10 April 2009

Dr M: 'Positif' Khairy tidak tersenarai

"Positif" - demikian reaksi mantan perdana menteri apabila ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin tidak tersenarai dalam jemaah menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang diumumkan petang ini.

Sambil berkata tindakan itu membuktikan perdana menteri sanggup bertindak tegas terhadap rasuah, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyifatkan barisan kabinet baru itu tanda "pembersihan dalam parti" sedang berlaku, lapor Bernama.

"Najib bertindak bijak dengan menggugurkan kebanyakan mereka yang dituduh mengamalkan rasuah walaupun seorang dua entah kenapa turut terselit," katanya hari ini.

"Ianya positif. Tak ada orang yang jelas terlibat rasuah terpilih khususnya ketua Pemuda (Khairy) yang didapati bersalah guna wang dalam pemilihan (Umno).

"Dia tak diberi apa-apa jawatan pun. Itu satu bukti Najib ingin bersihkan parti."

Dengan ketegasan dalam menangani rasuah, bekas presiden Umno itu percaya perdana menteri boleh juga bertegas dalam perkara-perkara lain.

"Ini satu pendirian yang tegas oleh Datuk Seri Najib.

"Oleh itu saya berasa kalau dia dapat beri pendirian yang tegas dalam perkara ini, perkara lain juga dia akan mempunyai pendirian yang tegas," Dr Mahathir dipetik berkata.

Mengulas pelantikan anaknya sebagai timbalan menteri, beliau menggesa Datuk Mukhriz Mahathir menyelesaikan masalah penjualan permit import (AP) kenderaan yang pernah menimbulkan kontroversi beberapa tahun lalu.

Negarawan itu turut yakin bekas exco Pemuda Umno itu boleh menjalankan tugas dengan baik di kementerian tersebut, lapor agensi berita itu lagi.

"Dia akan dapat menjalankan tugas dengan baik. Saya harap dia akan menangani masalah dalam pemberian permit import (AP) kepada mereka yang menjual AP," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur.

Najib mengumumkan barisan kabinet pertamanya dengan melantik Mukhriz - seperti dispekulasikan - sebagai timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Ditanya mengenai pelantikan anak ketiganya, Dr Mahathir berkata: "Saya gembira. Walaupun jika dia tidak dilantik, tak apa."

Mengulas sama ada pelantikan Datuk Ahmad Husni Hanadzlah sebagai
menteri kewangan kedua boleh membantu Najib - yang juga menteri kewangan - menangani kelembapan ekonomi, Dr Mahathir berkata:

"Saya tak tahu nak nilai Husni tapi saya tahu (Tan Sri) Nor
Mohamed Yakcop mempunyai kebolehan dalam bidang itu dan saya fikir tentulah dia dapat memberi pandangan."

Bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri , Ahmad Husni menggantikan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang dipindah ke Jabatan Perdana Menteri. Malayskaini.

3 wakil bebas sudah jadi wakil mahkamah ?

PUTRAJAYA: Pertikaian terhadap tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akhirnya selesai apabila Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan bahawa tiga wakil rakyat bebas di negeri itu masih kekal sebagai penyandang kerusi tersebut.

Dalam keputusan sebulat suara itu, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, yang mengetuai panel lima anggota, membenarkan permohonan tiga wakil rakyat berkenaan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kpt (B) Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) yang memohon perisytiharaan bahawa mereka adalah wakil rakyat yang sah.

Hakim Alauddin dalam keputusan yang mencipta sejarah itu turut memerintahkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi tersebut dan bukan Speaker DUN Perak S. Sivakumar.

Beliau berpendapat bahawa tafsiran Perkara 36 (5) Perlembagaan Perak, yang dibaca bersama Seksyen 12 (3) Akta Pilihanraya 1958, bermaksud SPR merupakan entiti sah untuk menentukan jika wujud kekosongan kerusi DUN Perak.

Anggota lain dalam panel tersebut ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Ariffin Zakaria; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman dan Datuk S. Augustine Paul dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk James Foong.

Semalam, mahkamah tersebut buat pertama kali, memutuskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa untuk mentafsir isu perlembagaan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak bagi menjelaskan pertikaian sama ada Speaker DUN atau SPR berhak menentukan kekosongan tiga kerusi DUN di negeri itu.

Sivakumar, yang hadir di mahkamah, bagaimanapun, enggan memberi sebarang ulasan apabila ditanya pihak media mengenai keputusan itu.

Ketiga-tiga wakil rakyat Bebas itu memohon supaya saman terhadap Sivakumar itu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 63 Perlembagaan Perak 1957 bahawa SPR merupakan entiti yang sah untuk menentukan kekosongan kerusi DUN Perak.

Berikutan keputusan mahkamah itu, saman ketiga-tiga wakil rakyat itu terhadap Sivakumar dibatal.

Pada Februari lepas, Jamaluddin dan Mohd Osman dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Hee dari DAP keluar parti masing-masing dan tindakan itu mendorong Sivakumar mengisytiharkan kerusi DUN tersebut kosong.

Bagaimanapun, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf kemudian mengisytiharkan mereka masih menjadi wakil rakyat yang sah dan pilihan raya kecil bagi kerusi berkenaan tidak akan diadakan.

Pada permulaan perbicaraan, peguam tiga wakil rakyat tersebut Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, berhujah bahawa adalah jelas di bawah Perkara 36 (5) bahawa SPR perlu menentukan kekosongan kerusi tersebut dan tidak ada peruntukan mengikut Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Speaker untuk mengumumkan kekosongan kerusi DUN.

Katanya peranan Speaker adalah untuk mengemukakan surat peletakan jawatan ketiga-tiga wakil rakyat itu kepada SPR dan bukan mengisytiharkan kerusi itu kosong.

Manakala Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, yang menjadi pencelah dalam prosiding, juga berkata Perkara 36 (5) memberi kuasa kepada SPR untuk menentukan kekosongan kerusi tersebut.

Peguam Sivakumar, Tommy Thomas, berhujah bahawa Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan bermaksud Sivakumar menikmati imuniti dan keputusannya mengisytiharkan kekosongan kerusi itu tidak boleh dipersoalkan di mahkamah.

Katanya di bawah perkara itu Speaker juga diberikan keistimewaan dan kuasa menentukan isu membabitkan persidangan DUN dan keputusannya adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah.

Tommy juga berkata tindakan Sivakumar memaklumkan peletakan jawatan wakil rakyat berkenaan kepada SPR dan mengumumkan kekosongan kerusi itu adalah sebahagian daripada peranannya dalam persidangan DUN.

Beliau berhujah bahawa fungsi SPR seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan adalah lebih kepada fungsi pentadbiran yang berkaitan dengan pilihan raya seperti menetapkan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi.

Seorang lagi peguam Sivakumar, Sulaiman Abdullah berkata di bawah Perkara 31 (1) Perlembagaan Perak, sebarang pertikaian yang timbul dalam persidangan DUN harus diselesaikan secara dalaman dan bukan untuk SPR atau mahkamah memutuskan.

"Dalam kes ini terdapat dua fungsi berasingan pengasingan kuasa dan pengasingan fungsi. Kuasa Speaker dibuat berdasarkan kuasa yang diberikan kepadanya manakala fungsi SPR lebih kepada urusan mengendalikan pilihan raya," katanya. BERNAMA

Keputusan 'hakim' Bukit Gantang perlu diterima Dr Zambry - Husam

KOTA BHARU, 9 April :- Masihkah Dato' Dr Zambry Abdul Kadir mampu bertahan di kerusi 'Menteri Besar Perak' sedangkan rakyat sudah memberi isyarat jelas menolak Barisan Nasional (BN) digambarkan melalui referendum Bukit Gantang.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, rakyat Perak melalui pengundi Bukit Gantang telah menjatuhkan penghakiman mereka.

"Kembalikanlah kepada rakyat. Walaupun sudah terlajak, ia masih boleh dibetulkan jika kehormatan politik dan maruah diri masih utuh.

"Rakyat Perak tidak boleh menerima kerajaan haram yang membelakangkan pilihan mereka, apa lagi semua dasar yang diputuskan kerajaan Pakatan Rakyat diteruskan tanpa satu pun dirombak kerajaan BN.

"Walaupun Umno mendakwa dasar-dasar itu merugikan Melayu, termasuk dasar pemberian milik tanah yang telah terbengkalai sejak puluhan tahun semasa BN mentadbir Perak," katanya dalam sepucuk surat yang dikirim kepada Zambry hari ini.

Calon BN di Bukit Gantang, Ismail Saffian turut mengakui kekalahannya kelmarin antaranya berpunca daripada rampasan kuasa Febuari lalu. Kenyataan itu disiarkan sebuah akhbar hari ini.

Pemimpin Gerakan di Kedah juga mengakui punca kekalahan BN di Bukit Selambau ada kaitan dengan peristiwa rampasan kuasa di Perak.

Husam berkata, sekiranya calon BN sendiri boleh mengakui hakikat itu di mana lagi Dr Zambry mahu meletak muka.

"Bukan sahaja menyebabkan BN kalah di Bukit Gantang, tetapi kesan negatifnya sampai ke Kedah.

"Kalau sudah ahli dan rakan sendiri menyalahkan tindakan Umno Perak, tentulah rakyat yang telah membuat pilihan mereka merasa terkilan lebih lagi. Apa lagi yang boleh menghalang naluri murni YB tidak tersentuh dan deria maruah YB tidak terpanggil," katanya.

Menurutnya juga sejak rampasan kuasa kelancaran pentadbiran Perak terganggu kerana semata-mata ada pihak membelakangkan pilihan rakyat.

Kata beliau Adun Pangkor sebagai watak utama apabila bersetuju menerima jawatan Menteri Besar, sekali pun Menteri Besar yang sah tidak pernah dalam apa jua cara mengosongkan kerusinya.

"Atas takdir Allah, berlaku kekosongan kerusi di Perak berikutan kematian anggota parlimen Bukit Gantang di mana seorang Adun berpaling tadah ada di situ, iaitu DUN Changkat Jering.

"Calon BN tewas dengan majoriti yang lebih besar. Kemenangan Dato' Seri Nizar telah membuktikan segala-galanya," katanya. Harakahdaily.

Hina Islam Atau ‘Muslim’?

“Dia sudah melampau. Mana boleh si kafir membaca ayat al-Quran dan memperalatkannya?” bentak ‘pencinta’ Islam di dalam kenyataan akhbar dan laporan polisnya.

“Ia jelas mencabar kesucian Islam!” tokok seorang lagi.

Ada sesuatu yang saya masih belum mampu formulakan; mengapakah kaum Muslimin begitu tenang, yakin dengan kepercayaannya dan terbuka untuk dialog dan perbincangan semasa mereka menjadi kaum minoriti, sebaliknya terasa begitu terancam, tercabar, tergugat semasa mereka menjadi kaum majoriti yang memegang kuasa.

Ia suatu keganjilan.

Sepatutnya yang minoriti itu duduk dalam kekhuatiran. Rasa jati dirinya semakin terhakis, bimbang segala yang ada di sekitar mencabarnya, lalu menjadi sangat defensif terhadap agama masing-masing. Sepatutnya begitu.

Dan tatkala mereka bertindak sebagai pemerintah, berkuasa, berkuantiti sebagai majoriti, maka mereka akan rasa sangat selesa, terbuka, dan tidak fragile oleh cetusan-cetusan kejadian harian di kiri kanannya. Sepatutnya macam itu.

Tetapi realiti di Malaysia sungguh terbalik.

PERBANDINGAN LAGI

Saya tidak suka membanding-banding.

Orang tua kita sudah membuat pepatah, “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik berhujankan batu di negeri sendiri!”

Tetapi orang kita jugalah yang pakar membanding-banding. Kerana banding-membanding itulah terbinanya Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas, malah pernah juga Subang Parade dinobatkan sebagai pusat membeli belah terbesar di Asia Tenggara.

Daripada dibanding-bandingkan benda yang sekunder itu, lebih baik kita bandingkan soal-soal premier yang lebih kritikal.

MINORITI DI IRELAND UTARA

Terkenang kembali pengalaman saya semasa bertugas di Belfast Islamic Centre.

Kami memang kaum minoriti. Jumlah Muslim pada bulan pertama saya memulakan tugas, hanya sekitar dua atau tiga ribu orang di seluruh Ireland Utara. Tetapi menjadi kaum minoriti tidak menjadikan kami Muslim yang defensif lagi reaktif.

Kami terbuka kepada dialog. Jemputan untuk berdialog boleh dikatakan diterima setiap hari. Ada dialog dengan pelajar, ada dialog dengan rombongan yang dihantar oleh gereja. Kita dengan bebas bertukar-tukar pandangan tentang agama dan kepercayaan masing-masing, khususnya di peringkat isu-isu bersama berkaitan etika dan tanggungjawab sosial.

Kami tidak mengurung masjid di balik tembok, kesan rasa terancam kerana hidup sebagai minoriti. Sebaliknya masjid itu sentiasa terbuka. Malah kami juga sering hadir ke ruang-ruang terbuka yang disediakan di pusat bandar, untuk berjumpa dan berbicara dengan orang ramai.

“Kami dari sebuah sekolah rendah Katholik di Newry mahu melawat masjid tuan. Bilakah tarikh dan masa yang sesuai?” tanya wakil sekolah berkenaan melalui panggilan telefon.

“Saya dan rakan-rakan daripada Fakulti Kemanusiaan Open University UK mahu berjumpa dan bertukar-tukar pandangan dengan pihak Islamic Centre” tercatat demikian di sepucuk surat yang saya terima.

Permintaan-permintaan begitu datang setiap hari. Dan lazimnya kami akan cuba menyusun jadual lawatan agar mereka datang kira-kira sejam sebelum Solat Zohor. Tujuannya ialah untuk menyediakan masa sekitar satu jam untuk berdialog dan kemudian apabila masuk waktu Zohor, mereka akan dijemput ke dewan solat utama, duduk di bahagian belakang dan melihat kami menunaikan solat Zohor berjemaah di masjid.

“Bolehkah orang bukan Islam masuk ke Masjid?” tanya seorang pelajar Malaysia yang baru tiba ke UK.

Soal demikian sudah lama diselesaikan. Jika non Muslim secara mutlak tidak boleh masuk ke masjid, entahlah berapa orang penduduk Semenanjung Tanah Arab yang berpeluang bertemu dengan Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Tidak berlakulah kejadian Arab Badwi yang kencing di dinding masjid dan segala catatan yang lain.

Masjid adalah tempat orang mencari Islam, bukan tempat Muslim mengurung Islam.

Saya tidak banyak pengetahuan tentang Biblical Literature. Tetapi saya membaca serba sedikit mengenainya, dan saya menggunakannya untuk sempena-sempena yang sesuai terutamanya ketika sedang berdepan dengan pelawat beragama Kristian. Semasa menjelaskan tentang hak mutlaq Tuhan terhadap nyawa manusia dalam kertas kerja berkaitan Euthanasia, saya memetik keterangan Bible berikut:

“No man has authority to restrain the wind with the wind, or authority over the day of death.” [Ecclesiastes 8:8a]

Petikan itu berdiri bersama dengan petikan saya daripada keterangan al-Quran, firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

“… Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya” [al-An'aam 6: 151]

MENYAMARATAKAN?

Apakah saya menjadi penganut Bible dan mempercayainya semasa saya memetik suatu ayat daripadanya?

Jauh sekali!

Pendirian saya tentang Bible adalah sama seperti pendirian al-Quran terhadap Taurat dan Injil.

Akan tetapi saya memetik ayat dari Bible supaya hadirin yang Kristian boleh mengaitkan ceramah saya dengan rujukan mereka. Bahawa apa yang saya sebut bukan sahaja berdasarkan agama saya yang Islam, malah ia juga termaktub di dalam agama mereka. Itu sahaja.

Tujuan saya menggandingkan keduanya adalah untuk menekankan bahawa soal peranan agama dalam memelihara nyawa manusia adalah persoalan yang besar. Muslim atau Kristian mesti mempunyai tahap sensitiviti yang sama terhadap apa-apa prosedur perubatan dan bukan perubatan yang menggugat hak ini. Euthanasia bertentangan dengan peraturan agama sama ada Kristian mahu pun Islam.

Adakah saya telah menyamakan Islam dan Kristian?

Tentu sahaja tidak.

Kalau Mak Senah makan sireh dan kambing Mek Yah makan sireh, apakah Mak Senah sama dengan kambing Mek Yah?

Tentu sahaja tidak!

Analogi yang sangat buruk untuk andaian seburuk itu.

Namun, titik persamaannya ialah, pokok sireh perlulah dijaga kerana Mak Senah dan kambing Mek Yah sama-sama mengambil manfaat daripadanya.

Antara Islam dan Kristian, Euthanasia tidak harus berdepan dengan apa-apa konflik dari segi penggubalan polisi di hospital jika dilihat daripada perspektif agama kerana kesemua agama bersepakat dalam menolak campur tangan manusia dalam menentukan saat kematian manusia yang lain. Itu sahaja.

Pandangan saya yang dimuatkan di dalam kertas kerja yang dibentangkan, diagihkan kepada kesemua pembentang yang lain, juga hadirin yang menyertai. Tentu sahaja saya tidak menyertakan teks Arabnya untuk mencegah daripada ayat-ayat al-Quran jatuh ke tempat-tempat yang tidak baik. Tetapi berdosakah saya membiarkan para non-Muslim dari kalangan paderi dan pelajar perubatan di The Queen’s University Belfast menggunakan ayat al-Quran dalam keadaan mereka tidak Muslim?

Bahkan saya berpandangan sebaliknya.

KES NGA KOR MING

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat ihsan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya” [al-Nahl 16:90]

Apabila Ahli Parlimen Taiping dan ADUN Pantai Remis daripada DAP dan beragama Kristian memetik firman Allah daripada al-Quran di atas untuk memberitahu hadirin tentang kedudukan KEADILAN dan BERLAKU IHSAN dari perspektif al-Quran, apakah ini suatu penghinaan terhadap Islam?

Nga Kor Ming salah menyebutnya? Betulkanlah sebutannya.

Bukankah kita kaya dengan guru tajwid di sana sini?

Betul sangatkah sebutan-sebutan ayat al-Quran oleh perwakilan-perwakilan parti yang Melayu dan Muslim itu? Betul sangatkah ucapan Datin-datin dan Puan Sri semasa menyebut ayat al-Quran dalam ucapan-ucapan perasmian mereka? Sepatutnya salah sebutan itu diiringi oleh usaha membetulkan sebutan, bukannya berbondong ke Balai Polis membuat laporan!

Sikap inilah yang menghairankan saya.

Terlalu defensif.

Masjid dikurung, Quran dibendung, yang lulus untuk kegunaan non Muslim hanyalah rumah-rumah terbuka pada hari perayaan Islam! Kemudian layakkah kita tertanya-tanya tentang punca Islam menjadi mandul di negara kita?

Sila tanggalkan kasut anda di sini, dan ketahuilah di sini juga kawasan pencuri kasut! Banyak betul benda pelik di masjid-masjid kita

HINA ISLAM ATAU MUSLIM?

Soalan tadi belum berjawab. Apakah ketika seorang Ahli Parlimen beragama Kristian memetik ayat al-Quran tentang ADIL dan IHSAN sebagai asas seruannya untuk semua Muslim dan non-Muslim menolak KEZALIMAN, adalah suatu penghinaan terhadap Islam?

Saya yakin, jawapannya mudah.

Ia bukan penghinaan terhadap Islam.

Ia adalah PENGHINAAN terhadap MUSLIM. Iaitu Muslim yang mengaku Islam tetapi tidak beramal dengan Islam. Muslim yang sensitif dengan salah baca al-Quran, tetapi tidak sensitif dengan pembekuan al-Quran dari asas pemerintahan.

Nga Kor Ming ‘memang patut didakwa’.

Tetapi bukan dengan dakwaan menghina Islam.

Sebaliknya Nga Kor Ming patut didakwa kerana menghina ‘Muslim’. Muslim yang bermain-main dengan Islam. Permainan yang menjadi punca terhinanya Muslim itu sendiri, siang dan malam.

“… Patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian al-Kitab dan mengingkari sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari Qiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” [al-Baqarah 2: 85]

Jangan sampai Muslim di Malaysia jadi seperti kaum Abbasiyyin di Baghdad pada tahun 1253. Setelah nasihat-nasihat ulama’ Muslim tidak diendahkan, dan lekanya mereka dengan maksiat, akhirnya Hulagu Khan yang kafir itu ber’tazkirah’ di pintu kota Baghdad bersama bala tenteranya, “Aku adalah bencana yang dihantar oleh Tuhan kamu atas dosa yang kamu lakukan!”

Tatkala Muslim ditempelak oleh seorang kafir tentang agamanya sendiri, itulah saat-saat kehancuran mereka. Mahukah kamu beringat-ingat?

Email : Zamri Kecik's

Surat Kepada YB Nga Kor Ming ADUN Pantai Remis Perak

YB Encik Nga Kor Ming
EXCO Kerajaan Negeri Perak
Pejabat EXCO Negeri Perak
30000 Ipoh
PERAK DARUL RIDZUAN.

Menemui YB Encik Nga dengan ucapan salam sejahtera

Yang Berhormat,

Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah mengikuti isu di sekitar percubaan YB untuk mengenali Islam melalui pembacaan Ayat-Ayat Al-Quran dengan tekun. Saya juga terharu mendengar keluhan YB yang berbunyi “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan Al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.”

Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB. Mudah-mudahan dengan sikap “tidak mesra Umno” dan pemimpin-pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas.

Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara. Kalau Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya yang bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya. Maka saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.

Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana. Tajuk-tajuk seperti “dimana tak kenanya Islam” atau “apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam” bolehlah difikirkan. Anggota panel boleh terdiri daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR dan pemimpin-pemimpin NGO, pensyarah serta pendakwah bebas. Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid-masjid, surau-surau, kuil-kuil dewan-dewan perhimpunan, di universiti-universi ti, baik di IPTS atau IPTA.

Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB. Terus tekun dan beristiqamahlah dalam mengharungi ujian-ujian ini. Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana. Marilah kita sama-sama ke sana.

* MEMBANGUN BERSAMA ISLAM *
(TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT)
Menteri Besar Kelantan
Merangkap
Mursyidul Am PAS

UMNO Tolak ISLAM, Tak Salah?

“Sepatutnya sudah lama benda al-Quran ini dibaca dan digunakan dengan meluas oleh semua orang termasuk oleh orang Cina”.(Berita TV1 pada pagi 6 April 2009 dan rancangan Berita TV9 jam 8.00 malam). Inilah lebih kurang, bunyi kata-kata saya sewaktu diminta mengulas penggunaan dan sebutan ayat al-Quran oleh Exco Kerajaan Negeri Perak, YB. Nga Ko Ming.

Sebagai penjelasan lanjut, izinkan saya berkata begini.Islam ini pada dasarnya diturunkan untuk membawa petunjuk. Ia sumber hidayah. Ia menjadi rahmat dan penawar. Nilai gunanya adalah untuk seluruh semesta alam. Ia bersifat “rahmatal lil ‘alamiin.” Ia berguna untuk seluruh umat manusia tanpa mengira perbezaan kaum,suku bangsa, warna kulit dan bahasa. Sepatutnya, al-Quran itu boleh digunakan dengan jujur dan ikhlas oleh penggunanya tanpa mengira sesiapa.Pada saya, kesediaan YB. berkenaan yang cenderung menggunakan ayat al-Quran adalah satu permulaan kepada satu perkembangan yang cukup menggalakkan. Tidak ada sebab ia tidak dialu-alukan. Jika dalam zaman awal Islampun, Abu Lahab yang bukan Islam itupun diizin membaca dan memahami surah Al-Lahab yang mencela beliau, maka apa pilihan kita untuk menutup hak bukan Islam untuk mendekati, membaca dan cuba memahami al-Quran ?

Isu ini bermula sebaik saja pemimpin Umno mencetuskan keresahan demi meraih perhatian untuk mendapatkan populariti dan simpati ke atas partinya yang semakin dibenci orang. Saya diberi faham bahawa isu asal hanyalah kecil. Isu yang berbangkit ialah nama surah sahaja yang disebut salah tetapi ayat yang dikutip dan diterjemahan adalah betul.
Bacaannya masih OK; cuma intonasi dan sebutannya saja yang sedikit tersalah. Tetapi, taklah pula bacaannya itu sebaik seorang qari musabaqoh atau tilawah. Hatta, ada juga orang Islam baka, yang sudah lama Islamnya sekalipun; masih tidak sempurna dari segi tertib dan tartil, dari segi sebutan dan tajwid serta lafaz panjangpendeknya.

Apa yang saya nampak, YB. berkenaan tidak mentafsir. Dia cuma membaca terjemahan "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan". Dia terjemah perkataan “ehsan” sebagai 'belas kasihan'. Itu saja.

Dalam Islam, ada satu perkara yang disebut “ Li iilaafi-quraisy “ seperti yang terkandung didalam surah Quraisy ayat 1. Maksud bergerak dari kalimat ini saya ertikan sebagai “menjinak atau menjinakkan.” Menjinakkan siapa, jika tidak orang-orang yang belum Islam kepada Islam? Disini, apa salah orang Cina jika dia baca Quran dengan tujuan untuk berjinak-jinak dengan Islam? Jika katakan tersalah(katakan) , maka dengan lemah lembut dibetulkan. Tak berbangkit sama sekali soal keperluan lapuran Polis oleh sesiapa. Pada saya, ini percubaan menutup ruang dan menyekat langsung laluan non-Muslim mendekati Islam seperti yang pernah dilakukan oleh sebahagian dari penguasa masjid di tempat-tempat tertentu yang menghalang orang non Islam dari memasuki masjid. Sedangkan dalam surah ‘Abasa, jelas yang Nabi SAW menerima, menegur dan membimbing orang Islam dan non Islam didalam masjid.

Berbalik kepada isu, jika orang Cina baca salah, maka apa jaminan yang orang Melayu yang kebanyakannya datang dari jenis Islam baka inipun turut tidak salah ? Hal ini boleh disahkan oleh guru-guru tajwid seluruh negara pada bila-bila masa. Ambil saja surah al-Fatihah yang menjadi ummul kitab.Saya tidak suka mencabar tetapi saya hampir pasti akan kekurangan yang juga turut melanda orang Melayu yang diperanakkan dalam suasana Islam sepenuhnya ini.satu lagi ialah apa gunanya Quran jika tidak untuk dibaca?Bagaimana orang bukan Islam mahu memahami jika diharamkan mereka dari bertatih membaca al-Quran. Ini permulaan.Kita kena faham. Hatta, Saidina Umar sendiri diwaktu belum Islam(kufur) sekalipun direkodkan pernah merampas sesuatu dari tangan adik beliau. Beliau lalu mendapati bahawa ia satu tulisan dari Surah Toha lalu beliau membacanya dalam keadaan genggam dan lepas. Sebenarnya kufur zaman dulu adalah orang Cina atau Indialah di zaman sekarang. Sepatutnya, kita berbangga apabila orang bukan Islam boleh memetik dan cuba-cuba membaca ayat dari kitab suci kita.

Salah satu punca kelemahan dalam menguasai ilmu pembacaan al-Quran ini ialah tidak dapat menguasai tulisan jawi. Ini kerja siapa jika tidak dari kerja pemimpin Umno akibat dari “dasar anti- jawi” mereka yang amat dungu? Pemimpin Umno yang sebelum inilah? Dalam keadaan pemimpin Umno yang meninggalkan Quran dan telah membunuh tulisan jawi itu, tiba-tiba, apabila ada pemimpin Cina membaca Quran dalam pelat yang dipandang salah, pemimpin Umno sibuk mendesak DAP mengemukakan permohonan maaf secara terbuka. Disini soalan pertama saya, mana lebih besar dosanya, menolak Quran dan mengherdik hukum Islam dengan dosa cuba membaca al-Quran? Soalan kedua saya, apa kata, jika dalam satu masa terdekat, ada pihak yang dapat buktikan yang ada juga pemimpin Melayu dari Umno yang membaca Quran dengan salah? Mahu atau wajarkah mereka dimalukan dengan dituntut membuat permohonan maaf secara terbuka?

Saya perlu ingatkan di sini bahawa kita sedang hidup di zaman IT. Ingatlah bahawa bukti cukup mudah untuk dicari. Saya pernah tengok keajaiban teknologi internet yang ditunjukkan oleh kawan-kawan dan anak cucu saya. Di sana ada kamera digital, adanya “youtube”, ada 3G, ada pen drive, CD, email dan pelbagai lagi rangkaian produk rakaman yang cukup sofistikated.

Dalam hal begini saya lebih gemar kita semua melakukan muhasabah. Jika takdirnyalah, rakan-rakan kita dari yang “belum Islam” ini ada kekurangan dari segi sebutan ayat-ayat Quran, kenapa kita tidak berfikir untuk adakan kelas-kelas asas pengenalan ilmu al-Quran kepada non Islam? Dalam hal ini, gunakanlah semua rangkaian radio dan telivisyen kita untuk mengadakan slot-slot rancangan berupa kelas “mesra al-Quran” seperti yang ada dalam rancangan “learn a word a day” atau belajarlah satu perkataan satu hari . Mungkin juga ia boleh disusuli dengan kelas-kelas malam percuma di semua masjid dan surau. Mungkin juga, kelas-kelas tuisyen malam disekolah-sekolah boleh juga diatur seperti sistem sekolah dewasa di awal tahun 60 han. Atau , kita ada IKIM, JAKIM, YADIM, dan Jabatan-Jabatan Agama Islam setiap Negeri. Saya percaya, kita boleh melakukan sesuatu ;mengambil kesempatan dan menafaat dari trend keghairahan baru yang sihat ini demi membangun bersama Islam dan mendekatkan non Islam kepada Islam.

Di sini, tidak bolehkah kita sama-sama cuba berfikir dalam kerangka pemikiran sebuah kerajaan. Janganlah terlalu mahu berpolitik secara berparti dalam serba-serbi sehingga segenap perkara hendak dipolitik mengikut syak wasangka kepartian. Sikit-sikit menuntut maaf.Ini seperti yang didesak oleh Naib Ketua Bahagian Hulu Terengganu misalnya dalam akhbar semalam bertarikh 7 April 2009. Sikit-sikit lapuran polis. Sikit-sikit ini perkara perkauman, menghasut, sensitif dan boleh menimbulkan pecah belah. Jika kita tidak sensitifkan isu ini maka tidak sensitif lah ia. Perkara ini bukannya susah sangat tetapi sengaja nak dikeliru dan nak disusah-susahkan. Mungkin dalam kekeliruan dan kemarahan yang sengaja di api-apikan itulah Umno mengharapkan dirinya dijulang. Sekarang, orang sudah ramai yang cerdik. Ini khususnya dikalangan orang-orang muda. Mereka biasanya lebih cepat menghidu dan dapat membezakan terus antara durian dengan tempoyak.

Sebagai penutup, mari kita mendalami keluhan dukacita YB. Nga di atas pendirian terbaru Umno ini. Kata beliau, “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.” Pendek kata, pelik sungguh Umno ini. Dia tolak Islam tak salah. Orang Tionghua nak dekati Islam melalui bacaan al-Quran di kira salah ?

Sejak kalah di kedua bukit, Umno ini, betul-betul sudah menjadi sebuah parti yang meracau. Tidak cukup dengan seribu satu masalah di kedua tangan, dia masih menimbulkan masalah. Kehadirannya cukup menimbulkan serba salah. Ajaran yang dibawanya semakin sehari semakin salah.

Nik Abdul Aziz Nik Mat
Menteri Besar kelantan
Tanggal: 7 April 2009

Banyak kesangsian dalam Kabinet Najib

Ada beberapa pemerhatian dan kesimpulan yang sepintas lalu dapat dibuat tatkala meneliti barisan Kabinet baru Malaysia seperti diumumkan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, petang tadi.

Pertama, semacam ada rasa sangsi atau kepercayaan yang tidak bulat oleh Najib terhadap orang nombor duanya. Meskipun menepati ramalan meletakkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri, tidak ramai menyangka orang nombor dua itu akan diberikan tugas di Kementerian Pelajaran. Sudah lama kementerian itu tidak dipegang Timbalan Perdana Menteri.

Orang nombor dua selalunya diberikan peranan paling mencabar. Kementerian yang lebih dianggap kanan, strategik dan berkuasa ialah Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan.

Bukankah di situ duduknya Najib selaku Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini? Bukankah di beberapa kementerian itu juga Abdullah selaku orang nombor dua diletakkan Tun Dr Mahathir Mohamad?

Najib memilih sepupunya, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk menerajui Kementerian Dalam Negeri, manakala bekas Setiausaha Politiknya, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengepalai Kementerian Pertahanan. Apakah dua pemimpin ini sebenarnya yang lebih dipercayai Najib berbanding Muhyiddin?

Kedua, Najib tidak dapat mengelak daripada melantik pemimpin yang sudah ditolak rakyat. Ia bagaikan mengulangi tabiat Abdullah yang sebelum ini dikritik dan dikecam pelbagai pihak.

Dalam ucapannya sebelum mengisytiharkan Kabinet baru itu, Najib mengungkapkan slogan "Satu Malaysia - Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan". Kesangsian segera muncul tatkala orang disenaraikannya termasuk mereka yang telah ditolak rakyat dalam pilihan raya. Justeru, 'rakyat' manakah yang didahulukan Najib?

Antara pemimpin tersebut ialah Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Dato' Dr Awang Adek Hussein (Timbalan Menteri Kewangan) dan Datin Paduka Chew Mei Fun (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Apakah ini menggambarkan pengakuan bahawa dari lebih 100 Ahli Parlimen Barisan Nasional yang masih ada, tidak ada yang mempunyai wibawa dan keupayaan untuk mengisi jawatan Kabinet, sehingga memaksa dilantik mereka yang bukan Ahli Parlimen?

Najib turut melantik pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti, sekaligus membelakangkan mereka yang dipersetujui ahli-ahli akar umbi parti mereka sendiri. Mereka ialah Dato' Seri Dr Rais Yatim (Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Warisan) dan Dato' Mukhriz Mahathir (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

Ketiga, tindakan nekad Najib melantik Mukhriz ke dalam Kabinetnya mengundang tafsiran betapa beliau berhasrat membalas jasa Mahathir. Ataukah beliau sebenarnya tunduk kepada saranan dan nasihat bekas Perdana Menteri itu dalam mencaturkan Kabinetnya?

Kita tahu betapa besar peranan dimainkan Mahathir dalam mempercepatkan proses peralihan kuasa kepada Najib dalam parti dan kerajaan. Mahathir lah orang utama yang bertanggungjawab 'memanaskan punggung' Abdullah, sehingga terpaksa melepaskan jawatan lebih awal dari yang dirancangnya.

Keempat, ketiadaan nama Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, turut mengundang pelbagai andaian. Selain sama taraf dengan naib presiden dalam parti, Khairy juga ada tiket selaku Ahli Parlimen Rembau.

Ketiadaan namanya dalam senarai Kabinet dikaitkan dengan penyiasatan semula Lembaga Disiplin Umno berkaitan amalan politik wang dalam pemilihan Umno baru-baru ini. Desas-desus bertiup kencang kononnya Khairy bakal berhadapan tindakan tegas partinya, termasuk kehilangan jawatan yang baru dimenanginya itu.

Andaian itu bagai disahkan apabila Najib tidak menyenaraikan Khairy. Najib dikatakan tidak mahu mengambil risiko menyenaraikan orang yang sedang disiasat. Mana tahu silap haribulan akan berulang peristiwa seorang menteri terpaksa melepaskan jawatan kerana bersalah atas dakwaan politik wang. Maka bagi mengelakkan Kabinetnya tercemar, Najib dikatakan siang-siang lagi enggan menyenaraikan Khairy.

Namun ada juga yang menilainya sebagai bertepatan dengan hasrat Najib membersihkan Kabinetnya dari bayangan Abdullah. Jika nilaian itu benar, bermakna Khairy adalah mangsa keadaan hanya semata-mata dia adalah menantu bekas Perdana Menteri itu. Harakahdaily.

Tidak dilantik menteri, benarkah khairy tidak kecewa ?

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin seperti yang disiarkan malaysiakini berkata beliau tidak kecewa kerana tidak dilantik menganggotai barisan kabinet baru dan berkata beliau telah diberi tugas lain oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata dalam pertemuannya dengan Najib kelmarin, PM memintanya supaya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan parti.

Presiden Umno itu mahu saya menumpukan kepada kerja-kerja parti.

"Beliau telah memberi saya tugas untuk menarik lebih ramai pengundi muda supaya menyokong Umno dan BN," katanya sambil berterima kepada presiden Umno itu kerana memilihnya untuk memikul tugas tersebut.

Beliau juga mengucap terima kasih kepada Najib kerana melantik naibnya, Datuk Razali Ibrahim sebagai timbalan menteri belia dan sukan.

Menurutnya, kabinet baru itu telah membariskan menteri dan timbalan menteri yang baik yang mampu untuk membantu perdana menteri melaksanakan agenda pembaharuan.

Beliau juga berharap anggota kabinet baru itu akan bekerja keras untuk merealisasikan objektif dan aspirasi rakyat Malaysia.

Khairy bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya sama ada mantan perdana menteri ada campurtangan dalam pelantikan anggota kabinet baru itu.

Kenyataan Khairy diatas menyusul beberapa jam setelah najib mengumumkan Kabinet yang diistilahkan sebagai "Pasukan Baru" dengan dianggotai 28 orang sebagai menteri penuh dan 40 yang lain dilantik timbalan menteri.

Sebenarnya Najib berdepan dengan dua keadaan yang diibaratkan dalam perpatah melayu ditelan mati emak diluah mati bapa. Melantik Khairy dalan barisan kabinet berarti menempelkan masalah dalam kabinet baru kerana kemenangan Khairy adalah dalam keadaan kontraversi rasuah dalam pemilihan yang baru lalu.

Namun bukan berarti kabinet baru ini bersih kerana semua sudah maklum banyak persoalan yang tidak terjawab sehingga sekarang dalam pelbagai isu termasuklah terpalitnya beberapa nama besar dalam senarai utama sebagai terlibat dengan skandal rasuah.

Menolak Khairy adalah menolak amalan biasa kepada jawatan Ketua pemuda dengan taraf menteri penuh. Menerima Khairy adalah membawa padah lebih besar.

Jadi persoalannya sekarang benarkah Khairy tidak kecewa bila dia tidak terlantik, ditambah pula seterunya yang kalah dalam pertandingan boleh dilantik sebagai Timbalan Menteri. Naibnya juga dilantik sebagai Timbalan Menteri.

Kalau Khairy lemah disebabkan terbabit dengan rasuah semasa pemilihan, apa sangat kuatnya pimpinan lain yang juga terlibat dengan rasuah. Saya kira Khairy lebih baik kerana rasuah semasa pemilihan diambil dari wang poketnya sendiri.

Rasuahnya orang lain adalah mengambil wang rakyat dalam bentuk komeisyan pembelian kapal selam dan sebagainya. Ini lebih teruk dari Khairy.

Kalau saudara berada di tempat Khairy, rasa kecewa pasti ada kerana tangga untuk dia naik lebih tinggi telah dibuang. Alasan menjaga parti tidak masuk akal dan tidak sekuat dan sepenting menjadi menteri. Dia akan bergerak ke hulu dan ke hilir tanpa ada kawalan keselamatan walau sepenting mana tugasnya.

Lagipun logikkah alasan menguatkan parti sehingga tidak layak menjadi menteri, jelaslah Khairy tidak akan puas hati dan kita tunggu episod seterusnya.

Senarai penuh Kabinet

PUTRAJAYA: Senarai Jemaah Menteri yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini:

PERDANA MENTERI:

Datuk Seri Najib Razak

TIMBALAN PERDANA MENTERI:

Tan Sri Muhyiddin Yassin

MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

1. Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Hal Ehwal Perpaduan & Pengurusan Prestasi)

2. Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen)

3. Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (Unit Perancang Ekonomi)

4. Mej-Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom (Hal Ehwal Agama Islam)

Timbalan-timbalan Menteri:

1. Datuk Liew Vui Keong

2. Datuk Dr Mashitah Ibrahim

3. Datuk S.K. Devamany

4. Ahmad Maslan

5. T.Murugiah

MENTERI KEWANGAN:

Datuk Seri Najib Razak

MENTERI KEWANGAN II:

DATUK AHMAD HUSNI MOHAMAD HANADZLAH

Timbalan:

1. Datuk Chor Chee Heung

2. Datuk Dr Awang Adek Hussin

MENTERI PELAJARAN:

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Timbalan:

1. Datuk Dr Wee Ka Siong

2. Dr Mohd Puad Zarkashi

MENTERI PENGANGKUTAN:

Datuk Ong Tee Keat

Timbalan:

1. Datuk Abdul Rahim Bakri

2. Datuk Robert Lau Hoi Chew

MENTERI PERUSAHAAN, PERLADANGAN DAN KOMODITI:

Tan Sri Bernard Dompok

Timbalan:

1. Datuk Hamzah Zainudin

MENTERI DALAM NEGERI:

Datuk Seri Hishammuddin Hussein

Timbalan:

1. Datuk Wira Abu Seman Yusop

2. Jelaing anak Mersat

MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI, KESENIAN DAN KEBUDAYAAN:

Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim

Timbalan:

1. Datuk Joseph Salang Gandum

2. Senator Heng Seai Kie

MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR:

Datuk Peter Chin Fah Kui

Timbalan:

Noriah Kasnon

MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH:

Datuk Seri Shafie Apdal

Timbalan:

1. Datuk Hassan Malek

2. Datuk Joseph Entulu anak Belaun

MENTERI PENGAJIAN TINGGI:

Datuk Seri Mohd Khaled Nordin

Timbalan:

1. Datuk Dr Hou Kok Chung

2. Datuk Saifuddin Abdullah

MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI:

Datuk Mustapa Mohamed

Timbalan:

1. Datuk Mukhriz Mahathir

2. Datuk Jacob Dungau Sagan

MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INNOVASI:

Datuk Dr Maximus Ongkili

Timbalan:

Fadillah Yusof

MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR:

Datuk Douglas Uggah Embas

Timbalan:

Tan Sri Joseph Kurup

MENTERI PELANCONGAN:

Datuk Ng Yen Yen

Timbalan:

Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib

MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI:

Datuk Noh Omar

Timbalan:

1. Datuk Johari Baharum

2. Datuk Rohani Abdul Karim

MENTERI PERTAHANAN:

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Timbalan:

Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad

MENTERI KERJA RAYA:

Datuk Shaziman Abu Mansor

Timbalan:

Datuk Yong Khoon Seng

MENTERI KESIHATAN:

Datuk Liow Tiong Lai

Timbalan:

Datuk Rosnah Rashid Shirlin

MENTERI BELIA DAN SUKAN:

Datuk Ahmad Shabery Cheek

Timbalan:

1. Datuk Razali Ibrahim

2. Wee Jeck Seng

MENTERI SUMBER MANUSIA:

Datuk Dr S.Subramaniam

Timbalan:

Datuk Maznah Mazlan

MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA:

Datuk Ismail Sabri Yaakob

Timbalan:

Datuk Tan Lian Hoe

MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN:

Datuk Kong Cho Ha

Timbalan:

Datuk Lajim Ukin

MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT:

Datuk Seri Sharizat Jalil

Timbalan:

Datin Paduka Chew Mei Fun

MENTERI LUAR:

Datuk Anifah Aman

Timbalan:

1. A.Kohilan Pillay

2. Datuk Lee Chee Leong

MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN:

Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin

Timbalan:

Datuk M.Saravanan - Bernama

Khairy tercicir, Mukhriz masuk kabinet

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan senarai 28 orang menteri dan 40 timbalan menteri dalam anggota kabinet barunya petang ini.

Kecuali ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, kesemua ketua sayap dalam Umno dilantik menganggotai barisan kabinet baru yang diumumkan hari ini.

Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dilantik sebagai menteri kemajuan wanita, keluarga dan masyarakat.

Manakala ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Rasyid Syirin dilantik sebagai timbalan menteri kesihatan.

Bagaimanapun, naib ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim dilantik sebagai timbalan menteri belia dan sukan.

Seperti yang diramalkan, ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir sebagai timbalan menteri timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri (MITI).

Manakala antara menteri yang digugurkan ialah Datuk Seri Syed Hamid Albar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Datuk Mohd Zin, Datuk Amirsyam Aziz dan Datuk Azalina Othman Said dan Datuk Ong Ka Chuan dan Datuk Zulhasnan Rafique. Turut digugurkan ialah timbalan menteri, Datuk Noraini Ahmad.

Manakala mereka yang dibawa masuk semula menganggotai kabinet kali ini ialah Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Puad Zarkashi (timbalan menteri pelajaran). malaysiakini.

Hakim putuskan SPR yang tentukan kekosongan 3 DUN.

PUTRA JAYA : Hakim Mahkamah Persekutuan sebentar tadi baru membuat keputusan yang mengejutkan dengan memutuskan bahawa kekosongan atau tidak kerusi 3 DUN di Perak adalah ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihanraya bukan Speaker DUN.

Keputusan ini sekaligus menafikan permohonan Speaker yang telah mengistiharkan ketiga-tiga kerusi itu kosong.

Speaker DUN Perak, V. Sivakumar yang baru dihubungi sebentar tadi mengatakan keputusan ini sekaligus menafikan hak speaker selama ini di DUN atau di Dewan Rakyat.

Azilah dan Sirul dihukum gantung sampai mati

SHAH ALAM: Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar hari ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam setelah didapati bersalah atas tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata kedua-dua mereka gagal membuktikan sebarang keraguan bagi kes dakwaan tersebut sebaliknya hanya menyalahkan antara satu sama lain.