18 Syaaban 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan Ustaz Datuk Ahmad Yakob mengingatkan seluruh penyokong pasukan bola sepak Kelantan yang akan berkunjung ke Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini menjaga nama baik sebagai anak Kelantan.
Menyampaikan pesanan melalui Facebooknya hari ini, Ustaz Ahmad mengharapkan, penyokong The Red Warriors (TRW) menjaga tatasusila sepanjang berada di sana.
"Kepada para penyokong yang akan menyaksikan perlawanan ini, saya berharap agar dapat menjaga tatasusila sepanjang berada di dalam dan luar stadium.
"Jaga nama baik anak Kelantan dan pastikan tidak meninggalkan kewajipan solat. Jadikan bolasepak sebagai sukan memupuk muhibbah dan insya-allah saya yakin, anak-anak Kelantan dapat melakukannya," katanya.
Beliau berkata demikian sempenan pertemuan akhir Piala FA pasukan TRW menentang pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Sabtu ini.
Ustaz Ahmad juga turut mengingatkan para penyokong Kelantan yang akan datang dari luar Kuala Lumpur agar berhati-hati dalam perjalanan.
Bagi rakyat Kelantan, kerajaan negeri sebelum ini telah mengumumkan tarikh 30 Jun iaitu Ahad ini sebagai cuti peristiwa sebagai memberi keselesaan kepada anak-anak Kelantan untuk pulang dengan selamat selepas menyaksikan perlawan tersebut nanti.
Dalam pada itu beliau turut mengucapkan selamat berjuang kepada pemain-pemain pasukan Kelantan yang akan berentap merebut Piala FA itu.
"Semoga kejayaan menjadi milik kita," katanya.
harakah/-