25 Ogos 2011

Felcra akan disaman besar-besaran

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa) akan memfailkan saman secara besar-besaran terhadap institusi tanah tersebut kerana mendakwa berlaku penyelewengan wang peneroka melalui koperasinya.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, kebanyakan peserta tidak berpuas hati apabila pendapatan mereka dibayar dalam bentuk dividen melalui koperasi Felcra.

Menyifatkan penyelewengan di Felcra sebagai lebih buruk berbanding Felda, Mazlan berkata, beliau menerima aduan bayaran dividen yang dibayar empat kali setahun iaitu setiap tiga bulan terlalu rendah.

"Pendapatan peserta Felcra dibayar secara individu dalam bentuk dividen selepas ditolak kos perladangan. Ada peneroka yang hanya dapat RM200 sahaja untuk masa tiga bulan. Ini sangat rendah," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Apa yang lebih mengejutkan katanya, koperasi Felcra tidak berdaftar dan pengurusan kewangannya tidak pernah diaudit.

"Koperasi Felcra tidak berdaftar jadi bila tak berdaftar, tak pernah diaudit. Ini menyebabkan ia lebih terdedah kepada penyelewengan," katanya.

Menurutnya, koperasi menggunakan duit peneroka untuk membayar kos lawatan kakitangan Felcra ke beberapa tempat, jamuan untuk orang-orang penting (VIP) dan sambutan keraian yang lain.

Beliau berkata, pihak Bapa yang merupakan salah satu NGO di bawah lajnah tersebut bersama panel peguam akan mengkaji samaada pembayaran dalam bentuk dividen perlu dikekalkan atau tidak.

"Panel peguam akan menggerakkan kempen untuk mendesak kerajaan membari pendapatan secara individu, bukan dividen seperti sekarang," katanya.

Menurut Mazlan yang juga Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), aduan yang banyak diterima adalah daripada peserta Felcra di Perak selain Terengganu, Johor, Negeri Sembilan dan Kedah.

Namun katanya, Felcra mana yang akan memfailkan saman tersebut akan didedahkan pada majlis sambutan hari raya warga Felcra peringkat kebangsaan, 16 September ini di Felcra Changkat Lada, Perak.

"Kita tak akan dedahkan awal sebab takut mereka akan menerima ugutan daripada pihak Felcra," katanya.

Katanya juga, kemenangan Mohamad Ramly Sanji, waris kepada peserta Felcra di Tapah dalam samannya terhadap Felcra Berhad baru-baru ini memberi semangat kepada peserta yang lain untuk memfailkan saman yang berikutnya.

Mohamad Ramly Sanji menang dalam samannya terhadap Felcra Berhad yang didakwa menceroboh tanah milik ibunya.

Mahkamah Tinggi Ipoh melalui Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Dr Hassan Abd Rahman yang memutuskan bahawa perjanjian yang dibuat oleh Felcra dengan ibu plaintif sebelum ini tidak sah.

Sehubungan itu pihak Felcra diarah membayar ganti rugi kepada plaintif dan kos tindakan itu akan ditaksirkan mahkamah.

Selain itu Hakim juga mengeluarkan perintah injuksi yang menetapkan bahawa pihak Felcra perlu mengosongkan tanah tersebut dalam masa 30 hari dan segala kos pengosongan itu perlu ditanggung pihak Felcra.

Plaintif menfailkan saman berkenaan pada 2008 selepas mendapati pihak defenden iaitu Felcra Berhad melakukan pencerobohan ke atas tanah seluas dua hektar dijalan Kacu Tapah, yang dibangunkan atas tujuan tanaman kelapa sawit.

harakahdaily/-

Kredibiliti Jabatan Kimia Malaysia Dipertikai

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 25 OGOS: Integriti Jabatan Kimia Malaysia (JKM) dipersoal apabila mahkamah diberitahu bahawa ahli kimia jabatan itu mengabaikan garis panduan penting ujian DNA.

Perkara itu didedahkan pakar DNA Australia, Dr Brian McDonald yang menjadi saksi kelima kes fitnah liwat II, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Brian dalam keterangannya menyatakan bahawa ahli kimia dari JKM, Nor Aidora Saedon mengabaikan prosedur penting ketika menjalankan analisis sperma yang dikaitkan dengan Anwar.

Katanya, Nor Aidora mempunyai peluang untuk memperbetulkan keputusan ujian tersebut namun tidak berbuat demikian.

"Apa yang beliau ada merupakan bukti campuran (DNA), lebih daripada seorang. Tapi beliau secara khusus mengabaikan perkara itu," jelas Brian di hadapan hakim Datuk Zabidin Mohd Diah.

Peguam Ram Karpal dalam prosiding hari ini menimbulkan kesangsian terhadap ujian sampel sperma yang diambil dari dubur pengadu Saiful Bukhari Azlan dan mendakwa ianya milik Anwar.

Anwar sebelum ini ditahan semalaman di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 16 Julai 2008 dan dibebaskan keesokkan harinya selepas sesi keterangan selesai.

Pasukan forensik PDRM kemudian mengambil sampel DNA pada sehelai tuala muka 'Good Morning', berus gigi, botol air mineral dan sehelai rambut yang ditinggalkan Anwar untuk dikaitkan dengan 'lelaki Y' iaitu DNA sperma.

Peguambela kemudian mendakwa polis sengaja memerangkap anak guamnya dengan meletakkan barang-barang tersebut agar Anwar meninggalkan sample DNAnya.

Sehubungan dengan itu berdasarkan ujian oleh ahli kimia JKM termasuk pakar Dr Seah Lay Hong mengesahkan 'lelaki Y' adalah ketua pembangkang.

Sankara yang ditemui media selepas mahkamah berehat berkata,JKM seharusnya mengemukakan bukti foto sampel air mani yang diambil untuk mengukuhkan dakwaan.

"Kaca (spesimen) diletakkan di bawah mikroskop dan terus anda boleh nampak sperma mati atau hidup. Sebab itu kita minta foto ditunjukkan di mahkamah," ujar beliau.

Katanya sehingga kini JKM gagal berbuat demikian.

Menurut Sankara lagi, makmal JKM mempunyai dua garis panduan dalam menjalankan ujian DNA malah jabatan itu tidak mempunyai akraditasi penuh dari panel antarabangsa.

Beliau menyatakan bahawa ujian DNA yang dilakukan oleh Seah dan Nor Aidora berlainan.

"Kedua-dua mereka perlu menggunakan garis panduan yang sama di dalam makmal. Prosedur ujian perlu sama," katanya.

tv news/

Aziz: Biometrik lebih banyak masalah dari dakwat kekal

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengakui bahawa penggunaan dakwat kekal untuk mengelak pengundian berganda, adalah kurang bermasalah daripada menggunakan sistem biometrik.

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur, pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, walaupun biometrik adalah "sistem yang sempurna" di segi teorinya, tetapi wujud kelemahan bila diamalkan.

"Hujah bahawa (seseorang yang mempunyai beberapa kad pengenalan) boleh mengundi sekali sahaja dan kemudian bawa kad lain ke saluran yang berbeza, dan ia akan sepadan dengan cap ibu jarinya dan dia akan dibenarkan mengundi

"Prasyarat bagi sistem ini berkesan ialah setiap orang mempunyai hanya satu kad pengenalan sahaja," katanya.

Dibanding dengan dakwat kekal, katanya, sistem tersebut boleh juga bermasalah pada hari mengundi dan menyulitkan prosesnya.

Abdul Aziz berkata, pihaknya mencubanya dengan 50 orang dan purata masa bagi setiap orang adalah 10 saat, tetapi menghadapi masalah apabila mesin tidak dapat mengesannya.

"Dengan dakwat kekal, anda hanya perlu celup jari dalam dakwat," katanya.

Beliau juga berkata sistem biometrik "sangat mahal" dan memerlukan sekurang-kurangnya tujuh bulan.

Abdul Aziz juga menafikan dakwaan timbalannya, Datuk Wan timbalan Ahmad Wan Omar bahawa dakwat kekal boleh digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menandakan pengundi naif supaya mereka hilang kelayakan untuk mengundi.

malaysiakini/-

CEO Apple Letak Jawatan

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

SAN FRANCISCO 25 OGOS : Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple Inc, Steve Jobs, meletak jawatannya pada Rabu disebabkan masalah kesihatan yang tidak mengizinkan beliau untuk terus memimpin salah satu syarikat paling berpengaruh tersebut.

Bagaimanapun Jobs berkata beliau tetap akan memainkan peranan dalam memimpin Apple Inc.

Tindakan tersebut dibuat Jobs selepas beliau menghadapi masalah kesihatan yang tidak diketahui dan mengambil cuti dengan tempoh yang tidak dapat dipastikan pada bulan Januari.

Ketua Pegawai Operasi Apple, Tim Cook telah dilantik mengambil alih jawatan tersebut.

"Saya sering menyatakan jika tiba suatu masa di mana saya tidak berupaya lagi untuk menjalankan tugas dan harapan sebagai seorang CEO Apple, sayalah orang pertama yang akan memberitahu anda. Malangnya, hari itu telah tiba," kata Jobs melalui sepucuk surat yang dihantarnya kepada lembaga pengarah dan warga Apple.

Apple berkata dalam satu kenyataan, Jobs menyerahkan perletakan jawatannya kepada lembaga pengarah pada Rabu dan mencadangkan Cook dilantik sebagai penggantinya. -AP

Jakarta keluar larangan pada Aidilfitri

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Langkah untuk keselamatan semua pegawai dilarang mengadakan jamuan sempena raya

JAKARTA: Pentadbiran bandar raya ini mengumumkan satu senarai panjang larangan untuk Aidilfitri tahun ini bagi memastikan ibu negara Indonesia selamat dan aman.

Gabenor Fauzi Bowo, berkata bagi memastikan satu dasar yang diperkenalkan tahun lalu dikekalkan, pentadbiran tidak akan mengadakan rumah terbuka di Dewan Bandar Raya.
Pada masa lalu, penduduk akan berkumpul di Dewan Bandar Raya pada hari kedua Aidilfitri untuk menikmati juadah raya dan kadangkala menerima duit raya.

“Semua pegawai bandar dilarang mengadakan acara seperti itu di kediaman persendirian mereka. Pihak lain yang mahu membuat rumah mereka kepada orang awam diminta memaklumkan polis Jakarta dan datuk bandar terlebih dulu, bagi memastikan agihan hadiah dilakukan secara adil,” katanya.

Pada masa lalu rumah terbuka Aidilfitri pernah mengakibatkan kematian apabila penduduk terperangkap dalam usaha mendapatkan hadiah. Insiden terburuk sejak beberapa tahun lalu berlaku pada 2008 di Pasaruwan, Jawa Timur apabila 21 orang maut di luar rumah seorang ahli perniagaan.

Pada 2003, di bandar ini, empat wanita terbunuh di sebuah rumah terbuka anjuran penduduk tempatan.

Fauzi akan mengadakan rumah terbuka terhad di kediaman rasminya di Jalan Taman Suropati di Tengah Jakarta selepas solat Aidilfitri.

Timbalan Ketua Polis Jakarta, Brig Jeneral Suhardi Alius, berkata mana-mana pegawai bandar dan kerajaan yang merancang mengadakan majlis besar-besaran perlu memaklumkan polis terlebih dulu.

“Dengan cara itu kami boleh mengerahkan kakitangan daripada polis Jakarta atau Agensi Arahan Awam di kediaman mereka, bagi mengurangkan risiko. Kami meminta mereka yang mahu membuat kebajikan untuk golongan miskin dan anak yatim supaya menggunakan saluran sesuai,” katanya.

“Tolong jangan agihkan makanan di persimpangan jalan kerana ia akan memburukkan kesesakan lalu lintas. Gesaan ini ditujukan kepada individu, organisasi dan parti.”

Katanya, bandar itu juga melarang konvoi kenderaan pada Aidilfitri bagi menghalang kesesakan dan kemalangan, walaupun memandu kenderaan dan melaungkan ‘takbir’ adalah cara tradisi meraikan hari terakhir Ramadan.

Polis Jakarta akan memantau berhampiran sempadan bandar pada malam terakhir Ramadan bagi menghalang konvoi dari bandar berjiran memasuki ibu kota ini. Sebarang konvoi yang masuk akan diarahkan kembali ke bandar mereka, kata Fauzi. – Agensi

KEMERDEKAAN MEMBANGUN JIWA BANGSA

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

اَلْحَمْدُللهِ الْقاَئِلِ :
إِنَّهُمْ يَكِيدُونَ كَيْدًۭا ﴿١٥﴾ وَأَكِيدُ كَيْدًۭا ﴿١٦﴾ فَمَهِّلِ ٱلْكَـٰفِرِينَ أَمْهِلْهُمْ رُوَيْدًۢا ﴿١٧﴾ – سورة الطارق : ۱٥ - ۱٧

Sesungguhnya mereka bermati-mati menjalankan rancangan jahat. Dan Aku pula tetap bertindak membalas rancangan jahat (mereka dan menggagalkannya). Oleh itu janganlah engkau mengharapkan segera kebinasaan orang-orang kafir itu, berilah tempoh kepada mereka sedikit masa.

أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ
وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita mempertingkatkan keimanan dan kesyukuran kita kepada Allah S.W.T kerana keimanan dan kesyukuran adalah asas kepada taqwa yang dituntut oleh Allah.

Muslimin Muttaqin Yang Berbahagia,

Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana pada tahun ini kita sekali lagi menyambut ulang tahun kemerdekaan negara kita. Kita juga harus bersyukur kerana sambutan kemerdekaan pada tahun ini jatuh pada hari raya kedua yang merupakan saat kita mengecap kemenangan menundukkan hawa nafsu kita.

Sesungguhnya kemerdekaan ini adalah salah satu nikmat Allah yang cukup besar kepada kita semua. Islam menuntut umatnya berjihad untuk mendapatkan dan mempertahankan kemerdekaan. Rasulullah S.A.W dan para sahabat telah berjihad dengan berhijrah keluar dari kampung halaman sendiri semata-mata untuk mendirikan sebuah Negara Islam Madinah yang merdeka bagi tujuan melaksanakan Syariat Allah seluruhnya.

Maka kemerdekaan adalah satu wasilah terpenting untuk melaksanakan Syariat Allah, bukan merupakan satu perayaan yang semata-mata diraikan, seolah-olah kita memberikan pengiktirafan kepada dosa-dosa penjajah yang memeras hasil bumi kita yang tercinta. Para Sahabat bukan sahaja mencari kemerdekaan di Madinah malah turut berjihad memerangi Negara-negara lain untuk memerdekakan rakyatnya daripada cengkaman pemerintahan kuffar kepada kebebasan memilih aqidah Islam.

Sidang Jumaat Sekelian,

Sekian lama kita menyambut kemerdekaan, tidak banyak perubahan yang berlaku terhadap Umat Islam dan Bangsa Melayu keseluruhannya. Kita masih lagi menjadi Bangsa yang kerdil dan tidak menjadi pengatur dan penentu dalam kehidupan masyarakat dan negara. Anak-anak remaja kita masih menjadi beban kepada usaha pembudayaan masyarakat dan menghadapi krisis identiti yang tidak berkesudahan. Bangsa kita masih menjadi bangsa yang malas dalam segala hal, malas membaca, malas berfikir dan malas berusaha sehingga kita sering teraniaya.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sudah merdekakah diri dan jiwa kita seiring dengan kemerdekaan Negara ? Ada orang berpendapat bahawa manusia menjadi merdeka apabila negaranya merdeka. Ada orang menganggap bahawa kemerdekaan itu mesti dihayati dan dinikmati sepenuhnya, dengan melakukan apa sahaja yang terlintas di hati dan terlihat di mata.

Ada juga orang yang berpendapat bahawa kemerdekaan bermakna kita mesti berpuas hati terhadap apa sahaja yang ada pada hari ini, walaupun tiada sebarang pembaikan dan perubahan dengan semata-mata bersandar kepada konsep kesyukuran.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Untuk menilai sejauh mana kita telah menghayati kemerdekaan, maka kita perlu mengetahui apakah pandangan Islam terhadap kemerdekaan. Kemerdekaan atau kebebasan merupakan salah satu prinsip asas dalam Syariat Islam. Islam melihat kebebasan sebagai suatu keperluan asasi bagi setiap manusia.

Sebab itulah disebutkan bahawa Islam membuka negeri-negeri ketika menawannya bukan menjajahnya kerana Islam tidak bertujuan menguasai tetapi bertujuan membebaskan manusia bagi menerima kebenaran Allah. Kita tidak melihat mana-mana kerajaan Islam yang memaksa rakyatnya memeluk Islam walaupun kita melihat ramai umat Islam disiksa dan dianiayai semata-mata kerana menerima Islam.

Kaum Muslimin Yang Berbahagia,

Mungkin banyak kesilapan yang kita lakukan dalam menghayati semangat kemerdekaan selama ini. Kita mewarisi pendekatan penjajah yang menjadikan kita sebagai bangsa yang lemah. Melayu dan Umat Islam menjadi lemah kerana penjajah mahukan kita menjadi lemah. Kita dimomokkan dengan gelaran peribumi dan dibiarkan karam dengan ego sebagai Bangsa Tuan dan ujub yang ketuanan tersendiri. Bangsa asing dilatih dan didedahkan dengan aktiviti ekonomi sehingga mereka mampu berdikari. Jiwa Melayu tidak pernah dibangunkan dengan kekuatan semangat sehingga mereka hilang jati diri. Melayu dibiarkan terus lemah sehingga jiwa dan minda mereka sebati dengan kelemahan. Kebanyakan kita sudah menerima bahawa bangsa kita adalah bangsa yang lemah dan tidak akan ada jalan untuk menghilangkan kelemahan tersebut.

Sidang Jumaat Sekelian,

Islam mempunyai kaedah dan pendekatan yang amat berkesan dalam membangunkan jiwa umatnya. Islam tidak pernah menghina manusia malah menaikkan semangat umatnya dengan pujian dan pengiktirafan.
لَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ فِىٓ أَحْسَنِ تَقْوِيمٍۢ ﴿٤﴾
Sesungguhnya kami jadikan manusia itu sebaik-baik kejadian
– At-Tin : 4
وَلَا تَهِنُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَنتُمُ ٱلْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ﴿١٣٩﴾
Dan janganlah kamu merasa lemah dan janganlah kamu berdukacita, padahal kamulah orang-orang yang terhebat jika kamu orang-orang yang beriman.
– Ali Imram : 139.

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۗ
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah
– Ali Imran : 110

Sidang Jumaat Sekelian,

Kita tidak boleh lagi menganggap Bangsa kita adalah bangsa yang lemah. Jangan lagi kita mengulangi ungkapan “Melayu Mudah Lupa”, “Melayu Haprak”, “Janji Melayu” dan sebagainya. Tonjolkanlah kejayaan dan kehebatan yang ada pada bangsa kita agar generasi akan datang merasa malu untuk mengaku sebagai Islam dan Melayu selagi belum memiliki kehebatan tertentu. Anggaplah kelemahan yang ada pada kita sebagai satu cabaran untuk kita melakukan perubahan bukan isyarat kehancuran buat generasi akan datang.

Wahai insan-insan bertaqwa sekelian,

Satu-satunya jalan untuk menjadi bangsa merdeka dan mengekalkan kemerdekaan adalah dengan membentuk masyarakat bertaqwa. Mana mungkin Allah akan mengangkat martabat bangsa yang terus-terusan menderhakaiNya. Apalah gunanya kebebasan fizikal. Jika hati masih terpenjara. Apalah gunanya sorakan kemerdekaan jika di sanubari tiada terdidik sebarang rasa untuk mempertahankannya. Apalah gunanya kibaran bendera merata-rata jika tiada lagi semangat juang untuk mempertahankan agama dan negara. Apa di bangga keamanan dan kemewahan negara jika hari yang berlalu hanya menambahkan dosa.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Perak

Ketua AMK Sekijang telah memeluk Islam

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Tiga hari lepas, Ketua Wanita Bukit Gelugor Cheryl Chew menghubungi isteri sharpshooter dan menceritakan hasratnya untuk memeluk Islam dan beliau meminta supaya beri cadangan nama Islam yang sesuai untuknya.

Beliau berbual panjang dengan isteri sharpshooter dan menceritakan beberapa masalah yang beliau hadapi dan beliau diberi kata-kata semangat, peransang agar tabah dengan ujian baru yang beliau hadapi.

Alhamdulillah kelmarin di Pejabat JIM Bukit Malawati jam 3.00 petang, akhirnya beliau melafazkan kalimah syahadah untuk memeluk Islam. Sesungguhnya hidayah itu mutlak datang dari Allah SWT, manusia tidak mampu memberi hidayah bahkan Nabi Muhammad sendiri tidak boleh memberi hidayah.

Sharpshooter difahamkan Ketua AMK Cabang Sekijang, Raymond Ng Kien Seng juga telah memeluk agama Islam dan telah selamat dinikahkan dengan pasangannya, Nor Hasnanie Jamil, Setiausaha PKR Cabang Sekijang pada 22 Ogos yang lepas. Alhamdulillah...Cahaya Ramadhan...Allahuakbar...

Dari blog milo suam - Berita gembira buat kita semua dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah ini apabila Ketua Wanita KEADILAN Bukit Gelugor, Cheryl Chew memeluk Islam petang semalam.

Beliau melafazkan kalimah Syahadah pada pukul 3.00 petang semalam di pejabat JIM Bukit Malawati. Dimaklumkan bahawa beliau kini menggunakan nama Huda Chew.

Antara rakan-rakan Cheryl yang menitiskan air mata kegembiraan dengan keislaman beliau. Dimaklumkan juga bahawa beliau menerima banyak hadiah berupa tafsir Al-Quran dan buku-buku agama dari rakan-rakan terdekat.

Difahamkan, sebelum ini Cheryl telah mula berpuasa dan mendalami Islam secara berperingkat sebelum mengambil keputusan untuk memeluk Islam di dalam hari yang bersejarah semalam.

Tinjauan ReJaM© di facebook menyaksikan Cheryl sudah menukar namanya kepada Huda Chew Hong Wah [Facebook Cheryl]

Jika tiada aral melintang, ReJaM© akan merakam temubual khas bersama Cheryl dalam masa terdekat untuk dikongsikan bersama anda semua Insya Allah.

Kepada Cheryl, selamat menikmati keindahan Islam.

Pindaan undi pos dijadual dibentang Oktober

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari ini bahawa ia berhasrat untuk menukar pengundi pos kepada 'pengundi awal', ekoran dakwaan berlaku penipuan undi menggunakan undi pos.

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur, pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof (kiri) berkata pindaan undang-undang itu diperlukan untuk membolehkan ia dirangka untuk pembentangan di sidang Parlimen Oktober ini.

"Hasrat kami adalah untuk mengubah status semua anggota polis dan Angkatan Tentera dan pasangan mereka,yang menjadi pengundi pos, kepada 'pengundi awal', yang boleh mengundi dua atau tiga hari sebelum hari mengundi," kata Abdul Aziz.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang bertugas jauh dari kem dan tidak boleh hadir untuk mengundi awal, masih boleh memohon menjadi pengundi pos.

Katanya, ini termasuk mereka yang bertugas di pos sempadan atau bertugas membuat rondaan di laut.

Bercakap dalam taklimat mengenai tuntutan BERSIH 2.0, Abdul Aziz berkata, dibandingkan dengan undi pos, pengundian awal adalah sama seperti pengundian biasa dan terbuka kepada penelitian ejen-ejen parti politik.

malaysiakini/-

Sumbangan Dari Idham Care

Ramadhan 1432H. [MOD] -

Azmi Abdul Aziz





Pengerusi Idham Care yang juga ADUN Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim Abdullah ketika ditemui dipejabatnya berkata sebanyak 800 barangan setakat ini yang telah berjaya disumbangkan oleh orang ramai termasuk keperluan makanan dan juga pakaian terpakai untuk kegunaan harian.

Setakat ini agihan telah dilakukan di Sungai Labu Bawah, Jalan Terusan dan Tebuk Jawa bagi DUN Titi Serong dan beberapa tempat di Parlimen Kuala Kangsar kepada mereka yang layak.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada penyumbang yang menyumbang ke Idham Care untuk diagihkan kepada fakir miskin. Tanpa penyumbang, maka kerja-kerja untuk agihan ini tidak dapat dilaksanakan seperti yang berlaku sekarang.

Antara sumbangan yang disumbang oleh orang ramai termasuklah beras, gula, garam, tepung, minyak masak dan pakaian.

Rakyat Malaysia di New York selamat

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

NEW YORK - Komuniti Malaysia yang berada di sekitar New York semasa kawasan itu mengalami gegaran sederhana pada pukul 1.51 petang (waktu New York) Isnin lepas, selamat.

Komuniti Malaysia di bahagian pesisiran pantai timur di sini agak besar, di samping beberapa bandar di sekitar luar kawasan New York City.

Sumber konsulat jeneral Malaysia di New York memberitahu Bernama bahawa mereka tidak dimaklumkan mengenai sebarang kecederaan akibat bencana gempa selama kira-kira 30 saat yang direkodkan berkekuatan 5.8 pada skala Richter itu.

Penasihat pertahanan di pejawabat perwakilan tetap Malaysia di sini Brig Jen Ng Chin Huat berkata beliau pada mulanya tidak perasan mengenai kejadian itu, namun tidak lama kemudian baru beliau sedar mengenai gegaran tersebut.

Pusat gempa bumi itu terletak berhampiran dengan Richmond, Virginia.- Bernama

Gaddafi hilangkan diri, atur strategi

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

PEMBERONTAK memijak patung kepala Gaddafi di Bab al-Aziziya, Tripoli, kelmarin.
Ahli perniagaan tawar RM5.34j tangkap pemimpin diguling

BENGHAZI: Sekumpulan ahli perniagaan Libya menawarkan ganjaran dua juta dinar (RM5.34 juta) kepada sesiapa yang dapat menangkap pemimpin negara itu Muammar Gaddafi, sama ada hidup atau mati, kata Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC).

“NTC menyokong inisiatif ahli perniagaan berkenaan yang sanggup menawarkan dua juta dinar sebagai ganjaran untuk menangkap Gaddafi hidup atau mati,” kata bekas menteri kehakiman Libya Mustafa Abdel Jalil yang berpaling tadah dan menyertai pemberontak.
Beliau berkata pihaknya juga menawarkan pengampunan kepada sekutu atau penyokong Gaddafi yang berjaya menangkap atau membunuh Gaddafi.

“Kami bimbang Gaddafi akan mencetuskan masalah besar berikutan kedegilannya,” kata beliau yang mengesahkan laporan bahawa pertempuran masih berterusan antara penyokong pemimpin itu dan pemberontak di Bab al-Aziziya.

Sementara itu, Gaddafi mengakui sudah meninggalkan kediaman utamanya di Tripoli iaitu Bab al-Aziziyah yang ditawan penentangnya semalam sambil menyifatkan tindakannya menghilangkan diri bertujuan memberikan peluang kepadanya mengatur strategi terhadap musuh.

“Bab al-Aziziyah tiada makna lagi kerana sudah musnah selepas menjadi sasaran 64 kali serangan peluru berpandu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

‘Kami berundur atas sebab taktikal,” katanya dalam ucapan yang disiarkan sebuah laman web stesen televisyen milik anak lelakinya, Saif al-Islam.
Ucapan itu turut dipetik saluran Al-Oruba yang pro-Gaddafi selepas pemberontak merempuh masuk kediaman berkenaan tetapi tidak menemui pemimpin itu atau mana-mana anggota keluarganya.

Tidak diketahui di mana Gaddafi mungkin berada. Tetapi, bagi sesetengah pihak, ada banyak tempat yang boleh melindungi Gaddafi termasuk di bawah tanah.

Lelaki yang memerintah Libya selama 42 tahun dikenali mempunyai banyak kubu bawah tanah di Bab al-Aziziyah di Tripoli.

Beberapa orang pernah melihat terowong itu dan masih tidak jelas ia wujud.
Sepanjang enam bulan pemberontakan, Gaddafi dilihat semakin kurus dan cengkung melakukan beberapa penampilan di khalayak kemudian menghilang.

Selepas pemberontak memasuki kediaman itu, Isnin lalu, pemimpin itu sekali lagi hilang. Ramai pemberontak yakin beliau berkurung di Bab al-Aziziyah, seorang pegawai kanan, Fathi al Baja memberitahu ada laporan mengatakan Gaddafi yang hampir 70 tahun mengalami serangan jantung dan terlantar di kediamannya. – AP/AFP

Topi keledar unik

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

BENTUK topi keledar yang kelihatan seperti otak manusia.

ASTANA - Sebuah firma di Kazakhstan menghasilkan topi keledar yang mempunyai imej hiasan seperti buah tembikai dan otak manusia, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Rekaan aneh itu juga mengandungi imej kepala botak dan bola tenis serta potongan rambut.

Kesemua rekaan tersebut diilhamkan oleh syarikat itu yang ingin menjadikan idea tersebut suatu realiti.

"Kami cuba melakukan sesuatu sekadar untuk hiburan. Namun, buat masa kini kami telah mempunyai cadangan untuk meminta hak pengeluaran di Amerika Syarikat dan Jepun," kata pereka topi keledar itu, Renat Abdrakhmanov. - Agensi

Kosmo!

Pemberontak kuasai 90-95 peratus wilayah di Libya

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

DUBAI 25 Ogos – Rejim Muammar Gaddafi dilaporkan telah kehilangan penguasaan antara 90 hingga 95 peratus ke atas Libya.

Jurucakap tentera pemberontak, Kolonel Abu Afra berkata, mereka kini menguasai antara 90 hingga 95 peratus negara ini.

“Kejatuhan komplek kediaman Bab al-Aziziyah menjadi simbol kekalahan rejim Gaddafi di Tripoli dan Libya,” katanya. – AFP

Ribut Irene musnahkan Bahamas

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

NASSAU (Bahamas): Ribut Irene yang melanda kepulauan Bahamas memusnahkan kediaman dan dijangka mengancam beberapa pulau kecil di sekitar yang mempunyai jumlah penduduk ramai.

Perdana Menteri Bahamas, Hubert Ingraham, berkata laporan awal yang diterima susulan kejadian Jumaat lalu menunjukkan tiada kecederaan atau kematian dan kerosakan akibat ribut yang diklasifikasikan dalam kategori tiga sehingga memusnahkan keseluruhan bandar berkenaan.

Ingraham berkata, data terkini ribut itu menunjukkan Pulau Cat yang mempunyai kurang penduduk dan Rum Cay berada dalam situasi bahaya kerana ribut Irene dijangka melepasi kedua-dua pulau itu.

Pakar kaji cuaca Bahamas berkata, pulau terbesar yang mempunyai ramai penduduk, New Providence akan dilanda ribut kuat angin tropika bermula hari ini. - AP

Lembu tersangkut pada penghadang jalan

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

ROM - Seekor lembu tersangkut pada penghadang jalan dekat kampung Montecorvino Rovella-Salerno di Itali, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Kejadian tersebut berlaku apabila lembu itu cuba untuk melompat melepasi penghadang jalan itu.

Namun, kesilapan lompatan itu menyebabkan ia hilang iimbangan sekali gus mengakibatkan badan haiwan tersebut tersangkut pada penghadang jalan baru-baru ini.

Seorang mekanik, Roberto Marano, 42, berjaya merakamkan gambar haiwan itu.
Namun, katanya, lembu itu akhirnya berjaya melepaskan diri. - Agensi

Seramai 26 Pelombong Terperangkap Di China

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

BEIJING: Seramai 26 orang pelombong terperangkap sejak dua hari dalam sebuah lombong arang batu di timur laut China.

Akhbar tempatan berkata pasukan penyelamat pada Khamis cuba untuk mengepam air keluar daripada lombong dekat Qitaihe di wilayah Heilongjiang namun masih gagal berhubung dengan mangsa yang terperangkap.

Laporan menyebut lombong tersebut dipenuhi dengan air pada Khamis apabila pekerja melalui sebuah lorong yang banjir.

Seramai 19 pekerja lombong berjaya menyelamatkan diri ke permukaan tanah.

Laporan juga memberitahu bahawa tujuh orang pegawai telah ditahan kerana disyaki menjalankan operasi lombong tersebut secara tidak sah. -AP

6 rakyat Palestin maut serangan roket Israel

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

BANDAR GAZA: Serangan udara Israel membunuh enam rakyat Palestin dan mencederakan lebih 24 orang dalam tempoh 24 jam ketika Palestin melancarkan serangan roket terhadap Israel, menurut sumber kedua-dua pihak.

Serangan kedua-dua negara merentasi Gaza itu menimbulkan kebimbangan kepada kanak-kanak apabila keganasan tercetus dalam tempoh hanya 48 jam selepas puak militan bersetuju menamatkan serangan di selatan ISrael dengan syarat tentera udara Israel juga menamatkan serbuan.

Pertempuran dicetuskan oleh serangan udara Israel Isnin lalu yang membunuh Ismael al-Ismar, 34, seorang pemimpin Briged Al-Quds, tentera sayap militan Jihad Islam di bandar Rafah selatan Gaza. - AFP

Peru dilanda gempa kuat 7.0 magnitud

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

LIMA: Gempa bumi kuat 7.0 magnitud menggegarkan timur Peru hari ini dengan gegaran dapat dirasakan 480 kilometer (km) dari bandar Lima serta negara jiran, Ecuador dan Brazil.

Ahli Seismologi dari Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) berkata, pusat gempa bumi di 80 kilometer dari selatan Pucallpa, sebuah bandar terpencil pemisah antara pergunungan Andes dan hutan Amazon dengan kedalaman 145 kilometer dari aras bawah tanah.

Belum ada laporan kerosakan atau kecederaan direkodkan dan Pusat Amaran Tsunami Pasifik berkata, tiada tsunami berlaku selepas gempa bumi itu. - AFP

Baiki Solat Dan Jaga Amanah

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Pada kali ini marilah kita renungkan 6 soalan yang dibincangkan oleh Imam Ghazali dengan murid-muridnya. Walaupun nampak mudah tetapi sebenarnya amat besar peranan dan kesan dalam hidup kita di dunia apatah lagi sewaktu kita berjumpa Allah nanti. Mari kita bincangkan dalam konteks kehidupan pada hari ini semoga kita dapat manfaatnya.

Soalan-soalan tersebut ialah
1. Apakah benda yang paling dekat ?
2. Apakah benda yang paling jauh ?
3. Apakah perkara yang paling besar?
4. Apakah perkara yang paling berat?
5. Apakah benda yang paling ringan? dan
6. Apakah yang paling tajam?

Saya percaya hampir semua orang Islam tahu menjawab soalan-soalan tersebut tetapi apalah salahnya diulang semula kerana kita tidak dapat lari dari penyakit lalai dan lupa, dan adakalanya kita tersilap memberi keutamaan.

1. Benda yang dekat ialah mati. Sesuai dengan umur dunia yang sudah semakin tua, kita pun tidak tahu bila masanya kita akan mati. Mati tidak sahaja menimpa orang yang sakit, tetapi juga mereka yang tidak pernah sakit, baik tua baik muda baik kanak-kanak atau siapa sahaja.

Mati di sini juga boleh membawa maksud sakit di mana kita tidak mampu buat apa-apa lagi dalam menguruskan diri kita sama seperti orang yang telah mati hanya berharap diuruskan oleh orang lain yang hidup dan sihat. Oleh itu sebelum kita tidak dapat menguruskan diri baiklah kita bersiap sedia apa-apa yang perlu.

Kita perlu pastikan semua yang kita buat ada hubungkaitnya dengan beribadat kepada Allah. Disamping menikmati hasil keduniaan kita juga akan dapat ganjaran pahala sebagai bekalan yang kekal, Insyaallah.

Saidina Umar Al-Khattab r.a. pernah mengingatkan kita , “ Hisablah (hitunglah) diri kamu sebelum kamu dihisab(dihitung ) dihadapan Allah di akhirat nanti.”

Mati adalah satu perkara yang sangat menggerunkan dan untuk meringankan azab sakratulmaut, disamping menunaikan ibadat-ibadat wajib, banyakkanlah beristighfar, berzikir dan bertahmid memuji keagungan dan kebesaran Allah, serta sentiasa meminta belas-ihsan panduan Allah terhadap apa jua yang kita lakukan. Di samping itu banyakkanlah berselawat atas Rasul Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. mudah-mudahan dengan syafaat baginda kita diringankan bebanan terutama di dalam kubur.

Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya sentiasa berselawat ke atas rasulnya, dan dalam sebuah hadis ada diriwayatkan sabda Rasulullah bahawa setiap selawat yang kita ucapkan ke atas rasul akan dibalas dengan 10 kali selawat oleh Allah ke atas kita.

Rasulullah pernah mengingatkan isterinya Saidatina Aishah r.a. dalam sebuah hadis yang bermaksud “Jangan kamu tidur sebelum kamu melaksanakan empat perkara, membaca Al-Quran sampai khatam (membaca surah Al-Ikhlas 3 kali), berselawat keatas Rasulmu, berdoa memohon keampunan untuk seluruh umat Islam, dan beristigfar, berzikir, bertahmid memuji kebesaran Allah Subhanahuwataala.”

Hadis yang ringkas ini bukannya susah pun untuk dilaksanakan jika kita jadikan amalan setiap malam sebelum tidur. Kalaulah terus tertidur tak bangun-bangun keesokan paginya, Insyaallah mati kita adalah dalam iman.

Kalau mampu buatlah solat sunat taubat setiap malam sebelum tidur, meminta keampunan atas segala kesalahan yang kita lakukan, dengan perasaan yang amat benci terhadap kelakuan kita tesebut dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi.

2. Benda yang paling jauh ialah masa yang telah lalu. Masa yang telah lalu sudah menjadi sejarah dan tidak ada apa-apa yang kita ubah lagi. Oleh itu dengan kesempatan yang masih ada lakukanlah sesuatu yang baik, atau ubahlah sesuatu yang kurang baik kepada perkara yang lebih baik.

Contoh paling nyata ialah sewaktu anak-anak masih kecil, asuhlah mereka supaya hormati orang-orang tua. Atau pun jangan berhenti menyuruh mereka solat bila sampai waktunya. Dengan sendirinya perkara-perkara baik sebegini akan jadi tabiat yang berguna dan Insyaallah akan kekal sehingga mereka meningkat dewasa.

Mungkin ada anak-anak kita yang sedikit degil tetapi janganlah hendaknya kita berputus asa. Anak-anak kecil belum tahu apa-apa, ibubapalah pembentuk mereka.
Sedikit sahaja kelalaian dipihak kita kesannya cukup besar bila mereka dewasa nanti

Kalau kita ada kuasa untuk mengubah sesuatu kepada yang lebih baik, maka ubahlah sewaktu kita ada kuasa, jangan tunggu sehingga kuasa sudah hilang baru kita teringat. Kadang-kadang kita tidak tahu kita ada kuasa sehingga kuasa itu hilang dari genggaman kita.

3. Perkara dan musuh yang paling besar pula ialah nafsu ?
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, “Tidak beriman seseorang itu sehingga dia boleh menjinakkan nafsu supaya mengikut kata imannya. “

Kehendak nafsu sentiasa berlawanan dengan kehendak atau dorongan iman. Setiap orang Islam mesti berusaha untuk mengawal nafsunya, baik nafsu makan, nafsu syahwat, nafsu bekerja, nafsu berhibur, nafsu mencari harta, nafsu berpakaian, nafsu berkata-kata, nafsu untuk berkuasa, nafsu menghias rumah, nafsu suka dipuji, nafsu bermegah-megah dan sebagainya.

Antara contoh-contoh bagaimana nafsu berusaha untuk mengawal dan mempengaruhi kita ialah, bila terdengar azan untuk solat, nafsu akan memujuk, biarlah ! lambat lagi, apa nak kejar, kalau kita hendak menolong seseorang, nafsu akan mengatakan, buat apa nak tolong, ramai lagi orang lain boleh menolong; nak bersedekah dengan wang yang sedikit sedang itu sahaja yang kita mampu,

nafsu akan mengatakan, sedikit boleh jadi apa, tunggulah lain kali sahaja, tentu lebih banyak dapat disediakan, nak mula mendekati mesjid selalu, nafsu akan memujuk dengan mengatakan apa nak susah, umur masih muda, di rumah pun boleh solat, tua nanti buatlah lagi senang dah kurang tanggungjawab kerana anak-anak dah besar dan macam-macam lagi. Sangat ramai orang yang tewas kerana nafsu.

Dalam bulan Ramadan ini berjayakah kita melawan nafsu makan, mampukah kita mengurangkan belanja dapur berbanding dengan bulan-bulan sebelum ini ?

Nafsu juga boleh menyebabkan kita jadi bakhil. Kita selalu keberatan untuk berderma atau bersedekah sebab takut miskin sedangkan kaya miskin adalah anugerah dan ketentuan Allah. Allah boleh bagi atau tarik balik sebarang rezeki yang Dia bagi kepada kita..

4. Perkara yang paling berat adalah memegang amanah.
Sejauh mana kita menjalankan tanggungjawab kita memegang amanah. Adakalanya tanggungjawab itu datang sendiri secara mengejut seperti bila ibu atau bapa meninggal dunia, atau bila ketua pejabat bertukar sementara datangnya pengganti. Adakalanya tanggungjawab datang kerana kita memintanya melalui pertandingan atau pun ditawarkan.

Di mana sahaja setiap seorang dari kita mesti ada memikul amanah sekurang-kurangnya terhadap diri sendiri dan keluarga.

Seorang majikan atau ketua tempat bekerja memikul amanah bagaimana menjaga kebajikan dan pengurusan tempat kerja tersebut supaya teratur, tanpa penyelewengan, sentiasa ceria dan berdaya maju.

Seorang pemimpin negara atau parti atau persatuan mesti menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah. Tidak boleh pecah amanah menyalahgunakan apa-apa yang bukan hak kita untuk diri sendiri. Khalifah Umar Abd Aziz r.a. menunjukkan contoh yang baik iaitu jika urusan keluarga maka dia akan menggunakan lilin khas untuk urusan keluarga dan bukan menggunakan lilin yang dikhaskan untuk urusan negara.

Pecah amanah juga boleh berlaku jika kita menyerahkan apa-apa jawatan kepada orang yang kita sukai atau rapat dengan kita tetapi dia tidak layak atau yang belum sampai masanya untuk memegang jawatan tersebut sedangkan ada orang lain yang lebih layak kepada jawatan itu.

Kesan pecah amanah amat besar bukan sahaja kepada individu tetapi mungkin kepada anak-anak dan keluarga. Sekiranya melibatkan wang maka apa yang pasti ialah makanan yang dibeli dengan wang haram itu seumpama memasukkan api neraka ke dalam mulut kita dan anak-anak kita.

Pernah kita mendengar orang-orang mengatakan, “Aku gunakan wang itu bukan untuk makanan tetapi benda-benda lain yang tak akan jadi darah daging aku dan keluarga aku” Betulkah ?

Jika dengan wang haram itu dibelikan barang-barang keperluan, maka wang asal yang disediakan untuk membeli barang-barang itu sudah bukan hak kita lagi, sesungguhnya semua wang dari sumber tidak halal, akan tetap haram.

Kita janganlah lupa terhadap cerita bagaimana seorang pekerja yang baik tetap disiksa Allah kerana mengambil sedikit sahaja carikan kayu dari tempat kerjanya tanpa kebenaran tuannya untuk membersihkan giginya. Sesungguhnya Allah Maha Melihat lagi Maha Mengetahui apa yang kita kerjakan.

“Dan janganlah kamu makan iaitu mengambil harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah , dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (iaitu mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa padahal kamu mengetahui (salahnya). Al-Baqarah 188

Memang amat berat kalau terpaksa memikul amanah sedangkan ramai dari kita tidak mampu untuk memikulnya. Kalau boleh, elakkanlah secara sengaja mencari sebarang beban sedangkan kita tahu kita adalah lemah dan tidak mampu untuk melaksanakannya.

“ Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala” An-Nisaa 10

Sebagai contoh; Sekiranya ada antara kita (sama ada lelaki atau perempuan) yang diamanahkan menjaga harta peninggalan ibu bapa yang dulunya kita jaga sewaktu adik-adik masih kecil, dan kini mereka telah dewasa, maka pulangkanlah (serahkan) semula jika masih ada kepada adik-adik kerana itu bukan hak kita lagi.

Janganlah pula dijadikan hak kekal dan diberikan pula kepada anak-anak dengan perasaan takut miskin kerana rezeki itu adalah hak Allah, kita hanya pemegang amanah sahaja. Harta-harta rampasan seperti inilah yang akan merenggangkan silaturrahim dan menyusutkan segala keberkatan amalan yang kita lakukan.

Seiring dengan ketibaan Hariraya tak lama lagi, para ustaz juga selalu mengingatkan kita, janganlah pula kerana hendak menyambut Hari Raya kita menambah hutang jika tidak perlu, atau menambah dosa dengan menyalahgunakan harta atau apa-apa yang bukan hak kita walaupun sementara dengan tujuan lepas raya dipulangkan atau bila ada wang akan diganti semula.

Ingatlah bagaimana cerita Saidina Umar Al-Khattab r.a. diperingatkan oleh pegawai kewangannya supaya tidak menggunakan kemudahan perbendaharaan Islam walaupun ketika itu khalifah dalam kesempitan. Sesungguhnya mati itu sangat hampir dan kita semua tidak tahu setakat mana umur kita.

Sama-samalah kita menjaga semua amanah sebaik mungkin, Insyaallah kita akan selamat.

5. Yang paling ringan ialah meninggalkan solat:

“ Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman yang ditentukan waktunya” An-Nisaa’ 103

Sebagai tanda beriman semua orang Islam mesti melaksanakan Rukun Islam yang kedua iaitu sembahyang(solat) pada waktunya. Tidak ada alasan untuk melambat atau meninggalkan solat..
Imam Ghazali mengatakan solatlah yang paling diambil mudah untuk ditinggalkan oleh orang Islam.

“ Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (Iaitu) mereka yang percaya dengan yaqin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya “ Al-Baqarah 45-46

Terlalu banyak alasan yang selalu digunakan oleh orang Islam yang tidak kuat imannya, seperti pakaian kotor, (adakah pakaian kotor itu najis atau tidak najis); masa masih ada lagi (yaqinkah selepas itu kita akan kelapangan dan ada masa ); mesjid dan surau tak ada (solat itu di masjid dan surau sajakah );

telekung tak bawa (wajibkah bertelukung, apa kah pakaian kita tidak menutup aurat); sejadah tak ada (perlukah sejadah)?. Saya pernah melihat warga kita di luar negara, tepi jalan, tepi perhentian bas, di stesen keretapi, dalam supermarket pun (dalam tempat uji pakaian ) boleh solat. Sesungguhnya bumi Allah ini luas dan bersih kecuali disempitkan dan dikotorkan oleh manusia.

Meringankan solat juga boleh bermaksud meringankan kesempurnaan solat seperti, tidak berjemaah, kalau berjemaaah , saf tidak lurus, masuk saf lambat, jemaah tidak rapat satu sama lain, tidak mahu berganjak kalau ada lompang setelah ada makmum yang keluar saf, pentingkan diri dengan mengejar kipas dan alat hawa dingin, bersuara kuat hingga ganggu orang di sebelah, atau tidak berwuduk dengan sempurna, dan lain-lain lagi.

Rasulullah mengingatkan kita bahawa amalan solatlah yang akan dinilai dahulu sebelum Allah menilai ibadat yang lain, secara tidak langsung kalau gagal penilaian solat, amalan yang lain akan sia-sia sahaja.

Orang yang gagal dalam penilaian solat atau solatnya tidak diterima, atau yang tidak bersolat, tempat mereka adalah dalam neraka Saqar. Penghuni neraka Saqar dibakar sehingga hangus dan kemudian dipulihkan semula kulit-kulit mereka dan dibakar semula, begitulah seterusnya dan mereka kekal di dalamnya.

“Tentang (tempat tinggal) orang yang bersalah, “ Al-Muddaththir 41

Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka (ahli syurga bertanya); “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka ) Saqar ? ” Al-Muddaththir 42

“Orang-orang yang bersalah itu menjawab; “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang (solat); “ Al-Muddaththir 43

“Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;” Al-Muddaththir 44

“Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya; “ Al-Muddaththir 45

“Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasnan” Al-Muddaththir 46

Marilah sama-sama kita terus berusaha memperbaiki solat kita kerana solat adalah tiang agama.

6. Yang paling tajam ialah lidah

Tidak ada senjata yang paling tajam selain daripada lidah.

Lidah (keupayaan berkata-kata) perlu digunakan untuk kebaikan dan janganlah pula digunakan untuk keburukan.

Jika percakapan yang disampaikan berupa provokasi atau pun fitnah, pengajaran yang terpesong, atau arahan yang zalim dan kejam, kesan atau akibatnya amat serius boleh mendatangkan kesan buruk satu atau beberapa generasi yang tidak boleh diperbaiki lagi sampai bila-bila. Memang mudah untuk memohon maaf atas sebarang ketelanjuran kata-kata, tetapi bagaimana pula kesan emosi, atau kesan jangka panjang ke atas individu, atau keluarga yang menjadi mangsa, sudah pasti amat sukar untuk disembuhkan.

“ Fitnah itu lebih buruk(dahsyat) daripada membunuh”

Orang Islam tidak akan lupa bagaimana rumahtangga Rasulullah bergoncang akibat fitnah yang ditujukan ke atas Saidatina Aishah r.a. isteri baginda sehingga Allah menurunkan wahyu menerangkan kebenaran dan menjernihkan suasana.

Oleh itu untuk tidak dimurkai Allah, dalam pergaulan sehari-hari, jangan amalkan sifat munafik dan jauhkan diri dari mereka yang bersifat demikian iaitu; kalau berjanji dia mungkir janji, kalau bercakap dia dusta dan kalau diberi amanah dia akan pecah amanah.

Sebaliknya lidah (yakni keupayaan berkata-kata) hendaklah digunakan untuk menyampaikan ilmu yang berguna, memberi nasihat atau mengajar dan membaca Al-Quran dan sebagainya. Ia bukan sahaja berfaedah untuk diri penyampai, malahan akan memberi menfaat untuk masyarakat sampai bila-bila. Sekiranya perkara baik tersebut disebarkan pula kepada orang lain selepas itu, ganjarannya akan terus berterusan seperti mengalirnya air sungai sama juga seperti ganjaran harta diinfakkan untuk ke jalan Allah.

“ Dan bersegeralah kamu mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa”
(A-Li Imraan 133).

Sebaik-baiknya marilah sama-sama kita meneruskan tugas Rasulullah menyeru kepada berbuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan, terutama kepada diri sendiri, anak-anak, isteri dan kaum keluarga kita, sesungguhnya kita hanya penyeru dan penyampai dan kita tiada daya untuk memberi hidayah kerana ia hak Allah, sepertimana gagalnya seruan Nabi Ibrahin a.s. kepada bapanya, Nabi Noh a.s kepad anaknya, Nabi Musa a.s. kepada Firaun, Qarun dan Haman, Nabi Muhammad s.a.w kepada bapa saudara baginda, dan sesungguhnya kita adalah dilarang berputus asa.
Mudah-mudahan dengan usaha yang berterusan, kita dan orang-orang disekeliling kita akan tetap dalam peliharaan Allah sampai bila-bila.

Disamping itu semasa melakukan ibadat atau kerja-kerja kebajikan janganlah pula lupa berdoa ke hadrat Allah s.w.t. agar kita sentiasa dipermudahkan dan dilimpahi rahmat dan kurniaanNya.

“ Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepada mu (Wahai Muhammad) mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka ) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir ( kepada mereka ); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu, Maka mereka hendaklah menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu);, dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik dan betul “ Al-Baqarah 186

“Dan Tuhan kamu berfirman” Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina” Al-Mukmin 60

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri” Al-Baqarah 222

“ Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya” An-Nahl 128

Suka juga diselitkan di sini janganlah kita celupar dalam berkata-kata walaupun ia tidak menyakitkan hati sesiapa tetapi dibimbangi kalau kata-kata tersebut akan menjadi seperti doa yang akan merugikan kita seperti contohnya, pasangan pengantin baru berkata tidak mahu anak dahulu, nak rehat dahulu, anak-anak menyusahkan atau sebagainya.

Jika ia diucapkan sewaktu Allah mengkabulkan doa kan susah jadinya. Ataupun mereka yang baru keluar pusat pengajian, tak mahu minta kerja dulu, nak rehat dulu, sudah penat nak rehat seketika, nantilah dulu atau apa-apa sahaja ucapan yang tidak sepatutnya diucapkan.

Sudah banyak kali kita mendengar orang merungut dah puas berusaha tapi masih susah dapat anak, susah dapat kerja dan sebagainya. Bagi mereka yang terlibat, eloklah muhasabah diri kalau-kalau pernah tersasul kata walaupun tanpa niat.

Jika ada eloklah buat solat taubat banyak-banyak minta keampunan dan minta dikasihani Allah. Ambillah peluang istimewa di bulan Ramadan yang amat berkat, dan bulan yang dibuka pintu langit tanpa sebarang hijab ini, semoga segala permohonan dimakbulkanNya, Insyaallah.. .

Dalam sebuah hadis Rasulullah ada menyebut bahawa tiga kumpulan yang tidak ragu-ragu akan dimakbulkan doanya ialah orang-orang yang dizalimi, orang yang bermusafir dan doa ibubapa terhadap anak-anaknya.

Oleh itu mulai sekarang marilah kita berazam untuk memperbaiki apa-apa sahaja kelemahan yang ada, memperbaiki kesempurnaan semua ibadat kita, tuturkata dan tingkahlaku dan berusaha menyumbangkan apa-apa sahaja yang kita terdaya demi agama Islam yang kita kasihi, mudah-mudahan nama kita akan diseru oleh semua malaikat yang menjaga semua pintu-pintu syurga di hari pembalasan nanti, Amin...

Oleh: MZD

Kemana Wang Hasil Dari Taksiran Cukai Pintu dan Tanah digunakan?

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Cukai pintu atau cukai rumah adalah cukai yang dikenakan ke atas semua
hartanah yang terletak di bawah bidang kuasa Majlis Bandaraya Miri.
Tujuan mengenakan cukai pintu adalah seperi berikut:

(i) Untuk memastikan pihak berkuasa tempatan mempunyai hasil yang
mencukupi dalam menyediakan perkhidmatan awam.

(ii) Untuk memastikan setiap pemilik rumah (pembayar cukai) memberi
sumbangannya secara adil terhadap dana perkhidmatan Majlis.

Kita sebagai pembayar cukai pintu ingin mengetahui bagaimana pihak
Majlis Bandaraya Miri (MBM) menggunakan dana wang awam tersebut dan
kemana hasil yang telah digunakan. Kita sebagai pembayar cukai
mempunyai hak mengetahui kemana hasil wang cukai yang dikutip setiap
tahun tersebut.

Kita dapati ada orang awam membuat aduan tentang masalah tong sampah
mereka yang telah rosak dan mohon diganti dengan yang baru tetapi
tidak dilayan sebaliknya mereka di suruh membeli tong sampah yang baru
sedangkan kita semua tahu tong sampah tersebut dulunya dapat percuma
dari MBM hasil bayaran cukai pintu tahunan.

Sepatutnya pihak MBM
memberi percuma tong sampah tersebut kepada pembayar cukai sebab
setiap tahun kita dikenakan cukai pintu sedangkan kita tidak dapat
perkhidmatan yang terbaik dari MBM.

Adakah kita dikecualikan dari cukai pendapatan setelah ditolak cukai
tanah dan cukai pintu? Mengapa rakyat harus membayar banyak cukai
kepada kerajaan sedangkan hasil yang rakyat dapat tidak seberapa
dimana ada sesetengah wakil rakyat kerajaan menyindir rakyat dengan
mengatakan kalau kerajaan tidak bagi pembangunan rakyat akan hidup
susah.

Sepatutnya wakil rakyat tersebut yang sedar kalau rakyat tidak
membayar cukai belum tentu kerajaan boleh membina sekolah,jalanraya
dan sebagainya.

Kita minta pihak MBM dan pihak kerajaan dapat memberi penjelasan
tentang masalah bayaran cukai tanah dan pintu ini kepada rakyat
mengapa mesti membayar tahunan dan tidak dikecualikan dari hasil cukai
pendapatan.

Seharusnya rakyat yang kurang berkemampuan di kecualikan
dari membayar cukai kerana ini akan membebankan kehidupan seharian
mereka. Tanah Sarawak yang luas tetapi kehidupan rakyat tetap miskin
ini persoalan yang perlu di jawab oleh pihak kerajaan.

Harap pihak yang berkenaan dapat mengambil perhatian tentang masalah
rakyat yang tersebut di atas.

Jofri Jaraiee
PAS Miri

Hadis 7 : Fadhilat Ramadhan (Lailatul Qadar)

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Alhamdulillah. Segala puji-pujian hanya layak untuk Allah s.w.t. sahaja, Tuhan seru sekalian alam. Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda.

Dari Ubadah bin Samit r.a. telah bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang Lailatul-Qadr. Lalu baginda bersabda:

“ Ianya berlaku pada bulan Ramadhan pada sepuluh malam yang akhir. Sesungguhnya ia berlaku pada malam-malam yang ganjil, pada malam ke 21,23,25,27 atau 29 ataupun pada malam terakhir dari bulan Ramadhan. Sesiapa yang bangun beribadat padanya dengan iman dan niat untuk mendapatkan ganjaran,

semua dosanya yang terdahulu akan diampunkan. Di antara tanda-tandanya ialah keadaannya terang dengan langit yang bersih, tenang lagi suyi, tidaklah terlalu panas dan tidak pula terlalu sejuk. Seolah-olah bulan sdang memancar ( kerana banyak Nur kerohanian ).

Bintang-bintang tidak digunakan untuk melontar syaitan pada malam itu sehingga ke pagi. Di antara tanda-tandanya lagi ialah sesungguhnya matahari akan terbit keesokan paginya tanpa cahaya yang bersinar kuat. Ianya terbit dalam bentuk satu bulatan yang rata seperti bulan purnama. Allah s.w.t. telah mengharamkan syaitan keluar bersamanya pada hari itu.' (sebaliknya pada hari-hari yang lain syaitan akan muncul di tempat matahari terbit) ”.

Huraian Ringkas.

Beberapa alamat Lailatul-Qadr sudah jelas diterangkan oleh hadis ini. Ada juga alamat atau tanda yang telah diriwayatkan oleh mereka yang pernah mengalami malam tersebut khasnya ialah apabila matahari terbit pada paginya, ia akan terbit tanpa sinaran yang memancar kuat. Tanda ini banyak di dapati di dalam hadis-hadis dan ia selalu didapati.

Hazrat Abdah bin Abi Lubabah r.a. berkata, ' Saya telah merasai air laut pada malam 27 Ramadhan dan sesungguhnya saya telah mendapatinya betul-betul tawar'. Hazrat Ayyub b Khalid rah. pula berkata, " Saya terpaksa mandi pada suatu malam. Saya telah mandi dengan air laut lalu mendapatinya tawar.

Kisah ini berlaku pada malam yang ke 27 '. Para masyaikh menulis bahawa di dalam Lailatul-Qadr semua benda akan bersujud. Sehingga pokok pun akan rebah ke bumi dan kemudian akan bangun ke tempatnya kembali. Walau bagaimanapun perkara-perkara sebegini adalah berkaitan dengan kasyaf, ia tidak dapat disedari oleh semua orang.

Semoga hadis ini dan kisah-kisah tersebut dapat menjadi pengajaran kepada kita, Insya-Allah.

Rebut Peluang Pengampunan Di Malam Lailatul Qadar

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Ramadan adalah bulan yang terbaik, penghulu segala bulan yang sama dengan hari Jumaat, penghulu segala hari.

Ia merupakan anugerah Allah kepada insan muslim agar mengambil kesempatan daripada kedatangan Ramadan dengan memperbanyakkan kerja taat kepada Allah untuk memperolehi anugerah tambahan-Nya atau bonus agung-Nya dengan menjanjikan Lailatul Qadar yang biasanya akan jatuh pada salah satu daripada 10 malam terakhir.

Mungkin inilah yang disebut oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dalam satu hadis yang bermaksud: Alangkah hairannya, bagi orang yang dianugerahkan umur sehingga selesai satu Ramadan tiba-tiba ia tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT.

keampunan itu merupakan satu anugerah yang dijanjikan kepada orang yang benar-benar menjadikan Ramadan sebagai bulan ibadah khusus kerana Allah. Di samping mengharapkan keampunan.

Nabi juga pernah sebut dalam hadis: "sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala Allah, maka akan diampunkan segala dosa-dosanya."

Lebih khusus daripada itu, kita lihat kepada tarbiyah yang ditarbiyah Rasulullah kepada umatnya menerusi satu hadis sahih.

Daripada Aishah r.a dengan pesannya,"wahai Aishah, sekiranya kamu ditemukan Allah dengan malam Qadar, maka perbanyakkan doa memohon kepada Allah yang ditentukan perkara yang hendak dicapai dalam doa itu ialah : Ya Allah ! Kamulah Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Mulia, Ampunkanlah dosa saya."

Tarbiyah yang dimaksudkan itu dengan meletakkan pengharapan yang begitu tinggi, agar kesalahan, ketelanjuran atau kesengajaan, Allah akan terima pengampunannya pada 10 malam akhir Ramadan, akan diampunkan dosa.

Jelas kelihatan bahawa yang amat perlu dipohon kepada Allah ialah penghapusan dosa dan bukan kemanfatan duniawi seperti memohon kekayaan, kemenangan menghadapi musuh, kehebatan dalam kerjaya atau apa sahaja yang namanya hambatan dunia. Semuanya itu tidak penting berbanding dengan keampunan dosa.

Kerana jika diamati akan ternampak kehebatan pencapaian manusia dalam kehidupan ini bukannya kejayaan bersifat sementara.Kehebatan yang agak sementara, akan tetapi kehebatan Allah dengan penghapusan dosa adalah suatu impian dan pencapaian yang begitu tinggi kerana itulah maka fokus utama setiap muslim ialah hari-hari akhir 10 malam ini.

Menjadi satu fokus ke arah meletakkan nilai diri insan yang semata-mata untuk mendapat keredaan Allah. Sekiranya matlamat keredaan Allah itu sudah dicapai, maka tercapailah kemuncak daripada tujuan sebenar manusia ini diciptakan Allah yang akhirnya kepada Allah sahaja tumpuan hidup semua makhluk bagi mendapat reda Allah.

Janji-janji Allah pada hamba-Nya

Ramadan juga merupakan bulan muhasabah untuk kita melihat sekadar mana daya juang kita dalam menangani cabaran penghidupan khususnya cabaran untuk menanggung dan menyempurnakan amanah Allah yang telah dipikulkan ke atas mereka suatu tugas untuk martabatkan agama Allah melainkan dengan usaha berterusan mengharungi suatu perjuangan menentang segala halangan bagi meletakkan kegemilangan Islam di tengah penghidupan yang semakin mencabar.

Lebih-lebih lagi di hari-hari yang sedang kita lalui ini. Di mana umat Islam seolah-olah dijadikan mangsa kepada kegelojohan musuh-musuh Islam yang dari dulu mencari peluang untuk mengganyang umat Islam.

Suasana akhir-akhir ini, selepas tragedi 11 September 2001 seolah-olah menghalalkan untuk mengambil apa sahaja tindakan ke arah pengganyang umat ini dan sekaligus hendak membenarkan Islam itu dari terus wujud di maya pada ini.

Tetapi yakinilah wahai saudara yang seagama denganku bahawa Allah telah menjanjikan suatu 'madah' yang akan menjadi perangsang untuk pejuang-pejuang Islam khasnya di akhir-akhir Ramadan dengan ayat Allah yang bermaksud : "mereka itu musuh-musuh kamu hendak menghapuskan cahaya Allah, agama Islam dengan pelbagai usaha mereka tetapi Allah tidak membiarkan mereka berbuat demikian, dan Dia (Allah) akan menyempurnakan agama kamu dan memenangkan meskipun dibenci oleh orang-orang musyrikin."

Janji-janji seperti ini jelas diterangkan dalam al-quran seperti dalam surah Annur ayat 55 yang mafhumnya : " Allah berjanji dengan kamu yang beriman denganNya. akan diangkat mereka menjadi khalifah (pemerintah) seperti mana Allah telah mengangkat angkatan-angkatan sebelum daripada angkatanmu pemerintah bumi Allah dan pada ketika itu segala perkara huru hara yang berlaku akan digantikan dengan keamanan yang sebenar. Kamu menyembah Allah tanpa menyekutuiNya. Dan sesiapa yang tidak percaya dengan janji sedemikian itu, mereka itu ialah orang-orang yang fasiq."

Oleh itu, maka Ramadan yang bakal tinggalkan kita ini amat berguna lagi kalau diisinya dengan pengorbanan harta benda bagi membantu perjuangan sebagaimana lambang kewajipan fitrah yang diwajibkan kepada setiap individu yang hidup sepanjang Ramadan hingga mencecah menemui awal Syawal.

Pun demikian keseluruhan umat Islam mengeluarkan kewajipan fitrah mereka pada beberapa hari terakhir Ramadan. Hampir berlaku orang yang semata-mata sengaja tidak tunggu kedatangan syawal barulah hendak menunaikan kewajipan zakat fitrah.

Amalan mengawali membayar zakat fitrah adalah petunjuk kepada wujudnya ibadah 'maliyyah' walaupun sedikit tetapi seboleh-bolehnya pengorbanan harta ini dibuat sebanyak yang mungkin bagi mengejar ganjaran yang sebanyak mungkin,

lebih-lebih lagi jika sekiranya pengorbanan harta itu dilakukan pada malam Qadar atau setidak-tidaknya berlaku dalam bulan Ramadan. Maka semuanya itu menyaksikan kita tergolong dalam golongan hamba-hamba Allah yang cukup beruntung memanafaatkan kedatangan Ramadan dengan amal-amal yang berguna untuk diri kita khususnya di saat kita menemui Allah di hari akhirat nanti.

Naim Qlate