27 April 2013

Umcedel jawab pihak pertikai hasil kajian PRU13

16 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

NOTA ini merujuk kepada pandangan beberapa orang penganalisis politik berkaitan dengan hasil kaji selidik yang telah dijalankan oleh Umcedel berkaitan pilihan pengundi menjelang pilihan raya umum ke-13 yang disiarkan dalam www.sinarharian.com.my pada 27 April 2013 (semalam).

Hasil kaji selidik ini telah dihebahkan semasa persidangan akhbar pada 25 April 2013 di Universiti Malaya yang telah dihadiri oleh pemberita dari dalam dan luar negara termasuk beberapa orang diplomat antarabangsa. Kesempatan juga telah diberikan kepada wartawan dan diplomat untuk mengemukakan persoalan dan meneliti lebih lanjut kajian yang kami jalankan.

Beberapa penjelasan kepada kajian tersebut:

1. Berlaku kekeliruan berkaitan istilah populasi dan sampel. Populasi merujuk kepada keseluruhan komponen sama ada jumlah penduduk negara atau jumlah pengundi.

Sementara sampel adalah sebahagian komponen yang akan mewakili keseluruhan populasi. Standard dan prosedur statistik yang menjadi amalan kajian di peringkat tempatan dan antarabangsa adalah mendapatkan sampel. Contoh yang paling mudah, doktor tidak perlu mendapatkan sebahagian besar atau kesemua darah pesakit untuk mengetahui penyakit, namun hanya cukup dengan setitik darah sahaja. 

2. Pemilihan responden seramai 1,407 adalah mewakili keseluruhan komponen pengundi berdasarkan pecahan etnik, jantina, struktur umur, lokasi tempat tinggal, status pekerjaaan dan pendidikan.

Sampel yang dipilih adalah responden yang telah mendaftar sebagai pengundi dan pernah mengundi dalam pilihan raya. Jumlah sampel tersebut adalah standard sampel yang digunakan oleh badan penyelidik antarabangsa seperti MORI, YouGov dan Gallup.

Malah beberapa badan penyelidik akademik serantau seperti Election Study Center di National Chengchi Universiti di Taiwan, Lembaga Survey dan Lingkungan Survey di Indonesia juga mengggunakan jumlah sampel yang hampir sama.  Metodologi yang digunakan dalam kajian adalah secara bersemuka menggunakan soalan yang berstruktur.

3. Umcedel adalah badan penyelidikan akademik yang bernaung di bawah Kluster Kemanusiaan dan Sains Sosial Universiti Malaya yang dianggotai oleh ahli akademik tempatan dan antarabangsa. Kepakaran ahli Umcedel termasuk dalam bidang statistik, sains politik, politik antarabangsa, sistem maklumat geografi, sejarah dan geografi pilihan raya.

Kajian yang kami jalankan mematuhi standard akademik dan dibiayai oleh universiti yang mempertahankan nilai intergriti, telus dan tidak memihak kepada mana-mana individu ataupun parti politik. 

4. Masyarakat juga tentunya menantikan kajian daripada penganalisis-penganalisis politik yang terlibat secara langsung di lapangan untuk mendapatkan gambaran sebenar yang berlaku di peringkat akar umbi dan bukannya bergantung kepada pemerhatian politik melalui media semata-semata.

5. Pihak yang berminat boleh melayari laman sesawang www.umcedel.um.edu.my untuk mendapatkan butiran lanjut kajian tersebut dan beberapa kajian yang telah kami jalankan. Pihak kami juga bersedia berdiskusi dengan mana-mana individu dan pertubuhan yang mahu meneliti lebih lanjut kajian kami. Pandangan dan komen separuh masak yang tidak mempunyai nilai akademik tanpa melihat dengan lanjut kajian tersebut amat dikesali.

Sekretariat Umcedel

Sinar/-

Tiada ulasan: