21 November 2012

2 tahanan ISA ingin fail habeas corpus dibebas

7 Muharram 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Dua orang tahanan ISA, Shamsuddin Alik dan Mohd Sarail Osman dibebaskan pada 19 November, jam 10 malam, kata Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh (gambar).

“Maklumat ini diperolehi melalui mesej pesanan ringkas yang dihantar oleh Shamsuddin kepada Peguam GMI, Fadiah Nadwa dan Sivamalar,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, pembebasan terbaru itu menjadikan jumlah baki tahanan seramai 27 orang yang terdiri daripada 10 orang rakyat Malaysia, seorang (Pakistan), 6 (Sri Lanka), 2 (India), 2 (Iraq),  2 (Indonesia), seorang warga Bangladesh dan seorang warga Filipina.

Beliau menjelaskan, Shamsuddin dan Sarail ditahan di Tawau pada 15 November 2011 atas tuduhan terlibat dengan kegiatan terorisme.

“Sekiranya dirujuk kepada perintah tahanan, mereka hanya akan dibebaskan pada Januari 2014. Namun pembebasan awal ini menunjukkan perintah tahanan adalah sesuatu yang boleh dirombak mengikut arahan Menteri Dalam Negeri,” ujarnya lagi.

Perkara itu, katanya dinyatakan dengan jelas dalam Klausa 32 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012) yang menyebutkan sebarang perintah tahanan yang dikeluarkan di bawah ISA akan terus berkuatkuasa sehinggalah dibatalkan oleh menteri.

“Pembebasan ini juga dipercayai dilakukan bagi menyelamatkan imej Kerajaan ekoran kesediaan Shamsuddin dan Sarail untuk memfailkan habeas corpus bagi mencabar penahanan mereka,” katanya.

Menurutnya, mereka menyatakan kesediaan tersebut selepas mendapat saranan peguam untuk berbuat demikian.

Justeru, kata beliau GMI juga ingin mempersoalkan rasional Menteri Dalam Negeri yang masih enggan membebaskan baki tahanan yang lain.

“Pada hemat GMI, Menteri Dalam Negeri seperti ingin menunjukkan kuasa yang dimiliki beliau dengan melakukan pembebasan secara arbitrari,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, ujar beliau Menteri Dalam Negeri juga masih gagal memberi respons terperinci mengenai kayu ukur yang digunakan untuk menilai sama ada seorang tahanan itu boleh dibebaskan atau tidak.

harakah/-

Tiada ulasan: