24 Januari 2009

Bolehkah SPRM bantu pulihkan UMNO ?

Benarkah tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dan mendakwa beberapa pemimpin UMNO berhubung politik wang akan membantu memulihkan imej parti itu? Saya kira itulah persoalan yang cuba dijawab oleh kebanyakan pemimpin UMNO bermula dari Timbalan Presidennya hinggalah kepada bekas MB Selangor sendiri.

Sebagai rakyat biasa tentunya kita punya jawapan sendiri kepada persoalan tersebut. Saya masih ingat bagaimana sejak BPR masih ujud lagi, tidakkah ia memiliki kuasa yang hampir sama dengan SPRM, namun rasuah politik bagaikan sudah sebati dengan UMNO dan pemimpin Kerajaan dari UMNO tidak dapat dibenteras sehingga BPR sudah bertukar menjadi SPRM.

Persoalan lain yang ingin saya kemukakan ialah kedudukan pemimpin UMNO yang telah didapati bersalah dengan tindakan disiplin yang melibatkan rasuah dalam Mesyuarat dalam semua peringkat sebelum dari ini, sewajarnya kelompok ini di siasat oleh SPRM tentang dari mana wang rasuah yang didapati yang nilainya jutaan ringgit itu.

Mereka itu yang tidak berminat saya sebutkan namanya sudah didapati bersalah dari sudut disiplin parti, kenapakah tidak pernah disalahkan oleh BPR semasa itu ? buktikan kenyataan Najib Tun Razak semalam yang menyerahkan kepada pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pemimpin dan ahli parti yang terlibat dalam politik wang.

Macam mana pula dengan Menteri yang gatal mulut dan bersungguh sangat dalam masalah Tabika Kemas di Perak yang pernah lari kan duit ke Australia suatu masa dulu. Sepatutnya SPRM tolong cari jawapan kepada persoalan lama rakyat dari mana wang itu diperolihinya ?

SPRM mesti menyiasat tentang laporan Ketua Audit Negara kepada semua kementerian yang terlibat dengan bil berganda-ganda yang diketahui umum. Dan banyak lagi yang mesti SPRM bertindak sesuai dengan bidang tugasnya.

Sekiranya longgokan masalah dan selepas SPRM tidak dapat diselesaikan dengan segera jawapan kepada boleh atau tidak UMNO dipulihkan sudah berada di benak fikiran kita.

Pulih atau tidaknya UMNO bagi saya bukan hanya kerana usaha membenteras rasuah didalamnya namun sikap pemimpin UMNO itu mesti dipulihkan dahulu. Selagi pemimpin tidak ada hala tuju yang jelas menduduki jawatan untuk membela rakyat, selagi itu rasuah akan berlaku kerana matlamat sebenar adalah untuk memperolihi habuan dunia yang sebelumnya perlu ada pelaburan awal yang dipanggil dengan berbagai nama.

Kita tunggu dan lihat apa lagi ulasan pemimpin UMNO dan tindakan SPRM ?

Razali juga akui Umno kurang mesra rakyat...

Ketua Pemuda Umno Johor, Datuk Razali Ibrahim mengakui bahawa pemimpin Umno kini kurang mesra dengan rakyat sehingga menimbulkan tanggapan bahawa parti itu tidak mesra rakyat.

Menurutnya, ia berlaku kerana suasana perjuangan dan tuntutan hari ini telah berbeza daripada dahulu.

Oleh itu, katanya, pemimpin Umno perlu kerap mendampingi rakyat, bukan sahaja untuk bertemu muka tetapi menyampaikan maklumat kepada mereka.

“Mereka juga perlu merendah diri, tidak sombong dan ikhlas, dan keikhlasan itu perlu dicerminkan,” katanya.

Razali yang juga calon jawatan naib ketua Pemuda Umno dalam pemilihan Umno Mac depan, menyifatkan dakwaan bahawa Umno sudah hilang tarikan, sebagai propaganda pihak tertentu sahaja.

Katanya, Umno menyediakan pelbagai keperluan untuk orang muda tetapi mereka mungkin tidak menyedarinya.

“Tetapi kita perlu mencari jalan untuk memastikan mereka tetap bersama Umno,” katanya.

Daya tarikan

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, pemimpin Umno kurang mesra dengan pengundi.

Manakala, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata, parti itu telah hilang daya penarik terutamanya di kalangan orang muda.

Kedua-dua mereka berkata demikian ketika diminta mengulas kekalahan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari lalu.

Sementara itu, exco Pemuda Umno, Datuk Idris Haron berkata, Umno hilang daya tarikan di kalangan rakyat kerana masih terikat dengan cara lama.

Ini bermakna, katanya, pemimpin Umno perlu berubah mengikut keperluan semasa.

“Umpamanya, untuk membuat sesuatu keputusan, ia perlu mengambil kira pandangan dari semua pihak.

“Kalau hendak memilih calon, mestilah mengambil kira kehendak pengundi di kawasan terbabit,” kata beliau yang juga timbalan menteri pengajian tinggi.

Mengenai pemimpin Umno yang dikatakan kurang mesra, Idris berkata, pemimpin akar umbi perlu lebih mesra dengan masyarakat di kawasannya.

Katanya, jika pemimpin mesra rakyat, mereka sekaligus melihat Umno sebagai parti yang mesra rakyat. Malaysiakini

Pengundi wanita KT tolak BN

Ketua Wanita Umno Terengganu, Wan Ramlah Wan Ahmad berkata, beliau merasa bimbang kerana ramai pengundi wanita di kawasan Parlimen Kuala Terengganu akan menolak Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang.

Katanya, mereka menyatakan perkara itu secara terbuka kepada perayu undi Wanita Umno sewaktu berkempen dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari lalu.

Menurutnya, lebih mengejutkan lagi kerana mereka adalah penyokong Umno dan mengundi parti itu dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini.

"Saya tidak tahu mengapa mereka berkata demikian, tetapi perayu undi ada memberitahu, mereka kecewa dengan apa yang berlaku dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu.

"Mereka mengadu tidak puas hati dengan pemilihan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

"Mereka kata, tiada calon BN lainkah, asyik-asyik anak Datuk Wan Salleh...

"Ini kerana dalam pilihanraya umum lalu, abangnya, Datuk Wan Hisham telah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Hisham tewas kepada calon PAS, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar dalam pilihanraya umum lalu.

Wan Ahmad Farid kalah kepada calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi. Beliau mendapat 30,252 undi manakala lawannya itu mendapat 32,883 undi.

Tidak dapat sambutan

Manakala calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam hanya mendapat 193 undi dan sekaligus hilang wang pertaruhan.

Wan Ramlah juga berkata, ramai pengundi wanita juga mengadu mereka tidak senang dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Ramlah mengakui kempen Wanita Umno tidak mendapat sambutan.

"Kami jangka 15 orang hadir tetapi sekadar dua atau tiga orang sahaja.

"Mereka beri alasan masing-masing sibuk dengan tugas harian.

"Saya tidak tahu salah siapa tetapi Wanita Umno bahagian Kuala Terengganu tidak bekerja sebagaimana sepatutnya," katanya.

Kempen jentera Wanita Umno untuk pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu diketuai oleh ketua pergerakan itu, Tan Sri Rafidah Aziz.
Malaysiakini.