2 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -
KULAIJAYA – Kerajaan menjanjikan lebih banyak bantuan kepada rakyat
seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) jika ia mendapat mandat untuk
meneruskan program transformasi ekonomi, kata Datuk Seri Najib Tun
Razak.
Perdana Menteri berkata pelaksanaan pelbagai program transformasi
ekonomi itu bukan sahaja telah berjaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi
semasa tetapi turut menambah pendapatan negara.
“Dengan pendapatan yang bertambah, hasilnya kerajaan akan pulangkan
semula kepada rakyat seperti yang kita lakukan menerusi BR1M 1, BR1M2.0
dan BR1M 3.0,” katanya kepada lebih 10,000 yang menghadiri sambutan
Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Johor di sini, hari ini.
Beliau berkata, jika mahukan agenda transformasi ekonomi negara yang
memberi pelbagai manafaat kepada rakyat itu diteruskan, maka kerajaan
Barisan Nasional (BN) perlu diberikan mandat untuk terus memerintah
negara ini.
“Jikalau mandat itu diberikan (kepada kerajaan BN) untuk membentuk
sebuah kerajaan yang kuat, Malaysia akan mempunyai masa depan yang cukup
hebat dan cemerlang,” katanya yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN.
Turut hadir pada majlis sambutan itu termasuk isteri beliau Datin
Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, Presiden
MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Ahli Parlimen Kulai, Tan Sri Ong Ka
Ting, beberapa menteri kabinet dan pemimpin parti komponen BN.
Perdana Menteri berkata, kerajaan menerusi program transformasi
ekonomi telah berjaya meningkatkan pendapatan per kapita rakyat Malaysia
daripada AS$6,700 (RM20,759) pada penghujung 2009 kepada AS$9,750
(RM30,210) pada penghujung 2011.
Perkara itu adalah bertepatan ke arah usaha kerajaan untuk menjadikan
Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Beliau berkata, kejayaan pengurusan ekonomi negara itu turut
meyakinkan agensi pelaburan Qatar untuk membuat pelaburan bagi membina
Hotel Harrods yang pertama di dunia di Kuala Lumpur.
Selain Hotel Harrods itu, katanya, pelabur yang berkeyakinan terhadap
program transformasi ekonomi Malaysia turut akan melabur berbilion
ringgit bagi membina Hotel Four Seasons setinggi 65 tingkat di ibu
negara.
Perdana Menteri berkata Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia yang
dilancarkan pada 2006 sehingga akhir tahun lepas juga telah berjaya
menarik pelaburan berjumlah RM106 bilion dari dalam dan luar negara.
Pada 19 Februari ini, Najib berkata, beliau dan rakan sejawatnya dari
Singapura Lee Hsien Loong akan melawat Iskandar Malaysia dan merasmikan
projek ikonik ‘Wellness Township’.
“Program transformasi ekonomi negara sedang berjalan dengan pantas
dan rakyat telah pun menerima faedah serta manfaatnya. Bukti kejayaan
program transformasi itu boleh dilihat di sekeliling kita,” katanya.
Beliau memberi contoh Johor Premium Outlet (JPO) yang terletak di
Kulaijaya yang akan memulakan projek pembesaran fasa keduanya, walaupun
pembukaannya baru sahaja dirasmikan tidak lama dahulu.
Perdana Menteri berkata di bawah projek fasa kedua itu pihak pengurusan JPO akan menambah 70 lagi kedai.
Beliau berkata pasaran sedang menunggu mandat yang jelas daripada
rakyat kepada kerajaan, yang akan menyaksikan ia melonjak ke suatu tahap
yang lebih tinggi dan keyakinan pelabur melambung.
“Semua akan menerima faedahnya jika kita membuat keputusan yang tepat,” kata beliau.
Menurutnya manfaat demi manfaat yang diterima oleh rakyat hasil
kejayaan program transformasi ekonomi yang dilaksanakan itu membuktikan
kerajaan menepati segala janji yang dibuatnya.
“Kita tidak menjual janji demi janji sebagaimana yang dilakukan oleh
pembangkang. Kerajaan melaksanakan ‘Janji Ditepati’ terhadap segala yang
dijanjikan kepada rakyat,” katanya.
Perdana Menteri pada majlis yang sama turut menyampaikan bantuan BR1M
2.0 kepada 20 penerima daripada kawasan Parlimen Kulai. – Bernama
1 ulasan:
Tak payah bagi BRIM turunkan harga minya dan barang... semua rakyat merasa keuntungan negara tak gitu... kan lebih adil...
Catat Ulasan