27 April 2013

Tian Chua bidas Zahid, kenapa tunggu lepas pilihan raya

16 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Naib Presiden PKR mahu Menteri Pertahanan mendedahkan sekarang siapa tiga pemimpin pembangkang menjadi dalang kumpulan bersenjata di Lahad Datu, 9 Februari lalu.
PETALING JAYA: Naib Presiden PKR yang bertanding di kerisi parlimen Batu, Tian Chua mempersoalkan tindakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu mendedahkan maklumat mengenai tiga pemimpin pembangkang menjadi dalang kumpulan bersenjata di Lahad Datu, Sabah, selepas pilihan raya umum 5 Mei ini.

Segala kenyataannya seolah-olah kenyataan peribadi sahaja untuk mempolitikkan isu tersebut, katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tian Chua menambah, pencerobohan militan Sulu di Sabah adalah perkara yang amat serius, Zahid tidak perlu menunggu sampai tempoh pilihan raya untuk memberitahu siapa dalangnya.
Beliau membidas Zahid seolah-olah memperkecil-kecilkan jasa dan pengorbanan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan semata-mata kerana mahu menimbulkan perasaan dan suasana takut menjelang PRU13.
Tian Chua menggesa Zahid tampil ke hadapan dan meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana mengeluarkan kenyataan yang jelas berbau politik kotor untuk menakutkan rakyat.
“Beliau secara jelasnya memperolokkan soal keselamatan negara semata-mata untuk meraih sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dalam PRU13 ini.
“Kenyataan beliau merupakan sebuah kenyataan dan tindakan yang tidak bertanggungjawab dan berbahaya.
“Beliau memalukan nama negara di peringkat antarabangsa, terutamanya dalam hubungan Malaysia dan Filipina kerana menunjukkan bahawa beliau Menteri Pertahanan yang tidak profesional dan tidak cekap dalam melaksanakan tugasnya,” katanya lagi.
Zahid terlalu taksub
Tian Chua berpendapat Zahid mengambil peluang itu kerana terlalu taksub hendak mencapai objektif politiknya.
Jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak gagal untuk mengambil tindakan ke atas Zahid, nyata Najib juga memandang ringan akan soal keselamatan negara.
Khamis lalu akhbar melaporkan Zahid menyatakan 35 orang militan Sulu telah ditembak mati oleh tentera laut negara Filipina pada hari Rabu kerana enggan mematah balik ke negara Filipina.
Beliau turut menyatakan bahawa mereka cuba untuk memasuki negeri Sabah untuk menimbulkan masalah sewaktu PRU13 ini.
Tian Chua berkata, walhal, menurut pihak tentera Filipina, dakwaan oleh Menteri Pertahanan Malaysia itu tidak benar sama sekali.
Menurut pihak tentera Filipina, kata Tian Chua mereka tidak menerima sebarang laporan yang mengesahkan dakwaan tersebut.
FMT/-

Fuziah terima SMS ugutan seksual

16 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Naib Presiden PKR itu, berkata kandungannya mengugut untuk mencemar kredibilitinya selaku calon dan mengancam untuk menyebar perkara ‘buruk’ mengenainya.




KUANTAN: Calon PKR Kuantan, Fuziah Salleh hari ini membuat laporan polis berhubung ugutan berbaur gangguan seksual yang diterimanya melalui sistem pesanan ringkas (SMS) lewat pagi ini.
Tanpa mendedah kandungan SMS itu, Naib Presiden PKR  itu, berkata kandungannya mengugut untuk mencemar kredibilitinya selaku calon dan mengancam untuk menyebar perkara ‘buruk’ mengenainya.
Beliau mengesyaki ia dilakukan seorang wartawan sebuah stesen penyiaran kawalan Umno BN selepas membandingkan nombor telefon berkenaan dengan kad media yang ada dalam simpanannya.
“Setiap nombor media saya simpan. Nombor sama sejak tahun lalu selalu hantar SMS terutama melibatkan isu Lynas tapi saya tidak pernah ambil peduli.
Kali ini, melampau. Saya sebagai calon wanita risau, ini agak menakutkan. Kalau SMS sekadar marah-marah dan tak suka, lainlah.
“Saya risau ada insiden yang tak diingini berlaku. Dalam keadaan sekarang, semua boleh berlaku. Jadi saya tampil buat laporan,” katanya seperti dilapor Keadilandaily hari ini.
Fuziah berkata, SMS itu diterimanya jam 3.32 pagi, bagaimanapun  masih membuat pengesahan mengenai nombor tersebut.
Keadilan Daily beberapa kali cuba menghubungi nombor berkenaan tetapi telefon bimbit itu ditutup.
Fuziah berkata, nombor sama juga sebelum ini sering menghantar SMS peringatan berbentuk amaran berkaitan isu Lynas tetapi tidak diendahkannya.
FMT/-

Kamilia Saingan Sengit PAS Di Kuala Kangsar

16 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

IPOH: PAS melihat akan berlaku persaingan yang sengit antara calon parti itu Khalil Idham Lim dengan calon Bebas Datuk Kamilia Ibrahim di Kuala Kangsar.
Koordinator Jawatankuasa Isu dan Strategik PAS negeri, Dr Raja Ahmad Iskandar berkata demikian setelah melihat pengaruh bekas naib ketua Pergerakan Wanita Umno itu dan kempen beliau yang disifatkan mempunyai cara tersendiri.
"Kami di Kuala Kangsar menyatakan persaingan sengit pada kali ini di antara calon PAS dan calon Bebas Datuk Kamilia.
"Beliau dengan cara berkempen yang begitu teratur dan teliti berjaya menawan emosi terutamanya wanita-wanita untuk bersama beliau," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS negeri, dekat sini, Sabtu.
Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kuala Kangsar berkata program-program kempen Kamilia di sekitar Kuala Kangsar sering menjadi perhatian ramai dan mendapat sambutan hangat.
Malah, tindakan Kamilia mengeluarkan kenyataan maaf secara terbuka melalui video di internet juga dilihat sebagai satu tindakan profesional dan berprinsip.
"Datuk Kamilia dilihat sebagai pemimpin arus baru kuasa ketiga bagi senario politik di Malaysia," katanya.
Melihat perkembangan ini beliau mendakwa Barisan Nasional (BN) sudah membuat percaturan yang silap yang akan memberi kesan kepada keputusan pilihan raya kali ini.
Beliau turut mendakwa jentera BN di Kuala Kangsar telah lumpuh sehingga memaksa pimpinan tertinggi parti dan pertubuhan bukan kerajaan turun padang bagi memulihkan semangat anggota parti.
"Bukan sahaja terhadap Datuk Kamilia tetapi juga calon-calon Bebas yang merupakan ahli Umno akan memberikan impak yang tinggi kepada keputusan pilihan raya di sini," ujarnya.
Kamilia yang pernah memegang jawatan kedua tertinggi dalam sayap Wanita Umno mengambil keputusan bertanding Bebas setelah tidak dicalonkan bertanding atas tiket BN di Parlimen Kuala Kangsar.
Pada Selasa, Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil telah bertemu jentera Jalinan Rakyat di Kuala Kangsar dan berpuas hati dengan persiapan dan semangat yang ditunjukkan setiap anggota.
mStar/-

Calon bebas Sepang berazam mahu jatuhkan Mohd Zin

16 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

(Hanipa [tengah] bersembang dengan calon bebas [kiri sekali] Hanapiah Mohamad di Masjid Al-Ulum semalam)

SEPANG: Kehadiran dua calon bebas yang merupakan bekas ahli Umno di Parlimen Sepang bertekad mahu tumbangkan calon BN Datuk Seri Ir. Mohd Zin Mohamed.

Kedua-dua calon itu, dilihat melawan arus perjuangan Umno apabila dengan berani menjadi calon bebas dalam pilihan raya kali ini.

Dua calon bebas itu masing-masing adalah Ajk Umno Bahagian, iaitu Hanapiah Mohamad dan Datuk Suhaimi Mohd Ghazali 
yang sebelum ini bertanding di Dun Dengkil. 

Dalam tinjauan Harakahdaily di Parlimen Sepang semalam, Hanapiah dengan tegas mengatakan matlamatnya adalah untuk menjatuhkan Mohd Zin.

Ketika mengajukan soalan kepada Hanapiah, adakah tindakan beliau untuk memecahkan undi PAS atau BN?

"Satu sahaja, saya hendak jatuhkan Zin," tegas Hanapiah ketika ditemui sebaik sahaja selesai solat Jumaat di Masjid Al-Ulum Kg Bukit Bangkong, Sungai Pelek.

Pada masa yang sama calon PAS Sepang, Mohamed Hanipa Maidin turut menunaikan solat Jumaat di masjid yang sama dan mereka bertemu sebaik sahaja selesai solat.

Sebelum solat Jumaat, Hanipa sempat menyampaikan tazkirah selama 20 minit.

Di kesempatan itu, Hanipa dan Hanapiah mengambil peluang bersembang dan bertanya khabar terutama berkaitan kerja-kerja berkempen.

Menurut Hanipa, beliau turut bertanya Hanapiah sama ada beliau 'berlakon' untuk menjadi calon bebas dalam PRU ini.

Jelasnya, Hanapiah bersungguh-sungguh menyatakan yang mereka memang ada gerakan untuk menjatuhkan Zin.

"Memang kuat gerakan di dalam Umno untuk menjatuhkan Zin, malah Suhaimi pun ada gerakannya sendiri," kata Hanipa.

Hanipa percaya sistem pesanan ringkas (SMS) 'yang meminta pengundi di Sepang undi calon Pakatan Rakyat mula disebarkan adalah daripada Suhaimi. 

"Saya percaya daripada dia, sebab dia ada mengaku. SMS sudah mula disebarkan," kata Hanipa kepada Harakahdaily.

Sebelum menunaikan solat Jumaat, Hanipa sempat menziarah kematian di Sungai Buah, Dengkil kemudian menghadiri ceramah kelompok di Putra Perdana sebelum bertemu pengundi di Bukit Canggang.

PRU kali ini, P.113 Sepang menyaksikan pertandingan empat penjuru iaitu dua calon bebas, calon PAS dan BN. Sepang mempunyai tiga Dun iaitu Dengkil, Tanjung Sepat dan Sungai Pelek. 

Hanipa merupakan seorang peguam dan kini beliau adalah Penasihat Undang-undang PAS.

Harakahdaily/- 

Putrajaya goyah: Akhirnya Mahathir terpaksa turun

16 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

PUTRAJAYA: Setelah menyaksikan bagaimana laungan takbir mengegarkan Masjid Besi Putrajaya dan sambutan menggerunkan di Presint 3 terhadap kehadiran Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya terpaksa turun ke padang hari ini untuk menyelamatkan Putrajaya.


Putrajaya, yang selama ini digempar-gempurkan sebagai kubu paling selamat untuk Barisan Nasional, di mana Timbalan Presiden BN Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin bahawa calon PAS Datuk Husam Musa bakal kehilangan deposit kini goyah.



Sambutan menggerunkan pada setiap program Husam sudah memberikan signal yang cukup jelas bahawa Umno di dalam bahaya di Putrajaya.



Jika tidak, perlukah Mahathir datang berkempen di Putrajaya? Ada banyak lagi kawasan yang perlu dihadiri Mahathir untuk berkempen, tapi beliau terpaksa meluangkan masa malam ini untuk membuat ceramah perdana bertajuk “Pertahankan Putrajaya.”



Malam ini, Mahathir akan berceramah jam 8 malam di Bilik Gerakan PDM Metropolitan, Presint 9, Putrajaya.



Makluman itu dimuatkan di Facebook beliau.



Semalam, sumber Umno memberitahu Harakahdaily bahawa Mahathir dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak akan turun ke Putrajaya kerana keadaan di situ kini berpihak kepada Husam.



“Kan semalam saya dah kata Mahathir akan turun ke Putrajaya. Selepas ini Najib pula. Ini indikator yang saya kata semalam, nyawa Umno-BN tinggal 9 hari sahaja lagi. Ini kali-lah,” kata beliau kepada Harakahdaily sambil ketawa.



“Tak sangka. Akhirnya saya juga terkena gelombang menyebut Ini-Kalilah,” tambahnya.



Menjawab persoalan Harakahdaily semalam, mengapa Umno harus gelabah di Putrajaya sedangkan itu kubu kuat mereka, sumber Umno itu menyatakan kerana mood di ceramah Husam sungguh memberi inspirasi ke arah perubahan.



“Sesiapa saja hadir akan terpukau dan akan tergerak hatinya untuk mengundi PAS dan Pakatan Rakyat kali ini,” katanya lagi.



Sumber Umno itu turut menyatakan bahawa pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak dan Mahathir bakal bertandang ke Putrajaya tidak lama lagi untuk menyelamatkan calon mereka Setiausaha Agong Umno Tengku Adnan Tengku Mansor.



“Muhyiddin dah turun ke Putrajaya dan terus serang Husam. Selepas ini Najib dan Mahathir akan datang menyerang Husam, itulah indikator Putrajaya dah goyang,” katanya.



Apa yang dikatakan sumber Umno itu kini menjadi kenyataan dengan bertandangnya Mahathir ke Putrajaya dengan ceramah bertajuk ‘Pertahankan Putrajaya.’



“Kubu kuat dah kena pertahan. Itu petanda apa dari Mahathir? Gelabah,” tambah sumber Umno itu lagi.

Harakahdaily/-

Kemana penduduk Putrajaya malam ini, Presint 9 atau Presint 19?

16 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

(Poster ceramah di Presint 19 malam ini)

PUTRAJAYA: Ke mana penduduk Putrajaya malam ini? Ke Presint 9 bersama Tun Dr Mahathir atau ke Presint 19 bersama Ustaz Azhar Idrus?

Inilah menjadi dilema penduduk Putrajaya hari ini berikutan kedua-dua program besar yang dianjurkan serentak  itu.

Di Presint 9, Mahathir akan datang untuk Ceramah Perdana Pertahankan Putrajaya selepas puluhan ribu menyertai ceramah Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat di Presint 3 malam tadi.

Tindakan ini dilihat oleh banyak pihak sebagai 'panggilan kecemasan' oleh War Room BN bagi menyelamatkan kerusi Putrajaya yang sedang karam.

Padahal sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin telah datang dan menegaskan calon PAS Putrajaya, Datuk Husam Musa akan hilang wang deposit dalam pilihan raya kali ini.

Sebelum ini, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, calon BN Putrajaya dengan bongkaknya berkata, Husam akan hilang wang pertaruhan dalam pilihan raya ini.

Calon akan hilang wang deposit sekiranya gagal memperoleh 1/8 atau 12.5% undi daripada jumlah keseluruhan pengundi yang keluar mengundi pada hari pengundian di kawasan tersebut.

Di Presint 19 pula, Ustaz Azhar akan bersama dengan ustaz Nazmi Karim, Dr Kamaruzaman Yusof akan memberikan kuliah mereka.

Turut serta adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Pengerusi Kumpulan Perangsang Selangor, YM Raja Idris.

Harakahdaily/- 

Umcedel jawab pihak pertikai hasil kajian PRU13

16 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

NOTA ini merujuk kepada pandangan beberapa orang penganalisis politik berkaitan dengan hasil kaji selidik yang telah dijalankan oleh Umcedel berkaitan pilihan pengundi menjelang pilihan raya umum ke-13 yang disiarkan dalam www.sinarharian.com.my pada 27 April 2013 (semalam).

Hasil kaji selidik ini telah dihebahkan semasa persidangan akhbar pada 25 April 2013 di Universiti Malaya yang telah dihadiri oleh pemberita dari dalam dan luar negara termasuk beberapa orang diplomat antarabangsa. Kesempatan juga telah diberikan kepada wartawan dan diplomat untuk mengemukakan persoalan dan meneliti lebih lanjut kajian yang kami jalankan.

Beberapa penjelasan kepada kajian tersebut:

1. Berlaku kekeliruan berkaitan istilah populasi dan sampel. Populasi merujuk kepada keseluruhan komponen sama ada jumlah penduduk negara atau jumlah pengundi.

Sementara sampel adalah sebahagian komponen yang akan mewakili keseluruhan populasi. Standard dan prosedur statistik yang menjadi amalan kajian di peringkat tempatan dan antarabangsa adalah mendapatkan sampel. Contoh yang paling mudah, doktor tidak perlu mendapatkan sebahagian besar atau kesemua darah pesakit untuk mengetahui penyakit, namun hanya cukup dengan setitik darah sahaja. 

2. Pemilihan responden seramai 1,407 adalah mewakili keseluruhan komponen pengundi berdasarkan pecahan etnik, jantina, struktur umur, lokasi tempat tinggal, status pekerjaaan dan pendidikan.

Sampel yang dipilih adalah responden yang telah mendaftar sebagai pengundi dan pernah mengundi dalam pilihan raya. Jumlah sampel tersebut adalah standard sampel yang digunakan oleh badan penyelidik antarabangsa seperti MORI, YouGov dan Gallup.

Malah beberapa badan penyelidik akademik serantau seperti Election Study Center di National Chengchi Universiti di Taiwan, Lembaga Survey dan Lingkungan Survey di Indonesia juga mengggunakan jumlah sampel yang hampir sama.  Metodologi yang digunakan dalam kajian adalah secara bersemuka menggunakan soalan yang berstruktur.

3. Umcedel adalah badan penyelidikan akademik yang bernaung di bawah Kluster Kemanusiaan dan Sains Sosial Universiti Malaya yang dianggotai oleh ahli akademik tempatan dan antarabangsa. Kepakaran ahli Umcedel termasuk dalam bidang statistik, sains politik, politik antarabangsa, sistem maklumat geografi, sejarah dan geografi pilihan raya.

Kajian yang kami jalankan mematuhi standard akademik dan dibiayai oleh universiti yang mempertahankan nilai intergriti, telus dan tidak memihak kepada mana-mana individu ataupun parti politik. 

4. Masyarakat juga tentunya menantikan kajian daripada penganalisis-penganalisis politik yang terlibat secara langsung di lapangan untuk mendapatkan gambaran sebenar yang berlaku di peringkat akar umbi dan bukannya bergantung kepada pemerhatian politik melalui media semata-semata.

5. Pihak yang berminat boleh melayari laman sesawang www.umcedel.um.edu.my untuk mendapatkan butiran lanjut kajian tersebut dan beberapa kajian yang telah kami jalankan. Pihak kami juga bersedia berdiskusi dengan mana-mana individu dan pertubuhan yang mahu meneliti lebih lanjut kajian kami. Pandangan dan komen separuh masak yang tidak mempunyai nilai akademik tanpa melihat dengan lanjut kajian tersebut amat dikesali.

Sekretariat Umcedel

Sinar/-

Dakwaan Zahid kaitkan pembangkang mengarut, tegas PR

16 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) hari ini menafikan penglibatan pemimpin mereka dalam insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah bulan lalu, kata beberapa pemimpin yang dihubungi.

Ketua Penerangan Pas , Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa tiga pemimpin pembangkang termasuk seorang dari Sabah menjadi dalang dalam isu Lahad Datu sebagai tidak berasas.

Malah beliau menafikan penglibatan tersebut dengan menyatakan bahawa pemimpin Sulu lebih rapat dengan kepimpinan Umno.

"Saya lihat cara pemberitaan yang dikeluarkan ini sangat tidak beradab... kenapa Ahmad Zahid tidak mendedahkan nama pemimpin pembangkang tersebut? Kenapa hendak dilakukan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)?

"Ia menjadi tanda tanya. Saya fikir ia hanya sandiwara politik semata-mata. Kita tidak terlibat, setahu saya pemimpin Sulu lebih rapat dengan ahli politik Umno," katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian Online di sini, hari ini.

Beliau turut mengecam pencerobohan tersebut dan berharap ia tidak dijadikan sebagai satu ‘isu’ untuk meraih undi menjelang PRU13.

"Kami (PR) mengecam segala tindakan pencerobohan yang boleh mengganggu-gugat kedaulatan negara kita. Kami juga berharap isu-isu seperti ini tidak dijadikan sebagai modal Umno dalam PRU13," katanya lagi.

Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok berpendapat bahawa kenyataan Ahmad Zahid menunjukkan kebimbangan beliau kemungkinan parti (BN) itu akan kalah dalam PRU kali ini.

"Bagi saya mereka sangat terdesak untuk memenangi PRU13 ini.

"Jadi, mereka terpaksa mencari isu baru seperti insiden di Lahad Datu sebagai satu platform mereka untuk meraih undi dan menaikkan sokongan rakyat terhadap BN semula.

"Soalnya, kenapa perlu pemimpin PR ingin mempelawa orang Sulu untuk menyerang Sabah, malah sanggup melakukan pembunuhan di sana? Apa yang PR dapat sekiranya melakukan tindakan sedemikian?" katanya.

Mengulas lanjut isu tersebut, Kok ketika dihubungi juga mahukan penjelasan daripada BN berhubung dakwaan 'Sultan Sulu' yang dikatakan keluar daripada Umno.

“Apakah penjelasan BN tentang salah seorang ‘Sultan Sulu’ yang keluar daripada Umno kira-kira dua bulan lepas.
"Adakah ini menunjukkan terdapat ‘hubungan’ di antara Kesultanan Sulu dengan Umno?" soalnya.

Tambahnya, "kalau Ahmad Zahid gagal memberi justifikasi yang memuaskan, tindakan kerajaan yang melemparkan tuduhan terhadap pemimpin PR ini hanya akan memburukkan lagi sokongan orang ramai terhadap BN.”

Ketika ditanya mengenai tindakan PR berhubung dakwaan tersebut, beliau menjelaskan: “Saya bukan pemimpin atasan PR, saya rasa adalah lebih baik bagi kita jawab selepas pemimpin PR didakwa dimahkamah."

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Dr. Muhammad Nur Manuty turut menyangkal dakwaan penglibatan pemimpin PR dalam insiden itu.

“Saya yakin tiada penglibatan pemimpin PR dalam insiden tersebut. Mereka gunakan pihak ketiga untuk mencemarkan imej PR dengan mengaitkan kami,” katanya.

Sehubungan itu, beliau beranggapan bahawa dakwaan sedemikian mengarut dan tidak berasas.

“Dakwaan ini sangat mengarut. Ini kerana BN hanya berniat untuk menakutkan rakyat bagi meraih undi menjelang PRU13 ini,” katanya lagi.

Sinar/-

Calon Bebas Shariff Omar banyak wang

16 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Umno tidak berani meramalkan peluang calon Barisan Nasional, Shabudin Yahya di parlimen Tasek Gelugor yang turut ditandingi Bebas dan PAS.
PETALING JAYA: Umno Tasek Gelugor mendakwa calon Bebas Datuk Seri Mohd Shariff Omar banyak wang menyebabkan mereka tidak berani meramalkan peluang calon Barisan Nasional, Shahbudin Yahya.

Shahbudin ditentang dua calon lain iaitu Datuk Seri Abdul Rahman Maidin (PAS) dan bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Pembangunan Asas Tani, Datuk Seri Mohd Shariff Omar yang bertanding Bebas.
Parlimen Tasek Gelugor mempunyai 54,142 pengundi dengan 78 peratus adalah pengundi Melayu.
“Masa ini tidak boleh nak cakap lagi…saya tak berani nak kata lagi” kata seorang pemimpin Umno bahagian, Abu Bakar Mansor yang dihubungi.
“Shariff banyak wang, Pengundi India, dia nak Shariff. Depa nak budi, depa nak benda.
“Pengundi Cina di Pokok Bachang pun sama (tetapi) pengundi Melayu tidak macam itu,” katanya lagi.
Shariff dipecat
Shariif pernah menjadi ketua Umno Tasek Gelugor dan ahli parlimen selama dua penggal  pada tahun 1994 dan 2004 sebelum ditanding Datuk Seri Nor Mohamed Yapcob pada 2008.
Selain itu, beliau juga bertanding kerusi Dun Sungai Dua menentang Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN) dan Zahadi Mohamad (PAS).
Shariff dipecat oleh Umno kerana tindakannya bertanding atas tiket Bebas itu.
Manakala beberapa penduduk Tasek Gelugor memberitahu mereka memilih parti dan bukan individu.
Mereka mendakwa, penduduk berhutang budi dengan BN yang membawa banyak pembangunan kepada mereka.
FMT/-

100 anak muda P'jaya serah borang sertai PAS

16 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

PUTRAJAYA: Satu tamparan hebat buat Umno BN Putrajaya khususnya calon mereka Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor apabila 100 anak muda di sini mengisytiharkan menyertai PAS malam tadi.

Borang keahlian mereka diserahkan wakilnya Norazmi Mohammad Nor kepada Yang DiPertua PAS Putrajaya, Ustaz Nazir Zakaria disaksikan puluhan ribu yang hadir pada majlis ceramah di Presint 3 malam tadi.

Turut serta pada majlis ceramah itu malam tadi calon PAS Putrajaya Datuk Husam Musa, Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, calon PAS Titiwangsa Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi serta calon PKR Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.

Bercakap kepada Harakahdaily selepas majlis itu, Norazmi berkata penyertaan beliau dan kawan-kawan yang lain ke dalam PAS kerana yakin dengan keikhlasan dan kebenaran perjuangan parti itu untuk membela rakyat.

"Kami anak-anak muda Putrajaya akan membantu Datuk Husam untuk kemenangan PAS di Putrajaya pada pilihan raya kali ini," katanya.

Ustaz Nazir ketika mengulas kemasukan anak-anak muda itu berkata, iai merupakan satu lonjakkan momentum kepada PAS Putrajaya dalam misi menawan pusat pentadbiran kerajaan itu.

"Ini adalah bukti bahawa anak-anak muda ini bersama  kita, dan kita yakin lebih ramai lagi diluar sana yang juga bersama kita sebagai penyokong senyap.

"Kita yakin akan berlaku perubahan besar pada pilihan raya kali ini," katanya.

Harakahdaily/-

Husam mahu debat dengan Najib isu hudud

16 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Nak berdebat tentang hudud bila-bila masa saja kalau tak minta diam, katanya di hadapan kira-kira 10,000 penyokongnya di Putrajaya.
PUTRAJAYA: Calon PAS Putrajaya Datuk Husam Musa sedia berdebat secara terbuka dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak mengenai isu pelaksanaan hudud.

Husam berkata, dirinya sentiasa terbuka untuk menerima pelawaan Najib sekiranya beliau bersedia untuk berdebat mengenai pendirian PAS tentang isu ini.
“Nak berdebat tentang hudud bila-bila masa saja kalau tak minta diam,” katanya di hadapan kira-kira 10,000 penyokong yang membanjiri kawasan belakang Istana Kehakiman Putrajaya di Presint 3 di sini malam tadi.
Husam dalam ucapannya memberi amaran kepada Najib supaya jangan menakutkan rakyat berbilang kaum dengan sentimen agama.
Katanya, debat itu penting bagi membuktikan sejauh mana pandangan PAS dan BN terhadap isu hudud sekiranya dilaksanakan di negara ini.
`Hanya berpura-pura’
“Kalau tak sanggup (debat) bermakna dia (Najib) hanya berpura-pura dengan isu ini,” katanya.
Najib ketika ditemui pemberita di Pekan semalam berkata pergeseran antara DAP dan PAS mengenai isu hudud jelas membuktikan Pakatan Rakyat tidak mampu memerintah negara jika rakyat memberikan mandat kepada mereka menguasai Putrajaya.
Katanya, PAS dan DAP tiada persefahaman dalam Pakatan Rakyat, berbeza dengan parti komponen lain yang bekerjasama dalam BN.
Sementara itu, Husam turut mendakwa kejadian tembakan melibatkan kematian Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia  
Datuk Shaharuddin Ibrahim pagi semalam ada kaitan dengan unsur rasuah.

Menurutnya, sikap kerajaan yang membiarkan krorupsi berleluasa akan membawa kesan kehancuran kepada negara.
“Dosa yang paling besar adalah membiarkan korupsi sehingga menyebabkan negara hancur,” katanya.
Beliau petang semalam sempat turut serta dalam solat dan mengiringi jenazah Shaharuddin ke Tanah Perkuburan Presint 20.

Hapus cukai 4 peratus

Sementara itu, beliau turut menekankan janjinya terhadap kakitangan kerajaan yang berstatus Gred 41 ke bawah bakal menikmati penghapusan cukai empat peratus yang dikenakan dalam setiap pembelian rumah dan kereta bagi mengurangkan beban ekonomi mereka.
Katanya, perkara itu tidak mustahil kerana kakitangan awam negeri Kelantan sudah menikmatinya sejak tahun 1990 lagi.
“Kalau mennag kepada penjawat awam boleh pegang janji saya, mereka takkan dianayai atau dipinggirkan.
“Anda semua adalah sahabat saya dan saya sahabat anda semua,” katanya.
Turut hadir memberikan ceramah Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Naib Presiden PKR Nurul Izzah, calon PAS Titiwangsa Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi serta Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Nor Mohamad.
FMT/-

Umno bakal alami nasib seperti MCA 2008

16 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KPRU membuat ramalan ini berdasarkan lima faktor utama yang memperlihatkan Najib sudah semakin tidak releven di mata rakyat Malaysia.
PETALING JAYA: Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) meramalkan Umno akan kehilangan banyak kerusi parlimen sebagai yang dialami pada Mac 2008.

KPRU membuat ramalan ini berdasarkan lima  faktor utama yang memperlihatkan Najib sudah semakin tidak releven di mata rakyat Malaysia.
Faktor pertama berkait rapat dengan kejatuhan populariti Presiden Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak berbanding peningkatan populariti pemimpin Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Faktor kedua adalah dasar 1Malaysia gagal untuk menaik taraf hidup rakyat Malaysia. Najib mengumumkan bahawa kadar kemiskinan negara telah jatuh kepada 1.7 peratus sahaja.
Walhal dijangka angka sebenar kadar kemiskinan dalam Malaysia sebenarnya mencapai sebanyak 19 peratus mengambil kira kadar pendapatan isu rumah kerajaan dan Laporan Tinjauan Kemudahan Asas 2009 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
Pada masa yang sama, kata KPRU kerajaan BN terpaksa membelanjakan hampir RM3 bilion bagi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysa (BR1M).
Begitu juga  60 peratus penjawat awam tidak mampu dari segi kewangan untuk membeli rumah serta kegagalan Skim Rumah Pertamaku untuk membantu warga muda untuk membeli rumah.

Tiada kemampuan

Jenama 1Malaysia juga dapat dilihat sebagai kegagalan Najib apabila kira-kira 250 buah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) telah dibuka seluruh negara untuk membantu memberikan barangan murah kepada rakyat Malaysia.
Najib juga merancang membuka lagi 57 kedai KR1M seluruh negara. Ini bermakna rakyat Malaysia tidak mempunyai kemampuan dari segi kewangan untuk membeli barangan berkualiti pada harga yang berpatutan.
Faktor ketiga Anwar mempunyai reputasi yang lebih positif berbanding Najib khususnya dari segi keupayaan tadbir urus kewangan negara dan penggubalan dasar baru yang dapat membawa pembaharuan seiring dengan tuntutan sezaman.
“Pada tahun 2007, hutang negara adalah sebanyak RM267 bilion. Pada 2013, hutang negara telah melonjak kepada RM502 bilion.
“Ketika Anwar  menjadi menteri kewangan, kadar defisit negara telah diubah menjadi kadar surplus dengan tahun 1998, sebelum beliau dipecat, Malaysia mencapai surplus sebanyak 2.4 peratus.
“Keadaan surplus ini terus menjadi deifisit sejurus selepas Anwar dipecat. Ini berbanding dengan kadar defisit di bawah Najib yang melonjak kepada 5.4 peratus pada tahun 2010,” tambah kenyataan itu.
KPRU  mendakwa  Najib juga gagal untuk menaikkan jumlah tenaga kerja mahir dalam negara memandangkan 80 peratus tenaga kerja dalam negara hanya mempunyai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Anwar lebih positif

Selain itu, reputasi Anwar Iebih positif di mata orang awam berbanding Najib.

Faktor keempat yang akan mempengaruhi keputusan di PRU 13 ini adalah dasar Najib yang dilihat sebagai lemah dan tidak berpendirian tetap. Ini mengikut 10 kes dasar ‘flip-flop’ yang pernah dilaporkan oleh KPRU yang berlaku di bawah pentadbiran Najib.
“Antara 10 kes tersebut adalah terdiri daripada dasar ‘flip-flop’ Lynas, kegagalan pertukaran saham Malaysia Airlines dan Air Asia sehingga kepada pembatalan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) selepas penentangan oleh para penjawat awam.
“Kegagalan Najib untuk berpendirian tegas kepada dasar-dasar negara yang mempengaruhi kehidupan harian menunjukkan beliau tidak mempunyai keupayaan untuk membawa Malaysia kepada arah sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.
“Ianya juga memberi gambaran bahawa Najib tidak mempunyai kebijaksanaan untuk memutuskan dasar yang paling efektif demi rakyat tanpa mengayakan kroni-kroni beliau,” kata kenyataan itu.
Faktor kelima adalah skandal-skandal yang kembali menghantui Najib dan pentadbiran beliau.
Antaranya termasuk Scorpene, pembunuhan Altantuya, kritikan terhadap tindakan melampau ke atas para peserta perhimpinan Bersih 2.0 dan 3.0, skandal National Feedlot Center (NFC), kegagalan pentadbiran Najib mengendalikan pencerobohan Lahad Datu dengan pantas dan efektif, skandal perbicaraan liwat terhadap Anwar, skandal kroni AES, skandal kroni emel 1Malaysia dan skandal kotor melibatkan Ketua Menteri Sarawak dan keluarganya.
Tinjauan oleh Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti (Umcedel) telah menemui kadar kelayakan Najib untuk memangku jawatan sebagai Perdana Menteri semakin berkurangan di mana hanya 39 peratus  berbanding Anwar  yang  43 peratus kepercayaan para respondan.
Ini adalah pengurangan sebanyak empat peratus daripada tinjauan yang dilakukan pada awal tahun 2013.
FMT/-