16 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 27 April — Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali hari ini berkata beliau akan melawan saman yang dikemukakan Umno terhadapnya kerana didakwa memfitnah parti majoriti Melayu itu berhubung pengedaran video seks yang dikaitkan dengan dirinya.
Mustafa (gambar)yang lebih dikenali dengan nama “Cikgu Pa” itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut berikutan video berkenaan yang dimuat naik ke blog-blog di laman sosial, sebaliknya hanya menyerahkan perkara itu kepada peguamnya.
“Saman Umno saya akan lawan, dia saman tiga, saya, Zul dan Asmuni,” katanya merujuk kepada Ketua Pengarang Harakahdaily Zulkifli Sulong dan peguam yang mewakilinya untuk kes itu Asmuni Awi.
“Pasal video saya enggan mengulas lanjut. Kita lawan itu (saman) dulu. Kalau nak dengar lebih lanjut pergi ke ceramah saya di Rusila, Terengganu pada 3 Mei depan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PAS di sini.
Umno telah memfailkan saman fitnah terhadap Mustafa pada 22 April lalu bersama-sama dengan peguamnya dan lidah rasmi PAS, HarakahDaily kerana didakwa mengaitkan parti itu dengan penyebaran video lucah yang dikatakan mirip Setiausaha Agung PAS terbabit.
Saman tersebut dikemukakan oleh Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab. Rauf Yusoh selaku pegawai awam Umno melalui firma guaman, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi di sini.
Tuntutan saman itu melibatkan lima artikel yang disiarkan setelah Mustafa didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah pada 13 April lalu apabila video lucah seorang lelaki menyerupainya tersebar di media sosial sejak 11 April lalu.
Dalam writ saman tersebut, Ab. Rauf menyatakan, kenyataan fitnah itu diucapkan oleh Mustafa bersama Asmuni dan telah diterbitkan oleh Zulkifli.
Menurut pihak plaintif, artikel fitnah yang dikeluarkan antaranya membawa maksud kononnya Umno yang sengaja merancang insiden berkaitan video lucah itu, Umno menyebarkannya untuk kempen dan Umno menjadi dalang di sebalik pembikinan video lucah tersebut.
Akibat tuduhan-tuduhan serius yang dilemparkan itu dengan niat jahat, pihak plaintif menegaskan, Mustafa bertanggungjawab ke atas reputasi Umno yang terjejas teruk dan pihak plaintif layak diberikan ganti rugi.
Pihak plaintif menuntut supaya, Mustafa berhenti daripada memberikan kenyataan lanjut berunsur fitnah dan membuat permohonan maaf tanpa syarat dan menarik balik penerbitan itu.
The Malaysian Insider/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan