ini tidak tertumpu kepada lesen judi untuk Piala Dunia sahaja, malah bantahan itu turut meliputi sukan bola sepak yang lain termasuk Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-juara Eropah (UEFA Champions).
Menurutnya, seingatnya, Raja-raja Melayu pernah campurtangan berhubung isu judi apabila membincangkan perlaksanaan loteri kebajikan masyarakat pada tahun 1960-an.
"Tuanku Raja Perlis (Almarhum Tuanku Syed Putra) pada masa itu begitu kuat menentang perlaksaan loteri kebajikan (pada waktu itu)," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar Raja-raja Melayu bertindak segera untuk membatalkan lesen perjudian yang diluluskan itu "demi menyelamat maruah mereka daripada dicalar oleh pemimpin yang tidak bertanggungjawab".
Menurut Mahfuz lagi, tindakan kerajaan meluluskan judi ini, telah mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk bekas pemain bola sepak negara Datuk Abdul Ghani Minhat.
Mengulas lanjut, beliau berkata Majlis Raja-raja yang akan bersidang pada 26 Jun ini - sewaktu Piala Dunia berlangsung - akan dipengerusikan oleh Tuanku Raja Perlis Syed Sirajuddin ibni Syed Putra.
"Saya memohon perkenan Tuanku Raja Perlis (Syed Sirajuddin) memainkan peranan seperti ayahanda baginda yang menentang loteri suatu ketika dahulu.
"Apakah kita mahu jadikannya sebagai hobi... nampaknya macam nak jadikan (judi) sebagai budaya dalam masyarakat. Isteri dan anak-anak sudah tentu akan menjadi mangsa kepada judi, malah mungkin anak-anak akan turut terlibat sama dalam kegiatan judi.
"Apakah kita akan bahagia satu keluarga akibat ketagih judi. Saya lihat slogan 1Malaysia, sama seperti, 1Malaysia, semua berjudi," katanya sinis.
Menurut Mahfuz yang juga timbalan pesuruhjaya II PAS Kedah, isu loteri suatu ketika dahulu mendapat bantahan daripada ulama-ulama Umno sehingga mereka meninggalkan parti itu dan menubuhkan Persatuan Islam Se-Tanah Melayu dan tertubuhnya PAS.
Antara ulama yang menentangnya, kata Mahfuz, termasuk Ahmad Badawi Abdullah Fahim, ayah kepada mantan perdana menteri Tun Abdullah dan bapa kepada ahli parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali.
"Saya juga berharap ulama-ulama pada hari ini, termasuk ulama rasmi dalam kerajaan, mereka harus berperanan secara lebih besar untuk membuat teguran dan bantahan terhadap pelaksanaan judi ini," katanya.
Sehubungan itu, katanya Dewan Harian PAS semalam memutuskan akan menghantar rombongan bagi bertemu dengan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk menerangkan sebab-sebab parti Islam itu membantah pemberian lesen judi sukan.
Katanya, rombongan tersebut bakal diketuai oleh Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Bagaimanapun tarikh rombongan itu belum ditetapkan dan akan diputuskan oleh pejabat Agung PAS.
Malaysiakini/-
M'sia, S'pura setuju kurangkan tol Linkedua
Malaysia dan Singapura bersetuju mengurangkan kadar tol di Linkedua bagi meningkatkan hubungan darat antara kedua-dua negara.
Persetujuan itu dicapai pada pertemuan Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong di Hotel Shangri-La di Singapura hari ini.
Tol di kedua-dua belah Linkedua itu, yang menghubungkan Tuas di Singapura dan Tanjung Kupang di Johor, akan diturunkan pada kadar yang besar, kata kedua-dua pemimpin itu pada satu sidang akhbar bersama di Singapura selepas pertemuan berkenaan.
Kadar baru itu akan diumumkan dalam masa sebulan ini.
Najib berkata beliau dan Lee bersetuju bahawa untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala, hubungan darat antara Malaysia dan Singapura perlu dipertingkat dan dipermudahkan.
Kedua-dua pemimpin itu juga mengumumkan bahawa Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri mengenai Iskandar Malaysia, yang ditugaskan meningkatkan perhubungan
antara kedua-dua negara, telah bersetuju mengenai beberapa langkah.
Perkhidmatan bas berjadual antara kedua-dua negara akan digandakan dengan memperkenalkan lapan laluan baru, masing-masingnya empat di setiap negara, antara Pasar Bakti dan Larkin di Johor dan dua pusat percutian (Resort World Sentosa dan Marina Bay Sands Singapore), Boon Lay, Yishun, Newton dan Lapangan Terbang Changi di Singapura.
Perkhidmatan teksi antara kedua-dua negara juga akan dipermudahkan, dengan membenarkan teksi mengambil dan menurunkan penumpang dari mana-mana lokasi dalam laluan domestik berbanding dengan hanya di terminal teksi tertentu.
Mengenai pelancongan, kedua-dua negara sedang mengkaji kemungkinan mengadakan produk ekopelancongan berkembar.
Malaysia dan Singapura akan juga berkongsi pengalaman dan merangka secara bersama pelan membersih sungai sejajar dengan usaha yang dijalankan oleh Iskandar Malaysia.
Malaysiakini/-
K'jaan Pakatan tidak lulus premis judi baru
Oleh: Abdul Rahim Sabri & Puteri Aida Haryani
Kerajaan negeri Pakatan Rakyat berhasrat untuk mengurang dan menghapuskan perjudian dengan tidak meluluskan premis judi baru sepertimana yang dilakukan di Kedah, kata naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
"Atas keprihatinan rakyat, semua kerajaan Pakatan mengambil tindakan bersungguh-sungguh dan serius (untuk mengharamkan judi)," kata Mahfuz tang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kedah.
Beliau yang juga ahli parlimen Pokok Sena menegaskan demikian ketika diminta mengulas cabaran Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) dan pemimpin Umno kepada kerajaan Pakatan Rakyat supaya mengharamkan judi di negeri yang ditadbir mereka.
Sebelum itu, Mahfuz (kanan sekali) dan beberapa pemimpin PAS yang lain menghantar memorandum kepada Raja-Raja Melayu agar mereka campurtangan bagi membatalkan pemberian lesen judi sukan untuk pertaruhan Piala Dunia bulan depan.
Selain PERKASA, Jumaat lalu, bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dilaporkan mencabar kerajaan Pakatan Selangor supaya menarik balik lesen lebih 4,500 premis perjudian dan rumah urut di negeri itu sekiranya benar-benar berhasrat menghapuskannya.
Dr Khir yang juga ketua pembangkang DUN Selangor berkata, cubaan PAS dan PKR mensensasikan isu berhubung pemberian lesen judi berkenaan, menunjukkan sikap 'double standard' mereka.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, premis judi yang banyak di negeri Pakatan Rakyat, termasuk di Selangor, adalah ‘najis’ peninggalan Umno sewaktu mentadbir negeri-negeri berkenaan.
Sementara itu, dalam sidang media yang sama, ahli parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad menegaskan terdapat gambaran kononnya terdapat pertambahan premis perjudian atau arak di Selangor.
Katanya, dakwaan tersebut adalah satu "pembohongan" dan "tiada pertambahan premis baru yang diluluskan" oleh kerajaan negeri.
"Kita sedang berusaha untuk membersihkan dan mendidik masyarakat agar meninggalkan budaya buruk yang ditanam oleh Umno," katanya yang juga ahli jawatankuasa biro politik PAS.
Malaysiakini/-
JK Aduan SPRM selesai siasat kematian Teoh
Oleh: Hazlan Zakaria
Jawatankuasa Aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyelesaikan siasatan dalaman terhadap pegawai SPRM berhubung kematian Teoh Beng Hock tahun lalu, kata pengerusinya, Datuk Mohd Noor Abdullah.
Jawatankuasa itu ditubuhkan bagi menentukan sama ada SPRM mematuhi langkah atau prosedur siasatan ketika menyoal-siasat Teoh pada awal pagi 16 Julai lalu.
Pembantu politik itu kemudiannya dijumpai mati pada hari itu, dipercyai jatuh dari ibu pejabat SPRM di Shah Alam.
Pada sidang media di Putrajaya hari ini, Mohd Noor mengesahkan siasatan pihaknya sudah selesai tetapi enggan mengulas.
"Jawatankuasa telah menyediakan laporan dan menyerahkannya kepada ketua pesuruhjaya. Kerja kita selesai di sini dan terpulang kepada suruhanjaya itu untuk bertindak,” katanya.
Sementara itu, menurut Bernama Mohd Noor juga mencadangkan SPRM supaya mewujudkan bilik khas bagi pemeriksaan saksi dan rakaman pernyataan, yang mempunyai kelengkapan kamera litar tertutup (CCTV), supaya proses siasatan dapat dijalankan dengan lebih selesa.
Katanya, mereka juga perlu mengenal pasti dan menggariskan kriteria tertentu bagi menetapkan keperluan siasatan dari segi penetapan masa, keselesaan saksi dan pegawai tanpa memudaratkan siasatan.
Cadangan penambahbaikan itu adalah antara lapan cadangan yang terdapat dalam laporan pemeriksaan prosedur siasatan berkaitan kes kematian Teoh.
Mohd Noor yang mempengerusikan jawatankuasa aduan itu adalah juga bekas hakim Mahkamah Rayuan.
Jawatankuasa yang ditubuhkan sejak Februari tahun lalu itu turut dianggotai bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Muhammad Mohd Noor, bekas Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam Datuk Wan Abdul Wahab Abdullah, Peguamcara dan Peguambela dari Tetuan Chooi & Co Chooi Mun Sou serta Peguamcara dan Peguambela dari VM Ravi & Associates V Ravindran.
Laporan tersebut turut mencadangkan agar proses siasatan mengambil kira faktor kesihatan, keselesaan dan keselamatan saksi serta tanggungjawab pegawai terhadap saksi tersebut sehingga saksi meninggalkan premis SPRM.
SPRM juga perlu membangunkan aspek keselamatan fizikal seperti kelengkapan pagar, pemasangan jeriji, pengawal keselamatan dan kelengkapan CCTV bagi menjamin keselamatan pejabatnya, selain menambah peralatan dan keperluan logistik dari segi kemudahan komputer sehingga cadangan pembinaan kompleks SPRM bagi menjamin aspek keselesaan, keselamatan dan kerahsiaan.
Selain itu, SPRM disaran agar memperbaiki kelemahan dan mengemaskini Perintah-Perintah Tetap Ketua Pesuruhjaya mengenai prosedur mengendalikan saksi dan merakam pernyataan sesuai dengan keperluan siasatan, serta menyemak, mengkaji dan mengadaptasi prosedur pemeriksaan saksi dari agensi penguatkuasaan undang-undang luar negara seperti Hong Kong.
SPRM juga perlu mengadakan kursus komprehensif dan latihan intensif kepada pegawai bagi membentuk kemahiran dan kepakaran dalam pelaksanaan siasatan, menurut laporan itu.
Laporan itu diserahkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, bersama-sama dengan Laporan Tahunan Jawatankuasa Aduan SPRM 2009, di Putrajaya hari ini.
Pemeriksaan prosedur siasatan yang dijalankan sejak Julai tahun lalu itu turut menetapkan lapan terma rujukan iaitu menyemak sama ada SPRM mempunyai garis panduan mengenai aspek mengendalikan saksi dan merakam pernyataan, serta memutuskan sama ada pegawai telah mematuhi garis panduan mengendalikan saksi dan merakam pernyataan dalam kes tersebut.
Ia juga menyemak sama ada SPRM mempunyai garis panduan dalam melaksanakan pemeriksaan saksi (soal siasat), menyemak sama ada undang-undang membenarkan pegawai memeriksa dan mencatatkan jawapan saksi sebelum proses sebenar merakam pernyataan, serta menilai keterdesakan siasatan dalam merakam pernyataan saksi
sehingga lewat pagi.
Ia turut menentukan sama ada saksi yang mendapat kebenaran balik ke rumah tetapi memilih untuk berada di premis SPRM masih dalam tanggungjawab SPRM, menilai tahap keselesaan saksi menjalani proses siasatan di premis SPRM serta menyemak kelengkapan logistik dan menilai tahap keselamatan fizikal premis SPRM.
Ketua pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed juga tidak mahu menghurai lanjut tetapi berjanji akan bertindak berdasarkan dokumen lapan perkara berkenaan.
Ditanya sama ada laporan itu akan dikeluarkan semasa inkues kematian Teoh, Abu Kassim berkata ia akan dilakukan jika ada permintaan bagi berbuat demikian.
Malaysiakini/-
Desak Samy letak jawatan, 2 lagi pemimpin MIC dipecat
Oleh: S Pathmawathy
Dua lagi pemimpin MIC yang turut mendesak Datuk Seri S Samy Vellu meletak segera jawatan presiden, telah dipecat dari MIC.
Mereka ialah ahli jawatankuasa MIC - KP Samy dan G Kumar Amaan - yang mengadakan sidang akhbar minggu lalu untuk menyuarakan kekecewaan mereka terhadap Samy Vellu kerana tidak meletakkan jawatan lebih awal.
Dengan itu, tiga pemimpin parti itu telah dipecat kerana berani membuka mulut menentang pemimpin nombor satu MIC itu.
KP Samy dan Kumar dimaklumkan secara bertulis mengenai pemecatan mereka hari ini atas alasan mereka bertindak berlawanan dengan kepentingan parti.
Mereka dipecat lima hari selepas timbalan ketua Pemuda MIC, V Mugilan dipecat kerana secara terbuka mendesak Samy Vellu meletak jawatan dengan segera dan menyifatkan beliau (Samy) sebagai satu liabiliti kepada BN.
Ini adalah kali ketua KP Samy dipecat dari parti itu kerana lantang melawan presiden. Kali pertama ialah pada 1988 bersama dengan naib presiden ketika itu, MG Pandithan, yang mendakwa wujud politik kasta.
Malaysiakini/-
Zaid fail petisyen isytihar keputusan Hulu S'gor tak sah
Calon PKR yang ditewaskan bagi kerusi pilihan raya kecil parlimen, Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim hari ini memfailkan petisyen bagi mengisytiharkan keputusan pilihan raya itu tidak sah.
Beliau mendakwa berlakunya amalan rasuah yang berleluasa oleh pencabarnya.
Petisyen itu difailkan dengan hujah calon BN, P Kamalanathan telah “secara langsung ataupun tidak” mengetahui tawaran yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa berkempen.
"Petisyen tertumpu kepada janji RM3 juta oleh Najib (kepada SRKJ (C) Rasa) dan tawaran-tawaran kepada peneroka Felda," kata peguam Zaid – Malik Imtiaz Sarwar semasa sidang akhbar di rumah Zaid di Petaling Jaya.
Petisyen pilihan raya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam menerusi Tetuan Thomas Philip itu, menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Hulu Selangor Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai defendan.
Pada sidang media sebelum ini, Zaid mendakwa jentera dan kepemimpinan Barisan Nasional (BN) mengamalkan rasuah melalui pelbagai janji yang dibuat untuk meraih undi rakyat.
Katanya, beliau juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana didakwa gagal mengendalikan pilihan raya kecil itu dengan adil.
Pada pilihan raya itu, calon BN, P Kamalanathan menang dengan majoriti 1,725 undi.
Malaysiakini/-