25 Ogos 2011

Jakarta keluar larangan pada Aidilfitri

25 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Langkah untuk keselamatan semua pegawai dilarang mengadakan jamuan sempena raya

JAKARTA: Pentadbiran bandar raya ini mengumumkan satu senarai panjang larangan untuk Aidilfitri tahun ini bagi memastikan ibu negara Indonesia selamat dan aman.

Gabenor Fauzi Bowo, berkata bagi memastikan satu dasar yang diperkenalkan tahun lalu dikekalkan, pentadbiran tidak akan mengadakan rumah terbuka di Dewan Bandar Raya.
Pada masa lalu, penduduk akan berkumpul di Dewan Bandar Raya pada hari kedua Aidilfitri untuk menikmati juadah raya dan kadangkala menerima duit raya.

“Semua pegawai bandar dilarang mengadakan acara seperti itu di kediaman persendirian mereka. Pihak lain yang mahu membuat rumah mereka kepada orang awam diminta memaklumkan polis Jakarta dan datuk bandar terlebih dulu, bagi memastikan agihan hadiah dilakukan secara adil,” katanya.

Pada masa lalu rumah terbuka Aidilfitri pernah mengakibatkan kematian apabila penduduk terperangkap dalam usaha mendapatkan hadiah. Insiden terburuk sejak beberapa tahun lalu berlaku pada 2008 di Pasaruwan, Jawa Timur apabila 21 orang maut di luar rumah seorang ahli perniagaan.

Pada 2003, di bandar ini, empat wanita terbunuh di sebuah rumah terbuka anjuran penduduk tempatan.

Fauzi akan mengadakan rumah terbuka terhad di kediaman rasminya di Jalan Taman Suropati di Tengah Jakarta selepas solat Aidilfitri.

Timbalan Ketua Polis Jakarta, Brig Jeneral Suhardi Alius, berkata mana-mana pegawai bandar dan kerajaan yang merancang mengadakan majlis besar-besaran perlu memaklumkan polis terlebih dulu.

“Dengan cara itu kami boleh mengerahkan kakitangan daripada polis Jakarta atau Agensi Arahan Awam di kediaman mereka, bagi mengurangkan risiko. Kami meminta mereka yang mahu membuat kebajikan untuk golongan miskin dan anak yatim supaya menggunakan saluran sesuai,” katanya.

“Tolong jangan agihkan makanan di persimpangan jalan kerana ia akan memburukkan kesesakan lalu lintas. Gesaan ini ditujukan kepada individu, organisasi dan parti.”

Katanya, bandar itu juga melarang konvoi kenderaan pada Aidilfitri bagi menghalang kesesakan dan kemalangan, walaupun memandu kenderaan dan melaungkan ‘takbir’ adalah cara tradisi meraikan hari terakhir Ramadan.

Polis Jakarta akan memantau berhampiran sempadan bandar pada malam terakhir Ramadan bagi menghalang konvoi dari bandar berjiran memasuki ibu kota ini. Sebarang konvoi yang masuk akan diarahkan kembali ke bandar mereka, kata Fauzi. – Agensi

Tiada ulasan: