2 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -
Jika hari mengundi penghujung bulan depan, seperti diramalkan oleh
pelbagai pihak, maka kesempatan yang ada pada PAS/Pakatan Rakyat untuk
bersiap menghadapi hari penentuan itu sudah sangat singkat.
Sedangkan hingga kini, masih wujud kekeliruan dari kalangan
sesetengah pengundi Melayu baik di luar bandar mahupun di bandar
sendiri.
Terutamanya mengenai beberapa isu yang menyentuh ras dan agama.
Kerana itu ia mesti ditangani dengan sebijaksana mungkin dengan
diberikan
penerangan yang jelas dan meyakinkan, bahawa Pakatan Rakyat,
khususnya PAS mempunyai jawapan yang sangat munasabah mengenai masalah
ini, berdasarkan pendekatan Islam yang mampu mendepani masyarakat majmuk
di Malaysia.
Setakat ini, penerangan yang diberi oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru
Nik Abd Aziz Nik Mat, Dato’ Seri PresidenTuan Guru Haji Abd Hadi Awang,
Setiausaha Agung PAS, Dato’ Haji Mustafa Ali dan pimpinan PAS yang lain
sangat meyakinkan dan berjaya meredakan keadaan. Tetapi, seperti
dijangka, walaupun sudah diberi jawapan, isu ini akan terus dibangkitkan
lagi oleh musuh Pakatan Rakyat yang mungkin berlarutan hingga sehari
sebelum hari pengundi.
Oleh
itu, pada pendapat saya, ingatan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa
supaya PAS/Pakatan rakyat mesti berhati-hati dan tidak membuat sebarang
kesilapan dalam apa bentukpun. Katanya, PAS semestinya meletakkan
dirinya seperti berada dalam tempoh ‘berpantang’ selama 90 hari sebelum
menghadapi PRU akan datang.
Beliau mengingatkan, dalam tempoh berpantang ini, PAS tidak boleh
melakukan kesilapan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat untuk
memilih PAS pada PRU13 ini.
"Kalau orang perempuan berpantang selepas bersalin, kita berpantang
sebelum bersalin. Kandungan kita ialah harapan perubahan rakyat
Malaysia. Oleh itu, sewaktu berpantang, kita tidak boleh melakukan satu
pun kesalahan," katanya.
Ini ingatan penting Datuk Husam ketika menyampaikan ucapan di Konvensyen Mara Bersama Keberkatan Menuju Putrajaya di sebuah hotel di Selangor baru-baru ini yang mengumpulkan semua tenaga kerja pilihan raya PAS di Selangor.
Daripada pelbagai laporan terkini yang diterima, Pakatan Rakyat
mempunyai peluang untuk menang dalam PRU akan datang. Oleh itu, pemimpin
dan pendukung Pakatan Rakyat perlu berhati-hati dan jangan sama sekali
melakukan kesilapan, justeru sebarang kesilapan sangat mahal harganya
untuk dibayar oleh Pakatan seperti yang dtegaskan oleh Datuk Husam.
Naib Prediden PAS yang dinamik ini dengan pengalaman dan kematangan
politiknya tentu boleh membaca dengan tepat, kalaupun tidak
setepat-tepatnya, alam situasi yang ada sekarang. Justeru empoh masa
sebulan dua ini, adalah tempoh yang sangat kritikal. Maka para pengundi
sedang mengamati dengan serius perkembangan yang berlaku di tanah air
untuk membuat pilihan.
Hendaknya dalam tempoh ‘berpantang’ ini tidak akan bermunculan
pelbagai kenyataan, terutama di media musuh, mengenai pelbagai isu
kontroversi, yang dikira boleh mengelirukan atau disalah tafsir oleh
pihak tertentu. Seperti diketahui bukan mudah untuk membetulkan atau
menjelaskan kenyataan yang telah dikelirukan.
Perlu diketahui bahawa dengan ragam media musuh yang sedemikian rupa,
begitu mudah sekali mereka mengeksploitasi pelbagai kenyataan Pakatan
Rakyat.
Memanglah dalam karenah politik bahawa ‘Silence is golden’
selalunya tidak tepat, justeru politik ialah mengenai tindakan dan
penerangan ideologi, cita-cita dan harapan, perancangan jangka pendek
dan jangka panjang dan sebagainya sesebuah parti politik. Semua ini
perlu dinyatakan dengan meluas kepada rakyat.
Namun politik itu mempunyai ciri-ciri strategi, keterbatasan,
antaranya, ada ketikanya pelaku politik itu diperlukan ‘membisu’ dalam
waktu tertentu untuk muslihat strategi menghadapi musuh, walaupun tidak
dalam semua waktu dan keadaan.
Dalam situasi di negara ini yang akan menghadapi PRU, maka pendukung
Pakatan Rakyat diperlukan ‘mengekang’ keinginan untuk bercakap atau
mengeluarkan kenyataan yang dikira boleh menimbulkan kontroversi serta
merugikan Pakatan sendiri.
Sebab itu, ingatan Datuk Husam supaya pendukung PAS ‘berpantang’ dan
jangan membuat sebarang kesilapan dalam waktu terdekat ini, adalah satu
ingatan ikhlas yang datang dari seorang tokoh politik berpengalaman,
cerdas dan mempunyai pandangan jauh ke depan.
Sementara itu, tinjauan yang diterima dari pelbagai pihak ialah
bahawa masih wujud kira-kira 30% pengundi generasi muda hingga kini
masih belum membuat sebarang keputusan untuk mengundi parti mana. Ini
bermakna jumlah pengundi generasi baru yang belum membuat keputusan
telah menurun 10%.
Mungkin dalam seminggu dua lagi akan semakin bertambah jumlah
pengundi baru yang sudah membuat keputusan dan ada isyarat bahawa
pengundi muda ini – termasuk mahasiswa - cenderung kepada Pakatan
Rakyat. Ini, antara lain, disebabkkan kebencian mereka terhadap kegiatan
politik samseng dan ganas yang menjadi-jadi akhir-akhir ini.
Generasi baru ini mahukan sebuah suasana yang tenang dalam pelbagai
program parti, untuk mendengar hujah-hujah parti politik yang
bertanding. Kerana itu mereka sangat berhajat untuk mendengar debat
politik yang biasa diadakan di negara luar setiap kali pilihan raya.
Adapun pengundi wanita yang besar jumlahnya di seluruh negara yang
kebanyakannya menyokong BN, sama sekali tidak akan mengecewakan Pakatan
Rakyat. Ini kerana, menurut tinjauan, sudah ramai pengundi tersebut,
terutamanya di bandar dan semi bandar, mulai beralih arah dan mahukan
perubahan hasil dari penerangan berterusan dari Pakatan Rakyat,
khususnya dari wanita Pakatan sendiri.
harakahdaily/-