01 Julai 2011

Putera Albert 11 digesa pulangkan derma Rosmah

29 Rejab 1432H. [MOD] -

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Putera Albert II supaya memulangkan derma 100,000 euro yang disumbangkan oleh isteri perdana menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor.

Badan pejuang alam sekitar, Bruno Manser Fund (BMF), "mengesyaki" derma itu mungkin dibiayai Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang mereka dakwa bertanggungjawab terhadap kegiatan pembalakan yang memusnahkan hutan di negeri ini.

"Sumber 100,000 euro (RM437,500) itu adalah tidak jelas, dan oleh itu, dana tersebut tidak sepatutnya diterima oleh Yayasan Putera Albert.

"Kami mencadangkan Albert memulangkan wang tersebut kepada masyarakat Penan, golongan paling terpinggir di Malaysia, bagi menyokong perjuangan mereka untuk mempertahankan hutan daripada pembalakan," kata BMF dalam satu kenyataan akhbar.

Rosmah menyerahkan sumbangan tersebut kepada Albert di Festival Fesyen Islam di Monte Carlo Ogos tahun lalu untuk Yayasan Putera Albert.

Menurut lamanweb yayasan tersebut, yayasan itu adalah untuk "melindungi alam sekitar dan menggalakkan pembangunan mampan".

Sebelum ini, Borneo Post melaporkan, dan diterbitkan semula dalam lamanweb rasmi Taib, bahawa derma tersebut dikumpulkan oleh Festival Fesyen Islam KL- Jakarta (IFF) ""melalui penaja untuk menyokong promosi pelancongan Sarawak".

BMF - yang dinamakan sempena aktivis Switzerland yang mempertahankan kepentingan kaum pribumi di Sarawak dan hilang sejak 2000 - juga menimbulkan persoalan mengenai hubungan antara Taib dan Albert.

oleh zeanaaima

Lima guru terima gangguan seksual

29 Rejab 1432H. [MOD] -

TELUK INTAN - Gara gara tidak dapat menahan nafsu serakah, tiga lelaki dicekup Jabatan Imigresen kerana menunjukkan aksi lucah kepada lima wanita yang bertugas sebagai guru kelas tadika, di sini.

Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman berkata, tiga lelaki warga Bangladesh berusia antara 23 hingga 29 tahun itu, dikatakan sering kali mempamer aksi lucah kepada lima guru berkenaan masing-masing berusia antara 20 hingga 25 tahun.

Menurutnya, kesemua mereka diberkas serentak kira-kira jam 6.55 petang Selasa lalu menerusi Ops Sapu yang diketuai beliau sendiri.

“Mereka bekerja sebagai penjaga bangunan� sebuah pasar raya di Jalan Changkat Jong, di sini dan dikatakan mendiami salah sebuah premis yang bertentangan dengan bangunan kelas, tempat guru berkenaan mengajar.

:“Siasatan awal mendapati, ketiga-tiga lelaki itu tidak tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya kepada pemberita di Pejabat Imigresen Cawangan Teluk Intan, di sini kelmarin.

Sinar Harian dimaklumkan, pelbagai aksi lucah yang ditunjukkan tiga lelaki itu bertujuan untuk menggoda guru tadika berkenaan.

Khairul Anuar berkata, kerana tidak tahan sering kali diganggu, guru tadika itu tampil membuat aduan kepada Jabatan Imigresen.

“Ini merupakan kes pertama yang diterima Pejabat Imigresen membabitkan aduan pendatang melakukan aksi lucah.

“Ada kemungkinan kes ini akan dirujuk kepada polis untuk siasatan lanjut di bawah kesalahan� menunjukkan aksi lucah itu,” katanya.

Siasatan dibuat di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen

1959/63 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak melebihi lima tahun, denda RM10,000 dan enam sebatan.

Buat masa ini, kesemua lelaki berkenaan dihantar ke Depoh Tahanan Langkap selama 14 hari bermula kelmarin untuk siasatan lanjut.

sinarharian/-

Wanita hamil ketagih syabu

29 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Seorang wanita yang sarat mengandung enam bulan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengambil dadah berbahaya jenis Methamphetamine.

Tertuduh, Noradila Arifin, 30, dari Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu yang kini sedang hamil anak ketiga disahkan positif syabu dan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (pindaan 2002) dan boleh didakwa di bawah Seksyen 15 Akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga bulan dan denda tidak lebih RM5,000.

sinarharian/-

PAS Sarawak Organise IT Convention For GE 13 Preparation

29 Rejab 1432H. [MOD] -

BINTULU, 27 Jun: Perhubungan PAS Sarawak dengan kerjasama Jabatan IT PAS Pusat (JITP) berjaya menganjurkan Konvensyen IT & Pengurusan selama dua hari berakhir 26 Jun 2011. Program itu diadakan di sebuah hotel di sini yang dirasmikan Pengerusi Lajnah ICT PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Samsudin. Program ini juga disertai oleh 50 orang petugas IT dari kawasan Miri, Bintulu, Sibu, Petrajaya, Batang Lupar dan Batang Sadong di Sarawak.

Abdul Ghani dalam ucapannya berkata petugas-petugas ICT perlu menyedari tanggungjawab dan amanah Allah dengan berusaha mengadakan kursus, seminar dan latihan IT yang berkala di semua peringkat PAS Sarawak serta mempertingkatkan koordinasi antara ICT PAS Sarawak dengan ICT PAS Pusat.

Beliau turut menyarankan diadakan “engagement” dan kolaborasi yang berkesan diantara ICT dan penerangan untuk pemberitaan elekronik dan media baru, selain dengan jabatan pilihanraya seperti yang dilakukan dalam pilihan raya negeri Sarawak pada bulan April yang lepas.

Beliau berharap tenaga pakar IT yang datang dari Jabatan IT PAS Pusat (JITP) dapat memperturunkan ilmu dan pengalaman mereka melalui aplikasi-aplikasi pengurusan dan pilihanraya serta e-media kepada tenaga-tenaga muda IT di Sarawak agar mereka dapat menjadi tulang belakang kepada PAS Sarawak dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Turut hadir adalah Fidzuan Zaidi, Setiausaha Perhubungan PAS Sarawak, Suhaimi Embong, Pengarah Jabatan IT PAS Pusat dan Saudara Sheikh, Pengarah Jabatan IT PAS Sarawak.

pas sarawak/-

Himpunan Bersih tidak ada kaitan dengan tuntutan piliharaya dipercepatkan

29 Rejab 1432H. [MOD] -

Saya ingin menjawab dakwaan Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan bahawa BERSIH 2.0 menuntut supaya pilihan raya diawalkan apabila beliau berucap dihadapan para hadirin ketika lawatannya ke Sabah semalam, ini satu penipuan terhadap rakyat negeri itu dan seluruh rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak faham bahasa,dengan lain yang diminta, lain pula reaksi apabila BERSIH 2.0 mengemuka tuntutan yang langsung tidak menyebut supaya pilihan raya disegerakan.

Seolah-olah pemimpin kita ini sangat gelabah dan sudah tidak tahu apa yang diucapkannya dan apa yang berlaku di dalam negara yang beliau sendiri tadbir sejak beberapa tahun ini.

Saya ingin ulangi bahawa lapan tuntutan BERSIH 2.0 adalah merangkumi isu bersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan kelapan iaitu yang terakhir hentikan politik kotor. Satu pun dari kelapan-lapan tuntutan tersebut tidak menyebut supaya pilhan raya diawalkan dan satu pun tidak menggambarkan bahawa tuntutan tersebut mirip berkepentingan parti tertentu.

Sudah tentulah ia bukan berkepentingan parti kerana ia adalah suara rakyat Malaysia yang sudah tidak boleh bertahan lagi dengan sistem sedia ada yang menjadi amalan UMNO-BN.

Isu sebenar yang ditutup rapat olen UMNO-BN ialah mereka sedaya mungkin cuba mempertahankan sistem pilihan raya yang mereka reka sendiri untuk menjaga kepentingan survival parti mereka bagi memastikan UMNO-BN akan menang disetiap kerusi PARLIMEN mahupun DUN yang dipertandingkan.

Apabila Ahli Parlimen PR bertanya ketika sidang Dewan Rakyat berlangsung baru-baru ini mengapa UMNO-BN enggan laksana penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya, wakil UMNO-BN jawab itu merupakan hak peribadi rakyat samada mahu guna atau tidak jadi kerajaan tidak boleh paksa rakyat jika dilaksanakan juga.

Ini antara jawapan-jawapan pemimpin UMNO yang korup dan penuh dengan agenda yang dibayangi kepentingan parti dan perlu segera ubah.

Jika begitu bagaimana pula cukai melampau yang dilaksanakan oleh kerajaan terhadap rakyat? Adakah rakyat rela hati dengannya? Dalam perkara ini kerajaan tidak pula berkata ia (cukai melampau seperti GST) adalah hak peribadi rakyat samada perlu laksana atau tidak.

Inilah isu sebenar yang cuba ditutup oleh UMNO-BN sedaya mungkin dari diketahui rakyat Malaysia, kerana kita tahu jika berita ini sampai ke pengetahuan rakyat, UMNO-BN akan tumbang pada PRU 13 nanti.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
PARIT BUNTAR, 1 JULAI 2011.

TV, radio diarah 'momokkan' BERSIH

29 Rejab 1432H. [MOD] -

Pihak berkuasa dikatakan semakin terdesak kerana rakyat terus berkeras mahu menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai ini bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil di negara ini meskipun terus dihambat.

Dalam usaha terbaru, Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melancarkan kempen media bagi melabelkan perhimpunan itu sebagai sesuatu yang haram.

Sehubungan itu juga, semua stesen televisyen dan radio diwajibkan menghantar laporan harian mengenai liputan mereka. Antaranya, mereka diarah menyatakan jumlah berita dan kandungannya dalam laporan mereka berhubung BERSIH.

Semalam, SKMM juga mengarahkan perwakilan daripada 22 media elektronik dan telekomunikasi untuk menghadiri seminar sehari bertajuk “Seminar Kawal Selia Kandungan 2011" di auditoriumnya di Cyberjaya.

Menurut surat SKMM yang diedarkan kepada semua media elektronik itu, dengan sesalinannya diperolehi Malaysiakini, tujuan seminar itu “mengenai pematuhan kepada syarat-syarat lesen serta lain-lain peruntukan yang relevan.”

Menurut beberapa editor yang tidak mahu identiti mereka didedahkan, mereka diarahkan supaya tidak merujuk perhimpunan 9 Julai itu sebagai “perhimpunan BERSIH” tetapi sebagai “perhimpunan haram” dalam semua liputan berita serta tidak menggalakkan orang ramai menyertainya.

Selain itu, jika polis menggunakan kekerasan ke atas rakyat yang berhimpun, rakaman visual perbuatan itu dilarang sama sekali daripada disiarkan.

Sebaliknya, laporan media elektronik perlu memberi tumpuan kepada kesukaran dan ketidak-selesaan yang dihadapi rakyat akibat perhimpunan itu, termasuk orang ramai merusuh, harta benda dimusnahkan dan kesesakan lalu lintas yang teruk.

malaysiakini/-

Tumbukan baca SMS

29 Rejab 1432H. [MOD] -

GOMBAK: Tindakan seorang isteri memeriksa telefon bimbit suaminya selepas curiga dengan tingkah laku lelaki itu bertukar pergaduhan besar sebelum wanita itu ditumbuk di muka dalam kejadian di rumah mereka di Pinggiran Lembah Hijau, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, wanita berusia 27 tahun terbabit yang mengandung dua bulan, tersedar daripada tidur dan pada masa sama melihat telefon bimbit suaminya berada di atas meja manakala suaminya yang berusia 30-an masih tidur nyenyak.

Wanita itu memeriksa kandungan SMS dalam telefon itu apabila suaminya terjaga dan merampas telefon itu sebelum memarahi mangsa.

Menurut sumber, lelaki itu yang marah dengan tindakan mangsa mengambil telefon bimbitnya tanpa kebenaran naik angin.

“Mangsa memberitahu hanya ingin memeriksa telefon bimbit itu kerana curiga kemungkinan suaminya menyimpan rahsia.

metro/-

Berbaju BERSIH: Dua lagi ADUN ditangkap

29 Rejab 1432H. [MOD] -

Polis terus menghambat penyokong BERSIH 2.0 dengan dua lagi pemimpin pembangkang ditangkap kerana memakai kemeja T Bersih pada satu majlis makan malam semalam.

Kali ini mangsa mereka adalah ADUN Lukut Ean Yong Ting Sin dan ADUN BahauTeo Kok Seong yang dicekup ketika menghadiri majlis makan malam DAP di Titi, Jelebu, Negri Sembilan.

Menurut twitter Teo, anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis telah bersiap sedia untuk menangkap sesiap yang berani memakai baju T BERSIH.

Sebaik keluar dari majlis itu, Teo (bawah, kiri) menulis beliau dan Ean Yong (kanan) “dijemput” untuk merakamkan kenyataan mereka di balai polis Titi.

Katanya lagi, polis juga menggeledah keretanya dan sehelai baju kuning dan DVD kepunyaan ahli parlimen Taiping Nga Kor Ming.

Kedua-dua mereka dilepaskan pada awal pagi ini.

Semalam, polis menangkap ahli parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye dan ADUN Simpang Pulai Chan Ming Kai, bersama dua anggota PKR ketika mereka beramah mesra dengan pengundi di sebuah pasar di Gunung Rapat di Ipoh, Perak.

Lee (bawah, tengah) mendakwa beliau dicekup sebaik tiba sekitar pasar itu dan terus digari serta diheret ke ibu pejabat polis daerah Ipoh.walaupun tidak memakai baju BERSIH tetapi baju yang berwarna kuning.

Rabu lalu, di Sungai Siput, Perak polis menangkap ADUN Jalong Leong Mei Ming dan ADUN Teja Chang Lih Kang kerana memakai kemeja BERSIH.

Ahad lalu, ahli parlimen Sungai Siput Dr D Jeyakumar dan 14 aktivis PSM ditahan polis di tol Sungai Dua ketika mereka dalam perjalanan ke Pulau Pinang bagi menghadiri majlis bertema "Udahlah...Bersaralah".

malaysiakini/-

Tersembam belakang bas

29 Rejab 1432H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas tersembam di belakang sebuah bas sekolah selepas motosikal dinaiki bersama pekerja bapa saudaranya dan sepupunya terbabit dalam kemalangan di Jalan Padang Kemunting, Pengkalan Balak, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, Muhammad Haziq Naufal Mohd Zaidi, 5, maut selepas motosikal jenis Honda EX-5 ditunggangi Yusoh Malee, 27, dan Najla NurKamelia, 7, merempuh sebuah bas berkenaan.

Motosikal berkenaan dipercayai hilang kawalan selepas selekoh, menyebabkan merempuh bas yang berhenti menurunkan penumpang.

Akibat rempuhan, Muhammad Haziq yang duduk di bahagian depan motosikal tersembam ke bahagian belakang bas, manakala Najla Nurkamelia terlentang.

Muhammad Haziq dikejarkan ke Hospital Kem Terendak, di sini oleh orang awam sebelum meninggal dunia di hospital berkenaan, manakala Yusoh dan Najla Nurkamelia mengalami kecederaan pada badan.

Menurut Yusoh yang bekerja di kedai milik bapa saudara mangsa, mereka bertiga dalam perjalanan ke Tanjung Bidara untuk menjemput isterinya dari tempat kerjanya.

Sementara itu, nenek kepada Muhammad Haziq, Fazidah Jantan, 58, berkata, dia tidak sangka, sikap cerewet cucunya itu semasa hendak makan, petanda akan pergi buat selama-lamanya.

“Dia (Muhammad Haziq) merungut bila saya sediakan telur goreng untuk dimakan bersama nasi dan kicap selepas dia balik dari sekolah. Biasanya dia tidak macam tu.

“Dia kata, kicap itu tidak sedap sampai saya keluar pergi belikan kicap lain untuknya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Menurut Fazidah, dia menjaga cucunya itu kerana ibunya, Norashikin Hashim, 29, berada di Kuala Lumpur selama 15 hari atas tugasan luar daerah sementara bapanya, Mohd Zaidi Abu Shah, 31, bertugas di Singapura.

“Semasa kejadian, saya sibuk mengemas dan tidak sedar cucu saya mengikut pekerja saya keluar menaiki motosikal,” katanya.

sinarharian/-

Gempa Bumi Sederhana Landa Semenanjung Minahassa, Sulawesi

29 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana dengan magnitud 5.1 pada skala Richter melanda Semenanjung Minahassa di Sulawesi pada 10.39 pagi Jumaat.

Kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia di sini menyebut gempa itu berpusat di 467km barat Manado, Indonesia dan 417km tenggara Tawau, Sabah.

Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami.- BERNAMA

Sijil lahir merah untuk bukan warganegara

29 Rejab 1432H. [MOD] -

PUTRAJAYA 1 Julai — Mulai hari ini Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan Sijil Kelahiran berwarna Merah bagi kanak-kanak yang bertaraf bukan warganegara.

Menurut kenyataan JPN di sini hari ini, sebelum ini warna sijil kelahiran kanak-kanak warganegara dan bukan warganegara adalah sama iaitu hijau.

Perbezaan warna itu adalah untuk memaklumkan bahawa sijil kelahiran berwarna hijau hanya dikeluarkan kepada kanak–kanak yang bertaraf warganegara Malaysia sementara sijil kelahiran berwarna merah untuk kanak–kanak bukan warganegara.

"Ia juga untuk mengelakkan ibu bapa atau warga asing yang melahirkan anak di negara ini beranggapan bahawa dengan memiliki sijil kelahiran Malaysia, anak-anak mereka adalah secara automatik menjadi warganegara,” kata kenyataan itu. - Bernama

Kakitangan awam mogok di Britain

29 Rejab 1432H. [MOD] -

LONDON – Ramai guru dan kakitangan awam menyertai piket besar-besaran di Britain semalam ketika ratusan ribu pekerja mengadakan mogok untuk membantah pencen dikurangkan oleh kerajaan.

Kesatuan-kesatuan sekerja di Britain menyatakan sekitar 750,000 pekerja menyertai mogok sehari itu yang menyebabkan kegiatan di pejabat kerajaan, lapangan terbang dan sekolah lumpuh.

Beribu-ribu ahli kesatuan sekerja berarak di ibu kota Britain, di sini dan bandar-bandar untuk mendesak kerajaan supaya menimbang semula rancangan untuk mengurangkan pencen sektor awam.

Kerajaan Britain mengambil inisiatif untuk mengurangkan defisit negara yang melambung tinggi dengan memotong perbelanjaan awam sebanyak £80 bilion (RM242.8 bilion).

Sebagai langkah berjimat cermat, kerajaan Britain mengurangkan pekerjaan sektor awam dan bayaran pencen selain menaikkan had umur persaraan daripada 65 tahun kepada 66 tahun.

Kenaikan had umur persaraan itu bagi mengurangkan bayaran pencen kepada kakitangan awam yang bersara. – Agensi

UMNO BN Komunis, Bukan PSM - Khalid Samad

29 Rejab 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 1 JULAI : Pihak yang menolak tuntutan pilihan raya bersih dan adil merupakan golongan yang mendokong fahaman komunis menurut ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Ini kerana menurut beliau ideologi komunis bertentangan dengan hasrat rakyat untuk melihat reformasi dalam sistem pilihan raya.

"Kalau betul komunis di Malaysia mahukan pilihan raya maka komunis ini murtad. Dia lebih baik daripada Umno, mahukan pilihan raya bersih. Umno-Barisan Nasional pula yang ikut fahaman komunis mahukan pilihan raya kotor," katanya.

Khalid yang berucap pada sebuah program di Shah Alam baru-baru ini mengulas tuduhan yang dilemparkan oleh polis terhadap Parti Sosialis Malaysia (PSM) kononnya, parti itu cuba menghidupkan fahaman komunis.

Mereka juga didakwa cuba menggunakan fahaman tersebut untuk menggulingkan kerajaan UMNO BN melalui perhimpunan Bersih 2.0 pada minggu hadapan.

Menurut polis, lima pemimpin PSM dikesan mengunjungi perkampungan Khao Nam Khang iaitu kawasan penempatan bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) di Selatan Thailand untuk bertemu dengan bekas ahli kumpulan itu.

Walhal menurut kepimpinan PSM, pertemuan tersebut hanya bertujuan untuk bertukar- tukar pandangan.

Khalid kemudian mengambil pendirian bahawa kerajaan UMNO BN tanpa disedari telah lama mengamalkan kaedah komunis dalam pemerintahannya.

Perkara itu dapat dilihat melalui cara media dimonopoli sepenuhnya tanpa memberi ruang kepada pihak pembangkang untuk muncul di kaca televisyen selain mengamalkan penyampaian maklumat secara selektif dan berat sebelah.

"Komunis tidak mahu pilihan raya. Mana ada komunis yang amalkan pilihan raya ? Negeri China, Russia tiada. Kalau mahu pilihanraya dia mahu ala Malaysia yang mana TV semua cakap pro kerajaan sahaja," tambah beliau lagi.

Beliau sebelum itu mengulas tentang tuntutan Bersih 2.0 yang dianggap relevan dan tidak mustahil untuk dilaksanakan kerajaan pemerintah.

tv selangor/-

Imej ikan pari gergasi dirakam jurugambar

29 Rejab 1432H. [MOD] -

SEORANG penyelam mendekati seekor ikan pari manta di Teluk Hanifaru, Kepulauan Maldives baru-baru ini.

MALE - Imej sekumpulan ikan pari manta gergasi berenang di Teluk Hanifaru, Kepulauan Maldives dirakamkan seorang jurugambar Britain, lapor sebuah akhbar semalam.

Jurugambar berkenaan, Warren Baverstock, 42, mengambil masa selama sembilan hari untuk merakamkan kumpulan ikan pari gergasi itu yang tiba untuk memakan plankton di perairan tersebut baru-baru ini.

Terdapat sekitar 200 pari manta dengan lebar lebih tiga meter berkumpul di teluk sebesar padang bola sepak itu untuk mencari makanan. - Agensi

BERSIH: Tentukan laluan ke Istana, kita akan patuhi

29 Rejab 1432H. [MOD] -

Di sebalik segala hambatan dan tekanan ke atas penganjuran BERSIH 2.0 pada 9 Julai ini, jawatankuasanya masih berusaha mencari jalan perdamaian dengan pihak berkuasa.

Menurut pengerusi BERSIH 2.0, Datuk S Ambiga, mesyuaratnya dengan Tan Sri Ismail Omar berjalan dalam suasana 'mesra' meskipun Ketua Polis Negara itu melahirkan kebimbangannya jika perhimpunan aman itu diteruskan.

"Kami maklumkan kepada beliau, kami akan melakukan sedaya upaya bagi memastikan perhimpunan itu adalah aman... Sebab itu, kami cadangkan kepada polis untuk memutuskan jalan yang patut kita lalui dan kita akan ikut semua arahan mereka,” katanya kepada wartawan di Bukit Aman selepas mesyuarat berkenaan.

Ambiga, diiringi ahli jawatankuasa pemandu BERSIH, Maria Chin Abdullah semasa pertemuan itu berkata Ismail membisu mengenai cadangan itu tetapi tetap optimistik.

Katanya, mereka juga meminta Ismail mempertimbangkan cadangan berkenaan dan meminta pertemuan kedua dengan ketua polis negara minggu depan bagi mendapatkan maklum balas berhubung permintaan mereka.

“Beliau tak kata tidak dan saya fikir saya agak kelapangan untuk membuat temujanji untuk berjumpa IGP minggu depan.

"Kami buat cadangan dan minta polis mempertimbangkannya.

“Kami minta mereka, polis... Awak pilih satu lokasi di KL ke Taman Jaya atau mana-mana. Awak pilih, kita akan patuhi.”

Jaminan BERSIH 2.0 aman

Ambiga, yang sebelum ini menerima ugutan bunuh menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung BERSIH berkata ancaman itu tidak ditimbulkan dalam pertemuan tersebut, mahupun hambatan dan tekanan pihak berkuasa ke atas penganjur perhimpunan itu.

Sebaliknya, mesyuarat mereka tertumpu pada perhimpunan berkenaan dan beliau berulangkali memberi jaminan akan memastikan ia diadakan secara aman.

Penyokong BERSIH 2.0 dijadual berkumpul di pusat membeli-belah Sogo, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan masjid Kampung Baru sebelum berarak ke Istana Negara.

Perarakan ini bagi menyampaikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memohon campur tangan Seri Paduka supaya memastikan pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara dilakukan. Ia termasuk melanjutkan tempoh berkempen kepada sekurang-kurangnya 21 hari dan penggunaan dakwat yang tidak boleh dipadam.

Kumpulan pendesak Melayu - PERKASA pula mengesahkan empat lokasi berkumpul bagi perhimpunan 9 Julai bagi menolak perhimpunan yang menuntut supaya reform pilihan raya.

Mereka akan berkumpul di perkarangan Masjid Negara, Dataran Merdeka, perkarangan Stadium Merdeka dan Istana Negara.

Selain itu, Pemuda Umno juga telah meluahkan hasrat mereka untuk mengadakan perhimpunan. Namun lokasi dan jalan bagi perarakan mereka belum diumumkan.

malaysiakini/-
Joseph Sipalan

Anak panah terbenam di muka

29 Rejab 1432H. [MOD] -

BELUM SAMPAI AJAL...Tavernier terbaring di katil hospital sementara menunggu masa dibedah.

HERTFORDSHIRE (Britain): Seorang remaja bernasib baik kerana terselamat walaupun mukanya tertusuk anak panah sepanjang lebih 20 sentimeter, semalam.

Sebelum itu, Lewis Tavernier membawa busur panah ke rumah kawannya di Stevenage dan memasang penahan sebelum meletakkan alat itu dengan berhati-hati di atas meja berhampiran.

Bagaimanapun, ketika Tavernier, 17, leka berbual dengan rakannya, secara tiba-tiba anak panah itu meluncur ke arah remaja terbabit.

Berada di kedudukan kurang dari satu meter, anak panah itu terus menusuk ke muka dan terbenam hampir lapan sentimeter pada pipinya.

Imbasan x-ray menunjukkan tulang pipi Tavernier retak tetapi anak panah itu tidak merosakkan sebarang saraf serta salur darah penting yang ada kira-kira dua milimeter darinya.

Pelajar Sekolah Marriots itu berkata, dia sering menggunakan alat berkenaan sebelum ini dan tidak pernah lupa memasang alat keselamatan sebelum meletakkannya di mana-mana.

“Disebabkan itu, saya tidak berfikir banyak apabila meletakkan panah itu di atas meja,” katanya.

Bagaimanapun, Tavernier mengakui insiden itu aneh kerana tiada sesiapa berada di situ kecuali dia dan temannya.

Kata Tavernier, rakannya melihat busur panah berkenaan tiba-tiba melepaskan anak panah ke arahnya.

“Kejadian berlaku amat pantas dan saya tidak perasan ia menusuk ke muka.

“Saya cuma ingat ada bertanya kepada rakan: “Ada anak panah di muka saya?” katanya.

Tavernier dikejarkan ke hospital oleh bapa rakannya dan ketika itulah baru dia berasa sakit.

Dia kemudian menjalani pembedahan segera di Hospital Lister bagi mengeluarkan anak panah berkenaan. - DM

Jambatan terpanjang di dunia

29 Rejab 1432H. [MOD] -

Papan tanda berbunyi: "Shandong Highway Corp. akan membuka jambatan lebuh raya Shandong Teluk Jiaozhou’’ terpampang di atas jambatan teluk Jiaozhou di bandar Qingdao, wilayah Shandong, kelmarin.

Ia merupakan jambatan terpanjang di atas permukaan laut di dunia yang mula dibuka, semalam. – REUTERS/China Daily

BEIJING - China membuka jambatan terpanjang di dunia merentasi laut - Jambatan Teluk Jiaozhou menghubungkan bandar pelabuhan China timur, Qingdao ke pesisir pulau Huangdao, hari ini.

Jambatan sepanjang 42 kilometer dan selebar 35 meter itu menelan kos melebihi AS$1.5 billion (RM4.5 billion).

Penilaian pembinaan jambatan itu telah diluluskan pada Isnin lalu dan jambatan beserta terowong bawah laut itu dibuka kepada lalu lintas mulai hari ini.

Jambatan yang disokong oleh 5,000 tiang itu mengambil masa empat tahun untuk disiapkan.

Menurut Guinness World Records, rekod jambatan atas air terpanjang sebelum ini dipegang oleh Tasik Pontchartrain Causeway di Louisiana, namun jambatan China ini lebih empat kilometer panjang daripadanya. - Agensi

Tembelang Najib Pecah

29 Rejab 1432H. [MOD] -

"Saya menekankan supaya rakyat didahulukan kerana dalam sistem demokrasi berparlimen, suara rakyat adalah suara keramat.”

Itu intipati ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak beberapa bulan selepas dinobatkan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2009.

Dalam sekelip mata di bawah teraju beliau, Malaysia kembali ke era negara polis yang mewarnai pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hanya kerana berlainan pendapat dengan pemerintah, maka suara 63 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) cuba dibisukan, manakala ruang bersuara untuk parti pembangkang disempitkan lagi.

Rakyat yang memakai kemeja T dengan membawa logo BERSIH ditangkap, malah bendera Malaysia yang dibawa mereka untuk diedarkan kepada orang ramai juga dirampas.

Ratusan ribu rakyat yang mahu turun menzahirkan keperluan untuk sistem pilihan raya diperbaiki supaya lebih adil dan telus, akan menghadapi tindakan polis bersenjatakan belantan dan pancutan air berkimia pada 9 Julai.

Segala aktiviti penganjur BERSIH dan pemimpin-pemimpin politik yang menyokong gerakan itu diibaratkan oleh polis dan media arus perdana sebagai memudaratkan keselamatan negara.

Malah BERSIH, menurut Umno-BN, akan memberi kesan teruk kepada ekonomi Malaysia jika tidak dibendung.

Tembelang pecah

Polis di seluruh negara digerakkan untuk menahan sesiapa sahaja yang memakai baju T dengan logo BERSIH dan merampas apa sahaja yang mengandungi logo itu.

Akhirnya tembelang Najib “pecah”.

Janji-janji untuk mengamalkan keterbukaan dan menjadikan rakyat sebagai paksi kepada segala tindakan beliau hanya kenyataan politik yang kosong.

Sebaliknya beliau menunjukkan kecederungan menggunakan insitusi polis untuk meluntur malah memadamkan sebarang bantahan rakyat secara terbuka. Dasar ini kerap dilakukan di zaman Dr Mahathir dan kini berulang di era Najib.

Justeru polis mula bertindak keras untuk membatalkan BERSIH.

Tidak ada negara yang mendokong demokrasi mempunyai pasukan polis yang menangkap orang hanya kerana pakaian mereka tidak seiring dengan pemikiran kerajaan.

Apakah undang-undang rimba berdaulat kembali apabila polis boleh menyerbu dan menyita sekretariat BERSIH tanpa waran semata-mata untuk merampas baju T dan risalah BERSIH?

Di sebalik semua tindakan polis terhadap penganjur dan penyokong BERSIH, apakah salah dengan tuntutan perhimpunan itu?

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, Suhakam, sendiri tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap perhimpunan aman BERSIH, namun dukacita kerana pendapat badan ini tidak mendapat perhatian kerajaan.

Ini kerana tuntutan asas BERSIH adalah supaya sistem pilihan raya diperbaiki khususnya ketelusan undi pos di samping pembersihan daftar pengundi.

Sebuah pilihan raya yang adil dan telus akan memberi kelebihan kepada mana-mana parti yang menang pada pilihan raya umum akan datang untuk mendabik dada kerana meraih kejayaan yang “bersih” dan tidak mencurigakan.

Amat berpengetahuan

Tidak ada sesiapa boleh menafikan bahawa pada setiap pilihan raya, BN akan bermula dengan kelebihan yang begitu besar berasaskan kawalan penuh terhadap media arus perdana negara ini dan sumber kewangan negara serta kemudahan awam.

Contohnya Utusan Malaysia, TV3, NTV7, TV9, New Straits Times dan Berita Harian dikawal oleh Umno manakala The Star dikuasai MCA.

Ini tidak termasuk RTM dan Bernama yang diletak terus di bawah Kementerian Penerangan, Komunikkasi dan Kebudayaan.

Kelebihan ini umumnya diterima oleh Pembangkang dan Pertubuhan Bukan Kerajaan sebagai realiti politik negara, contohnya tidak mungkin Umno menyerahkan haknya untuk menentukan siapa Ketua Pengarang Utusan Malaysia mahupun Berita Harian.

Justeru tuntutan utama NGO berkenaan menerusi BERSIH ialah supaya SPR mengatasi masalah-masalah ketelusan undi pos, penghapusan pengundi hantu dan pembersihan daftar pengundi.

Justeru inisiatif 63 Pertubuhan Bukan Kerajaan ini harus disokong, bukan sahaja oleh Pembangkang tetapi juga oleh BN, yakni Najib sendiri.

Najib ingin mencanang Malaysia sebagai sebuah negara dinamis di bawah dasar-dasar beliau yang pro-aktif dan berpaksi rakyat.

Beliau seorang yang amat berpengetahuan luas, menjelajah di seluruh dunia dan tentunya peka bahawa hak berkumpul secara aman adalah prinsip asas demokrasi.

Jika benar beliau mendokong prinsip itu, kenapa bertindak begitu zalim terhadap penganjur BERSIH?

Tutup sebelah mata

Jika Najib menyokong prinsip asas demokrasi, beliau sepatutnya turun bersama rakyat, tak kira sama ada mereka penyokongnya mahupun pembangkang , demi menzahirkan komitmennya kepada sebuah pilihan raya yang telus dan adil.

Kehadiran beliau bersama rakyat, wakil masyarakat madani dan pemimpin pembangkang pada perhimpunan BERSIH sudah tentu menjadi pemangkin untuk Suruhanjaya Pilihan Raya melakukan penambahbaikan kepada sistem pemilihan yang sedia ada.

"Kalau kita sebagai pemimpin turun bersama rakyat tanpa protokol, tanpa hamparan permaidani merah, tanpa bunga manggar, tanpa sambutan, duduk dengan rakyat, minum dan ambil kira serta ambil berat masalah rakyat, rakyat akan tetap bersama kita dan rakyat akan tetap memberi kuasa."

Itu ucapan Najib pada satu majlis di Sabah tidak lama dahulu. Jika beliau mendokong kenyataannya itu, sudah tentu Perdana Menteri tidak bermasalah menyokong BERSIH.

Sebaliknya Najib memilih untuk merestui tindakan polis menangkap dan memenjarakan mereka yang menuntut pilihan raya bersih dan adil.

Beliau juga menutup sebelah mata dengan provokasi PERKASA dan Pemuda Umno menganjurkan siri demostrasi pada hari yang sama, semata-mata untuk mencetuskan keadaan tegang dan memberi alasan kepada polis untuk bertindak liar.

Sayang – peluang Malaysia melangkah ke depan untuk menyubur dan mematangkan proses demokrasi negara disambut dengan tindakan pemerintah yang begitu keras dan jauh daripada bersih.

ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang Malaysiakini.

Wira Arjuna adalah nama samaran seorang wartawan dan editor kanan yang berpengalaman luas dan pernah menerajui beberapa media arus perdana sebelum bersara menjadi pemerhati politik.

malaysiakini-/

Lima askar Yemen terbunuh, enam lagi cedera

29 Rejab 1432H. [MOD] -

ADEN 1 Julai - Lima askar Yemen terbunuh dalam pertempuran menentang militan al-Qaeda di bandar Zinbijar, selatan Yemen, semalam, kata pegawai tentera.

"Lima askar terbunuh manakala enam lagi cedera dalam pertempuran sengit di timur bandar ini, dan berkemungkinan ada pihak musuh juga yang terkorban atau cedera," kata sumber tersebut.

Pegawai perubatan di bandar berhampiran mengesahkan jumlah kematian tersebut. - AFP

Misi Gaza: Saya tarik diri sebab penganjur tak serius, kata Khalid Samad

29 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 30 Jun — Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad terus mendakwa misi kemanusiaan Lifeline for Gaza (LL4G) dicemari dengan agenda politik Umno BN selain pihak penganjur pula kelihatan tidak serius.

Oleh itu tegas Khalid (gambar), beliau memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai misi tersebut dan menyertai misi baru yang mempunyai tujuan sama iaitu memberikan bantuan kepada penduduk Gaza.

Khalid menambah beliau telah menunggu di Arab Saudi pada 20 Jun lalu untuk mendapatkan maklumat mengenai misi tersebut, namun tidak dimaklumkan sebarang perkembangan.

“Saya dapat tahu ada banyak campur tangan politik dalam LL4G.

“Saya berada di Arab Saudi sejak 20 Jun, yang mana Arab Saudi tak sampai 1,000 kilometer pun dari Gaza tapi tak dapat sebarang maklumat pun daripada pihak penganjur.

“Jadi saya rasa mereka tak serius, itu sebab saya tarik diri,” kata beliau dipetik Harakah Daily.

Bercakap kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini Khalid membangkitkan kembali isu Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang tidak dibenarkan berucap dalam program pelancaran LL4G 18 Jun lalu.

Beliau mempersoalkan sikap ketua misi LL4G, Dr Noorazman Mohd Samsudin yang menafikan mendapat tekanan daripada pejabat Perdana Menteri sedangkan pada awalnya mengakui perkara tersebut.

“Timbalan Presiden PAS tak dibenar berucap pada pelancaran LL4G 18 Jun. Penganjur Dr Noorazman telefon bagi tahu atas sebab tekanan dari JPM.

“Tapi lepas Mat Sabu buat sidang media, Noorazman nafi pula ada tekanan. Saya tanya kenapa perlu menipu, dia beri pandangan negatif kepada Timbalan Presiden PAS.

“Dia kata kenyataan itu tak betul, dia ditanya waktu memandu, jadi soalan tak jelas. Nak buat keluar kenyataan baru, malangnya kenyataan menyokong (JPM),” katanya.

Beliau turut mendakwa Umno tidak serius dalam isu Palestin sebaliknya hanya untuk berlagak hero.

“Ini menunjukkan mereka tidak serius, saja nak tunjuk bela Palestin tetapi sehingga hari ini mereka tak iktiraf Hamas,” katanya.

Dengan nada seloroh, Khalid berkata Umno BN seperti sudah terkena ‘sumpahan’ apabila segala program yang disertai parti itu akan tercemar dengan agenda politik mereka.

“Umno ini kena sumpahan, macam sejarah King Midas dulu pegang semua benda akan jadi emas, tapi Umno pegang apa sahaja jadi kotor, termasuklah pilihan raya, dan program LL4G ini,” katanya.

Khalid yang juga ahli jawatankuasa kerja pusat PAS menambah beliau tetap akan menyertai satu misi baru dengan tujuan sama yang akan disertai NGO Cakna Palestin, Muslim Care dan Mawaddah.

“Kita akan buat misi baru. Masuk pintu Rafah, dan akan masuk sebelum Ramadan.

“Kita dah hantar surat ke Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di Mesir,” katanya.

Sementara itu laporan Bernama Online berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan solat hajat dan kutipan derma sempena misi kemanusiaan ke Gaza di semua masjid di bawah pentadbirannya selepas solat Jumaat esok.

Ketua Pengarah Jakim Othman Mustapha berkata solat hajat dan kutipan derma itu bertujuan bagi mendoakan keselamatan semua sukarelawan serta membiayai misi Flotila Pembebasan 2 LL4G, yang kini berada di Athens, Greece.

“Solat hajat ini bertujuan mendoakan kejayaan misi dan keselamatan pelayaran pergi dan pulang delegasi daripada segala tindakan tidak berperikemanusiaan tentera Israel,” katanya.

Beliau berkata selain Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abdidin di Putrajaya, solat hajat dan kutipan derma itu juga akan diadakan di seluruh masjid di sekitar Wilayah Persekutuan.

Othman berkata bagi memperluaskan lagi usaha murni itu, pihaknya turut memohon jasa baik semua Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri untuk turut mengadakan solat hajat dan kutipan derma di masjid-masjid di bawah pentadbiran masing-masing Jumaat.

Selain kutipan derma, katanya sumbangan bagi membiayai misi itu juga boleh disalurkan ke akaun Maybank Berhad bernombor 564070002922 atas nama Life Line for Gaza.

malaysian insider/-

Rumah MP DAP disimbah cat

29 Rejab 1432H. [MOD] -

Kediaman ahli parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng yang terletak di Taman Sri Rambai, di Bukit Mertajam disimbah cat hijau manakala bangkai seekor ayam digantung di pintu pagar rumahnya hari ini.

Suami Chong, K Gunabalan, 63, berkata kejadian itu hanya disedari pada jam 5.45 pagi ketika beliau sedang bersiap untuk menghantar anak keduanya G Omprekash, 16, ke sekolah.

Katanya ketika kejadian, hanya beliau dan dua anak berada di rumah manakala isterinya berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri sidang Parlimen.

"Semasa saya keluar untuk menghantar anak, saya terkejut apabila melihat banyak tompokan cat hijau di sekitar kawasan rumah serta dua buah kereta jenis Mitsubishi dan Proton Wira yang diparkir di dalam kawasan pagar rumah.

"Saya tidak pasti bila kejadian itu berlaku kerana tidak mendengar sebarang bunyi bising," katanya ketika ditemui pemberita.

Gunabalan berkata beliau menemui tiga bungkusan beg plastik cat yang ditinggalkan masing-masing dalam pagar rumah, luar pagar dan di dalam longkang serta bangkai seekor ayam turut digantung di pagar hadapan.

Katanya, beliau juga tidak mengetahui motif kejadian itu dan tidak pasti sama ada kejadian itu mempunyai kaitan dengan politik atau peribadi.

"Satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan saya harap pihak polis dapat menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah SPT Supt Baharudin Mustapha ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

malaysiakini/-

NY Times dakwa kilang Lynas bahaya alam sekitar

29 Rejab 1432H. [MOD] -

Laporan New York Times baru-baru ini yang memetik memo dalaman oleh jurutera sekarang mahupun yang telah meninggalkan syarikat itu bahawa pembinaan kilang Lynas Advanced Material Plant (Lamp) di Gebeng, Pahang adalah 'bahaya' dan mempunyai masalah rekabentuk.

Artikel itu mendakwa memo berkenaan memaparkan beberapa kecacatan dengan jurutera menghuraikan rekahan struktur, poket udara dan kebocoran di kebanyakan 70 tangki konkritnya.

Tangki itu dijadualkan untuk menyimpan bahan radioaktif selepas nadir bumi berkenaan yang dibawa dari Australia Barat dicampur dengan asid untuk merawatnya.

Ia juga mendakwa sistem paip keluli yang dibina untuk kilang tersebut adalah menggunakan keluli standard dan tidak sesuai bagi memindahkan bahan berkenaan. Tangki simpanan pula dibina daripada konkrit konvensional yang sepatutnya didirikan dengan gentian polimer yang kurang kemungkinannya akan retak.

malaysiakini/-

Kapal bantuan ke Gaza dirosakkan

29 Rejab 1432H. [MOD] -

BAITULMUQADDIS – Sebuah lagi kapal yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza telah disabotaj oleh Israel, kata pihak penganjur semalam.

Seorang aktivis pro-Palestin memberitahu sebuah stesen radio tentera Israel bahawa enjin kapal milik Ireland itu rosak semasa ia berada di sebuah pelabuhan.

Pada awal minggu ini, beberapa aktivis memberitahu, pihak Israel didakwa telah merosakkan kipas sebuah kapal milik misi bantuan itu di pelabuhan Piraeus, Greece.

Sekitar 10 buah kapal dijadualkan belayar ke Gaza dari Greece pada minggu ini.

Setakat ini, masih tidak dapat dipastikan sama ada misi berkenaan akan ditangguh ekoran kerosakan yang berlaku ke atas dua kapal itu. – Agensi

Pemberian Projek Kepada Syarikat Tamat Tempoh


29 Rejab 1432H. [MOD] -

KENYATAAN MEDIA
Pejabat ADUN Titi Serong/
Ketua Sekretariat PR Perak.

Saya dan beberapa pimpinan ADUN Pakatan Rakyat Perak hari ini telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai salah guna kuasa oleh kerajaan Barisan Nasional berhubung kelulusan tanah yang seluas 150 ekar di Segari, Manjung.

Kelulusan tanah tersebut diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional kepada sebuah syarikat Atigas Teknologi Sdn Bhd untuk projek pelaburan gas asli bernilai RM 5.8 billion. Menjadi persoalan sekarang ini ialah mengapa sebuah syarikat bermodal kecil dapat melaksanakan sebuah projek yang begitu besar.

Aduan ketidakpuasan hati juga datang dikalangan pemimpin UMNO yang tidak bersetuju dengan dan mahu SPRM menyiasat perkara ini memandangkan syarikat Atigas Teknologi Sdn Bhd itu mengikut rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) merupakan syarikat yang tidak aktif dalam pangkalan data SSM.

Pemberian tanah ini telah diumumkan oleh exco kanan, Hamidah Osman yang bertarikh pada 9 Jun 2011 yang memaklumkan telah diluluskan oleh kerajaan Perak.

Hamidah berkata, syarikat Atigas Teknologi Sdn Bhd itu akan melabur sebanyak RM5.8 bilion dan akan mengimport gas dalam bentuk cecair dari negara Qatar dan Timur Tengah.

Katanya lagi, syarikat Atigas Teknologi Sdn Bhd itu juga akan membekalkan 33 peratus untuk pasaran tempatan yang mana untuk pembinaan loji dan kilang yang dijangkakan siap dalam tempoh 15 bulan pembinaannya.

Menjadi persoalannya sekarang ialah kajian terhadap kesan alam sekitar yang telah dilakukan dan adakah satu jaminan projek ini akan selamat atau sebaliknya sedangkan kawasan tersebut merupakan sebauh kawasan penternakan haiwan seperti penyu dan perikanan.

Bagaimana pula proses pemberian tender ini? Adakah dilakukan secara tender terbuka atau secara terus kepada pembida? Jika secara terbuka, adakah proses tender ini dipertimbangkan dan diluluskan oleh kerajaan Perak?

Bagaimana pula mereka boleh memilih sebuah syarikat yang telah tamat tempohnya pendaftaran syarikat pada 28 Februari 2008 dan tidak aktif selepas tarikh tamat tersebut?

Dijangkakan seekar tanah disitu boleh mencecah nilai RM3000. Menurut rekod juga, syarikat Atigas Teknologi Sdn Bhd tidak mempunyai sebarang perniagaan dan keuntungan syarikat sebelum ini.

Sebenarnya perkara ini pernah didedahkan oleh Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming berkaitan isu ini dan memberikan tempoh selama 3 hari kepada Hamidah Osman untuk memberikan penjelasan. Jika sekiranya tiada jawapan, kita akan mengambil tindakan selanjutnya.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
PARIT BUNTAR, 1 Julai 2011.

Ceramah PAS di Kepala Batas tegang

29 Rejab 1432H. [MOD] -

Ceramah PAS yang diadakan di Kepala Batas, Pulau Pinang, malam semalam tegang apabila kira-kira 100 anggota polis tiba-tiba muncul di tapak cermah itu.

Sebahagian daripada 600 hadirin kemudiannya bertindak membuat benteng bagi menghalang polis memasuki pusat operasi parti itu di Pongsu Seribu.

Pasukan polis yang tiba itu juga termasuk kira-kira 50 anggota Pasukan Gerak Am yang tiba pada jam 10.15 malam. Mereka disambut dengan teriakan “mereka dah datang, tutup pintu pagar!”

Akibatnya, berlaku sedikit kekocohan dan kesesakan lalu lintas apabila anggota polis bertindak mengawal di jalan berkenaan.

Sekumpulan pasukan keselamatan PAS yang berjaket kuning kemudiannya mententeramkan hadirin dan menghalang mereka mendekati anggota polis berkenaan.

Juruacara majlis kemudiannya meminta orang ramai supaya tidak 'panik' kerana ceramah yang dianjurkan itu dibuat dalam lingkungan kawasan PAS sambil berkata “mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana ini tanah kita sendiri”.

malaysiakini/-

Tiga kapten selisih ajal di udara

29 Rejab 1432H. [MOD] -

ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama kakitangan Malaysia Airport Berhad memeriksa helikopter yang dipercayai terbakar pada bahagian ekor di Terminal Skypark, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang semalam.

SUBANG - Tiga kapten sebuah syarikat penerbangan swasta menarik nafas lega apabila mereka hanya mengalami cedera ringan selepas helikopter yang dinaiki terhempas dari ketinggian 60 meter di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Kejadian pukul 8.17 pagi itu berlaku ketika Kapten Syahfrilhaidi Abdul Rahman, 38, Kapten Nor Azhari Mat Yunos, 35, dan Kapten Mohd. Zamri Mohamed, 44, sedang melakukan latihan penerbangan menggunakan helikopter jenis AgustaWestland AW139 milik Weststar Aviation Services Sdn. Bhd.

Syahfrilhaidi merupakan juruterbang, Nor Azhari pembantu juruterbang dan Mohd. Zamri sebagai kapten pelatih. Mereka dirawat sebagai pesakit luar di Pusat Perubatan Universiti Malaya di sini.

kosmo/-

Skandal mata wang: Bekas penolong gabenor Bank Negara antara dua dicaj

29 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 1 Julai — Seorang bekas penolong gabenor Bank Negara Malaysia dan seorang ahli perniagaan tempatan akan dihadapkan di mahkamah secara berasingan — di ibu negara dan Shah Alam — berhubung skandal kontrak membekalkan nota mata wang ringgit polimer, yang dianugerahkan kepada sebuah syarikat Australia antara 2003 dan 2007.

Bekas penolong gabenor itu akan dicaj di Mahkamah Khas Jenayah Rasuah (Sesyen) Jalan Duta manakala ahli perniagaan terbabit di Mahkamah Khas Jenayah Rasuah Shah Alam.

The Malaysian Insider difahamkan serentak dengan tuduhan ke atas mereka, pihak berkuasa Australia juga akan mendakwa enam individu dan dua syarikat di negara itu hari ini.

“Mereka akan dicaj di bawah peruntukan baru di Australia . . . ia ada kaitan dengan kes di Malaysia,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Bekas penolong gabenor Bank Negara Malaysia dan seorang ahli perniagaan terbabit dipercayai akan berhadapan dengan tuduhan di bawah Seksyen 11(a) dan 11(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Tahun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu berhubung skandal nota polimer RM5 kepada sebuah syarikat dari Australia.

Mereka ditahan ekoran satu laporan bahawa Securency International, yang berpejabat di Melbourne, menawarkan rasuah kepada pegawai-pegawai di Malaysia.

Mengikut laporan media itu, ketiga-tiga yang ditahan itu termasuk seorang ahli perniagaan didakwa dibayar RM11.3 juta untuk mendapatkan kontrak daripada Bank Negara Malaysia dan agar kerajaan Malaysia menggunakan mata wang polimer.

Media Australia melaporkan bahawa ahli perniagaan berkenaan digunakan oleh Securency International dan Note Printing Australia antara lewat 1990-an dan 2007.

Securency pernah memperoleh kontrak mencetak nota RM50 sempena Sukan Komanwel pada 1998 dan nota polimer RM5 pada 2004.

Bekas penolong gabenor Bank Negara dikatakan menerima habuan atas tindakannya pada 2004 dan 2005 atas kontrak bernilai RM95 juta yang diberikan kepada syarikat Australia berkenaan.

Oleh G Manimaran

PRU 13 : Pas Perak yakin Perak akan kembali kapada pakatan rakyat.

29 Rejab 1432H. [MOD] -

IPOH,: Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menyifatkan Pilihanraya Umum 13 bakal memberi cabaran besar kepada Barisan Nasional di perak Darul Ridzuan. Ini kerana, PRU 13 bakal menjadi medan dimana rakyat Perak akan menilai prestasi Barisan Nasional yang telah merampas Perak daripada Pakatan Rakyat dengan cara yang tidak sah.

Beliau turut menegaskan bahawa kegagalan BN untuk mempertahankan tampuk kekuasaan pada PRU 13 akan menjadi bukti bahawa rakyat tidak merestui perbuatan mereka merampas Perak daripada Pakatan Rakyat. Tambahan beliau, walaupun PR dilihat sebagai menang tipis pada PRU 12, namun ianya adalah satu kemenangan yang sah daripada rakyat.

Mengulas tentang kepimpinan BN di Perak, Dato’ Dr Zambry Abd Kadir dilihat sedikit goyah dan banyak dibayangi dengan aura oleh Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang lebih disenangi oleh rakyat Perak berbilang kaum. Ini bukti yang jelas bahawa rakyat Perak tahu menilai siapa pemimpin yang lebih telus dan berjiwa rakyat.

Memetik ucapan beliau, “ PAS bersama Pakatan Rakyat tidak pernah gentar untuk menggempur Barisan Nasional pada pilihanraya umum yang akan datang kerana kami percaya dengan mandat yang diberikan oleh rakyat di samping usaha gigih semua ahli.”

Sehubungan dengan itu, Pesuruhjaya PAS Perak itu menggesa semua ahli PAS agar meningkatkan lagi hubungan dengan Allah SWT dan terus berkhidmat pada masyarakat agar Allah SWT berkenan untuk memberikan kemenangan pada pakatan Rakyat menjelang PRU 13.

mohd hafez sabri

Solat Dan Lima Jenis Manusia

29 Rejab 1432H. [MOD] -

SUDAH lama kita bersolat, tetapi nampaknya keajaiban dan jaminan solat yang disebut Allah masih samar-samar dalam kehidupan kita. Allah memberi jaminan dalam firman-Nya, bermaksud: “Sudah pasti berjaya orang mukmin iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun: 1,2)

Pada pertemuan kali ini, penulis mengajak remaja dan siapa saja bermuhasabah mengenai peringkat solat.

Bukannya konsep kejayaan dan cara hendak mencapai khusyuk, tetapi ada beberapa jenis dan golongan serta gaya bersolat di kalangan orang Islam yang semuanya akan mempengaruhi perangai dan cara hidup.

* Jenis Pertama

Hari ini, ramai umat Islam yang tidak bersolat, bahkan ramai juga yang tidak tahu hendak bersolat. Ada yang menafikan kewajipan solat, mereka jatuh kafir sebab itu kadangkala perangainya dengan si kafir tidak ada beza.

* Jenis Kedua

Orang yang melakukan solat secara zahir saja, malah bacaan pun masih tidak betul, taklid buta dan main ikut-ikut orang lain.

Jadi, golongan ini sekejap bersolat, sekejap tidak. Jika ada masa dan emosi baik, dia bersolat. Kalau sibuk dan ada program kenduri, pesta ria, berziarah, bermusafir, letih dan penat, dia tidak bersolat.

Orang ini jatuh fasik. Tidak belajar solat mahupun secara rasmi atau tidak rasmi. Ilmu mengenai solat ialah apa yang dipelajari ketika kecil dan tadika saja. Golongan ini tertolak, bahkan berdosa besar dan hidup dalam keadaan derhaka kepada Allah.

* Jenis Ketiga

Golongan yang melakukan solat cukup lima waktu, tepat ilmunya, faham setiap bacaan solat, Fatihah, doa Iftitah dan tahiyatnya, tetapi tidak dihayati dalam solat itu.

Fikirannya masih melayang mengingatkan perkara dunia tanpa menghayati solat. Golongan ini dikategorikan sebagai solat ‘awamul Muslimin’ dan jika dididik serta ditambah mujahadah (kesungguhan), dia akan berjaya dalam solat.

* Jenis Keempat

Golongan ini baik sedikit daripada golongan sebelumnya, tetapi main tarik tali dalam solatnya.

Sesekali dia khusyuk, sesekali lalai pula. Apabila teringat sesuatu dalam solatnya, teruslah terbawa-bawa, berkhayal dan seterusnya.

Apabila teringat Allah secara tiba-tiba, insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hati serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimah dan bacaan dalam solat. Begitulah sehingga selesai solatnya.

Peringkat ini orang terbabit akan mula memasuki zon ‘memelihara solat’, tetapi masih belum seronok dengan solat.

* Jenis Kelima

Golongan yang melakukan solat tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan setiap lafaz dalam solatnya.

Hati dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekeliling sehingga pekerjaan serta apa pun yang dilakukan atau difikirkan di luar solat itu tidak mempengaruhi so latnya.

Walaupun dia memiliki harta dunia, menjalankan kewajipan dan tugas keduniaan seperti perniagaan, semua itu tidak mempengaruhi solatnya. Hatinya masih dapat memuja Allah dalam solat. Golongan ini disebut orang soleh.

Sebenarnya banyak lagi peringkat solat, tetapi keterbatasan ruangan sekadar lima tahap ini rasanya sudah boleh mu hasabah diri mengenai tahap solat yang kita lakukan.

Jika kita berada di peringkat satu, dua dan tiga, kita sebenarnya belum selamat dan mungkin solat tidak mampu mendapat jaminan Allah.

Ibadat solat boleh membangunkan jiwa dan iman, men jauhkan daripada yang buruk dan merungkai mazmumah (sifat keji), menanamkan mahmudah (sifat terpuji), me lahirkan disiplin hidup dan akhlak yang agung. Semoga solat kita akan berlangsung sebagai mi’raj.

selatanonline

Pas Perak menyokong himpunan bersih 2.0 untuk diadakan.

29 Rejab 1432H. [MOD] -

PAS berpendirian,tanggungjawab asas Perdana Menteri Malaysia adalah untuk menjamin kebajikan dan hak asasi semua warga Malaysia diberikan secara adil kepada rakyat.
PAS akan terus mengulangi komitmen Perjuangan PAS kepada aktivisme yang aman dan berprinsip. PAS sentiasa mengecam sebarang bentuk kekerasan dan konsisten dalam seruan kepada orang ramai untuk menjaga nilai-nilai tersebut bersama. Masyarakat sivil tidak pernah keluar daripada pegangan ini dan tidak akan menyokong sebarang kejadian yang melibatkan kekerasan.

Bagi PAS, perhimpunan BERSIH 2.0 secara aman pada 9 Julai ini, warga Malaysia dari pelbagai latar belakang etnik, agama, dan politik akan meIaksanakan hak perlembagaan mereka secara demokratik dan aman supaya suara mereka didengari.
PAS sedih dan kecewa atas kenyataan Perdana Menteri Malaysia YAB Najib Razak bahawa penyokong himpunan BERSIH 2.0 akan diambil tindakan jika terlibat dalam perhimpunan aman BERSIH 2.0 pada 9 Julai ini.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan yang diketuai Perdana Menteri untuk menjamin keselamatan rakyat patriotik yang turun ke jalan raya menuntut hak mereka. Namun PAS tetap kecewa kerana kerajaan malaysia enggan menunaikan tanggungjawab kerajaan sebagai penjamin hak perlembagaan dan keselamatan orang awam tetapi memilih untuk memutarbelitkan niat baik rakyat untuk berhimpun dan mengugut rakyat dengan tindakan menindas.

Bagi PAS, Perdana Menteri tidak membaca dan memahami tuntutan BERSIH 2.0 atau sengaja memburukkan imej BERSIH 2.0. Perdana Menteri perlu faham matlamathimpunan rakyat ini adalah adalah untuk memulihkan sistem pilihan raya yang benar-benar bebas dan adil supaya semua parti politik di Malaysia boleh bertanding atas padang yang rata dan rakyat diberi peluang memilih sesiapa mereka fikirkan terbaik untuk menjadi pemimpin.

Bagi PAS sepatutnya Perdana Menteri menunjukkan idea-idea progresif yang beliau dukungi di dalam dan luar negara. Beliau boleh berbuat begitu dengan membenarkan himpunan 9 Julai berjalan tanpa halangan. Beliau juga boleh mengarahkan semua agensi kerajaan supaya bekerjasama untuk membolehkan setiap warga Malaysia yang ingin melaksanakan hak perlembagaan mereka boleh berbuat demikian tanpa perlu menakuti sebarang kekerasan dan kekacauan.

PAS mengingatkan Perdana Menteri bahawa kuasa politik berada dalam tangan rakyat, dan PAS menyedari bahawa kuasa politik di Malaysia dikumpulkan dalam tangan beberapa orang elit sehinggalah perubahan yang menyeluruh dilaksanakan atas sistem pilihan raya Malaysia, dan kuasa sebenar bagi Negara Malaysia adalah erletak kepada kuasa rakyat.

PAS berpendapat bahawa himpunan BERSIH 2.0 yang akan datang merupakan masa penentuan bagi Perdana Menteri dan kerajaan. Sebagai pemegang kata putus dalam kerajaan, sebarang tindakan keras terhadap masyarakat sivil, kegagalan menjamin keselamatan warga Malaysia pada 9 Julai, atau retorik yang mencemuhi rakyat patriotik dan aman akan mencerminkan kegagalan Perdana Menteri untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat Malaysia.

Justeru PAS Perak memberikan komitmen untuk menghantar 50,000 ribu ahli PAS Perak untuk ke himpunan BERSIH, disamping menyeru semua penyokong PAS khusunya di Perak hadir dalam himpunan BERSIH 2.0 bagi menyatakan sokongan rakyat terhadap tuntutan 8 perkara bagi menjamin keyakinan terhadap sistem demokrasi Berparlimen.

PAS Perak juga akan memberikan komitmen untuk:

1) Membuat edaran risalah BERSIH 2.0 di setiap kawasan dengan mencetak risalah BERSIH 2.0
2) Pelancaran BERSIH 2.0 peringkat Pemuda Pakatan Rakyat Perak, pada 3 Julai, di Dewan Chin Woo Ipoh, jam 2.00 hingga 5.00 Petang
3) Pelancaran BERSIH 2.0 peringkat Negeri Perak, pada 4 Julai, di Bukit Gantang, jam 9.00 Malam.


Ustaz Haji Abu Bakar Hussain
( PESURUHJAYA PAS PERAK )