21 November 2012

Dituduh rancang culik 100 wanita

7 Muharram 1433H. [MOD] -

SEORANG lelaki yang mendakwa dirinya saudara lelaki anggota polis Gilberto Valle, disoal oleh media pada 25 Oktober lalu.


NEW YORK - Seorang anggota polis di sini, mengaku tidak bersalah di atas tuduhan merancang untuk menculik, memasak serta memakan sehingga 100 orang wanita.
"Saya tidak bersalah," kata anggota polis tersebut, Gilberto Valle kepada hakim Mahkamah Persekutuan Manhattan apabila ditanya mengenai tuduhan itu.
Dia juga didakwa menceroboh pangkalan data komputer polis bagi mendapatkan maklumat tentang wanita yang akan dijadikan mangsanya.
Valle yang berusia 28 tahun didakwa merancang jenayah tersebut bersama seorang rakan yang tidak dikenali dengan menggunakan klorofom untuk membuatkan mangsa pengsan.
Mereka kemudian akan membawa mangsa-mangsa pulang ke rumahnya dan merancang untuk memasak mayat mereka yang dikerat-kerat di dalam oven atau dipanggang.
Dia didakwa bertukar-tukar e-mel mengenai konspirasi itu dengan konconya dan menceroboh masuk pangkalan data polis untuk mengumpul maklumat mangsa-mangsanya.
Hasil carian dalam komputer milik Valle mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya 100 fail wanita yang lengkap dengan nama, gambar, maklumat peribadi termasuk alamat.
Peguam Valle berkata, tiada seorangpun wanita menjadi mangsa dan ia sekadar satu fantasi.
Semalam, peguam Valle, Julia Gatto merayu supaya anak guamnya dibebaskan dengan ikat jamin.
Bagaimanapun hakim Paul Gardephe menegaskan, permohonan sama pernah ditolak sebanyak dua kali oleh dua orang hakim lain sebelum ini dan permintaan itu sukar untuk ditunaikan. - AFP



Tiada ulasan: