27 April 2013

200 rakyat M'sia akan undi di konsulate M'sia New York

16 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
Kira-kira 200 rakyat Malaysia yang tinggal di sekitar Timur Amerika akan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi di Pejabat Konsulat Malaysia di New York pada Ahad ini.
    
Konsul Jeneral Malaysia di New York Syed Bakri Syed Abdul Rahman berkata daripada jumlah itu, kira-kira 150 adalah pengundi pos iaitu rakyat Malaysia yang memenuhi syarat kelayakan untuk mengundi di luar negara.

Bakinya merupakan pengundi di bawah kategori pengundi tidak hadir (PTH) iaitu terdiri daripada kakitangan kerajaan yang bertugas di beberapa jabatan kerajaan Malaysia di New York, serta pasangan mereka dan pelajar di beberapa universiti di sini, katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Jumaat.

Beliau berkata semua persiapan untuk pengundian berjalan lancar dan dua kaunter mengundi akan dibuka mulai 9 pagi sehingga 5 petang.

“Seramai 10 petugas termasuk pegawai di pejabat konsulat dan pejabat wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan bertugas pada hari pengundian selain turut diikuti oleh beberapa pemerhati yang mewakili parti-parti politik," katanya.
    
Pejabat Konsul Jeneral terletak di dalam satu bangunan milik kerajaan yang turut menempatkan beberapa jabatan kerajaan termasuk Pejabat Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan Imigresen. 
    
Dewan utama bangunan berkenaan akan dijadikan sebagai tempat mengundi, kata Syed Bakri.

Sementara itu, difahamkan pejabat Kedutaan Malaysia di Washington DC juga rancak membuat persiapan sejak minggu lepas bagi membolehkan rakyat Malaysia yang layak mengundi pos menunaikan tanggungjawab mereka.

Kira-kira 20 kakitangan pejabat kedutaan itu akan bertugas pada hari berkenaan untuk memantau kira-kira 250 orang yang akan mengundi di pejabat
kedutaan itu. 

- Bernama

Tiada ulasan: