16 April 2013

Ibrahim Ali: Kenapa Zul dapat tapi saya tidak

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Presiden kumpulan pendesak Melayu PERKASA Datuk Ibrahim Ali kecewa kerana tidak diberikan laluan oleh untuk bertanding atas tiket BN bagi mempertahankan Parlimen Pasir Mas yang dimenanginya pada 2008.


Justeru, beliau akan tetap mempertahankan kerusi itu sebagai calon bebas dalam pilihan raya umum pada 5 Mei ini, lapor Astro Awani.



Ibrahim berkata, beliau kecewa kerana kerana tidak diberikan alasan sedangkan naib presiden PERKASA Zulkifli Noordin dicalonkan oleh BN di Parlimen Shah Alam.



"Saya tidak disenaraikan maknanya saya tidak diberi peluang, sebab-sebabnya saya tak tahu. Mungkin rupa paras saya tak cantik atau sebagainya. 



"Tapi saya ingin nyatakan di sini walaupun saya bertanding di Pasir Mas bukan bererti saya menentang BN. Saya kira hal Pasir Mas ini kes terpencil," beliau dipetik sebagai berkata kepada portal berita itu.



Ibrahim dilaporkan berkata demikian kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dan disambut oleh kira-kira 300 penyokongnya.



Tak dendam pada BN



Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan Zulkifli sebagai "calon rakan BN" untuk bertanding melawan penyandang kerusi itu dari PAS Khalid Samad.



Bagaimanapun, di Pasir PAS, Ibrahim yang disebut-sebut bertanding atas tiket BN tidak mendapat peluang itu apabila ia diberikan kepada BN sebaliknya meletakkan Timbalan Ketua Bahagian Umno kawasan itu Che Johan Che Pa.



Sementara itu, Ibrahim menjelaskan, beliau tidak berdendam dengan BN atau Umno apabila memutuskan mahu bertanding sebagai calon bebas.



Beliau malah menasihati semua anggota PERKASA supaya menyokong calon yang dikemukakan oleh BN di kerusi-kerusi lain.



Katanya, keputusan beliau itu dibuat atas permintaan penduduk Pasir Mas dan masih ada banyak agenda yang mahu diperjuangkannya, khususnya yang menyentuh hal ehwal orang Melayu dan agama Islam.



Dalam masa yang sama, Ibrahim berterima kasih kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak kerana memilih Zulkifli bertanding menggunakan tiket BN.

Malaysiakini/-

BN Johor bergolak, jentera dinasihat fokus

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: PAS tidak memandang rendah calon yang dikemukakan BN di Johor, biarpun percaya akan ada siri-siri bantahan daripada akar umbi, bermula di parlimen Gelang Patah, semalam.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata barisan calon BN itu perlu dihadapi secara serius oleh calon Pakatan Rakyat dengan menumpukan seluruh gerak kerja semaksima mungkin.

"Walaupun tidak banyak perubahan di kalangan calon BN untuk memanaskan politik Johor, ia tetap menjadikan negeri itu sebagai salah satu negeri yang keputusannya nanti mendebarkan selepas 5 Mei," tegas Salahuddin kepada Harakahdaily, hari ini.

Apa yang penting, kata Salahuddin, kesepaduan Pakatan Rakyat Johor mesti dipertahankan bagi memberi keyakinan kepada rakyat Johor untuk memilih Pakatan Rakyat.

Beliau yang optimis tentang kesepaduan dalam BN yang semakin rapuh di negeri itu, memberi ruang kepada Pakatan Rakyat untuk menawarkan khidmat terbaik kepada pengundi di Johor.

"Saya difahamkan akan ada penolakan dalaman daripada kalangan calon Umno yang tidak terpilih untuk PRU13 ini. Namun, saya nasihatkan jentera parti agar teruskan kerja keras, fokus dengan strategi yang disusun untuk mencapai matlamat Pakatan Rakyat," tegas beliau.

Mengulas lanjut lawannya di parlimen Pulai dan Dun Nusajaya, Salahuddin mengharapkan satu pertandingan secara 'gentleman' dan demokratik.

Katanya, persaingannya antara Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Dr. Zaini Abu Bakar diharap berlandaskan politik ilmu yang mencerminkan demokrasi sebenar dalam pilihan raya negara.

Selain menyeru jentera Pakatan Rakyat agar berkempen secara berhemah, Salahuddin juga mengajak BN agar meninggalkan dan menjauhi politik kotor dan samseng sepanjang kempen PRU13 ini.

Salahuddin, yang sebelum ini bertanding di parlimen Kubang Kerian, Kelantan bertindak menukar kerusi ke negeri Johor dalam usaha mengasak BN Johor pada PRU13 ini.

Salahuddin akan menentang Nur Jazlan di parlimen Pulai, manakala menentang Dr. Zaini di Dun Nusajaya.

Harakahdaily/-

Team Mahathir tewas di tangan Rosmah?

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Datuk Ibrahim Ali out. Khairy Jamaluddin in. Mukhriz Mahathir hilang kerusi parlimen dan bertanding di kerusi tidak selamat. Apakah semua petanda ini?

Setelah memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau akan ditolak sebagai Presiden Umno sekiranya gagal membawa BN ke keputusan yang lebih baik daripada Tun Abdullah Badawi di 2008, orang-orang yang disukai dan dibenci Mahathir mengalami nasib yang berlawanan dari yang dihasratkan.

Pertama, Ibrahim Ali, presiden Perkasa yang dirayu Mahathir secara terbuka minggu lepas untuk diberikan laluan bertanding di Pasir Mas terkeluar dari senarai calon BN.

“Saya berharap BN akan memberikan satu tempat kepada Ibrahim Ali. Jika beliau menjadi calon, saya akan pergi ke Pasir Mas untuk berkempen. Kita perlukan lebih ramai individu seperti Ibrahim Ali. Malaysia akan selamat,” kata Mahathir minggu lepas.

Kecewa dengan keputusan BN, Ibrahim hari ini mengumumkan akan bertanding atas tiket bebas di Pasir Mas. 

Ibrahim bakal bertembung dengan calon BN Che Johan Che Pa dan calon PAS yang bakal diumumkan malam esok.

Ibrahim sebelum ini memenangi kerusi Pasir Mas pada 2008 atas tiket PAS.

Ramai melihat jasa Ibrahim dalam membantu Umno selama empat tahun ini tidak dikenang kerana naib presiden Perkasa Zulkifli Nordin boleh dicalonkan di parlimen Shah Alam melawan Khalid Samad dari PAS.

Kemasukan Khairy Jamaluddin dalam senarai calon BN juga bakal memberi tamparan kepada Mahathir. Ini kerana, kebencian Mahathir pada Khairy sudah diketahui umum.

Khairy dicalonkan di kerusi parlimen Rembau oleh Najib.

Bukan itu sahaja, anak Mahathir Mukhriz kehilangan kerusi parlimen Jerlun dan hanya akan bertanding di kerusi DUN Ayer Hitam, Kedah yang menjadi kubu PAS selama ini di Jerlun.

Dalam PRU12, calon PAS Abdul Ghani Ahmad menewaskan calon BN Datuk Osman Aziz dengan majoriti 506 undi, satu angka yang besar di Kedah.

Jika Najib ikhlas membuka laluan Mukhriz menjadi BN, mengapa tidak membiarkan Mukhriz bertanding di Kota Seputih?

Sedangkan semua orang Umno tahu ADUN Kota Seputih Datuk Abu Hassan Sharif bermasalah dan hampir berjaya dipecat sebagai ADUN kerana tidak menghadiri sidang DUN Kedah?

Mahathir, yang kian dilihat sebagai jeneral perang BN kali ini, sudah tentu dapat membaca ini sebagai langkah Najib untuk mencantas pengaruh Mahathir di dalam Umno, dan khasnya di Kedah.

Kalau Mahathir tidak pernah berkata Najib bakal dibuang sebagai presiden Umno jika BN gagal mencapai keputusan cemerlang, sudah tentu Najib tidak akan mengambil langkah sedemikian untuk mengurangkan pengaruhnya.

Jawatan Presiden Umno adalah lebih penting buat Najib, akhirnya. Akhirnya juga, pengaruh isteri lebih besar dari pengaruh mentor.

Harakahdaily/-

Isa Samad lawan Aishah di Jempol

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Isa Samad dan Aishah

Isa Samad dan Aishah
SEREMBAN – Spekulasi sebelum ini yang mengatakan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad akan kembali bertanding kerusi Parlimen Jempol akhirnya menjadi kenyataan, semalam.

Mohd Isa yang menyandang kerusi Dun Bagan Pinang, disahkan bertanding bagi kerusi Parlimen Jempol pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini selepas diumumkan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan di sini, semalam.

Keputusan itu bukan saja menyaksikan Mohd Isa kembali semula ke kerusi sama yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum 2004, malah lebih menarik, beliau akan bertemu dengan penyanyi popular era 90an, Wan Aishah Wan Ariffin, atau Aishah yang bertanding di bawah tiket Pas.

Mohd Isa berkata, pertukaran kerusi beliau daripada Dun Bagan Pinang ke Parlimen Jempol bukanlah sesuatu yang pelik kerana sebelum ini pun beliau amat rapat dengan masyarakat peneroka di kawasan tersebut.

Menurutnya, dengan tersenarai semula namanya di Parlimen Jempol, memudahkan beliau memberi nafas baru kepada seluruh masyarakat sekitar kawasan itu, terutama peneroka Felda.

“Walaupun saya tidak pasti apa faktor utama kenapa saya dipilih untuk ke Jempol, namun saya yakin pucuk pimpinan lebih mengetahuinya.

"Bagaimanapun, memandangkan Jempol ini terdiri daripada ramai ahli peneroka Felda, tidak mustahil untuk saya mendapat sokongan daripada mereka. Saya yakin seluruh masyarakat Jempol akan memilih Barisan Nasional (BN), sekaligus menyokong saya pada PRU13 ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman dan Penyampaian Watikah di Kediaman Menteri Besar, di sini, hari ini.

Mohd Isa berkata, beliau juga yakin akan dapat membantu merampas kembali Dun Bahau dari pembangkang, sekaligus mengekalkan kerusi di empat Dun bawah Parlimen Jempol seperti Palong, Serting, Jeram Padang dan Bahau.

Pada PRU12 lalu, kerusi Parlimen Jempol dimenangi Datuk Lilah Yassin selepas mengalahkan calon Pas, Siti Meriam Naam (Pas) dengan majoriti besar 12,320 undi.

Sinar/-

Zul Nordin: BN tidak hormati agama Hindu

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


PULAU PINANG: Pengumuman Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk seri Najib Tun Razak bahawa Pemimpin Perkasa Zulkifli Nordin sebagai calon Barisan Nasional bagi Parlimen Shah Alam membuktikan bahawa BN tidak menghormati perasaan masyarakat India beragama Hindu di Malaysia.

Pemilihan ini juga buktikan laungan 1Malaysia oleh pemimpin BN, khususnya oleh Datuk Seri Najib itu sendiri adalah retorik politik yang bertujuan memperbodohkan rakyat.

Demikian kata Satees Muniandy (gambar), Penolong Setiausaha DAPSY Pulau Pinang dalam satu kenyataannya hari ini.

Baru-baru ini, satu klip video telah tersebar di laman-laman media social, yang memaparkan Zulkifli Nordin menghina Tuhan dan kepercayaan orang-orang Hindu di Malaysia. 

Walaupun, Zulkifli kemudianya telah memohon maaf dan memberitahu bahawa ucapanya itu dibuat 10 tahun dahulu, semasa beliau menanggotai PAS, saya telahpun membongkarkan bahawa Zulkifli Nordin tidak ikhlas dalam permohonan maafnya dan telah menipu.

Ini kerana kerana Dewa Murugan yang dibina di luar Batu Caves yang disebut dalam ucapan Zulkifli Nordin hanya siap dibina pada tahun 2006, iaitu 7 tahun lalu dan bukannya 10 tahun.

Beberapa laporan polis telah dibuat ke atas Zulkifli Nordin namun tiada tindakan telah diambil terhadapnya. 

Masyarakat Hindu di Malaysia, amat tidak berpuas hati dengan pihak berkuasa yang enggan mengambil tindakan terhadap Zulkifli Nordin itu. 

Walaubagaimanapun akhirnya UMNO-Barisan Nasional telah menunjukkan wajah ekstrim sebenarnya dengan mencalonkan ekstremis ini di Parlimen Shah Alam. 

Pencalonan Zulkifli Nordin membuktikan Laungan 1Malaysia oleh Najib dan para pemimpin BN adalah retorik kosong untuk mengaburkan mata rakyat sahaja.

DAPSY Pulau Pinang mengecam tindakan Barisan Nasional yang melindungi ekstremis bernama Zulkifli Nordin ini dan menawarkanya untuk bertanding sebagai calon Barisan Nasional di PRU13 ini. 

"Saya juga tertanya-tanya apakah tindakan selanjut MIC dan parti-parti India seperti Makkal Sakthi & IPF yang menyokong BN dan kononya memperjuangkan hak orang-orang India di Malaysia? 

"Adakah mereka akan berkempen menyokong Zulkifli Nordin sebagai calon BN secara terbuka atau secara senyap?" tanya beliau.

Yang nyata, katanya, masyarakat India akan menolak Barisan Nasional pada PRU 13 5hb Mei ini, kerana bukan sahaja Barisan Nasional sering menghina masyarakat Hindu, malah masih tidak sedar kesilapan mereka. 

DAPSY Pulau Pinang, katanya, akan membawa isu ini kepada rakyat jelata dan akan pastikan BN ditumbangkan di Putrajaya.

Harakahdaily/-

Pencalonan Zul Noordin, Fathul Bari dikecam

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Kecaman tersebut timbul ekoran pendirian mereka yang bersifat assabiyah dan perkauman.
PETALING JAYA: Sebuah badan hak asasi manusia, Pergerakan As Sajjad hari ini mengecam pencalonan dua ahli Umno, Zulkifli Noordin  dan Fathul Bari Mat Jahaya, pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) 5 Mei ini.

Zulkifli diumumkan sebagai calon di kerusi Parlimen Shah Alam manakala Fathul Bari, pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama  Muda Umno (Ilmu), diumumkan sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang,  Perlis.
Pencalonan Zulkifli, yang juga adalah Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) untuk P 108 Parlimen Shah Alam  gagal menjelmakan semangat dan pendekatan holistik dan terkehadapan Barisan Nasional dalam isu-isu perhubungan kaum atau etnik,”  kata kumpulan itu dalam satu kenyataan media.
Kritikan terhadap Zulkifli timbul ekoran kemunculan rakaman video Youtube yang menunjukkan Zulkifli menghina konsep ketuhanan  dalam agama Hindu.
Pergerakan As Sajjad juga kecewa dengan pencalonan Fathul Bari ekoran kenyataan Fathul yang bersifat anti-Syiah.
“Beliau telah melakukan pemomokan dan fitnah yang serius terhadap minoriti Syiah di negara ini.
“Kami berpendapat pencalonan Fathul Bari adalah bertentangan dengan semangat Deklarasi Islamabad 2007 yang menggariskan bahawa  tiada umat Islam dibenarkan membunuh atau membahayakan umat Islam lain, samada Syiah atau Sunni,” kata kumpulan tersebut.
As Sajjad turut mengkritik penyertaan anggota kumpulan Ikatan Muslim Malaysia (Isma) yang bertanding di lapan kerusi parlimen atas  tiket Barisan Jemaaah Islamiyah Semalaysia (Berjasa) kerana mereka bersifat perkauman.
Manifesto calon Berjasa menyatakan bahawa mereka bertanding untuk “menebus kembali hak dan kuasa politik Melayu-Islam di Parlimen  dan Dewan Undangan-Dewan Undangan Negeri-Negeri tertentu.”
FMT/-

PAS kutuk serangan bom di Marathon Boston

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


(Peserta dan orang ramai lari dari tiga letupan bom di Boston)

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengutuk keras serangan ke atas perlumbaan Marathon Boston.

“Serangan ini tidak bertamadun. PAS mengutuk kejadian tidak berperikemanusiaan ini sekeras-kerasnya,” kata Tuan Ibrahim kepada Harakahdaily.

Dua bom meletup berhampiran garisan penamat sesak Marathon Boston pada hari Isnin telah membunuh tiga orang dan mencederakan 125 yang lain. 

Situasi di tempat kejadian sungguh ngeri dengan serpihan kaca yang pecah, asap dan anggota badan yang terputus, kata pihak berkuasa.

Stesen CBS Bostan WBZ-TV melaporkan satu daripada mangsa terkorban ialah seorang kanak-kanak berumur 8 tahun.

Polis dilaporkan telah meletupkan satu lagi bahan letupan dengan meriam air. Malam Isnin, seorang sumber penguatkuasa undang-undang memberitahu wartawan CBS News Bob Orr bahawa laporan awal adalah tidak tepat kerana pihak berkuasa menjumpai satu peranti yang hidup dan masih belum diletupkan. 

Orr telah melaporkan bahawa pihak berkuasa tidak memperolehi peranti berkenaan.

Wartawan senior CBS News John Miller melaporkan bahawa seorang rakyat Arab Saudi sedang disoalsiasat oleh pihak penguasa. 

Beliau dilaporkan sedang beraksi dalam keadaan mencurigakan melarikan diri daripada letupan, dan seorang awam telah berjaya menahannya. 

Beliau telah diserahkan kepada pihak polis Boston dan sedang disoalsiasat oleh FBI. Beliau bagaimanapun dilaporkan memberikan kerjasama yang baik dan menafikan penglibatan beliau.

"Ini mungkin boleh membantu atau tidak. Tapi terlalu awal untuk memanggilnya sebagai suspek,” kata Miller.

Miller juga melaporkan pihak penguasa sedang mengkaji rakaman pengawasan yang menunjukkan seorang lelaki dari belakang membawa dua beg galas berhampiran tapak letupan. 

Pihak berkuasa tidak pasti sama ada perkara itu di dalam video tersebut berkait dengan letupan.

Polis Boston juga berkata tiada suspek yang ditahan setakat ini.

Sehingga kini, tiada berita mengenai motif dan siapa di belakang serangan tersebut, dan pihak berkuasa di Washington berkata tiada siapa lagi yang dipersalahkan.

Seorang pegawai FBI memberitahu CBS News bahawa pasukan mereka akan meninjau sepanjang trak maraton untuk mencari samada ada peranti atau bukti penemuan yang baru.

Letupan bom berkembar semasa marathon sedang berlangsung berlaku serentak dipisahkan dengan jarak 100 meter, menyebabkan ramai kehilangan anggota badan, mengejutkan para hadirin.

Demi Clark, seorang peserta dari North Carolina berkata beliau sedang melintas garisan penamat semasa letupan berlaku, memberitahu CDSNews.com bahawa “darah berlempiran dalam sekelip mata.”

“Tiada siapa yang tahu apa yang perlu dibuat – selepas bom kedua, kita beranggapan bandar ini sedang diserang,” kata Clark.

Di kem perubatan pula khas untuk peserta maraton yang keletihan, para hadirin yang bergelumur dengan darah dibawa masuk, ramai antaranya kehilangan anggota badan.

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berkata AS akan mencari ke lubang cacing siapa yang membuat serangan ini dan kenapa.

“Kita akan pastikan mereka bertanggungjawab,” kata Obama.

Harakahdaily/-

Calon BN N9: 21 muka baru, Rais digugurkan

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


SEREMBAN - Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilanmenampilkan 21 muka baru sebagai calon yang akan bertanding di lapan kerusi Parlimen dan 36 Dewan Undangan Negeri (Dun) negeri ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
 
Pada majlis pengumuman senarai calon BN di sini hari ini, Pengerusi BN negeri Datuk Seri Moham ad Hasan mengumumkan Naib Ketua Umno Bahagian Jelebu Zainuddin Ismail sebagai calon bagi kerusi Parlimen Jelebu.

Pengumuman itu sekali gus mengesahkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim tidak disenaraikan sebagai calon.
 
Bekas Menteri Besar dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dicalonkan semula untuk bertanding di kerusi Parlimen Jempol, sementara Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau.
 
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar Datuk Hasan Malek kekal bertanding di kerusi masing-masing iaitu di Parlimen Tampin dan Kuala Pilah.
 
Bagi kerusi Parlimen Teluk Kemang pula, Ketua Penerangan MIC Datuk V S Mogan diumumkan sebagai calon, sementara kerusi Parlimen Seremban dan Rasah akan diwakili muka baharu Teo Eng Kian (Timbalan Setiausaha Organisasi MCA Negeri) dan pengerusi MCA negeri Datuk Yeow Chai Thiam.
 
Bagi kerusi Dun pula, Mohamad yang juga Menteri Besar akan mempertahankan Dun Rantau, sementara veteran Umno yang juga Ketua Umno Bahagian Seremban Datuk Ishak Ismail dicalonkan bertanding di kerusi Dun Lenggeng.
 
Sementara penyandang kerusi Parlimen Jempol Datuk Lilah Yasin dicalonkan bertanding di kerusi Dun Palong. 
 
Terdahulu dalam ucapannya sebelum mengumumkan perkara itu, Mohamad berkata, senarai calon kali ini merupakan gandingan antara pemimpin lama dan baharu mewakili setiap lapisan masyarakat yang diharap mampu menjulang BN pada PRU ini.
 
Katanya, nama-nama yang diumumkan telah disaring dan dinilai pucuk pimpinan atasan dan mereka yang digugurkan atau tidak dicalonkan perlu menerima dengan hati terbuka dan perlu bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan.
 
"Janganlah merasa terkilan atau sebagainya sebaliknya kita mesti pastikan BN menang pada PRU ini bukan hanya menang majoriti mudah tapi dengan majoriti dua pertiga," katanya.

Sinar/-

Mohon sistem pembesar suara

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Mohon sistem pembesar suara
Menara masjid Felda Jengka 12 yang siap tiga minggu lalu dibina menggunakan dana daripada sumbangan orang ramai.
JENGKA12 - Menggunakan peruntukan sebanyak RM80,000 hasil kutipan dan derma orang ramai, sebuah menara masjid di tanah rancangan ini akhirnya siap dibina tiga minggu lalu.

Bagaimanapun, ia masih mengalami kekurangan dari segi kemudahan sistem pembesar suara.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Kamaruddin Mohd Salleh berkata, pihaknya berharap pihak Felda dapat membantu menyediakan kemudahan itu.

"Menara masjid ini dibina hasil derma orang ramai, jadi kalau boleh kita minta pihak Felda pula salurkan peruntukan untuk memasang sistem pembesar suara yang lebih canggih sesuai dengan menara baru ini," katanya kepada Sinar Harian.

Kamaruddin dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menyumbang untuk pembinaan menara masjid berkenaan.

Katanya, hasil derma penduduk, pihaknya berjaya memperoleh kutipan kira-kira RM80,000, termasuk derma yang diberikan orang luar dan jemaah yang datang ke masjid itu sebanyak RM40,000.

"Kami tidak melantik mana-mana kontraktor, sebaliknya diserahkan kepada jemaah masjid ini sendiri untuk membina menara itu dan mereka dibayar upah.

“Pelan menara dibina berdasarkan contoh reka bentuk daripada menara masjid sekitar Maran,” katanya.

sinar/-

Selepas sabotaj parti, dipilih jadi calon

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Jika mana-mana pemimpin Umno yang berminat untuk menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang, sabotajlah calon BN dalam pilihan raya ini.

Ini terbukti dengan apa yang berlaku di Rantau Panjang, Kelantan.

Dua individu yang pernah digantung keahlian selama tiga tahun oleh Umno kerana mensabotaj parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) lalu, kini dipilih Datuk Seri Najib Razak menjadi calon untuk PRU13 kali ini.

Kedua-dua mereka adalah bekas Ketua Umno Rantau Panjang, Datuk Mohd Zain Ismail (gambar kiri) bersama bekas Bendahari, Ghazali Ismail (gambar kanan).

Nama mereka diumumkan Pengerusi Umno Kelantan, Mustapa Mohamed dalam majlis pengumuman calon BN Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Mohd Zain akan bertanding bagi Dun Bukit Tuku yang pernah diwakilinya sebelum ini manakala Ghazali buat kali pertama akan bertanding di parlimen Rantau Panjang.

Bagi Parlimen Rantau Panjang, Ghazali dijangka akan berdepan penyandangnya Siti Zailah Mohamad Yusof manakala Dun Bukit Tuku, Mohd Zain dijangka berdepan Rasul Mohamad.

Pada 2008, kedua-dua inidividu ini pernah diambil tindakan oleh Lembaga Disiplin Umno atas kesalahan melakukan sabotaj terhadap parti pada PRU12 lalu.

Pemilihan kedua-dua individu tersebut sekaligus menepikan ketua bahagian itu, Abdullah Mat Yassin (gambar kiri) yang sebelum ini juga disebut-sebut bertanding di parlimen itu.

Keputusan terbaru itu juga dijangka menguatkan lagi pergeseran antara kem yang diketuai Mohd Zain dengan kem yang diketuai Abdullah yang sejak sekian lama tidak pernah selesai.

Pergeseran kedua-dua kem ini sudah menjadi rahsia umum bagi masyarakat di Rantau Panjang ini.

Tindakan pulau-memulau, cantas mencantas sering berlaku antara kedua-dua kem ini.

Mac lalu, Harakahdaily menyiarkan satu laporan seramai 67 ahli dan penyokong Umno di Rantau Panjang mengisytiharkan keluar parti dan menyertai PAS dalam satu majlis di Taman Nering Jaya.

Kumpulan tersebut diketuai Mohd Rasepi Mat Zain, 35, menyerah borang menyertai PAS kepada anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Difahamkan tindakan mereka keluar Umno dan menyertai PAS itu kerana sudah muak dengan pergeseran kedua-dua kem itu yang lebih mementingkan kuasa politik kumpulan masing-masing sehingga nasib rakyat di sini terabai.

harakahdaily/-

Pesta Songkran ragut 218 nyawa

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Pesta Songkran
Pesta Songkran disambut orang ramai dan pelancong di sekitar jalan-jalan utama di Thailand.
BANGKOK - Seramai 45 orang terbunuh dan 494 cedera dalam 451 kemalangan sepanjang sambutan pesta Songkran yang disambut di seluruh Thailand.

Jurucakap Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi melaporkan, pesta yang disambut mulai 11 hingga 17 April itu adalah tujuh hari paling merbahaya dalam kalendar negara tersebut.

“Pada empat hari pertama terdapat 1,897 kemalangan jalan raya menyebabkan 218 kematian dan 2,020 orang cedera,” katanya pada laporan Reuters.

Menurutnya, jumlah kematian meningkat lapan kali ganda pada tahun lalu dengan wilayah Nakhon Si Thammarat mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan 71 mangsa.

“Bandar Prachuap Khiri Khan dan Kanchanaburi pula mencatat masing-masing dengan 11 kes kematian. Punca utama kemalangan disebabkan pemandu mabuk dan memandu secara melulu. Motosikal dan trak pikap antara penyumbang terbesar dalam kemalangan ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan kerajaan untuk mengkhususkan satu lokasi khas bagi menyambut pesta itu dan bukannya dilakukan jalan raya seperti diamalkan sekarang.

Pesta Songkran merupakan pesta air disambut seluruh masyarakat Thailand bagi meraikan sambutan Tahun Baru dalam kalendar tradisional mereka.

sinar/-

Gempar: Disiplin mengundi cara 'baru' mula disebarkan

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



Panduan ini khusus di garapkan sebagai pedoman buat makcik-pakcik di hujung kampung, maksu-paksu di felda-felda serta maklang-paklang di tengah bendang.
Inlah cara-cara mengundi dengan betul pada PRU ke-13 nanti. Panduan ini hendaklah diikuti dengan penuh disiplin sekiranya anda semua berhajat untuk menyelamatkan hak-hak Rakyat Malaysia tanpa mengira warna kulit dan latar belakang.
Jangan sampai tersalah pilih...

Jutawan Saudi sokong wanita memandu

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Jutawan Saudi sokong wanita memandu
PUTERA ALWALEED
RIYADH - Jutawan Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal, kelmarin menyatakan sokongan membenarkan golongan wanita di negara itu memandu kereta seperti yang dipaparkan menerusi akaun Twitter beliau.

Menurutnya, kebenaran tersebut dapat membantu kempen kerajaan mengurangkan jumlah pekerja asing.

"Jika larangan itu ditarik balik, kita sebenarnya dapat membuka lebih 50,000 peluang pekerjaan selain memberi faedah kepada sektor sosial dan ekonomi," katanya lagi.

Ribuan pekerja asing dipecat dan dihantar pulang ke negara masing-masing di bawah kempen untuk membendung kemasukan pendatang haram di Arab Saudi.

Minggu lalu, Raja Abdullah turut memberi tempoh tiga bulan kepada golongan itu untuk mengesahkan taraf mereka selepas kini terdapat lebih lapan juta pekerja asing bekerja di negara tersebut. - AP

Jika BN menang, harga minyak naik, GST dan AES dikuatkuasa

minyak25 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 16 APRIL: Harga minyak akan naik, manakala Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bakal dikuatkuasa jika Umno BN kembali mentadbir negara.

Penyandang Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, kenaikan harga minyak adalah rutin yang dilaksana BN selepas menang pilihan raya.

“Harga minyak akan naik secepat mungkin untuk tampung semula perbelanjaan kempen pilihanraya Barisan Nasional.

“Mereka perlu dapatkan semula sekurang-kurangnya RM12 bilion. Fakta setiap kali pilihan raya, harga minyak akan segera naik dengan pelbagai alasan,” katanya

Selepas pilihan raya Mac 2008, harga diesel dan petrol naik mendadak sekitar 78 sen (Petrol (RON92)) dan RM1 (Diesel) kononnya kerana peningkatan harga dunia. Ia turun semula sekitar 20 sen pada Ogos tahun yang sama.

Namun bermula September 2009 harga RON 95 terus meningkat tiga kali sehingga harga terakhir dicatatkan RM1.90 pada 2013 berbanding RM1.05 sebelum pilihan raya 2008.

Azan berkata, kenyataan Datuk Seri Najib Razak bahawa manifesto Pakatan akan menjejaskan kewangan Petronas jelas menunjukkan mereka mahu menaikkan lagi harga minyak.
AES_cameraKatanya lagi, Umno BN juga sebelum ini menyatakan tidak akan membatalkan GST dan AES, sebaliknya hanya akan menagguhkan pelaksanaannya.

“Mereka tangguhkan sebanyak mungkin perkara yang boleh buat rakyat marah dan jatuhkan mereka. Lepas pilihan raya, kalau mereka menang, mereka akan automatik teruskan,” ujarnya.

Beliau berkata, jika BN kembali memerintah, lebih banyak manifesto mereka yang tidak dilaksana seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia yang kononnya dinaikkan sebanyak RM1,200.

“Dalam Belanjawan 2013, peruntukan untuk BR1M adalah RM1,200. Sebelum ini sudah diberi RM500 sebanyak 2 kali. Jika BN menang, mereka hanya akan beri baki RM200,” katanya.

keadilandaily/-

Papa Gomo jawab isu saman, dakwa Rafizi 'gay'

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


rafizi ramli
Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli
SHAH ALAM - Seolah-olah tidak terkesan dengan pengumuman Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli pagi semalam untuk menyaman pengendali blog penuh kontroversi, Papa Gomo terus mencabar Rafizi.

Papa Gomo yang dipetik dari laman blognya mengemukakan cabaran kepada Rafizi menyaman Papa Gomo atas isu gay pula.
Melalui entri dari blog tersebut, Papa Gomo mendakwa, Rafizi adalah 'gay' dan kaitkan dengan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

"Jadi, Rafizi Ramli sila saman saya kerana saya gelar kamu pengamal biseksual," katanya.

Pada sidang media pagi semalam, Rafizi memberitahu akan menyaman Papa Gomo kerana memfitnah beliau dipecat dari Petronas.

Menurut Rafizi, beliau telah mengarahkan peguamnya, Razlan Jalaluddin untuk mengengemukakan surat tuntutan terhadap Papa Gomo secepat mungkin untuk memulakan proses undang-undang.

"Saya percaya Papa Gomo akan mencari pelbagai alasan untuk tidak menerima surat tuntutan tersebut termasuk menafikan Wan Muhanad Azri Wan Deris sebagai Papa Gomo.

"Malah tindakan mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh juga adalah helah beliau untuk meletakkan orang lain yang akan mengaku sebagi dirinya bagi mengelak tindakan saman ini," katanya.

Sementara itu, berhubung saman yang dikemukakan Rafizi, Papa Gomo mendakwa Rafizi hanya mengangkat bakulnya ketika menjawab isu mengenai pemecatan di Petronas.

Sedangkan tambah Papa Gomo, Rafizi tidak mampu menjawab dua lagi isu yang dibangkitkan.

"Ini menunjukkan Rafizi yang mendapat biasiswa kerajaan persekutuan untuk belajar dan bekerja juga dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerajaan persekutuan, dengan kelulusan Lower Second Class (jika di Universiti Malaya, hanya lebih kurang CGPA -+1.99 lebih sedikit sahaja), gagal menjawab isu-isu ekonomi di atas.

"Barangkali Rafizi terpaksa mengadap Anwar lagi bagaimana mahu menjawab isu-isu berbangkit itu.

"Jika bukan dengan 'ehsan' dan 'belas kasihan' Kerajaan Persekutuan, Rafizi sudah pasti merempat mengemis mencari kerja di syarikat-syarikat Cina," dakwanya lagi.

sinar/-

Ibrahim Ali, Hassan Ali & Rais Yatim Tidak Tersenarai Sebagai Calon BN

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Barisan Nasional (BN) akan menamakan pemimpin Umno tempatan sebagai calon parlimen Pasir Mas daripada mengundang kontroversi dengan meletakkan Datuk Ibrahim Ali di bawah bendera mereka pada Pilihan Raya 2013, kata satu sumber.

The Malaysian Insider difahamkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed mahu mengelakkan daripada dikaitkan dengan presiden kumpulan Melayu berhaluan kanan itu.

“Ibrahim Ali tiada dalam senarai,” kata sumber yang mengesahkan senarai calon Kelantan telah diserahkan kepada Mustapa yang akan mengumumkannya hari ini.

“Najib dan To Pa komited untuk membawa muka baru yang lebih berpandangan holistik dan maju dalam hubungan kaum,” kata satu lagi sumber dan menambah ini menyebabkan Ibrahim tidak dipilih sebagai calon BN.

Perdana menteri paling lama berkhidmat Tun Dr Mahathir Mohamad telah melobi agar Ibrahim dimasukkan dalam senarai calon BN dengan mengatakan presiden Perkasa itu adalah penyelamat negara.

Dr Mahathir juga merupakan penaung kepada Perkasa yang memperjuangkan hak Melayu yang sudahpun dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Ibrahim bertanding di atas tiket PAS dalam Pilihan Raya 2008 dan menang kerusi Pasir Mas. Beliau kemudiannya mengumumkan dirinya sebagai calon bebas dan dilihat rapat dengan Umno dan BN.

Beliau menubuhkan Perkasa untuk memperjuangkan hak Melayu selepas pilihan raya bersejarah yang menyaksikan BN kehilangan majoriti tradisi dua pertiga di parlimen dan beberapa buah negeri. Perkasa mempunyai lebih kurang 200,000 orang ahli yang majoritinya merupakan ahli Umno. -TMI

Ulasan GB

Selain Ibrahim Ali, nama Hassan Ali, Rais Yatim tidak kelihatan di dalam mana-mana senarai calon BN yang bertanding di dalam PRU13 nanti.

UMNO sedar risiko besar untuk meletakkan mereka sebagai calon UMNO BN kerana terutama kedua-dua anak Pak Ali itu yang terkenal dengan imej "Malay cauvinist"nya.

Anehnya, Naib presiden PERKASA Zulkifli Noordin dipilih sebagai calon BN di Shah Alam menentang penyandangnya Khalid Samad.

Mungkin sudah berpusing-pusing cari calon, takda lain yang lebih layak selainnya.

Ramai pemerhati berpendapat tindakan Najib menghantar Zulkifli di Shah Alam adalah langkah terdesak UMNO untuk memenangi hati pengundi Melayu yang membentuk pengundi majoriti di Shah Alam.

Tetapi, ramai yang berpendapat, Shah Alam akan menjadi kubur Zul Kulim ini.

Mengenai Rais Yatim, dikhabarkan kerana kehadirannya menyusahkan Najib dan menteri kabinet lain di dalam hubungan bilateral dengan Indonesia. Setakat mana kebenaran maklumat itu belum dapat dipastikan. Rais kena tanya sendiri dengan Najib.


Bolehkah Perdana Menteri Najib disaman?

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


SEORANG datang bertanya saya apa patut dibuat kepada Perdana Menteri Najib yang menyebabkan kenduri kahwin anaknya tak dapat diadakan kerana ia bertembung dengan PRU13 pada 5 Mei ini?

Sambutan itu dijadualkan pada 4 Mei itu dan pagi esoknya mengundi.

Oleh kerana semua keperluan sudah ditempah, jemputan sudah separuh diedarkan, ada cadangan supaya ia diteruskan walaupun keluarga dari  jauh seperti Perak, Johor  dan Terengganu tidak semua boleh hadir kerana mahu mengundi esoknya. Mereka yang dari jauh itu boleh pulang malam itu atau subuh itu kerana mereka sempat mengundi sebelah petang di tempat masing-masing.

Tetapi dewan orang ramai di bawah kerajaan tempat kenduri itu dibatalkan kerana ia jadi tempat mengundi.  Persiapan mengundi diuruskan dua tiga hari sebelum mengundi.

Tiada kemudahan yang berdekatan sebagai pilihan. Jika ditunda,  dewan itu tidak pula dapat digunakan kerana setiap hari Sabtu dan Ahad sepanjang bulan sudah ditempah orang. Pertengahan bulan Jun baru kosong. Masa itu hampir dua bulan selepas kenduri di rumah pengantin perempuan.

Alternatifnya kena cari tempat lain yang juga belum tentu kosong dan sewanya pula tinggi.

Kenduri itu sepatutnya telah diadakan lama dulu, hujung tahun lalu, tetapi bimbangkan musim pilihanraya lalu ditangguh dua tiga kali. Kalau pilihanraya itu diadakan selepas puasa dulu, maka boleh ia diadakan hujung hari terbuka.

Kalau ia diadakan bulan Disember, bolehlah kenduri diadakan awal tahun.

Tetapi tidak juga piliihanraya diadakan. Akhirnya ditetapkan 4 Mei mengambil kira bahawa Parlimen mesti dibubarkan sebelum 8 Mac,  2013 tempoh matang Parlimen bila  genap lima tahun PRU dulu.

Sekalian keluarga yang jauh  dimaklumkan awal supaya cukup masa untuk mereka datang bersama. Dia mengagak  mestilah pilihanraya itu selesai dalam bulan Mac itu.

Tetapi yang  dinamakan Najib itu tidak pernah agaknya memikirkan kepayahan orang  lain. Memang sejak lebih dua tahun lalu semua orang sudah berteka teki dengan pilihanraya itu. Memang sejak itu orang hendak mengadakan kenduri kawin  anak teragak-agak, hendak umrah dan haji teragak-agak. Yang hendak melancong ke luar negara pun payah membuat keputusan.

Akhirnya orang yang malang itu mengubah jadual kenduri di hari lain dan di tempat lain. Terburu-buru menempah kad jemputan lain. Menghubungi orang yang sudah dapat kad itu tentang perubahan itu. Ia boleh dibuat tetapi leceh.

Apa  salahnya  Najib beritahu masa itu dari awal supaya tidaklah semua orang huru-hara untuk membuat program.

Dia mengharapkan harga barang tidak banyak berubuah dari dia mula menempah makanan dulu.

Jadual cuti kedua pengantin terpaksa dipinda. Demikian juga urusan lain bersangkutan dengannya. Tidakkah semua ini menyebabkan banyak kerja.

Dia minta fikiran saya, ‘Apa patut dibuat?’ Memang dia marah dengan dolak dalik Perdana Menteri itu. Macam mana jadi pemimpin, dalam perkara yang semudah itu dia sudah menyusahkan orang.

Apa yang saya hendak nasihat bagi menenangkan dan menyelesaikan masalahnya?

Saya nasihatkan cuba saman Perdana Menteri, tuntutan ganti rugi teladan dan segala kepayahan yang dialami semasa menghadapi perkara itu. Mungkin ia tidak banyak tambahan perbelanjaan apabila ditangguh dan perubahan tempat itu.

Tetapi hendak mengajar seorang pemimpin supaya apabila berkuasa, jangan dia menyusah dan menyebabkan rakyat jelata jadi kelam kabut.

Bolehkah dia disaman? Kita minta nasihat peguam. Tanya Hanipa Maidin, bolehkah Najib disaman? Atau patutkah hal sebesar itu disaman Perdana Menteri? Mungkin ia menggelikan tetapi yang penting jangan ada Perdana Menteri lain  dalam dunia buat kerja leceh seperti itu.
Dr. Abdul Aziz Bari  dan Hanipa Maidin cuba beri nasihat, berapa juta boleh dituntut? Kalau dia tidak jadi Perdana Menteri lagi, adakah saman iu boleh diteruskan kepadanya sebagai orang biasa?

Harakahdaily/-