05 September 2013

Minyak naik: Pengusaha bas tidak mungkin berdiam diri

28 Syawal 1434 H. [MOD] -

SHAH ALAM: Penguasa bas berkemungkinan akan menaikkan tambang sebanyak 10 peratus yang diumumkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebelum ini walaupun tempoh kenaikan tersebut sepatutnya berakhir pada 8 September nanti.


Pengendali bas ekpress dan tambahan bagi perayaan Aidilfitri lalu dibenarkan menaikkan kos berkenaan dalam tempoh yang telah ditetapkan sehingga 8 Sepetember 2013.


Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad tidak yakin penguasa bas akan berdiam diri serta mematuhi arahan tersebut kerana mereka terpaksa menanggung kos bahan api akibat kenaikan harga diesel sebanyak 20 sen seliter bermula 3 Sepetember lalu.


"Walaupun tempoh masa kenaikan tambang 10 peratus akan berakhir pada 8 September nanti, saya tidak nampak penguasa bas akan menurunkan harga.



"Kenaikan harga minyak diesel sebanyak 20 sen akan menjadi alasan mereka untuk mengekalkan harga tersebut dan berkemungkinan akan ada desakan untuk menaikkan lagi antara lima hingga sepuluh peratus," jelasnya pada sidang media di pejabatnya semalam.



Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) sebelum ini menuntut agar kerajaan meluluskan kenaikan tambang bas kepada 30 peratus bagi menampung kos operasi pada musim perayaan.


Beliau tidak menyalahkan tindakan penguasa bas jika mereka mendesak untuk menaikkan harga tetapi kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian terbaik dari keputusan menaikkan harga bahan api.
Katanya, kerajaan perlu pastikan hak rakyat terus terbela tanpa ada sebarang tekanan sara hidup melampau akibat pengumuman tersebut.


"Bukan hanya kadar kenaikan harga tambang akan dituntut, selepas ini lebih banyak lagi barang-barang keperluan akan dinaikkan harga.



"Rakyat akan terus hidup dalam tekanan akibat kos-kos barang keperluan yang tidak dapat dikawal oleh kerajaan," sambung beliau.



Khalid yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat kecewa dengan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana terlalu lemah dan menekan hidup rakyat bagi tujuan menambah pendapatan negara sedangkan ketirisan dan rasuah dalam projek mega terus berleluasa.



Harakahdaily

Caj kenderaan perdagangan naik 5 peratus hari ini

28 Syawal 1434 H. [MOD] -

Persatuan Pengusaha Pengangkutan Perdagangan Wilayan Utara menaikkan caj perkhidmatan kenderaan perdagangan sebanyak lima peratus berkuatkuasa hari ini.

    
Presidennya Datuk Yusoff Ismail berkata kenaikan caj itu mendapat persetujuan daripada 1,000 anggotanya yang juga pengusaha kenderaan perdagangan berikutan kenaikan harga minyak diesel sebanyak 20 sen yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ahad lepas.
    
Beliau berkata kenaikan caj itu mengambil kira kos tambahan yang perlu ditanggung antara RM130 hingga RM150 bagi setiap perjalanan dari Alor Setar ke Kuala Lumpur atau Singapura.
    
"Sebelum harga minyak naik setiap kenderaan perdagangan ini menggunakan antara 700 hingga 800 liter diesel pada kadar RM1.80 seliter. Tetapi kenaikan 20 sen ini akan menambahkan lagi kos, namun kadar lima peratus tersebut masih rendah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pengusaha lori di Kawasan Perindustrian Mergong di Alor Setar.
    
Yusoff berkata harga diesel di negara ini masih pada tahap terendah berbanding dengan Thailand iaitu RM3 dan caj pengangkutan yang dikenakan pihaknya adalah pada tahap berpatutan dan tidak membebankan orang ramai.
    
Yusoff yang juga Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake) berkata kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen turut memberi kesan kenaikan harga barangan lain tetapi bukan secara mendadak.
    
"Saya yakin kenaikan harga barangan runcit hanya akan naik sekitar satu hingga lima sen sahaja dan jika ada barangan itu melambung tinggi (tindakan) peniaga itu tidak adil dan mereka ambil kesempatan," katanya.
    
Sementara itu, pengusaha kenderaan perdagangan, Abdul Ghani Saud berkata  kenaikan caj berkenaan adalah paling minimum walaupun kos yang terpaksa ditanggung mereka amat tinggi.



Malaysiakini

15 tahun Reformasi, RON95 dan menteri cap ayam

28 Syawal 1434 H. [MOD] -


Saya mulanya mahu mengimbau kembali nostalgia 15 tahun lalu: Refomasi. Tragedi pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan semua jawatan dalam kerajaan pada 2 September 1998, yang disusuli penyingkirannya daripada keahlian Umno, telah mengubah lanskap politik tanahair.

Majoriti rakyat, khususnya orang Melayu, yang sebelum itu nampak mudah "dijinakkan" dan kelihatan tidak sukar dilentur pendirian politik, tiba-tiba dengan berani bangun menyatakan sikap walaupun diketahui berbeda dengan elit penguasa. Jalan Tuanku Abdul Rahman dan kawasan sekitarnya, yang panas dengan tembakan gas pemedih mata dan belantan FRU, menjadi gelanggang bermulanya babak politik baru.

Waktu itu, awalnya, saya sendiri agak kebingungan untuk mentafsirkan, apatah lagi mendefinisikan fenomena yang berlaku. Anwar yang menjadi sasaran kritikan dan belasahan dalam siri tulisan saya semasa menjawat Timbalan Perdana Menteri, diangkat sebagai ikon istimewa; bukan sekadar simbol penentangan terhadap kediktatoran, kezaliman, korupsi dan penyalahgunaan kuasa.  

Dalam masa singkat, hanya dalam tempoh kira-kira 18 hari, yakni sebelum ditangkap pada malam 20 September, Anwar berjaya menyampaikan "pendidikan politik" dengan cukup berkesan kepada audien yang membanjiri kediamannya di Jalan Setiamurni, Bukit Damansara dan yang memeriahkan siri jelajahnya di seluruh negara. 

Muncul ramai aktor baru politik, yang selama ini bagai tidak peduli dengan perkembangan siasah, dan mungkin membencinya. Anak-anak muda, lelaki dan wanita, termasuk golongan berpendidikan tinggi dan kelas menengah, bersuara lantang di jalan-jalan raya. Gema "reformasi" seakan berjaya menggoncang Seri Perdana serta membingitkan telinga Dr Mahathir Mohamad. 

Zaman rakyat akur apa saja titah pemerintah sudah berlalu. Daleh Dr Mahathir berkaitan kejijikan akhlak untuk memecat Anwar ditolak mentah-mentah. Umum dapat memahami bahawa punca kepada segala konflik dan pertembungan ketika itu adalah KUASA. Kuasa mewajarkan fitnah, penipuan, pembohongan, penindasan dan pengkhianatan. Seorang rakan karib boleh bertukar seteru ketat hanya kerana mempertahankan takhta. 

Isu-isu yang sebelumnya dianggap abstrak dan sukar difahami (juga pernah mengecewakan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1995), seperti hak asasi manusia, kewibawaan badan kehakiman, manipulasi jentera kerajaan, kebebasan akhbar, rasuah, keadilan, kronisme, transparensi pengurusan dana awam dan integriti institusi awam, misalnya PDRM dan SPRM (waktu itu BPR), menjadi basahan bibir.

Namun begitu, berbanding dengan rakan sejawatnya, Sukarno di Indonesia, Dr Mahathir tetap dapat bertahan, malah penguasaan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dalam PRU10 pada November 1999 tidak terjejas. 

Peningkatan sokongan kepada Barisan Alternatif (menggabungkan PAS, Keadilan, DAP dan PRM) di bandar-bandar besar -- yang selama ini sukar mendapat tempat -- terutama sekitar Lembah Klang memang ketara sekali, tetapi ia belum cukup untuk memenangkan kerusi Parlimen yang ditandingi.

Di kala pengundi Melayu sederap bangun memprotes, sehingga Terengganu tumbang (BN hanya tinggal 4 kerusi berbanding jumlah 32 Dun, manakala sifar di peringkat Parlimen), masyarakat Tionghua dan India menjadi penyelamat kepada BN. Sentimen perkauman dieksploitasi dan menjadi benteng kebal buat Umno-BN (bukan saja 15 tahun lalu, malah masih berbisa sehingga kini, seperti ditunjukkan dalam PRU13, walaupun dalam bentuk berbeda).

Apakah Reformasi yang dicetuskan pada hujung 1998 itu boleh disifatkan belum matang dan telah kecundang di tengah jalan? Seorang rakan berpendapat, Indonesia sememangnya berbeda dengan kemajmukan politik Malaysia untuk diimport 'kejayaan' reformasi mereka. Benarkah kerana Dr Mahathir gagal dijatuhkan, sama ada melalui tekanan demonstrasi ataupun pilihan raya 1999, maka bermakna Reformasi kini hanya terselit dalam lipatan sejarah?

Tiga bulan sebelum Anwar dipecat dan kemudiannya melancarkan Deklarasi Permatang Pauh pada 12 September 1998, saya menulis dan menerbitkan buku berjudul Layakkah Anwar Ketua Reformasi?: Mencari pemimpin berjiwa rakyat, perangi korupsi, hindari nepotisme, telus dan luhur akhlaknya. 

Saya memang dilihat mencurigai keupayaan Anwar untuk menggerakkan perubahan seutuhnya memandangkan prestasi beliau dalam Umno, dan saya dikritik hebat penyokongnya.  Saya dikatakan lebih menanggapi Anwar sebagai mangsa kezaliman yang teraniaya daripada sosok seorang wira atau pejuang keadilan. 

Apa pun, dalam diam, saya tetap akur dan memandang tinggi faktor Anwar, yang mampu menggembleng setiap potensi kekuatan (walaupun selama ini "berbeda kutub") untuk bersama-sama merintis perubahan. Dan buku-buku saya, susulan pemecatan Anwar cukup laris di pasaran, sehingga jumlah cetak-rompak lebih tinggi berbanding naskhah tulen!

Ya, riuh-rendah bantahan kepada Umno-BN dan regim Dr Mahathir di lapangan tidak semestinya diterjemahkan dalam bentuk undi semasa pilihan raya. Ruang memperbaiki diri dimanfaatkan (sekurang-kurangnya untuk mengubah persepsi) dalam tempoh hampir lima tahun, termasuk pengunduran Dr Mahathir menjelang PRU2004. Dan rakyat lebih tersilau dengan paparan imej penggantinya, Mr Clean, Abdullah Ahmad Badawi

"Politik Malaysia selepas 2 September 1998 tidak akan sama lagi dengan sebelumnya." Saya masih ingat kata-kata penyanyi Ito, walaupun dilafazkan sejurus kekalahan besar Barisan Alternatif pada pilihan raya Mac 2004 yang menyaksikan BN di bawah  Abdullah menang lebih 90 peratus jumlah kerusi Parlimen.

Saya tertarik dengan ungkapan Ito itu. Kemenangan luarbiasa Abdullah hanya sementara. Rakyat bersedia untuk memberi peluang kepada pimpinan baru, tetapi penghakiman mereka tetap kritis dan teropong penilaian semakin tajam. Proses pembodohan umat yang direncanakan para strategis Umno-BN tetap berjalan namun minda orang ramai kian terbuka.

Cuma, ada rakan-rakan penyokong Pakatan Rakyat agak keliru dengan situasi selepas PRU13. "Pencapaian kita jauh lebih baik berbanding PRU12 walaupun kalah di Kedah. Pakatan menang hampir semua ibu-ibu negeri. Najib Razak sendiri mengakui BN perlu bertindak proaktif dan melakukan penyesuaian sebelum disokong semula pengundi bandar. Soalnya, mengapa saya lihat ramai pemimpin dan aktivis Pakatan seperti patah semangat, hilang motivasi dan lebih bertembung sesama sendiri," kata seorang daripadanya.

"Kebimbangan saya bukan rakyat jemu dengan Pakatan tapi saya risau dengan komitmen pemimpin Pakatan untuk terus mendekati rakyat. Meningkatkan kesedaran politik orang Melayu, memahami sensitiviti dan minda terkurung mereka, terutama mengenai isu-isu kemelayuan dan keagamaan," tambahnya, separuh curiga. 

"Masa depan Pakatan cerah," pintas seorang lagi rakan, "cuma takut kita terlalu mengambil mudah sehingga tidak berusaha melakukan penambahbaikan. Atau terlalu pesimis sehingga hilang semangat untuk bersaing dengan Umno-BN. Pakatan perlu tonjolkan lebih ramai pemimpin muda berketrampilan. Sampai masanya fikirkan generasi selepas Tok Guru Nik Aziz, Anwar Ibrahim, Ustaz Hadi Awang dan Lim Kit Siang." 

Opps ... sebenarnya saya mahu menyinggung isu kenaikan harga petrol RON95 dan diesel (di kala rakyat menggelupur diasak kenaikan kos sara hidup), serta peningkatan hutang rasmi kerajaan daripada RM502 bilion kepada RM650 bilion. Padah buruk perbelanjaan boros kerajaan, termasuk yang bocor melalui amalan korupsi tidak terkawal, mahu dipindahkan menjadi bebanan rakyat.

Jaminan penjimatan subsidi untuk kesenangan majoriti rakyat, selain janji-janji kosong mahu meningkatkan efisiensi sistem pengangkutan awam, tidak dapat ditelan lagi. Ikrar untuk menambah bayaran saguhati BR1M dalam Bajet 2014 juga tidak dapat mengurangkan beban rakyat, selain menambahburuk lagi ekonomi negara. Apatah lagi sektor masyarakat yang tidak layak mendapat subsidi BR1M (berpendapatan lebih RM3,000 sebulan) juga terperangkap dalam lingkaran ganas kemiskinan bandar.

Mengenangkan pemilik kenderaan sanggup bergegas beratur panjang untuk mengisi tangki minyak pada malam Selasa lalu, beberapa ketika sebelum harga dinaikkan, saya tertanya-tanya apakah yang tersirat di sebalik "kesungguhan" itu ...  

Lebih pelik apabila sang menteri pengguna, Hasan Malek, terus ghairah memperbodohkan rakyat apabila buat lawak-bodoh bahawa kenaikan harga minyak hanya menyebabkan peningkatan harga barangan hanya  sebanyak 0.1 peratus!

Semasa Ramadan lalu, ketika harga ayam naik, menteri sama mencadangkan agar pengguna menukar selera kepada menu selain ayam!


Harakahdaily

Rafizi sedia belajar dengan Nazri melalui debat

28 Syawal 1434 H. [MOD] -


Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli bersedia 'belajar' daripada kepintaran Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz melalui debat atau forum.


Menurut Rafizi, beliau yakin Nazri mampu menjelaskan kepadanya sebab BN "bertindak membebankan rakyat dengan menaikkan harga minyak".



"Saya pasti beliau boleh mempamerkan kepintaran beliau kelak dengan tampil bersemuka dengan saya dan biarlah rakyat menghakimi betapa pintarnya beliau," kata Rafizi dalam satu kenyataan ringkasnya tengah hari tadi.



Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Nazri semalam.



Nazri semalam menyifatkan cadangan Rafizi agar menteri mengeluarkan belanja petrol untuk kenderaan rasmi mereka sebagai satu cadangan bodoh.



Mengulas perkara lain, Rafizi berkata cadangan Nazri agar menteri besar dan ketua menteri Pakatan Rakyat melaksanakan dahulu cadangan Rafizi "tidak relevan".



"Persoalan bahawa langkah ini perlu dilaksanakan dahulu di negeri-negeri Pakatan Rakyat tidaklah relevan kerana rakyat membayar cukai kepada kerajaan persekutuan, bukannya kerajaan negeri.



"Pun begitu, saya akan menulis secara rasmi kepada Menteri-menteri besar Pakatan Rakyat agar mengemukakan langkah-langkah untuk mengurangkan belanja petrol yang ditanggung oleh rakyat dalam mereka menjalankan tugas mereka," kata Rafizi.


Malaysiakini

Subsidi rakyat ditarik, pemimpin hidup mewah

28 Syawal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengambil perhatian kenapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan menarik subsidi minyak secara mengejut. 


Alasannya adalah untuk mengelakkan aktiviti spekulasi harga yang dijangka akan menimbulkan pelbagai isu sampingan yang lain.



Namun, kata Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid, yang menjadikan kejutan rakyat ialah apabila pengumuman itu tidak menjelaskan kenapa ia harus berlaku secara mendadak.



“Jika tujuannya adalah untuk merasionalisasikan aliran perbendaharaan kerajaan bagi menangani bajet defisit, maka bagi kami apabila PM menyatakan bebanan rakyat boleh ditampung melalui menambah kuatum BR1M, bagi kami ini adalah polisi yang salah,” ujarnya dalam satu kenyataan.



Beliau berkata, BR1M hanya merupakan ubat ‘tahan sakit’ yang boleh menghilang rasa sakit untuk waktu yang sebentar. 



Namun, ujarnya dalam jangka masa panjang ia bukan satu ubat yang mujarab terutama bila pesakit berada dalam keadaan yang kritikal.



“Kami berpandangan rasionalisasi subsidi dengan cara menambahkan BR1M tidak bijak dan bukan pendekatan yang berkesan untuk mengatasi isu kenaikan kos hidup seharian di kalangan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah.



“Kami mengambil perhatian apabila PM mengumumkan penjadualan semula beberapa projek mega berdasarkan kos barang import yang diguna,” katanya lagi. 



Justeru, katanya Mapim berpandangan seharusnya hal ini sudah dipertimbangkan sejak dari awal, menangguh projek yang sedang dibina sebaliknya akan menambahkan kos kerana pemaju tidak akan mahu menanggung beban kos akibat penangguhan.



Tambah beliau, pihaknya menerima hakikat subsidi bukan suatu cara yang boleh bertahan lama kerana wang rakyat yang tidak diurus dengan baik sehingga dihabiskan untuk membayar subsidi yang tinggi adalah tidak produktif untuk jangka masa panjang.



Walau bagaimanapun, katanya jika suatu pentadbiran tidak bijak mengawal ketirisan dan tidak mampu mengawal perbelanjaan yang membazir dan boros, maka penarikan subsidi tidak akan memberi manfaat yang sepatutnya kepada rakyat.



Sebab itu, jelasnya Mapim berpendapat penarikan subsidi jika tidak diimbang dengan peningkatan integriti pengurusan kerajaan, akan mengakibatkan sebarang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan pasti akan memberi kesan yang parah kepada rakyat marhaen.



“Kami mendapati rakyat masih tidak berpuashati terhadap uruskelola kewangan negara. Terlalu banyak perbelanjaan yang tidak rasional seperti BR1M, berbelanja untuk hari perayaan dan acara peresmian persidangan dan mesyuarat kerajaan yang melampau oleh hampir semua agensi kerajaan, lawatan keluar negara oleh pemimpin negara  yang mengguna wang awam yang sangat tinggi dan tidak beretika dan pembeliaan alatan kerajaan yang melanggari prosedur sehingga membazir seperti dicatat dalam Laporan Ketua Audit Negara,” katanya.



Semua itu, kata Mohd Azmi dilihat oleh rakyat sebagai ketidakwajaran kerajaan membeban rakyat dengan kenaikan harga minyak. 



Katanya, di satu pihak rakyat diminta memahami beban subsidi adalah tidak rasional untuk ekonomi negara, di satu pihak yang lain rakyat melihat pemimpin negara hidup mewah, tidak perlu berbelanja wang sendiri untuk membayar bil bulanan dan tidak perlu risau berfikir berapa wang tunai yang ada untuk mengisi minyak kenderaan.



Najib pada petang 2 September lalu mengumumkan kenaikan harga petrol RON95 sebanyak 20 sen seliter menjadikan harganya RM2.10 daripada RM1.90 berkuatkuasa tengah malam itu.



Bermula tengah malam tadi, petrol RON97 pula dinaikkan harga 15 sen seliter kepada RM2.85 berbanding RM2.70 sebelumnya.


Harakahdaily