16 April 2013

Bolehkah Perdana Menteri Najib disaman?

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


SEORANG datang bertanya saya apa patut dibuat kepada Perdana Menteri Najib yang menyebabkan kenduri kahwin anaknya tak dapat diadakan kerana ia bertembung dengan PRU13 pada 5 Mei ini?

Sambutan itu dijadualkan pada 4 Mei itu dan pagi esoknya mengundi.

Oleh kerana semua keperluan sudah ditempah, jemputan sudah separuh diedarkan, ada cadangan supaya ia diteruskan walaupun keluarga dari  jauh seperti Perak, Johor  dan Terengganu tidak semua boleh hadir kerana mahu mengundi esoknya. Mereka yang dari jauh itu boleh pulang malam itu atau subuh itu kerana mereka sempat mengundi sebelah petang di tempat masing-masing.

Tetapi dewan orang ramai di bawah kerajaan tempat kenduri itu dibatalkan kerana ia jadi tempat mengundi.  Persiapan mengundi diuruskan dua tiga hari sebelum mengundi.

Tiada kemudahan yang berdekatan sebagai pilihan. Jika ditunda,  dewan itu tidak pula dapat digunakan kerana setiap hari Sabtu dan Ahad sepanjang bulan sudah ditempah orang. Pertengahan bulan Jun baru kosong. Masa itu hampir dua bulan selepas kenduri di rumah pengantin perempuan.

Alternatifnya kena cari tempat lain yang juga belum tentu kosong dan sewanya pula tinggi.

Kenduri itu sepatutnya telah diadakan lama dulu, hujung tahun lalu, tetapi bimbangkan musim pilihanraya lalu ditangguh dua tiga kali. Kalau pilihanraya itu diadakan selepas puasa dulu, maka boleh ia diadakan hujung hari terbuka.

Kalau ia diadakan bulan Disember, bolehlah kenduri diadakan awal tahun.

Tetapi tidak juga piliihanraya diadakan. Akhirnya ditetapkan 4 Mei mengambil kira bahawa Parlimen mesti dibubarkan sebelum 8 Mac,  2013 tempoh matang Parlimen bila  genap lima tahun PRU dulu.

Sekalian keluarga yang jauh  dimaklumkan awal supaya cukup masa untuk mereka datang bersama. Dia mengagak  mestilah pilihanraya itu selesai dalam bulan Mac itu.

Tetapi yang  dinamakan Najib itu tidak pernah agaknya memikirkan kepayahan orang  lain. Memang sejak lebih dua tahun lalu semua orang sudah berteka teki dengan pilihanraya itu. Memang sejak itu orang hendak mengadakan kenduri kawin  anak teragak-agak, hendak umrah dan haji teragak-agak. Yang hendak melancong ke luar negara pun payah membuat keputusan.

Akhirnya orang yang malang itu mengubah jadual kenduri di hari lain dan di tempat lain. Terburu-buru menempah kad jemputan lain. Menghubungi orang yang sudah dapat kad itu tentang perubahan itu. Ia boleh dibuat tetapi leceh.

Apa  salahnya  Najib beritahu masa itu dari awal supaya tidaklah semua orang huru-hara untuk membuat program.

Dia mengharapkan harga barang tidak banyak berubuah dari dia mula menempah makanan dulu.

Jadual cuti kedua pengantin terpaksa dipinda. Demikian juga urusan lain bersangkutan dengannya. Tidakkah semua ini menyebabkan banyak kerja.

Dia minta fikiran saya, ‘Apa patut dibuat?’ Memang dia marah dengan dolak dalik Perdana Menteri itu. Macam mana jadi pemimpin, dalam perkara yang semudah itu dia sudah menyusahkan orang.

Apa yang saya hendak nasihat bagi menenangkan dan menyelesaikan masalahnya?

Saya nasihatkan cuba saman Perdana Menteri, tuntutan ganti rugi teladan dan segala kepayahan yang dialami semasa menghadapi perkara itu. Mungkin ia tidak banyak tambahan perbelanjaan apabila ditangguh dan perubahan tempat itu.

Tetapi hendak mengajar seorang pemimpin supaya apabila berkuasa, jangan dia menyusah dan menyebabkan rakyat jelata jadi kelam kabut.

Bolehkah dia disaman? Kita minta nasihat peguam. Tanya Hanipa Maidin, bolehkah Najib disaman? Atau patutkah hal sebesar itu disaman Perdana Menteri? Mungkin ia menggelikan tetapi yang penting jangan ada Perdana Menteri lain  dalam dunia buat kerja leceh seperti itu.
Dr. Abdul Aziz Bari  dan Hanipa Maidin cuba beri nasihat, berapa juta boleh dituntut? Kalau dia tidak jadi Perdana Menteri lagi, adakah saman iu boleh diteruskan kepadanya sebagai orang biasa?

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: