Anak saudara ahli MPPD mati ditetak
Mayat mangsa yang dipercayai ditetak di rumah keluarganya di Kampung Bukit Pelanduk, Port Dickson, dimasukkan ke dalam van jenazah. - Foto Iqmal Haqim Rosman
Seremban: Anak saudara Ahli Majlis Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) mati dipercayai ditetak tiga lelaki di rumah keluarganya di Kampung Bukit Pelanduk, Port Dickson, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 3 pagi itu menyebabkan T Ganesan, 37, yang baru pulang dari Perak, tiga hari lalu untuk bertemu anak perempuannya, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di leher dan kepala. 

Terima panggilan 

Bapa saudara mangsa, Datuk M Velu, berkata beliau menerima panggilan daripada bapa mangsa, N Tamilselvam, 60, kira-kira jam 7 pagi semalam memaklumkan mengenai kejadian itu.

Katanya, adik iparnya itu memberitahu pada jam 3 pagi beliau terjaga dari tidur kerana terdengar bunyi bising dari bilik Ganesan dan kemudian nampak tiga lelaki bertopeng keluar tergesa-gesa dari bilik anaknya. 

Tamilselvam kemudian masuk ke bilik dan mendapati anaknya sudah meninggal dunia akibat beberapa kesan tetakan, katanya ketika ditemui di unit forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini, semalam. 

Mangsa pulang ke kampung untuk bertemu anaknya, G Lakshna, 10, yang tinggal bersama ibu bapanya sejak kecil manakala mangsa tinggal bersama isterinya di Perak. 

Motif dendam

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun, berkata pihaknya percaya kejadian bermotifkan dendam, namun masih menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa sempat mempertahankan diri berdasarkan kesan luka di beberapa anggota badannya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis kini giat memburu suspek, katanya.

Berita Harian/-