21 November 2012

Ghaib ketika berjalan

7 Muharram 1433H. [MOD] -

KUANTAN: “Saya hairan bagaimana anak saya boleh hilang sedangkan dia berjalan di tengah-tengah antara kami lima beranak. Sebelum itu saya lihat dia begitu ceria berlari-lari bersama dua beradiknya yang lain.

“Sebaik menyedari kehilangannya, hati saya terus terdetik sesuatu yang buruk menimpanya dan cuba mencari di kawasan sekeliling namun gagal,” kata Chan Tah Jek, 45, bapa kepada murid tahun tiga yang ditemui mati dalam sebuah lubuk di kawasan perkelahan Air Terjun Pelangi, Sungai Lembing, dekat sini.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari kelmarin, Chan Pek Sheng, 9, hilang ketika dia bersama empat ahli keluarganya dan empat sanak saudara lain dalam perjalanan turun dari kawasan perkelahan itu.

Bagaimanapun, mayat kanak-kanak itu hanya ditemui jam 1.30 tengah hari semalam oleh pasukan mencari dan menyelamat membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dengan dibantu penduduk kampung berhampiran.

Tah Jek berkata, mereka pergi ke kawasan air terjun berkenaan pada jam 6.40 pagi kelmarin kerana tertarik dengan kisah keindahan pelangi selain mahu membawa tiga anaknya berseronok sempena cuti sekolah.

Katanya, sebelum kehilangan anak bongsunya itu disedari, dia melihat mangsa bergelak ketawa bersama dua beradiknya yang lain, namun tidak menyangka itu kali terakhir dia melihat anaknya.

“Salah seorang anak memaklumkan Pek Sheng berjalan bersama saya sedangkan saya langsung tidak melihatnya ketika itu.

“Saya hanya mampu berdoa agar Pek Sheng dijumpai dengan selamat walaupun saya tahu harapan itu agak tipis. Saya tidak sangka keseronokan kami berakhir dengan kejadian sedih ini,” katanya yang tinggal di Kluang, Johor.

Tah Jek membuat laporan kehilangan anaknya itu di Balai Polis Sungai Lembing sebelum gerakan mencari dan menyelamat dimulakan jam 2 petang kelmarin. Bagaimanapun, operasi dihentikan jam 6 petang berikutan cuaca gelap.

Sementara itu, Penguasa Kanan 1 Bomba di sini, Zulfahmi Sutaji berkata, mayat mangsa ditemui dalam sebuah lubuk oleh penduduk kampung kira-kira dua kilometer (km) dari lokasi kali terakhir mangsa dilihat.

“Selepas mendapat maklumat dari penduduk tempatan, anggota saya terus menyelam ke lubuk berkenaan dan menjumpai mayat mangsa di dasar lubuk itu dan dibawa keluar.

“Punca kejadian masih lagi disiasat dan tidak menolak kemungkinan mangsa tergelincir ke dalam lubuk berkenaan sebelum lemas,” katanya ketika di temui di Balai Polis Sungai Lembing selepas operasi berkenaan dihentikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, semakan mendapati keluarga itu tidak memaklumkan kepada mana-mana pihak berkuasa sebelum memasuki kawasan air terjun berkenaan.

“Kejadian ini boleh dielak jika mana-mana pihak yang ingin memasuki kawasan rekreasi bagi berkelah atau berkhemah memaklumkan terlebih dulu kepada pihak berkuasa. Ini bagi memudahkan kami merekodkan setiap butiran dan memberikan nasihat kepada mereka untuk tujuan keselamatan.

“Selain itu, kawasan rekreasi juga perlu dilengkapi papan tanda amaran mencukupi bagi memberi maklumat kepada pengunjung di samping menyediakan kemudahan yang mencukupi untuk keselesaan pengunjung,” katanya.

metro/-

Empat maut, empat cedera dalam kemalangan dekat Gopeng

7 Muharram 1433H. [MOD] -

REMPUH...kereta yang terhimpit selepas dilanggar sebuah treler. FOTO Supian Ahmad
REMPUH...kereta yang terhimpit selepas dilanggar sebuah treler. FOTO Supian Ahmad 
 
IPOH: Empat pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (Propel) maut manakala empat lagi rakan sekerja mereka cedera selepas dirempuh sebuah treler yang membawa muatan coklat di Kilometer 294.1 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Gopeng, awal hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mohamad Shukri Dahalan berkata kemalangan berlaku pada 4.30 pagi ketika lapan pekerja Propel itu sedang menjalankan kerja penyelenggaraan di lorong kiri lebuh raya berkenaan.
Sebelum itu, treler dari arah Johor Bahru ke Ipoh yang hilang kawalan itu merempuh kereta Proton Iswara, MPV Mitsubishi Triton, van dan lori kecil milik pekerja Propel itu yang diletak di lorong kecemasan sebelum melanggar lapan pekerja terbabit, katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Empat pekerja yang maut ialah Ismady Mohd Rodzi, 32, dari Kulim, Kedah, Shaharuddin Abd Aziz, 51, dari Kuala Kangsar, Mohd Shafie Ismail, 56, dari Taman Shatin, Ipoh dan Hafiz Yunus, 39, dari Kuala Lumpur.

Tiga daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Pekerja Propel yang cedera pula ialah Dino Azmi, 36, Azhan Ismail, 44, Mahyuddin Idris, 48, dan Shafudin Abdul Jalil, 31.

Turut mengalami kecederaan ialah pemandu treler yang hanya dikenali sebagai Zulkifli dan kelindannya, Mohd Rozi Mat Sharif, 44.

Kesemua mayat dibawa ke HRPB manakala mangsa yang cedera dihantar ke HRPB dan Hospital Kampar bagi menerima rawatan.

Mohamad Shukri berkata ketika kejadian, keadaan lokasi berbukit dan pemandu treler itu dipercayai gagal mengawal kenderaannya semasa menuruni cerun ketika hujan renyai.

Pemandu lori terbabit akan ditahan selepas dirawat untuk siasatan lanjut, katanya. - Bernama

Dewan kecoh, menteri mengelak jawab AES

7 Muharram 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat kecoh seketika apabila Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha enggan memberi laluan kepada ahli-ahli parlimen Pakatan untuk mencelah bertanyakan soalan berkaitan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Ketika sesi penggulungan peringkat jawatankuasa Kementerian Pengangkutan pagi tadi, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar cuba bangun meminta penjelasan menteri walaupun tidak diberikan peluang bertanya.

"Kenapa menteri enggan memberi ruang untuk kita bertanya dan saya lihat menteri seolah-olah takut untuk jawab kerana risau ia akan terbongkar.

"Saya pasti ini disebabkan semuanya ada kepentingan sebab itu takut," jelas beliau di Parlimen walaupun Kong Cho Ha enggan memberi laluan.

Sebelum itu, pada awal sesi penggulungan telah timbul kekecohan apabila menteri mengatakan akan menjawab isu berkaitan AES pada akhir penggulungan.

Mahfuz ketika itu mengatakan tindakan tersebut adalah alasan menteri untuk tidak menjawab pertanyaan AES.

Mahfuz yang meneruskan pertanyaan meminta kerajaan memberitahu apakah bukti kukuh yang mengatakan pemasangan kamera dapat mengurangkan kadar kemalangan.

"Ada perkara yang tidak betul dalam pelaksanaan projek ini, dan saya pasti ia bukannya untuk tujuan menyelamatkan nyawa serta mengurangkan kadar kemalangan.

"Tetapi ia adalah sebenarnya untuk kayakan kroni dengan cara merompak duit dari rakyat," kata Mahfuz sambil ditentang oleh ahli-ahli parlimen Barisan Nasional.

Tambahnya lagi, kerajaan perlu memberi penjelasan bagaimana syarikat yang tidak mempunyai pengalaman dalam pelaksanaan AES boleh dilantik untuk melaksanakan projek tersebut.

Kong Cho Ha dalam jawapan ringkasnya menyatakan apa yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Pakatan adalah dengan niat untuk memutar belitkan fakta.

Namun kenyataan tersebut disangkal oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang memberitahu menteri sepatutnya menjawab persoalan yang dibangkit bukannya mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Penggulungan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan bersambung pada jam 2.30 petang.

Mahfuz dan Kong Cho Ha terus menjadi tumpuan apabila kedua-dua mereka terus menimbulkan isu di dalam dewan di lobi parlimen.

harakah/-

Muslim Care rayu bantuan Gaza

7 Muharram 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Pasukan Bantuan Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia (Muslim Care) akan ke Gaza pada 27 November ini bagi menghantar bantuan asas kepada rakyat Palestin yang menjadi mangsa serangan terbaru Israel.

Bagi tujuan itu, Muslim Care merayu rakyat Malaysia agar memberikan bantuan kewangan ke Tabung Bantuan Untuk Gaza yang dilancarkannya bagi meringankan beban rakyat Palestin ketika ini.

Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkefli Mohd Nani berkata, pihaknya mensasarkan kutipan sekurang-kurangnya RM100,000 untuk membeli keperluan makanan, khemah dan ubat-ubatan untuk rakyat Palestin.

"Pasukan bantuan akan menyerahkan bantuan kewangan kepada rakan NGO kita di Gaza dan keperluan asas akan dibeli di sana. Kalau bawa dari sini, lebih banyak kos diperlukan. Kita ingin salurkan bantuan segera buat masa ini," kata beliau pada sidang media di Masjid As-Syakirin KLCC hari ini.

Dua wakil Muslim Care dari Malaysia yang akan ke Gaza ialah bendaharinya, Zulkifli Wahijan dan exco, Ridhuan Md Noor manakala seorang lagi wakil Muslim Care di United Kingdom, Alias.

Mereka akan bergabung dengan beberapa NGO dari negara lain dan akan berada di Gaza selama tiga hari.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke Akaun Maybank Muslim Care (Viva Palestin) 5644 902 111 59 atau ke Akaun RHB (Muslim Care) 2621 2000 004747.

Zulkefli juga berkata, selain bantuan segera ini, Muslim Care turut mensasarkan kutipan RM1 juta bagi membantu rakyat Palestin menjelang awal tahun hadapan.

Tabung-tabung akan diedarkan ke seluruh masjid di Masjid bagi tujuan derma selain kutipan derma melalui siri jelajah yang sudah bermula Jumaat lalu.

"Kita akan cuba sedaya-upaya mencapai satu juta dan penyerahan mob cek akan diadakan di masjid ini pada malam sambutan tahun baru," katanya.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Presiden Muslim Care, Mat Ariffin Ismail, setiausaha agung, Zakaria Abd Latif dan Ketua Imam Masjid As-Syakirin, Mohd Saiful Azhar, bekas anggota kumpulan rock XPDC, Zua yang akan menyanyikan lagu 'Gaza Menangis' sepanjang siri jelajah.

Dalam pada itu, setakat ini sekurang-kurangnya 120 terbunuh dan hampir 900 orang tercedera melalui lebih 1643 serangan roket yang dilancarkan oleh tentera darat dan laut.

Manakala sekurang-kurangnya 822 rumah musnah akibat serangan ini.

harakah/-

Roboh: Penjelasan MPPP kes di Sungai Gelugor

7 Muharram 1433H. [MOD] -


Pada tahun 2007, pentadbiran ini telah menerima banyak aduan menerusi portal rasmi Majlis Perbandaran Pulau Pinang mengenai aktiviti pembinaan sebuah struktur bangunan tanpa kelulusan Majlis. Encik Zulkifly bin Mohamad yang juga merupakan jiran bersebelahan, telah mengadu bahawa pembinaan tanpa kelulusan ini telah menjejaskan kualiti kawasan perumahannya, membahayakan dan juga telah menyebabkan pembiakan nyamuk.

Siasatan yang dijalankan oleh kakitangan Majlis mendapati struktur “extension” 2 tingkat berkenaan dibina tanpa kelulusan pelan bangunan dan ia dikhuatiri boleh membahayakan keselamatan kerana struktur dibina sehingga ke lot sempadan rumah pengadu.

Pada 1.10.2007, satu notis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 72 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 ke atas kerja-kerja pindaan dan tambahan yang telah dijalankan dalam kawasan premis berkenaan.

Struktur tambahan yang dimaksudkan ini adalah suatu binaan dari jenis tiang dan konkrit bertetulang 2 tingkat berukuran 10’ 0’’ x 80’ 0’’ dan struktur bersaiz  20’ 0’’ x 10’ 0’’ di bahagian hadapan premis berkenaan. Struktur ini juga boleh mendatangkan implikasi keselamatan memandangkan ia tiada anjakan 2 meter dari sempadan lot sisi.

Pada  11.10.2007, Notis   di bawah Sek.72(6)  Akta  Jalan, Parit   dan  Bangunan  1974 dikeluarkan memberi tempoh  30 hari kepada   pemilik untuk berhenti dari   menjalankan kerja-kerja pembinaan struktur berkenaan. Namun pemilik premis berkenaan masih engkar dan tidak mematuhi kehendak-kehendak notis berkenaan.

Kes ini telah dibawa ke mahkamah pada 21 Julai 2008 untuk kesalahan di bawah seksyen 70 Akta Jalan Parit dan Bangunan di mana pemilik telahpun mengaku bersalah dan telah dikenakan denda oleh mahkamah sebanyak RM2,000.

Pada 19 Januari 2009 Majlis telah memberikan nasihat kepada pemilik premis berkenaan untuk mematuhi semua kehendak-kehendak notis yang telah dikeluarkan kepada beliau.

Beliau telah mengemukakan rayuan dan rayuan beliau telah dipertimbangkan untuk beliau mematuhi kehendak notis dalam tempoh 3 bulan mulai 12 Mac 2009. Tempoh yang diberikan ini adalah munasabah supaya pemilik berkenaan berusaha untuk mematuhi kehendak-kehendak notis.

Walaupun tempoh ini diberikan, pemilik didapati tidak mengemukakan sebarang permohonan pelan bangunan kepada majlis sehingga kini. Struktur berkenaan juga dibiarkan terbengkalai dan tidak dirobohkan, yang mana telah mencacatkan pandangan dan menimbulkan bahaya dari segi keselamatan kepada jirannya dan juga pembiakan nyamuk.

MPPP dari semasa ke semasa menerima aduan daripada Encik Zulkifly bin Mohamad dan yang terkini, pada 12 Julai 2012, di mana pengadu amat tidak berpuas hati kerana tiada tindakan penguatkuasaan diambil ke atas aduan yang telah dikemukakan oleh beliau.

Pelbagai tohmahan dilemparkan kepada Majlis kerana gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai Pihak Berkuasa Tempatan. Majlis dengan penuh prihatin telah mengambil langkah-langkah sewajarnya dan telah mematuhi “ Standard Of Procedure “ Kerajaan Negeri termasuk kelulusan daripada ADUN Kawasan Seri Delima dalam menguatkuasakan undang-undang berkenaan.

Oleh yang demikian, tindakan yang diambil oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang pada 8 November 2012 ke atas struktur Tanpa Kelulusan Pelan  Di Lengkok Sungai Gelugor Satu adalah memenuhi peruntukan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Tindakan yang dijalankan pada 8 November 2012 hanya membabitkan struktur di bahagian hadapan premis berkenaan tanpa melibatkan struktur yang dihuni oleh pemilik berkenaan.

Majlis sentiasa mengambil perhatian ke atas keprihatinan masyarakat berhubung pelaksanaan tindakan penguatkuasaan dan akan sentiasa memperbaiki perkhidmatannya.

Bagi sebarang tindakan penguatkuasaan kelak di masa hadapan, pihak Majlis melalui Jawatankuasa Penyelarasan Operasi sentiasa terbuka dan akan mengambilkira dan mempertimbangkan pelbagai sudut dan pandangan orang awam, pengadu, wakil setempat dan juga sensitiviti masyarakat. MPPP akan merujuk perkara ini kepada Kerajaan Negeri dan sedia menerima apa-apa arahan yang disyorkan.

Sekian, terima kasih.

Patahiyah ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang.

Subky sangkal kritikan Pemuda PAS WP

7 Muharram 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Tokoh yang telah memainkan peranan penting dalam penubuhan Harakah, Haji Subky Latif (Gambar), telah menolak pandangan Dewan Pemuda PAS supaya lidah parti termasuk Harakahdaily diletakkan di bawah satu jawatankuasa bagi tujuan memantau dan menyemak kandungan mereka.

"Tidak ada keperluan untuk jawatankuasa penyelia kerana sudah ada lembaga pengarah yang diketuai oleh pengerusi. Apakah tugas lembaga dan adakah mereka sentiasa berbincang dengan editor Harakah dari semasa ke semasa? " tanya Subky Latif, yang diberi penghargaan secara meluas kerana mengasaskan lidah parti yang popular itu.

Subky bagaimanapun mencadangkan bahawa penasihat yang bilangannya "tidak lebih daripada tiga orang" boleh dilantik untuk membimbing akhbar tersebut.

Pemuda PAS Wilayah Persekutuan baru-baru ini membawa satu usul pada Muktamar Dewan Pemuda PAS yang menyerang Harakah dan laman berita dalam talian, Harakahdaily, kedua-duanya dikendalikan oleh PAS, berkata mereka telah tersasar daripada dasar parti.

Perwakilan menegaskan bahawa akhbar tersebut terlalu memberi ruang kepada Pakatan Rakyat berbanding PAS, manakala seorang wakil mengeluh bahawa lidah parti tersebut mempunyai kecenderungan melaporkan pandangan Syiah, berkemungkinan merujuk kepada liputan konflik antara Iran dan Barat.

Tetapi Subky (gambar) tidak bersetuju, berkata isu-isu tertentu yang melibatkan Iran mesti diberitahu kepada orang ramai.

"Isu-isu tertentu yang berkaitan dengan Iran mesti dipertahankan. Berita tentang Syiah juga perlu diterbitkan, tetapi tidak sesuai yang promosikan Syiah. Begitu juga, sentimen Wahabi tidak harus dipromosikan, " ujar Subky.

Subky, 72 tahun, yang pernah menjadi sebahagian daripada Jawatankuasa PAS Pusat dan pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, juga menekankan keperluan untuk Harakah dan Harakahdaily dalam memberi liputan kepada Pakatan Rakyat, berkata ia adalah sangat penting dalam perjuangan menentang Barisan Nasional.

"BN tidak boleh diganti jika orang hanya tahu tentang PAS tetapi kabur tentang Pakatan Rakyat dan kebaikannya," katanya, sambil menambah bahawa liputan itu mestilah selaras dengan perspektif PAS.

Mengenai dakwaan bahawa Harakah telah tersasar daripada dasar parti, Subky bertanya apa yang dimaksudkan dengan dasar.

"Adakah semua orang tahu apakah dasar dan adakah lembaga pengarah tahu dasar sidang editorial? Sila jelaskan apa yang dimaksudkan dengan 'tersasar', "katanya.

Sebelum ini, Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi lidah parti tersebut.

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan Harakah dan Harakahdaily," katanya. "Kita mesti faham bahawa Harakah berada di persimpangan, (ia adalah) untuk ahli-ahli parti dan pada masa yang sama ia perlu mencapai orang ramai. Inilah dilema mereka.

harakah/-

Kelawar Asia penyebar virus baru?


7 Muharram 1433H. [MOD] -




ROTTERDAM - Virus berbahaya dikaitkan dengan Sars (Sindrom Pernafasan Akut Teruk) yang mencetuskan kebimbangan pada awal tahun ini didakwa disebarkan oleh kelawar dari Asia, menurut kajian yang diterbitkan, semalam.
Saintis di Netherlands melaporkan hasil penyelidikan mereka ke atas sampel diambil dari mangsa di Arab Saudi menunjukkan Sars kembali semula dalam bentuk baru.
Dr Ron Fouchier di Pusat Perubatan Erasmus di Rotterdam berkata, virus korona baru, HCoV-EMC/2012 itu dikatakan turut terdapat pada sampel darah kelawar spesies Tylonycteris pachypus  dan Pipistrellus abramus yang biasanya ditemui di beberapa negara di Asia.

"Kajian kami menunjukkan virus tersebut mungkin disebarkan oleh haiwan mamalia itu," katanya. - AFP


Bangunan kementerian Syria dibedil mortar

7 Muharram 1433H. [MOD] -


Bangunan kementerian Syria dibedil mortar

Pemberontak gesa Assad digulingkan
DAMSYIK - Bangunan ibu pejabat Kementerian Maklumat Syria, terbakar selepas terkena bedilan mortar yang dilancarkan sebanyak dua kali dekat sini, semalam.
Menurut televisyen kerajaan, serangan yang tidak mencetuskan kemalangan jiwa itu dilakukan kumpulan pemberontak yang mahu menjatuhkan Presiden Bashar Al-Assad.

Aktivis pembangkang, Samir Al-Shami berkata, pemberontak sengaja membedil bangunan Kementerian Maklumat Syria di tengah daerah Mezzeh, yang berhampiran dengan lokasi persembunyian mereka.

Sementara itu, kumpulan pemberontak terbesar Aleppo, menolak pertubuhan Gabungan Kebangsaan Syria dengan alasan mahukan sebuah negara Islam, semalam.

"Kami kumpulan pejuang bandar Aleppo, sebulat suara menolak projek sulit Gabungan Kebangsaan Syria dan bersetuju menubuhkan negara Islam dalam Syria," kata jurucakap pemberontak dalam rakaman video.

Rakaman video dihantar dalam talian itu, menyiarkan 30 lelaki yang diketuai seorang jurucakap tidak dikenali menolak untuk menerima mana-mana gabungan atau pertubuhan majlis luar Syria.
Sementara itu, Kesatuan Eropah memberi pengiktirafan kepada Gabungan Kebangsaan Syria mewakili suara rakyat.
Aktivis dan paramedik melaporkan, sekurang-kurangnya 50 orang terkorban sejak awal minggu ini dan menjadikan lebih 39,000 nyawa melayang dalam tempoh lebih 20 bulan tercetusnya perang saudara di Syria. - Al-Jazeera

SINAR/-

Ditembak ketika buka bungkusan

7 Muharram 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Seorang kontraktor menyangka dia akan mati apabila seorang lelaki berjaket gelap tiba-tiba melepaskan dua das tembakan ke arahnya yang ketika itu berada di dalam kereta dan sedang membuka sebuah bungkusan di Pusat Komersial Taman Johor Jaya di sini semalam. 

Semasa kejadian pada pukul 1.20 petang, mangsa O. Raman, 56, rakyat Singapura yang mempunyai taraf penduduk tetap negara ini dan isterinya, S. Padmavathi, 52, baru masuk ke dalam kereta BMW miliknya yang diletakkan di tempat letak kereta di depan pusat kurier di situ.

Bagaimanapun, cerita Raman, tiba-tiba seorang lelaki yang memakai topi keledar dan berjaket gelap muncul di tepi keretanya dan terus melepaskan tembakan ke arahnya.

“Ketika mendengar tembakan itu, saya hanya ingat mati tetapi apabila lelaki berjaket itu beredar saya bersyukur kerana masih bernyawa dan hanya cedera di kaki kanan terkena satu das tembakan manakala tembakan lagi satu menembusi cermin tingkap tempat duduk sebelah pemandu.

Terdahulu, Raman yang banyak berurusan di Singapura dan Pasir Gudang berasa hairan apabila bungkusan yang dibuka hanya mempunyai sebuah diari.

“Kami tidak pasti sama ada bungkusan itu merupakan perangkap untuk musuh saya mencederakan saya,” kata Raman ketika ditemui di sini.

Raman bagaimanapun menafikan dia mempunyai musuh perniagaan.

Sementara itu, Padmavathi berkata, sebaik penjenayah itu beredar, dia yang dalam keadaan panik terus menghubungi anak perempuannya untuk mendapatkan bantuan.

Pasangan tersebut mempunyai tiga anak perempuan dan Padmavathi memiliki tiga buah tadika di sini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, polis sedang menyiasat motif kejadian tersebut selain memburu lelaki yang dipercayai cuba membunuh mangsa.

sinar/-

Peserta akan berkhemah, tunggu MP di Dataran

7 Muharram 1433H. [MOD] -




 
Penganjur perarakan jalan kaki anti-Lynas berkata, mereka akan berkhemah di Dataran Merdeka sebaik menamatkan perjalanan 14 hari dari Kuantan dan bukannya berarak ke bangunan Parlimen.


Pengerusi Himpunan Hijau Wong Tack berkata, aktivis berkenaan akan berkhemah di situ pada Ahad sementara menunggu kunjungan perdana menteri dan ahli parlimen pada keesokan harinya.

Wong mengumumkan perkara itu di Bentong, Pahang lewat malam tadi.

Ketika dihubungi selepas itu, Wong berkata perubahan itu bagi memudahkan wakil rakyat bertemu aktivis berkenaan di Dataran Merdeka.


MALAYSIAKINI/-

Nyaris maut disondol babi

7 Muharram 1433H. [MOD] -


Mohamad Nor menunjukkan lokasi tali air di mana mangsa hampir maut diserang babi hutan, Sabtu lalu.

Mohamad Nor menunjukkan lokasi tali air di mana mangsa hampir maut diserang babi hutan, Sabtu lalu.
GUNUNG SEMANGGOL - Seorang penduduk Kampung Batu 40, Bukit Merah, di sini nyaris maut setelah diserang seekor babi hutan ketika sedang menjala ikan di kawasan tali air berhampiran rumahnya, Sabtu lalu.

Anak mangsa, Latifah Omar, 45, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, ayahnya Omar Mahmud, 69, pergi menjala seorang diri sebelum terlihat satu objek pelik di dalam tali air itu yang disangkakan ikan.

Menurutnya, ayahnya yang sedang menaiki motosikal melihat kelibat ikan di sepanjang tali air itu lantas memperlahankan kenderaannya untuk melihat ‘objek pelik’ itu secara dekat.

“Ayah memperlahankan motor dan terlihat seperti ikan berkocak dalam air, bagaimanapun setelah dilihat lebih teliti, baru ayah menyedari ia merupakan seekor babi hutan yang sedang berendam di dalam tali air dan hanya menampakkan muncungnya sahaja.

“Belum sempat dia memberhentikan motosikal, babi hutan itu melompat dari dalam air dan terus menyondol motosikal ayah,” ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Hadir sama, Penyelaras Dun Gunung Semanggol, Zainal Abidin Hanafiah dan Ketua Kampung Bukit Merah, Mohamad Nor Hassan.

Latifah berkata, serangan babi hutan itu menyebabkan motosikal ditunggangi ayahnya terjatuh sebelum ia menyerang paha kanan ayahnya sehingga mengalami kecederaan parah.

Selain kecederaan paha kanan, Latifah menyatakan ayahnya turut mengalami luka dalam di bahagian kedua-dua tapak tangan dan kaki akibat disondol haiwan ganas itu.

“Menurut cerita ayah, sondolan babi hutan itu menyebabkan paha kanannya dicederakan taring haiwan yang terbenam sepanjang hampir dua inci.

“Kesakitan dialami ayah menyebabkan dia bertindak menendang haiwan itu dengan menggunakan kaki kiri, bagaimana tendangan itu mengenai taring haiwan berkenaan dan menyebabkan luka dalam.

“Setelah hampir 15 minit bertarung nyawa, ayah saya sempat mencapai sebuah batu besar di kawasan berhampiran sebelum menghempaskannya ke atas kepala haiwan itu dan menyebabkan babi hutan itu ‘pengsan’,” katanya.

Latifah berkata, ayahnya segera berlari sejauh 200 meter untuk meminta pertolongan kerana bimbang babi hutan itu akan kembali sedar dan menyerangnya kembali.

“Mujurlah terdapat ramai orang kampung yang datang membantu ayah dan menghantarnya balik ke rumah,” katanya.

Latifah berkata, dia dan keluarga bergegas menghantar ayahnya ke Hospital Taiping untuk rawatan segera susulan melihat keadaan paha kanan ayah yang berlumuran darah.

“Syukur keadaan ayah kembali stabil setelah ditempatkan di unit rawatan kecemasan dan kami difahamkan ayah terpaksa menerima sepuluh jahitan di bahagian paha kanan yang cedera teruk,” katanya.

Ketua Kampung Bukit Merah, Mohamad Nor Hassan berkata, susulan kejadian itu, pihak Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dipanggil untuk menembak haiwan berkenaan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang kembali.

SINAR/-

Dituduh rancang culik 100 wanita

7 Muharram 1433H. [MOD] -

SEORANG lelaki yang mendakwa dirinya saudara lelaki anggota polis Gilberto Valle, disoal oleh media pada 25 Oktober lalu.


NEW YORK - Seorang anggota polis di sini, mengaku tidak bersalah di atas tuduhan merancang untuk menculik, memasak serta memakan sehingga 100 orang wanita.
"Saya tidak bersalah," kata anggota polis tersebut, Gilberto Valle kepada hakim Mahkamah Persekutuan Manhattan apabila ditanya mengenai tuduhan itu.
Dia juga didakwa menceroboh pangkalan data komputer polis bagi mendapatkan maklumat tentang wanita yang akan dijadikan mangsanya.
Valle yang berusia 28 tahun didakwa merancang jenayah tersebut bersama seorang rakan yang tidak dikenali dengan menggunakan klorofom untuk membuatkan mangsa pengsan.
Mereka kemudian akan membawa mangsa-mangsa pulang ke rumahnya dan merancang untuk memasak mayat mereka yang dikerat-kerat di dalam oven atau dipanggang.
Dia didakwa bertukar-tukar e-mel mengenai konspirasi itu dengan konconya dan menceroboh masuk pangkalan data polis untuk mengumpul maklumat mangsa-mangsanya.
Hasil carian dalam komputer milik Valle mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya 100 fail wanita yang lengkap dengan nama, gambar, maklumat peribadi termasuk alamat.
Peguam Valle berkata, tiada seorangpun wanita menjadi mangsa dan ia sekadar satu fantasi.
Semalam, peguam Valle, Julia Gatto merayu supaya anak guamnya dibebaskan dengan ikat jamin.
Bagaimanapun hakim Paul Gardephe menegaskan, permohonan sama pernah ditolak sebanyak dua kali oleh dua orang hakim lain sebelum ini dan permintaan itu sukar untuk ditunaikan. - AFP



Maut ditetak rakan karib

7 Muharram 1433H. [MOD] -


Ahli keluarga mangsa sugul mendengar berita kematian Peng Kang,39, di rumah keluarga, Parit Buntar s

Ahli keluarga mangsa sugul mendengar berita kematian Peng Kang,39, di rumah keluarga, Parit Buntar semalam.
Kereta mangsa dipenuhi kesan darah akibat pendarahan kritikal sewaktu dia dikejarkan ke Hospital Par

Kereta mangsa dipenuhi kesan darah akibat pendarahan kritikal sewaktu dia dikejarkan ke Hospital Parit Buntar awal pagi semalam.
Anggota forensik mengambil bahan bukti di tempat kejadian.

Anggota forensik mengambil bahan bukti di tempat kejadian.
PARIT BUNTAR - Seorang pekerja kontrak maut selepas ditetak rakan karibnya dalam satu kejadian di Pekan Baru, di sini selepas mereka pergi berhibur bersama-sama rakan-rakan lain di sebuah kelab malam, awal pagi semalam.

Abang mangsa, H’ng Peng Joo, 47, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi, mangsa, H’ng Peng Kang, 39, yang mempunyai tiga anak ditemui rakan dalam keadaan berlumuran darah di rumahnya setelah lengan kirinya ditetak dengan menggunakan parang di hadapan rumah suspek.

Menurutnya, mangsa dikatakan berselisih faham dengan suspek dan mula bertelagah di premis kelab malam sebelum dileraikan rakan-rakan lain lalu pulang ke rumah masing-masing.

“Bagaimanapun, mereka kembali bertelagah di hadapan rumah suspek sejurus selepas itu dan pergaduhan itu akhirnya membawa kepada keganasan setelah suspek bertindak menetak lengan kiri adik saya dengan menggunakan parang.

“Adik saya sempat memandu pulang ke rumah selepas kejadian itu sebelum dikejarkan ke Hospital Parit Buntar oleh beberapa rakannya lebih kurang jam 3.30 pagi kerana mendiang mengalami pendarahan teruk,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di hadapan bangunan Unit Forensik, Hospital Parit Buntar, di sini semalam.

Peng Joo berkata, mangsa mengalami pendarahan kritikal akibat kecederaan dialami dan disahkan meninggal dunia di unit rawatan kecemasan hospital itu pada jam 4.30 pagi semalam.

Menurutnya, pemergian mangsa amat mengejutnya memandangkan mendiang masih mampu berjalan sendiri mendapatkan rawatan di unit rawatan kecemasan tanpa perlu dipapah sewaktu tiba di hospital.

“Saya tak sangka mendiang adik dibunuh rakan karibnya sendiri. Hubungan mereka berdua sebelum ini amat rapat sehinggakan suspek pernah berhasrat mengambil salah seorang anak adik sebagai anak angkatnya.

“Sebelum ini, mendiang tak pernah mengadu mengenai sebarang masalah dengan suspek, malah saya sendiri menemui dia dan suspek minum bersama sehari sebelum kejadian. Saya kasihan mengenang nasib tiga anaknya yang masih kecil dan bersekolah, lebih-lebih
lagi isteri mendiang sudah meninggalkan mereka sejak perayaan Tahun Baru Cina lalu,” katanya.

Peng Joo turut mendedahkan mendiang adiknya pernah meluahkan hasrat untuk bekerja di luar negara setelah diajak rakan-rakan selain ingin memiliki rumah sendiri memandangkan rumah yang diduduki sebelum ini merupakan rumah sewa.

“Beberapa minggu sebelum ini, mendiang kerap pulang ke rumah keluarga setelah mendapat projek membina tempat parkir kenderaan terletak di hadapan rumah itu.

“Pemergian mendiang menyebabkan projek berkenaan tidak dapat disiapkan dan kami sekeluarga benar-benar meratapi kehilangannya memandangkan dia merupakan seorang anak yang baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Menurutnya, polis masih mengesan suspek yang merupakan orang tempatan setelah dipercayai menghilangkan diri sejurus selepas mangsa ditetak.

“Pada masa sama, kami masih menyiasat motif sebenar suspek menetak mangsa sehingga menyebabkan kematian setelah difahamkan kedua-duanya merupakan rakan karib,” katanya.


SINAR/-

Nasib malang anak comel ditinggal ibu bapa

7 Muharram 1433H. [MOD] -

dorothy Chong Mei Sem menunjukkan gambar ibu dan bapanya pada sidang akhbar bersama Lee Kon Yin di Ipoh semalam.


IPOH – Kata pepatah Cina, kasih ayah setinggi gunung, kasih ibu sedalam laut.
Bagaimanapun, pepatah tersebut tidak menggambarkan nasib seorang kanak-kanak comel berusia tiga tahun, Chong Mei Sem apabila dia ditinggalkan oleh ibu bapanya untuk dipelihara oleh seorang peniaga sejak tiga bulan lalu.
Lebih memilukan, bapa kanak-kanak malang itu, Chong Chee Liong sanggup pula mengucapkan selamat hari lahir untuk anaknya itu melalui khidmat pesanan ringkas baru-baru ini.
Dia juga sanggup meletakkan sebiji kek hari jadi untuk anaknya itu di hadapan pintu pagar rumah penjaga anaknya di sini baru-baru ini.
Bercerita lanjut mengenai masalah yang timbul, wanita dikenali sebagai Madam Choong, 52, yang memelihara Mei Sem berkata, kanak-kanak tersebut ditinggalkan oleh ibunya sendiri yang dikenali sebagai Chu Sin di rumahnya di Kampung Gunung Rapat dekat sini pada kira-kira pukul 10 malam, 9 Ogos lalu.
Katanya, Chu Sin meminta dia menjaga Mei Sem sementara dia keluar untuk mencari kerja dan berjanji memberikan upah sebanyak RM1,000 sebulan.
“Betul, memang dia beri upah RM1,000 itu dengan memasukkannya ke akaun bank saya tetapi hanya pada bulan September. Selepas itu langsung tiada apa-apa berita daripada mereka.
“Setiap panggilan ke telefon bimbit Chu Sin dan suaminya langsung tidak berjawab malahan saudara-mara pasangan terbabit juga tidak tahu ke mana mereka pergi,” katanya pada sidang akhbar bersama Pengerusi Biro Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional negeri, Datuk Lee Kon Yin di sini semalam.
Menurutnya, Mei Sem seorang kanak-kanak yang baik dan tidak pernah buat perangai.
“Apabila diberitahu ibu bapanya tiada, dia cuma diam dan bermain seperti biasa.
“Cuma sekarang saya tidak mampu lagi menanggungnya. Saya minta ibu atau bapanya ambil semula anaknya dan saya beri masa seminggu sebelum menyerahkan kanak-kanak ini ke Jabatan Kebajikan Masyarakat,” ujarnya.
Sementara itu, Kon Yin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu bapa kanak-kanak itu supaya menghubungi beliau menerusi talian 05-253 6981 atau 012-515 1178.
KOSMO/-

[BONGKAR] Umno-BN Sapu 23 Lot Tanah Nilai Lebih RM 20 Juta

7 Muharram 1433H. [MOD] -

Kes pemilikan tanah di Selangor oleh parti komponen Umno-BN akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana didakwa terdapat penyalahgunaan kuasa.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata tanah tersebut melibatkan 23 kawasan di tujuh daerah seluruh Selangor dari 1999 hingga 2008 yang diperoleh ketika era pentadbiran Umno-BN.

Ia melibatkan parti komponen dan pemimpin Umno-BN termasuk Umno, MCA, MIC dan Gerakan di mana parti-parti tersebut hanya dikenakan bayaran premium RM 1 satu meter persegi.

Katanya, semua kawasan tersebut melibatkan nilai lebih RM 20 juta dengan saiz setiap lot antara satu hingga tujuh ekar yang mana Umno menerima 14 kawasan, MCA (lima), MIC (tiga) dan Gerakan (satu).

“Kes ini wujud elemen salahguna kuasa dan bagaimana ia diluluskan, kenapa untuk Umno-BN, kita akan minta perkara ini disiasat.

“Kita juga akan buat laporan polis dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media di lobi Dewan Annex sempena sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Suee Lim mendakwa kes-kes tersebut melibatkan pemimpin Umno bahagian seperti Selayang, Ampang, Subang, Puchong, Tanjong Karang dan Sungai Besar.

“Semua 23 kawasan tanah ini adalah tanah dengan nilai tinggi iaitu tanah komersial.

“Semua kegunaan untuk perniagaan seperti rumah kedai dan bangunan perniagaan. Bila mereka dapat tanah ini mereka akan buat usahasama dengan mereka dapat dana keuntungan,” dakwanya lagi.

“Inilah antara contoh dan wajah sebenar Umno-BN yang beria-ria sekarang serang (Kerajaan PR) sana sini tetapi hakikatnya mereka ialah pihak yang Sapu Tanah Rakyat.

“Rakyat didahulukan tetapi dalam kontek di mana Umno, MCA dan yang lain, merekalah yang didahulukan.”

Azan selain suara, sebutan mesti betul

7 Muharram 1433H. [MOD] -

Pernah suatu ketika dahulu saya mendengar cerita yang kononnya berlaku dalam satu kampung seorang penduduk marah sangat dengan azan katanya, “anjing sudah menyalak”. Barangkali dia belum puas tidur tiba-tiba dikejutkan untuk solat Subuh. Dipendekkan cerita, orang itu akhirnya ditimpa penyakit batuk dan lidahnya sentiasa terjelir.

Walaupun cerita itu sekadar cerita sensasi imaginasi penulis yang tidak kena mengena dengan orang hidup atau mati. Namun baru-baru ini saya terdengar sendiri azan di sebuah surau, laungannya benar-benar seperti anjing menyalak. Masya-Allah, takut saya.

Ini semua bertitik tolak daripada muazzin tersebut tidak belajar cara azam secara berguru. Mungkin dia berminat dengan azan lalu belajar melalui pendengaran azan di radio atau tv. Mungkin juga dia selalu mendengar azan dekat masjid atau surau. Daripada situ dia mencuba sendiri dan akhirnya mampu meniru suara azan tersebut.

Apabila belajar tanpa guru maka gurunya adalah syaitan, demikian maksud hadis. Sedangkan syaitan akan cuba memesongkan hati kita daripada Allah. Jadi, setiap sebutan bahasa Arab diubah secara halus hingga akhirnya merobah maknanya. Sekadar contoh beberapa perkataan:

اللهُ اَكْبَر  apabila dibaca berlagu maka terjadi begini اللهُ ءَاكَبَر dan sesetengahnya dipanjangkan bunyi bar الله أَكْبَار perubahan ini menjadikan makna asal Allah maha besar itu kepada maksud lain.

لَا إِلَهَ إِلَّا الله  apabila dibaca secara berlagu maka perkataan ilaha dipanjangkan ha begini لَا إِلَـهاَ إِلَّا الله ilaha yang bermaksud tuhan apabila dipanjangkan ha sudah tidak bermaksud tuhan lagi.
Berdasarkan itu, semua muazzin perlu ambil perhatian agar sebutannya selepas itu tepat sebagaimana yang dikehendaki. Kita tidak tahu adakah dengan sebab azan yang tidak betul itu menjadi punca orang ramai tidak mahu datang ke masjid atau surau untuk berjemaah. Kalau benar puncanya di sini, besarlah dosa muazzin tersebut.

Selain itu muazzin juga perlu tahu hukum “tarje’” dalam azan. Dalam hukum ini, muazzin perlu ulang dua kali lafaz لَا إِلَهَ إِلَّا الله dan اشهد أن لا اله الا الله dan اشهد ان محمدا رسول الله secara perlahan selepas menyebut lafaz itu secara nyaring.

Antara tujuan tarje’ adalah untuk memberi jarak yang munasabah antara dua lafaz. Di sinilah kesilapan sesetengah muazzin, azan yang dilaungkan amat cepat kerana tidak dilakukan tarjek terlebih dahulu. Kita perlu ingat azan adalah untuk memanggil orang solat, kalau lafaznya seperti tergesa-gesa, nanti mesej yang hendak disampaikan tidak benar-benar masuk ke dalam lubuh hati mereka.

Lafaz yang lain tidak perlu tarjek tetapi terdapat satu sunnah Bilal bin Rabah yang boleh diteruskan iaitu, memalingkan muka ke kanan dan kiri ketika membaca lafaz حي على الصلاة  dan حي على الفلاح Amalan ini dilakukan oleh Bilal adalah untuk melihat sama ada jemaah sudah hadir atau belum. Dan yang paling dinantikan ialah Rasulullah.
Hukum orang yang mendengar azan

Seruan azan perlu dijawab malah berdosa bagi mereka yang mengabaikan seruan itu. Kita tidak boleh secara sengaja menangguhkan solat sedangkan dia berpeluang untuk solat waktu mendengar azan. Kita seharusnya mengikut tabiat Sahabat Rasulullah yang serius hadir solat setelah mendengar azan.
Dalam hal ini Rasulullah ingatkan kita:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي الأَذَانِ وَالصَّفِّ الأَوَّلِ لاسْتَهَمُوا عَلَيْهِ " .(حاكم)

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah daripada Nabi SAW sabdanya: “Kalaulah manusia tahu apa yang ada pada azan dan saf pertama nescaya mereka akan mengundi untuk hadir ke tempat itu.” (Riwayat Hakim)

Sebab itulah sahabat tidak pernah abaikan seruan azan malah berusaha untuk mendapat tempat pertama. Hal ini kerana Rasulullah menjadi tempat rujuk mereka:

عَنْ حَفْصَةَ ، قَالَتْ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ  إِذَا سَمِعَ أَذَانَ الصُّبْحَ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ ، وَخَرَجَ إِلَى الْمَسْجِدِ . (محمد بن اسحاق)

Daripada Hafsah katanya: Adalah Rasulullah apabila mendengar azan Subuh, dia solat sunat  Subuh dua rakaat, dan keluar ke masjid. (Riwayat Muhamad bin Ishak)

Kalau Rasulullah sendiri keluar ke masjid setelah mendengar azan, maka kita yang tinggal jauh daripada masjid sepatutnya datang awal sebelum azan, supaya dengan itu kita dapat duduk di saf pertama.

Selain itu kita juga perlu menjawab lafaz azan seperti yang disebut dalam hadis berikut:
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ الْمُؤَذِّنُ ، وَالأَذَانُ مَثْنَى مَثْنَى ، وَالإِقَامَةُ مَثْنَى مَثْنَى" .(الربيع بن حبيب)

Maksudnya: Daripada Abi Said al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu mendengar azan, katalah seperti apa yang dikatakan muazzin. Azan sebut dua dua dan Iqamah juga dua dua.” (Riwayat Rabe’ bin Habib)

Untuk membolehkan kita menjawab azan, adalah tidak wajar kita bercakap sewaktu azan dikumandangkan. Biadablah mana kalau kita terus bercakap dengan kawan-kawan ketika itu. Diharapkan selepas ini kita dapat menjawab azan pada dua sudut di atas.

Ahmad Baei Jaafar