27 April 2013

Anak terbabit nahas ketika dalam perjalanan ambil ubat ibu

16 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

kemalangan

Kenderaan mangsa remuk akibat rempuhan itu.
BANDAR TUN RAZAK - Hasrat seorang anak untuk mengambil ubat darah tinggi ibunya di Hospital Muadzam Shah tidak kesampaian, apabila maut selepas kereta Perodua Myvi yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 116.7 Jalan Kuantan-Segamat, petang kelmarin.

Mangsa, Mohd Ridhwan Mahat, 25, berasal dari Felda Keratong 1, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, dada dan patah kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, kejadian jam 2.30 itu dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dipandu mangsa merempuh sebuah lori membawa muatan tembikai dari arah Kuantan ke Segamat.

“Mangsa dari Keratong dipercayai ingin menuju ke Muadzam Shah tidak sempat mengelak sebuah lori yang dipercayai masuk ke laluannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Johari berkata, difahamkan lori terbabit terpaksa melintas jalan untuk memberhentikan kenderaan di tebing bukit di sebelah bahu kanan jalan bertentangan akibat kegagalan sistem brek berfungsi.

Katanya, belum sempat lori itu sampai ke tebing, kenderaan yang dipandu mangsa dari arah Segamat tidak sempat mengelak lalu terus merempuh lori tersebut menyebabkan kedua-kedua kenderaan terseret hingga ke tebing bukit.

“Operasi mengeluarkan mayat mangsa oleh anggota Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah berdepan kesukaran berikutan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu. Mayat hanya berjaya dikeluarkan 30 minit kemudian dan dihantar ke Hospital
Muadzam Shah untuk bedah siasat," katanya.

Kakak mangsa, Zuraidah Mahat, 40, berkata, kebiasaannya arwah akan membawa ibunya, Kalsom Ahmad, 65, mengambil ubat di Hospital Muadzam Shah setiap bulan.

Bagaimanapun katanya, pada hari kejadian, difahamkan adiknya tidak membawa ibu mereka ke hospital kerana kesihatannya tidak mengizinkan disebabkan penyakit strok dihidapinya.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu adik ketujuh daripada lapan beradik itu ketika kesemua ahli keluarganya datang ke rumahnya di Johor Bahru, Ahad lalu.

“Arwah adalah satu-satunya harapan kami untuk menjaga emak di kampung dan tak sangka pula dia pergi meninggalkan kami dalam keadaan menyedihkan, tetapi saya tetap reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Keratong 1, jam 10 malam kelmarin.

Sinar/-

Tiada ulasan: