27 Jun 2013

Dakwat: Tadi kata tiada bahan kimia, sekarang ada

17 Syaaban 1434 H. [MOD]

KUALA LUMPUR:Jawapan bercanggah kerajaan termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai dakwat kekal yang digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin menimbulkan keraguan banyak pihak.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli mempertikai jawapan berbeza menteri kepada wakil rakyat yang berbeza pada hari yang sama mengenai dakwat kekal.

Menurut beliau, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim semalam mendedahkan bahawa dakwat kekal yang digunakan hanya mengandungi pewarna makanan dan bukannya bahan kimia Silver Nitrate.

Namun pada hari yang sama, menteri memberi penjelasan berhubung peratusan Silver Nitrate yang terkandung dalam dakwat yang digunakan.

"Semalam kita dengar jawapan kepada Ahli Parlimen Segambut bahawa dakwat tidak ada bahan kimia tetapi mengandungi pewarna makanan.

"Hari yang sama SPR menjawab melalui menteri kepada saya atas soalan mengapa kandungan Silver Nitrate dalam dakwat kekal yang digunakan dalam Pilihan raya Umum ke-13 di bawah paras 1% sedangkan piawaian asal yang ditetapkan ialah 4%.

"Isunya, tadi menteri kata tiada bahan kimia sekarang ada bahan kimia pula, jawapan diberi pada hari yang sama kepada wakil rakyat yang berbeza," kata beliau pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Menjawab soalan beliau itu, menteri memaklumkan bahawa mengikut prosedur operasi standard (SOP) tidak menetapkan sebarang piawaian bagi peratus Silver Nitrate dalam dakwat kekal bagi digunakan dalam PRU13.

"Semakan SPR mendapati kandungan Silver Nitrate dalam dakwat kekal adalah berbeza-beza mengikut negara.

"Mengambil maklum akan pengalaman Kementerian Kesihatan yang menggunakan Silver Nitrate dalam rawatan untuk penyakit kulit tanpa memudaratkan pesakit ialah sebanyak 0.5 hingga satu peratus.

"Atas dasar mengutamakan kesihatan pengundi yang pertama kali menggnakan dakwat kekal, SPR mengambil pendekatan melalui prinsip penggunaan bahan kimia pada paras terendah seterusnya memutuskan kandungan Silver Nitrate satu peratus bagi penggunaan dakwat kekal dalam PRU yang lalu," kata menteri dalam jawapan bertulis kepada Hatta.

Hatta yang juga Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS juga berkata, dakwaan bahawa penggunaan Silver Nitrate boleh mengakibatkan penyakit sangat tidak masuk akal kerana pengundi hanya menggunakannya dalam kuantiti yang sedikit dan bukan digunakan setiap hari.

"Baru-baru ini SPR ada menyebut dalam temu bual di televisyen bahawa dakwat kekal ini yang mengandungi Silver Nitrate bahaya dan boleh menyebabkan kanser dan buah pinggang.

"Kalau kita guna secara berterusan dalam kuantiti yang banyak mungkinlah boleh sebabkan penyakit tapi kita mencalit sedikit sahaja atas kuku dan mengenai kulit lima tahun sekali.

"Jadi di mana logiknya bahaya dakwat kekal ini?" soalnya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: