01 Julai 2011

Tersembam belakang bas

29 Rejab 1432H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas tersembam di belakang sebuah bas sekolah selepas motosikal dinaiki bersama pekerja bapa saudaranya dan sepupunya terbabit dalam kemalangan di Jalan Padang Kemunting, Pengkalan Balak, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, Muhammad Haziq Naufal Mohd Zaidi, 5, maut selepas motosikal jenis Honda EX-5 ditunggangi Yusoh Malee, 27, dan Najla NurKamelia, 7, merempuh sebuah bas berkenaan.

Motosikal berkenaan dipercayai hilang kawalan selepas selekoh, menyebabkan merempuh bas yang berhenti menurunkan penumpang.

Akibat rempuhan, Muhammad Haziq yang duduk di bahagian depan motosikal tersembam ke bahagian belakang bas, manakala Najla Nurkamelia terlentang.

Muhammad Haziq dikejarkan ke Hospital Kem Terendak, di sini oleh orang awam sebelum meninggal dunia di hospital berkenaan, manakala Yusoh dan Najla Nurkamelia mengalami kecederaan pada badan.

Menurut Yusoh yang bekerja di kedai milik bapa saudara mangsa, mereka bertiga dalam perjalanan ke Tanjung Bidara untuk menjemput isterinya dari tempat kerjanya.

Sementara itu, nenek kepada Muhammad Haziq, Fazidah Jantan, 58, berkata, dia tidak sangka, sikap cerewet cucunya itu semasa hendak makan, petanda akan pergi buat selama-lamanya.

“Dia (Muhammad Haziq) merungut bila saya sediakan telur goreng untuk dimakan bersama nasi dan kicap selepas dia balik dari sekolah. Biasanya dia tidak macam tu.

“Dia kata, kicap itu tidak sedap sampai saya keluar pergi belikan kicap lain untuknya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Menurut Fazidah, dia menjaga cucunya itu kerana ibunya, Norashikin Hashim, 29, berada di Kuala Lumpur selama 15 hari atas tugasan luar daerah sementara bapanya, Mohd Zaidi Abu Shah, 31, bertugas di Singapura.

“Semasa kejadian, saya sibuk mengemas dan tidak sedar cucu saya mengikut pekerja saya keluar menaiki motosikal,” katanya.

sinarharian/-

Tiada ulasan: