16 April 2013

Selepas sabotaj parti, dipilih jadi calon

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Jika mana-mana pemimpin Umno yang berminat untuk menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang, sabotajlah calon BN dalam pilihan raya ini.

Ini terbukti dengan apa yang berlaku di Rantau Panjang, Kelantan.

Dua individu yang pernah digantung keahlian selama tiga tahun oleh Umno kerana mensabotaj parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) lalu, kini dipilih Datuk Seri Najib Razak menjadi calon untuk PRU13 kali ini.

Kedua-dua mereka adalah bekas Ketua Umno Rantau Panjang, Datuk Mohd Zain Ismail (gambar kiri) bersama bekas Bendahari, Ghazali Ismail (gambar kanan).

Nama mereka diumumkan Pengerusi Umno Kelantan, Mustapa Mohamed dalam majlis pengumuman calon BN Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Mohd Zain akan bertanding bagi Dun Bukit Tuku yang pernah diwakilinya sebelum ini manakala Ghazali buat kali pertama akan bertanding di parlimen Rantau Panjang.

Bagi Parlimen Rantau Panjang, Ghazali dijangka akan berdepan penyandangnya Siti Zailah Mohamad Yusof manakala Dun Bukit Tuku, Mohd Zain dijangka berdepan Rasul Mohamad.

Pada 2008, kedua-dua inidividu ini pernah diambil tindakan oleh Lembaga Disiplin Umno atas kesalahan melakukan sabotaj terhadap parti pada PRU12 lalu.

Pemilihan kedua-dua individu tersebut sekaligus menepikan ketua bahagian itu, Abdullah Mat Yassin (gambar kiri) yang sebelum ini juga disebut-sebut bertanding di parlimen itu.

Keputusan terbaru itu juga dijangka menguatkan lagi pergeseran antara kem yang diketuai Mohd Zain dengan kem yang diketuai Abdullah yang sejak sekian lama tidak pernah selesai.

Pergeseran kedua-dua kem ini sudah menjadi rahsia umum bagi masyarakat di Rantau Panjang ini.

Tindakan pulau-memulau, cantas mencantas sering berlaku antara kedua-dua kem ini.

Mac lalu, Harakahdaily menyiarkan satu laporan seramai 67 ahli dan penyokong Umno di Rantau Panjang mengisytiharkan keluar parti dan menyertai PAS dalam satu majlis di Taman Nering Jaya.

Kumpulan tersebut diketuai Mohd Rasepi Mat Zain, 35, menyerah borang menyertai PAS kepada anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Difahamkan tindakan mereka keluar Umno dan menyertai PAS itu kerana sudah muak dengan pergeseran kedua-dua kem itu yang lebih mementingkan kuasa politik kumpulan masing-masing sehingga nasib rakyat di sini terabai.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: