27 April 2013

Husam mahu debat dengan Najib isu hudud

16 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Nak berdebat tentang hudud bila-bila masa saja kalau tak minta diam, katanya di hadapan kira-kira 10,000 penyokongnya di Putrajaya.
PUTRAJAYA: Calon PAS Putrajaya Datuk Husam Musa sedia berdebat secara terbuka dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak mengenai isu pelaksanaan hudud.

Husam berkata, dirinya sentiasa terbuka untuk menerima pelawaan Najib sekiranya beliau bersedia untuk berdebat mengenai pendirian PAS tentang isu ini.
“Nak berdebat tentang hudud bila-bila masa saja kalau tak minta diam,” katanya di hadapan kira-kira 10,000 penyokong yang membanjiri kawasan belakang Istana Kehakiman Putrajaya di Presint 3 di sini malam tadi.
Husam dalam ucapannya memberi amaran kepada Najib supaya jangan menakutkan rakyat berbilang kaum dengan sentimen agama.
Katanya, debat itu penting bagi membuktikan sejauh mana pandangan PAS dan BN terhadap isu hudud sekiranya dilaksanakan di negara ini.
`Hanya berpura-pura’
“Kalau tak sanggup (debat) bermakna dia (Najib) hanya berpura-pura dengan isu ini,” katanya.
Najib ketika ditemui pemberita di Pekan semalam berkata pergeseran antara DAP dan PAS mengenai isu hudud jelas membuktikan Pakatan Rakyat tidak mampu memerintah negara jika rakyat memberikan mandat kepada mereka menguasai Putrajaya.
Katanya, PAS dan DAP tiada persefahaman dalam Pakatan Rakyat, berbeza dengan parti komponen lain yang bekerjasama dalam BN.
Sementara itu, Husam turut mendakwa kejadian tembakan melibatkan kematian Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia  
Datuk Shaharuddin Ibrahim pagi semalam ada kaitan dengan unsur rasuah.

Menurutnya, sikap kerajaan yang membiarkan krorupsi berleluasa akan membawa kesan kehancuran kepada negara.
“Dosa yang paling besar adalah membiarkan korupsi sehingga menyebabkan negara hancur,” katanya.
Beliau petang semalam sempat turut serta dalam solat dan mengiringi jenazah Shaharuddin ke Tanah Perkuburan Presint 20.

Hapus cukai 4 peratus

Sementara itu, beliau turut menekankan janjinya terhadap kakitangan kerajaan yang berstatus Gred 41 ke bawah bakal menikmati penghapusan cukai empat peratus yang dikenakan dalam setiap pembelian rumah dan kereta bagi mengurangkan beban ekonomi mereka.
Katanya, perkara itu tidak mustahil kerana kakitangan awam negeri Kelantan sudah menikmatinya sejak tahun 1990 lagi.
“Kalau mennag kepada penjawat awam boleh pegang janji saya, mereka takkan dianayai atau dipinggirkan.
“Anda semua adalah sahabat saya dan saya sahabat anda semua,” katanya.
Turut hadir memberikan ceramah Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Naib Presiden PKR Nurul Izzah, calon PAS Titiwangsa Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi serta Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Nor Mohamad.
FMT/-

Tiada ulasan: