15 Oktober 2011

Chegubard mahu terbit brosur cincin RM24 juta.

17 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Tidak puas hati dengan penjelasan mengenai kontroversi cincin berlian bernilai RM24 juta, aktivis akar umbi, Badrul Hisham Shaharin memutuskan untuk menerbitkan brosur 16 muka bagi mendedahkan kebenaran di sebalik perkara tersebut.


badrul hisham shaharin altantuya police questioning 290509 03Badrul, yang lebih dikenali sebagai Chegubard, menerajui kumpulan anak muda yang dikenali sebagai Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Katanya, selain menerbitkan bukti asal mengenai cincin
tersebut, brosur itu juga akan turut memuatkan jumlah pembaziran dan gaya hidup mewah orang yang didakwanya "bergaya sebagai wanita pertama Malaysia."

Majlis pelancaran brosur tersebut akan diadakan di pejabat PKR di Rantau, Negeri Sembilan dan akan dihadiri pemimpin tinggi PKR, termasuk naib presiden Datuk Chua Jui Meng dan Fuziah Salleh serta setiausaha Pemuda DAP kebangsaan, Anthony Loke .

Julai lalu, Badrul mendakwa cincin itu - 'Natural Fancy Gray Cushion Cut Diamond' berharga RM24,458,400 - diterbangkan ke negara ini melalui Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau juga membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pulau Pinang pada 13 Julai, mendakwa cincin tersebut dibeli oleh isteri perdana menteri - Datin Seri Rosmah Mansor

Malaysiakini/-

Sultan Kedah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14

17 Zulkaedah 1432H. [MOD] -


Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin (tiga, kanan) bergambar bersama (dari kiri) Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu Ke-226 di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR, 14 Okt. — Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-14 oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya di Istana Negara di sini hari ini.

Pemilihan itu berkuatkuasa 13 Disember depan untuk tempoh lima tahun. Sementara Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.

Ini kali kedua Sultan Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong. Kali pertama pada 21 September 1970 untuk tempoh lima tahun, berakhir 20 September 1975.

Sultan Abdul Halim, 83, yang kini Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin yang akan tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja itu dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan dihadiri oleh semua Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja kecuali Sultan Pahang. Pemilihan dilakukan mengikut peruntukan jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan.

Sultan Abdul Halim, diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.

Baginda menaiki takhta pada 14 Julai, 1958 selepas kemangkatan ayahanda baginda Sultan Badlishah.

Lulusan Wadham College Oxford United Kingdom dengan ijazah Sains Sosial dan Pentadbiran Awam, baginda pernah menyertai Perkhidmatan Awam Negeri Kedah dalam tahun 1950an.

Sementara itu, Sultan Muhammad V, 42, dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September 2010.

Canselor Universiti Malaysia Kelantan itu diputerakan di Kota Bharu, Kelantan pada 6 Oktober 1969. — BERNAMA

Menteri Pertahanan Britain letak jawatan

17 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Liam Fox
Liam Fox

LONDON: Menteri Pertahanan Britain, Liam Fox mengumumkan meletakkan jawatan berikutan dikaitkan dengan skandal membabitkan seorang usahawan menyamar menjadi penasihatnya ketika menjalankan tugas rasmi kerajaan.

Dalam surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, David Cameron, Ahli Parlimen Parti Konservatif itu mengaku membenarkan aktiviti peribadi dan tugas rasmi membabitkan rakan baiknya, Adam Werritty.

Beliau meletakkan jawatan selepas memegang jawatan Menteri Pertahanan selama 17 bulan. - AFP

Gempa gegar Laut Banda, Indonesia

17 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi yang lemah berukuran 4.9 magnitud berlaku di Laut Banda, Indonesia, jam 1.24 pagi tadi, kata Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini.

Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata, pusat gempa itu adalah 340 kilometer (km) di barat daya Ambon, Indonesia dan 1,615km di tenggara Tawau, Sabah.

Bagaimanapun, gempa tersebut tidak mendatangkan ancaman tsunami kepada Malaysia, kata jabatan itu.