KUALA LUMPUR: Pengunduran seluruh anggota Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini dilakukan atas dasar tanggungjawab bersama dan bukan menanggung kesalahan bersama.
Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, merakamkan ucapan terima kasih atas peluang menganggotai Kabinet dan menabur bakti sepanjang 17 bulan dilantik sebagai menteri sejak 10 Mac tahun lalu.
"Pengunduran atas 'collective responsibility' (tanggungjawab bersama), bukan 'collective guilt' (kesalahan bersama).
"Terima kasih atas segalanya, yang pahit menjadi ubat, yang manis menjadi pengubat. Negara selamat semua terubat," katanya menerusi Twitter, hari ini.
Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menerusi entri di Instagram menyatakan Kabinet menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada jam 12.23 tengah hari tadi, dipercayai bagi menyerahkan surat peletakan jawatan.
Kabinet diterajui Muhyiddin menyaksikan keanggotaan kali ketiga PAS dalam Kerajaan Persekutuan.
Sebelum ini, PAS berada dalam kerajaan Persekutuan bersama kerajaan campuran Perikatan dari 1973 hingga 1974 dan Barisan Nasional (BN) dari 1974 hingga 1977.
Takiyuddin, 59, yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Malaya, mula membabitkan diri dalam politik selepas menyertai PAS sekitar 1989.
Bekas majistret itu menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payong sejak 1999, sebelum berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kota Bharu bermula 2013 sehingga kini selepas menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.