06 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
Mahfuz Omar
Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) menyambut baik pengumuman Timbalan Menteri Pengangkutan di Dewan Rakyat pada 23 Mac 2011 bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju untuk menangguhkan penyenaraian hitam pemilik kenderaan dan pemegang lesen.
Keputusan Jemaah Menteri ini telah mengesahkan dakwaan dan desakan KASE selama ini iaitu penyenaraian hitam pemilik kenderaan dan pemegang lesen memandu adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.
Semasa mengumunkan perkara tersebut di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Pengangkutan menyatakan bahawa keputusan penangguhan senarai hitam membabitkan Notis Pol 170A (Saman Ekor) tersebut adalah atas nasihat Jabatan Peguam Negara bahawa terdapat suatu kes yang sedang dalam proses rayuan.
Kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan ini sekali lagi dengan jelas telah menunjukkan bahawa tindakan Kerajaan yang selama ini menyenarai hitam pemilik kenderaan dan pemegang lesen berasaskan Notis Pol 170A adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang kerana sudah terdapat kes di Mahkamah yang telah memutuskan bahawa tindakan senarai hitam berasaskan sesuatu perkara yang belum dibuktikan adalah salah.
Kami di KASE percaya kes yang dimaksudkan adalah kes Mahkamah Tinggi Kuching yang menjadi sandaran hujah KASE selama ini iaitu kes Leonard Lim Yaw Chiang lawan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak yang telah diputuskan pada tahun 2009.
Kami merasakan sesuatu yang aneh dan pelik apabila suatu keputusan Mahkamah telah dibuat sejak tahun 2009 lagi tetapi Kerajaan langsung tidak mengambil endah malah meneruskan tindakan senarai hitam yang jelas bertentangan dengan keputusan Mahkamah tersebut.
Kes yang dirujuk tersebut dikendalikan sendiri oleh Penasihat Undang-Undang Kanan Persekutuan (Senior Federal Council) yang mewakili Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak.
Mustahil Penasihat Undang-Undang Kanan tersebut tidak memberikan laporan kepada Jabatan Peguam Negera dan Penasihat Undang-Undang Kementerian Pengangkutan tentang kesan kes tersebut.
Jika laporan dan nasihat telah diberikan tetapi Kerajaan tidak mengikut nasihat tersebut, ianya sesuatu yang malang kerana dengan jelas Kerajaan tidak menghiraukan nasihat serta tidak menghormati keputusan Mahkamah.
Jika Kerajaan tidak dinasihati, adalah malang kerana Kerajaan mempunyai Penasihat Undang-undang yang gagal menjalankan tugas mereka.
Malang kerana segala tindakan Kerajaan tersebut dengan jelas telah menindas dan membebankan rakyat. Rakyat dihukum, ditindas, dipaksa membayar kompaun walau pun kesalahan mereka belum dibuktikan.
Rakyat dipaksa beratur, bersesak-sesak di kaunter-kaunter bayaran kompaun kerana takut dengan gertakan Kerajaan untuk menyenarai hitam jika kompaun tidak dibayar.
Rakyat ditekan sehingga ada yang terpaksa berhabis duit tabungan, terpaksa membuat pinjaman peribadi daripada bank semata-mata untuk membayar kompaun kerana takut disenarai hitam oleh Kerajaan.
Sekarang dengan bangganya kerajaan mengumumkan penangguhan senarai hitam. Alasannya kerana menunggu rayuan kes di Mahkamah. Kenapa sebelum ini tidak menunggu keputusan rayuan tersebut terlebih dahulu?
Selepas rakyat diperlakukan sedemikian rupa, baru sekarang tindakan tersebut ditarik balik? Malah Kerajaan melalui Timbalan Menteri Pengangkutan begitu bangga mengumumkan bahawa rakyat seharusnya bergembira dengan keputusan Kerajaan menangguhkan senarai hitam tersebut.
Kenapa rakyat harus gembira setelah mereka diperlakukan sedemikian? Kenapa rakyat harus gembira dipermain-mainkan oleh Kerajaan? Kenapa rakyat harus gembira dengan penindasan dan paksaan Kerajaan terhadap mereka?
Kami di KASE tetap dengan pendirian kami sejak mula bahawa tindakan Kerajaan menyenarai hitam adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.
Segala desakan kami selama ini akhirnya jelas dan nyata kebenarannya. Selain itu, kami sekali-kali tidak akan berdiam diri dan berpuashati setakat ini sahaja.
Kami ingin nyatakan bahawa kami tidak akan berhenti dengan desakan kami agar Kerajaan menghapuskira kesemua Saman Ekor (Notis Pol 170A) yang dikeluarkan sebelum 1/2/2011.
Kami juga terus mendesak kerajaan khasnya JPJ dan PDRM agar menghormati dan mematuhi peruntukkan undang-undang sedia ada dalam menguatkuasakan undang-undang.
Jangan menguatkuasakan undang-undang tanpa mengikut prosedur serta undang-undang itu sendiri. Seterusnya kami juga mendesak Kerajaan khasnya JPJ dan PDRM agar membuktikan segala kesalahan yang didakwa dilakukan oleh pengguna-pengguna jalanraya jika terdapat bukti kukuh terhadap mereka. Buktikan dakwaan di Mahkamah sebelum sebarang hukuman dilaksanakan.
Kami juga mendesak Kerajaan melalui JPJ dan PDRM supaya mengadakan sesi-sesi penerangan serta taklimat mengenai undang-undang jalanraya yang terdapat di dalam Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang telah mula dikuatkuasakan kerana kami yakin bahawa majoriti rakyat tidak mengetahuinya secara terperinci.
Sesuatu Akta yang hendak dikuatkuasakan hendaklah diterangkan dan dimaklumkan kepada rakyat. Jangan menyalahkan rakyat sekiranya mereka melanggar sesuatu undang-undang kerana mereka tidak mengetahui sedangkan Kerajaan tidak pernah menerangkan dan memberi maklumat kepada rakyat.
Kami juga menyatakan kekesalan dengan ketidak-cekapan Kerajaan dan agensi Kerajaan menjalankan tugas. Jemaah Menteri membuat keputusan menangguhkan senarai hitam pada 18/3/2011. Keputusannya dimaklumkan pada 23/3/2011 di Dewan Rakyat tetapi JPJ hanya membenarkan transaksi (penangguhan senarai hitam) bermula 1/4/2011.
Kenapa perlu mengambil masa begitu lama sehinga berhari-hari untuk melaksanakan keputusan Jemaah Menteri? Adakah Kerajaan sedar kesusahan dan kesulitan rakyat yang masih tidak dapat memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan dari 18/3/2011 sehingga 1/4/2011?
Bagaimana dengan rakyat yang terpaksa membayar kompaun Notis Pol 170A untuk memperbaharui cukai jalan dalam termpoh 18/3/2011 sehingga 1/4/2011 sedangkan dalam tempoh tersebut Kerajaan sudah membuat keputusan menangguhkan senarai hitam? Adakah Kerajaan sedar perkara ini?
AKHIRNYA kami ingin mendesak Kerajaan agar terus menarikbalik tindakan senarai hitam bukan hanya menangguhkan sahaja. Penangguhan tidak bermakna apa-apa kerana pada bila-bila masa sahaja boleh dilaksanakan semula. Cukuplah duit rakyat dikutip selama ini sehingga 1/4/2011 yang lepas.
Kepada rakyat Malaysia khasnya, lihatlah bagaimana Kerajaan mempermainkan hak anda. Sekian.
--------------------------------------------------------------------
DATO’ HAJI MAHFUZ HAJI OMAR adalah Naib Presiden PAS Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE)