16 April 2013

Apabila rakyat memantau pilihan raya

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



SAYA terpanggil untuk memberi pandangan berikutan gesaan pihak Polis Diraja Malaysia supaya tiada individu atau kumpulan mengadakan aktiviti pemantau pilihan raya ketika ini. Suatu hal yang perlu diingat, kerja-kerja pemantauan yang dilakukan oleh kebanyakan gerakan massa hari ini bukanlah mengambil alih tugas agensi-agensi penguatkuasa seperti polis dan SPRM.

Begitu juga apa yang dilakukan oleh aktivis-aktivis anak muda di Kelantan, bahkan seluruh negara hari ini. Ia lahir dari kesedaran betapa pilihan raya yang baik mesti diwujudkan. Ia mestilah dapat dirasai oleh rakyat dengan penyelewengan yang paling minimum jika pun tidak mampu dihapuskan.

Bagi saya selaku aktivis pemantau pilihan raya di Kelantan, kami percaya bahawa sebuah kerajaan yang baik hanya mampu dihasilkan dari pilihan raya yang bebas dari elemen-elemen penipuan, ugutan, penyalahgunaan kuasa, dan pelbagai macam kepincangan.

Kumpulan atau parti politik yang memanipulasikan kelemahan sistem perundangan dengan mengamalkan bermacam penyelewengan untuk menang tentu mengamalkan hal yang sama sebaik memegang kuasa menerajui kerajaan. Justeru, mahu tidak mahu rakyat mesti terlibat langsung dalam memantau, memerhati perjalanan pilihan raya agar keputusan undian kelak benar-benar menggambarkan kehendak majoriti rakyat tanpa penipuan dan tanpa dipengaruhi nilai-nilai yang tidak berpatutan.

Apatah lagi selaku individu muslim, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran itu adalah tanggungjawab yang telah dimaktubkan dalam Al-Quran dan as-Sunnah. Berusaha sedaya mungkin untuk suatu pilihan raya yang bebas dan adil adalah suatu kebaikan dan segala macam penyelewengan adalah kemungkaran yang mesti ditentang.

Aktivis-aktivis pemantau dalam banyak keadaan tidak perlu bertindak semberono. Memadai fahami undang-undang negara dan adukan setiap penyelewengan dan kesalahan yang dilakukan kepada pihak-pihak berkuasa termasuk polis dan SPR. Bahkan itulah yang disaran oleh pihak berkuasa dan yang kami amalkan di Kelantan.

Selain daripada itu, Seksyen 4(4) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, (Akta 597) menegaskan bahawa semua pihak hendaklah diberi perhatian berat kepada Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) selagi pengisytiharan itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna, apa jua hak dan kebebasan yang tidak disebut dalam Bahagian II tetapi ada dirujuk dalam UDHR mesti dipertimbangkan dengan syarat tidak ada percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 21 UDHR telah memberi hak untuk rakyat terlibat secara langsung dalam membentuk kerajaan di negaranya. Penglibatan rakyat tentunya bukan terhad kepada pembuangan undi semata-mata. Ia lebih dari itu.

Aspirasi sebuah kerajaan adalah gambaran kepada aspirasi rakyat. Dengan itu, rakyat berhak memastikan proses pilihan raya berjalan secara adil dan bebas mengikut undang-undang yang sah dan nilai-nilai moral yang sejagat.

Tidak siapa yang boleh lupa bila mana dalam suatu forum PRU13, kuasa dan penglibatan rakyat yang diadakan di Kota Bharu pada 19 Januari lalu telah didedahkan adanya pengundi berdaftar yang bernama Balai Polis Sentul. Pendedahan yang dibuat oleh Datuk Husam Musa tersebut sama sekali tidak dinafikan oleh Ybhg Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, mantan Pengerusi SPR.

Tidak boleh kita bayangkan bila manusia seperti ini keluar membawa kad pengenalan dan membuang undi pada 5 Mei 2013 kelak. Wajarlah gesaan Ybhg Tan Sri Abdul Rashid bahawa undang-undang pilihan raya Malaysia mesti melalui suatu proses pembaharuan yang total.

Begitu juga dengan penyalahgunaan tempat-tempat awam yang begitu berleluasa oleh parti penyandang ketika ini. Apakah rakyat boleh terus diperdaya bahawa penggunaan premis-premis awam seperti sekolah dan balai raya oleh Umno dan BN adalah hal biasa? Jika dulu rakyat boleh kata “Oh, itu biasalah. Dia yang perintah”. Hari ini rakyat kian faham prinsip-prinsip sama rata yang mesti wujud dalam proses sebuah pilihan raya.

Bagaimana pula siaran-siaran media kerajan termasuk radio dan televisyen yang saban waktu terus mengamalkan sikap tidak adil dan berat sebelah? Fitnah, tohmahan, kejian kepada pihak lawan menjadi antara agenda utama dalam memomokkan bahawa BN adalah parti terbaik.

Walhal, RTM adalah hak semua rakyat. Ia adalah hak kepada penyokong PAS, Umno dan juga seluruh rakyat yang tidak berparti.

Bagaimana pula dengan kempen-kempen bersifat provokasi kaum dan agama? Tersebarnya risalah jahat seolah-olah direstui oleh pihak-pihak tertentu. Ia dijalankan sebegitu teratur dan licin melalui agensi-agensi awam yang sebenarnya dimiliki oleh rakyat bukannya parti politik.

Bertitik tolak dari faktor-faktor di atas, ia jelas memnuntut kecaknaan seluruh rakyat untuk bertindak sebagai pemantau dan pemerhati kepada PRU13 bagi memastikan kepincangan berada pada tahap yang paling minimum.

Seluruh rakyat adalah bertanggungjawab kepada kelangsungan perjalanan negara ini. Ia tidak sekadar ditentukan oleh kelompok-kelompok kecil parti politik semata-mata. Wajarlah jika hari ini rakyat bangkit menuntut suatu proses pilihan raya yang berwibawa dengan bertindak memantau dan memerhati proses yang akan berjalan sehingga 5 Mei 2013.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: