13 Februari 2013

Siswi diserang dengan parang di Pekan

2 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -



PEKAN: Dua siswa dan dua siswi diserang oleh individu yang tidak dikenali dengan parang di Felda Chini 4 pagi ini.

Mereka diserang ketika sedang mengedarkan risalah dan surat 'Harapan mahasiswa untuk rakyat Pekan'.

Serangan itu berlaku ketika mereka sedang mengedarkan surat itu dari rumah ke rumah di kawasan Felda berkenaan pagi ini.

Ini adalah kejadian kedua selepas mahasiswa turun berkempen di kawasan parlimen Datuk Seri Najib Razak itu.

Jam 1 tengahari semalam, tiga mahasiswa telah ditendang dan ditumbuk oleh lelaki yang tidak dikenali di Kampung Datuk Keramat, Ganchong, Pekan.

Mereka disekat ketika mengedarkan surat yang sama kepada pengundi di kampung berkenaan.

Ekoran itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pekan mengenainya.

Dalam kejadian itu, mereka mendakwa kereta yang mereka naiki  disekat, kemudian diminta kad pengenalan.

Selepas itu, mereka ditarik dari kereta dan ditumbuk serta dibelasah oleh orang tidak dikenali itu.

Pohon maaf

Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan Selangor hari ini membidas tindakan pengecut ahli Umno di Pekan yang bertindak ganas dengan memukul mahasiswa ketika selesai mengedarkan risalah 'Harapan Malaysia' semalam.

Ekhsan Bukhari, bekas Timbalan Presiden Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi) di pukul di Kampung Datuk Keramat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis dalam Parlimen Pekan.

AMK Selangor melihat insiden keganasan terbaru ini sebagai satu lagi siri kegagalan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri, dan juga Ketua Umno Bahagian Pekan yang tidak mampu melakukan transformasi terhadap ahli parti di bahagian sendiri.

Kegagalan Najib Razak ini juga dilihat sebagai satu simbol kelemahan pentadbiran beliau yang semakin ditolak oleh rakyat Malaysia, kata Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri (gambar).

Beliau mempersoalkan sekiranya benar Najib Razak diterima oleh majoriti mahasiswa seperti yang didakwa dalam satu kajian, mustahil Perdana Menteri itu boleh goyang apabila berhadapan dengan kempen demokrasi yang dilakukan oleh lima orang mahasiswa sahaja?

"Jelas ada kegusaran sebenar yang disembunyikan Najib Razak selaku orang nombor satu Umno yang bukan sahaja goyah di peringkat Nasional, tetapi juga mungkin merasa bahang dibenci di bahagian sendiri," dakwanya.

Ekoran itu, beliau menuntut Najib Razak meminta maaf atas kekasaran ahlinya itu.

harakah/-

Tiada ulasan: