21 November 2012

Roboh: Penjelasan MPPP kes di Sungai Gelugor

7 Muharram 1433H. [MOD] -


Pada tahun 2007, pentadbiran ini telah menerima banyak aduan menerusi portal rasmi Majlis Perbandaran Pulau Pinang mengenai aktiviti pembinaan sebuah struktur bangunan tanpa kelulusan Majlis. Encik Zulkifly bin Mohamad yang juga merupakan jiran bersebelahan, telah mengadu bahawa pembinaan tanpa kelulusan ini telah menjejaskan kualiti kawasan perumahannya, membahayakan dan juga telah menyebabkan pembiakan nyamuk.

Siasatan yang dijalankan oleh kakitangan Majlis mendapati struktur “extension” 2 tingkat berkenaan dibina tanpa kelulusan pelan bangunan dan ia dikhuatiri boleh membahayakan keselamatan kerana struktur dibina sehingga ke lot sempadan rumah pengadu.

Pada 1.10.2007, satu notis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 72 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 ke atas kerja-kerja pindaan dan tambahan yang telah dijalankan dalam kawasan premis berkenaan.

Struktur tambahan yang dimaksudkan ini adalah suatu binaan dari jenis tiang dan konkrit bertetulang 2 tingkat berukuran 10’ 0’’ x 80’ 0’’ dan struktur bersaiz  20’ 0’’ x 10’ 0’’ di bahagian hadapan premis berkenaan. Struktur ini juga boleh mendatangkan implikasi keselamatan memandangkan ia tiada anjakan 2 meter dari sempadan lot sisi.

Pada  11.10.2007, Notis   di bawah Sek.72(6)  Akta  Jalan, Parit   dan  Bangunan  1974 dikeluarkan memberi tempoh  30 hari kepada   pemilik untuk berhenti dari   menjalankan kerja-kerja pembinaan struktur berkenaan. Namun pemilik premis berkenaan masih engkar dan tidak mematuhi kehendak-kehendak notis berkenaan.

Kes ini telah dibawa ke mahkamah pada 21 Julai 2008 untuk kesalahan di bawah seksyen 70 Akta Jalan Parit dan Bangunan di mana pemilik telahpun mengaku bersalah dan telah dikenakan denda oleh mahkamah sebanyak RM2,000.

Pada 19 Januari 2009 Majlis telah memberikan nasihat kepada pemilik premis berkenaan untuk mematuhi semua kehendak-kehendak notis yang telah dikeluarkan kepada beliau.

Beliau telah mengemukakan rayuan dan rayuan beliau telah dipertimbangkan untuk beliau mematuhi kehendak notis dalam tempoh 3 bulan mulai 12 Mac 2009. Tempoh yang diberikan ini adalah munasabah supaya pemilik berkenaan berusaha untuk mematuhi kehendak-kehendak notis.

Walaupun tempoh ini diberikan, pemilik didapati tidak mengemukakan sebarang permohonan pelan bangunan kepada majlis sehingga kini. Struktur berkenaan juga dibiarkan terbengkalai dan tidak dirobohkan, yang mana telah mencacatkan pandangan dan menimbulkan bahaya dari segi keselamatan kepada jirannya dan juga pembiakan nyamuk.

MPPP dari semasa ke semasa menerima aduan daripada Encik Zulkifly bin Mohamad dan yang terkini, pada 12 Julai 2012, di mana pengadu amat tidak berpuas hati kerana tiada tindakan penguatkuasaan diambil ke atas aduan yang telah dikemukakan oleh beliau.

Pelbagai tohmahan dilemparkan kepada Majlis kerana gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai Pihak Berkuasa Tempatan. Majlis dengan penuh prihatin telah mengambil langkah-langkah sewajarnya dan telah mematuhi “ Standard Of Procedure “ Kerajaan Negeri termasuk kelulusan daripada ADUN Kawasan Seri Delima dalam menguatkuasakan undang-undang berkenaan.

Oleh yang demikian, tindakan yang diambil oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang pada 8 November 2012 ke atas struktur Tanpa Kelulusan Pelan  Di Lengkok Sungai Gelugor Satu adalah memenuhi peruntukan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Tindakan yang dijalankan pada 8 November 2012 hanya membabitkan struktur di bahagian hadapan premis berkenaan tanpa melibatkan struktur yang dihuni oleh pemilik berkenaan.

Majlis sentiasa mengambil perhatian ke atas keprihatinan masyarakat berhubung pelaksanaan tindakan penguatkuasaan dan akan sentiasa memperbaiki perkhidmatannya.

Bagi sebarang tindakan penguatkuasaan kelak di masa hadapan, pihak Majlis melalui Jawatankuasa Penyelarasan Operasi sentiasa terbuka dan akan mengambilkira dan mempertimbangkan pelbagai sudut dan pandangan orang awam, pengadu, wakil setempat dan juga sensitiviti masyarakat. MPPP akan merujuk perkara ini kepada Kerajaan Negeri dan sedia menerima apa-apa arahan yang disyorkan.

Sekian, terima kasih.

Patahiyah ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang.

Tiada ulasan: