5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bersama kumpulan Revolusi 13 akan memfailkan satu injuksi terhadap Umno dengan menganggap parti itu sebagai pertubuhan haram.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Propaganda SAMM Edy Noor Reduan berkata pihaknya telah melantik pasukan peguam dan permohonan itu akan dikemukakan di Mahkamah Tinggi Jalan Duta hari ini.
"Ini adalah langkah penerusan dalam usaha kami yang dinamakan 'gerakan haramkan Umno;," katanya.
Menurut mereka, fakta sejarah secara jelas menyebut bahawa Umno yang ditubuhkan pada 1946 telah diharamkan pada 4 Febuari 1988 melalui satu keputusan mahkamah tinggi.
Ianya ekoran kes perebutan jawatan presiden parti itu antara Tun Dr.Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah yang menyaksikan jawatan tersebut dimenangi Dr Mahathir.
Menurut SAMM, biarpun Umno baru kemudian ditubuhkan Mahathir, namun pengharaman Umno asal itu telah menyebabkan semua pendaftaran parti itu di peringkat pusat, bahagian dan cawangan terbatal.
"Apabila ia diharamkan, seharusnya semua proses penajaan dan penubuhan harus dibuat semula dari awal, namun ia tidak berlaku, mereka tidak mendaftarkan semula Umno di peringkat tertentu.
"Natijahnya tanpa sedar ribuan cawangan Umno menjadi cawangan haram. Umno menggunakan sistem perwakilan maka cawangan haram menghantar perwakilan ke bahagian secara automatik bahagian menjadi haram. Bahagian menghantar perwakilan ke Perhimpunan Agong Umno secara automatik Umno itu sendiri haram," katanya.
Selain itu katanya, satu lagi fakta yang berlaku pada 2008 melibatkan pergolakan jawatan utama Umno bahagian Tanah Merah.
Ketika itu kata Edy ada yang mahu bertanding jawatan utama tetapi didapati tidak membayar yuran dan terdiri ahli dari cawangan haram.
Maka kes tersebut dibawa ke mahkamah dan perbicaraan membuktikan bahawa 126 cawangan Umno di Tanah Merah ialah cawangan haram yang tidak berdaftar.
"Dari maklumat dalaman tiada cawangan Umno berdaftar di Jeli, Bachok dan Tumpat. Hanya sebilangan kecil cawangan Umno berdaftar di Kota Bharu.
"Carian dari Pejabat Pendaftar Pertubuhan menyatakan lebih separuh daripada 2,181 cawangan Umno di Kelantan adalah haram," katanya.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan