21 November 2012

Azan selain suara, sebutan mesti betul

7 Muharram 1433H. [MOD] -

Pernah suatu ketika dahulu saya mendengar cerita yang kononnya berlaku dalam satu kampung seorang penduduk marah sangat dengan azan katanya, “anjing sudah menyalak”. Barangkali dia belum puas tidur tiba-tiba dikejutkan untuk solat Subuh. Dipendekkan cerita, orang itu akhirnya ditimpa penyakit batuk dan lidahnya sentiasa terjelir.

Walaupun cerita itu sekadar cerita sensasi imaginasi penulis yang tidak kena mengena dengan orang hidup atau mati. Namun baru-baru ini saya terdengar sendiri azan di sebuah surau, laungannya benar-benar seperti anjing menyalak. Masya-Allah, takut saya.

Ini semua bertitik tolak daripada muazzin tersebut tidak belajar cara azam secara berguru. Mungkin dia berminat dengan azan lalu belajar melalui pendengaran azan di radio atau tv. Mungkin juga dia selalu mendengar azan dekat masjid atau surau. Daripada situ dia mencuba sendiri dan akhirnya mampu meniru suara azan tersebut.

Apabila belajar tanpa guru maka gurunya adalah syaitan, demikian maksud hadis. Sedangkan syaitan akan cuba memesongkan hati kita daripada Allah. Jadi, setiap sebutan bahasa Arab diubah secara halus hingga akhirnya merobah maknanya. Sekadar contoh beberapa perkataan:

اللهُ اَكْبَر  apabila dibaca berlagu maka terjadi begini اللهُ ءَاكَبَر dan sesetengahnya dipanjangkan bunyi bar الله أَكْبَار perubahan ini menjadikan makna asal Allah maha besar itu kepada maksud lain.

لَا إِلَهَ إِلَّا الله  apabila dibaca secara berlagu maka perkataan ilaha dipanjangkan ha begini لَا إِلَـهاَ إِلَّا الله ilaha yang bermaksud tuhan apabila dipanjangkan ha sudah tidak bermaksud tuhan lagi.
Berdasarkan itu, semua muazzin perlu ambil perhatian agar sebutannya selepas itu tepat sebagaimana yang dikehendaki. Kita tidak tahu adakah dengan sebab azan yang tidak betul itu menjadi punca orang ramai tidak mahu datang ke masjid atau surau untuk berjemaah. Kalau benar puncanya di sini, besarlah dosa muazzin tersebut.

Selain itu muazzin juga perlu tahu hukum “tarje’” dalam azan. Dalam hukum ini, muazzin perlu ulang dua kali lafaz لَا إِلَهَ إِلَّا الله dan اشهد أن لا اله الا الله dan اشهد ان محمدا رسول الله secara perlahan selepas menyebut lafaz itu secara nyaring.

Antara tujuan tarje’ adalah untuk memberi jarak yang munasabah antara dua lafaz. Di sinilah kesilapan sesetengah muazzin, azan yang dilaungkan amat cepat kerana tidak dilakukan tarjek terlebih dahulu. Kita perlu ingat azan adalah untuk memanggil orang solat, kalau lafaznya seperti tergesa-gesa, nanti mesej yang hendak disampaikan tidak benar-benar masuk ke dalam lubuh hati mereka.

Lafaz yang lain tidak perlu tarjek tetapi terdapat satu sunnah Bilal bin Rabah yang boleh diteruskan iaitu, memalingkan muka ke kanan dan kiri ketika membaca lafaz حي على الصلاة  dan حي على الفلاح Amalan ini dilakukan oleh Bilal adalah untuk melihat sama ada jemaah sudah hadir atau belum. Dan yang paling dinantikan ialah Rasulullah.
Hukum orang yang mendengar azan

Seruan azan perlu dijawab malah berdosa bagi mereka yang mengabaikan seruan itu. Kita tidak boleh secara sengaja menangguhkan solat sedangkan dia berpeluang untuk solat waktu mendengar azan. Kita seharusnya mengikut tabiat Sahabat Rasulullah yang serius hadir solat setelah mendengar azan.
Dalam hal ini Rasulullah ingatkan kita:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي الأَذَانِ وَالصَّفِّ الأَوَّلِ لاسْتَهَمُوا عَلَيْهِ " .(حاكم)

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah daripada Nabi SAW sabdanya: “Kalaulah manusia tahu apa yang ada pada azan dan saf pertama nescaya mereka akan mengundi untuk hadir ke tempat itu.” (Riwayat Hakim)

Sebab itulah sahabat tidak pernah abaikan seruan azan malah berusaha untuk mendapat tempat pertama. Hal ini kerana Rasulullah menjadi tempat rujuk mereka:

عَنْ حَفْصَةَ ، قَالَتْ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ  إِذَا سَمِعَ أَذَانَ الصُّبْحَ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ ، وَخَرَجَ إِلَى الْمَسْجِدِ . (محمد بن اسحاق)

Daripada Hafsah katanya: Adalah Rasulullah apabila mendengar azan Subuh, dia solat sunat  Subuh dua rakaat, dan keluar ke masjid. (Riwayat Muhamad bin Ishak)

Kalau Rasulullah sendiri keluar ke masjid setelah mendengar azan, maka kita yang tinggal jauh daripada masjid sepatutnya datang awal sebelum azan, supaya dengan itu kita dapat duduk di saf pertama.

Selain itu kita juga perlu menjawab lafaz azan seperti yang disebut dalam hadis berikut:
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ الْمُؤَذِّنُ ، وَالأَذَانُ مَثْنَى مَثْنَى ، وَالإِقَامَةُ مَثْنَى مَثْنَى" .(الربيع بن حبيب)

Maksudnya: Daripada Abi Said al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu mendengar azan, katalah seperti apa yang dikatakan muazzin. Azan sebut dua dua dan Iqamah juga dua dua.” (Riwayat Rabe’ bin Habib)

Untuk membolehkan kita menjawab azan, adalah tidak wajar kita bercakap sewaktu azan dikumandangkan. Biadablah mana kalau kita terus bercakap dengan kawan-kawan ketika itu. Diharapkan selepas ini kita dapat menjawab azan pada dua sudut di atas.

Ahmad Baei Jaafar


2 ulasan:

Abu berkata...

kampong tradisional ada satu masjid dan beberapa surau. Taman perumahan satu surau dan tiada masjid.

Saya tak salahkan muazzin. saya salahkan jabatan agama negeri kerana tidak pernah membuat kursus cara solat yg betul disemua masjid seluruh negeri. Yg ada hanya kursus untuk imam.

antara sebab muazzin salah sebutan berlaku ialah mereka bukan muazzin yg dilantik, muazzin sebenar atau tok imam datang lambat atau tak datang langsung.

Unknown berkata...

saya sangat setuju dengan Abu... Muazzin tak salah, mereka ghairah dengan fadhilah Muazzin..