Oleh : Muhaimin Sulam
Fenomena pelajar Malaysia di UK duduk satu rumah bercampur antara lelaki perempuan adalah perkara biasa. Ada yang campur serumah sesama orang Malaysia dan ada juga campur serumah dengan pelajar internasional.
Satu rumah bersama lelaki Afrika dan Sepanyol, campur perempuan Jerman dan ada gadis Melayu. Tiada siapa yang hendak sibuk membuat laporan kepada ibu bapa mereka di tanahair. Di sini tiada pasukan pencegah maksiat ataupun ustaz yang sukarela memberikan pemantauan terhadap hal ini.
Alasan yang paling mudah ialah 'darurat'. Entah ustaz atau ulama mana yang buat hukum sedemikian. Namun, rata-rata menjadikan alasan 'darurat' itu sebagai satu jalan mudah duduk satu rumah bercampur lelaki dan perempuan. Latar belakang pendidikan agama seperti sekolah agama atau dari keluarga orang yang dihormati seperti anak haji atau ustaz bukanlah satu jaminan untuk menghalang fenomena ini berlaku.
Memang mereka bukan berniat untuk tinggal bercampur tetapi kebanyakan mereka tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mengelak hal itu berlaku.
Darurat
Penggunaan istilah 'darurat' sering digunakan bagi mengesahkan semua tindakan. Seperti buka tudung bagi pelajar perempuan kerana khuatir keselamatannya diancam kerana konon wujudnya sentimen anti-Islam di sini. Makan daging yang tidak disembelih oleh orang Islam. Tidak sembahyang Jumaat kerana ada kelas. Cuma satu sahaja yang mungkin tidak dibuat: makan babi! Itupun barangkali kerana orang Melayu sudah dididik membenci babi sejak kecil lagi.
Alasan lain adalah kerana untuk menjimatkan duit perbelanjaan. Meskipun pihak kerajaan memberikan elaun yang mencukupi tetapi sering dijadikan alasan untuk menyatakan sebaliknya. Sesetengahnya mengatakan duduk bercampur satu rumah samalah seperti tinggal dalam satu hotel. Macam-macam alasan yang diberikan. Semuanya untuk mengesahkan tindakan mereka tinggal bercampur lelaki perempuan dalam satu rumah sebagai tidak salah.
Aku percaya, mereka tidak akan buat perkara itu jika berada di Malaysia. Mungkin kerana cara itu tidak diterima dalam budaya tanahair. Ia seperti lebih kepada faktor budaya dari faktor agama. Jika faktor agama, mereka tidak akan berbuat demikian. Seolah-olah agama Islam hanya sesuai diamalkan di sesetengah tempat.
Jika berkesempatan menonton rancangan televisyen 'Friends', itulah gambaran kehidupan remaja dan anak-anak muda di Barat. Mereka yang berumur melebihi 17 tahun ke atas bebas daripada kawalan ibu bapa mereka. Mereka boleh tinggal serumah dengan teman lelaki atau perempuan mereka. Itu adalah jaminan dalam undang-undang mereka.
Mereka boleh berkeluarga dan mempunyai anak tanpa nikah. Yang perlu mereka mendaftarkan nama kepada Majlis Perbandaran (City County) sebagai pasangan untuk mendapatkan beberapa faedah (benefit) kebajikan daripada kerajaan seperti elaun anak, elaun susu dan sebagainya.
Selain itu, ada faktor lain yang menyebabkan fenomena itu berlaku. Antaranya nasihat dan pandangan daripada beberapa pelajar senior yang memesongkan pemikiran mereka. Memang yang datang belajar ke UK ini kebanyakannya bijak, IQ tinggi dan pintar belaka. Namun, itu tidak memadai untuk menjadi pendinding kepada budaya baru yang memuja kebebasan.
Bijak mereka bukan pada memahami hakikat kehidupan beragama tetapi kepada mata pelajaran sahaja. Mereka kalah dengan 'hujah bodoh' sesetengah pelajar senior. Oleh kerana mereka orang baru, kebanyakan 'nasihat bodoh' akan ditelan tanpa so
al jawab. Kejutan budaya menyebabkan sesetengah pelajar muda terperangkap kepada kekeliruan yang merosakkan diri mereka.
Asrama Campur
Sesetengah universiti, tidak ada konsep asrama yang berasingan antara lelaki dan perempuan. Bagi mereka, tiada perbezaan antara lelaki dan perempuan. Ini mungkin hasil daripada perjuangan hak sama rata tanpa mengenal gender. Satu rumah yang berkongsi bilik air, ruang tamu dan dapur biasanya untuk lima atau enam orang.
Setiap orang mempunyai bilik yang berasingan. Hampir semua rumah di UK terdapat hanya satu bilik air sahaja meskipun rumah tersebut mempunyai tiga atau empat bilik. Ada yang menyebut macam filem P. Ramlee, �Pendekar Bujang Lapuk�. Mereka tinggal satu rumah tetapi diasing-asingkan dengan bilik. Paling tidak dalam filem itu, si Bujang Lapuk tidak boleh berbuat sewenang-wenangnya kerana ada Pendekar Mustar yang mengawal rumah tersebut.
Tiada larangan untuk pelajar lelaki masuk ke bilik pelajar perempuan begitu juga sebaliknya. Mereka melayan lelaki dan perempuan sama. Oleh itu, mereka bebas untuk datang ke bilik kawan meskipun pada malam hari. Tiada siapa yang melarang. Semua sudah besar panjang dan bijak pandai.
Tidak ada yang sibuk menjaga tepi kain orang. Yang penting kawan serumah itu tidak mengganggu ketenteraman dan keselesaan dirinya untuk belajar di bilik mereka. Jika tidak, mereka boleh lapor kepada pihak universiti. Biasanya tindakan akan dibuat oleh pihak universiti atas alasan mengganggu orang lain.
Kadangkala mereka berasa susah hati kerana terpaksa berkongsi satu peti ais dengan penghuni lain yang menyimpan babi dalam peti tersebut. Bayangkan ayam halal bercampur dengan daging babi dalam satu peti ais.
Walau bagaimanapun, setiap pelajar mempunyai hak untuk memohon rumah yang tidak bercampur antara lelaki dan perempuan. Itu bergantung kepada kekosongan ataupun budi bicara pihak pengurusan penginapan universiti.
Ramai ibu bapa di tanah air tidak mengetahui keadaan kehidupan anak mereka di sini. Bahkan, jika mereka mengetahui anak mereka duduk bercampur, mereka mungkin diberikan pandangan yang mengelirukan oleh anak-anak mereka di sini. Akhirnya, ibu bapa di tanah air seperti terpaksa �merestui� keadaan anak mereka. Ibubapa diyakinkan bahawa keadaan mereka benar-benar darurat, terpaksa dan tiada pilihan.
Kadang kala akupun pelik juga, ada juga ibu bapa yang membenarkan anak mereka tinggal bercampur. Mungkin kerana jiran mereka tidak tahu atau kawan-kawan satu kampung tidak tahu. Jika tahu, tentu mereka akan malu. Maknanya, mereka hanya malu pada jiran atau rakan-rakan sekampung, satu pejabat atau setaman mereka.
Satu perkara yang menarik di UK adalah masyarakat mereka amat menghormati cara hidup dan kepercayaan termasuklah agama seseorang, termasuklah Islam. Malangnya, terdapat juga sebilangan orang Islam yang malu untuk berfikiran dan bertindak sebagai seorang Muslim. - tajdid