30 September 2009

PAS pula calonkan Zulkefly

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar diumumkan malam ini sebagai calon PAS dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang 11 Oktober depan.

Pemilihan Zulkefly diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di pusat penyelarasan DAP bagi pilihanraya kecil berkenaan dekat Port Dickson.

Petang tadi, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pemilihan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN.

Dewan Harian PAS bermesyuarat petang tadi untuk memuktamad pemilihan calonnya di Bagan Pinang.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Azman yang juga naib ketua bahagian Teluk Kemang, menewaskan Ramli Ismail dari PAS yang mendapat 4,097 undi.

Serah pada pengundi

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita, Zulkefly berkata Pakatan Rakyat (PR) akan membuat perubahan bersama dengan kehendak rakyat.

“Kita bertanding untuk membela rakyat,” katanya.

Ditanya mengenai peluangnya untuk menang, Zulkefly berkata, terpulang kepada pengundi untuk memilih wakil rakyat mereka.

Beliau yakin pengundi bijak untuk memilih wakil rakyat yang dapat berkhidmat untuk membela mereka.

Ditanya harapannya dalam piliharnaya kecil kali ini memandangkan beliau bukan anak tempatan, Zulkefly yang pernah tiga kali bertanding sebelum ini berkata:

“Saya anak watan Negeri Sembilan, cuma lain daerah sahaja. Kita boleh capai kemenangan untuk bawa perubahan kepada rakyat.”.

Ditanya mengenai calon BN - Tan Sri Isa Samad yang merupakan calon popular dan mendapat sokongan akar umbi - Zulkefly sekali lagi mengulangi bahawa terpulang kepada rakyat untuk memilih wakil rakyat mereka.

Calon terbaik

Sementara itu, Hadi pula berkata, PAS memilih Zulkefly kerana beliau merupakan calon terbaik, muda dan berpendidikan tinggi.

Kepimpinan PAS, tegasnya, sebulat suara memilih Zulkefly bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

Ditanya mengenai isu-isu yang bakal dibangkitkan dalam kempen dalam pilihanraya kecil tersebut, Hadi berkata: “Tunggu dulu”.

Hadi juga ditanya mengenai kemungkinan masalah dalaman Pakatan Rakyat di Selangor - ekoran teguran pesuruhjaya PAS negeri itu, Datuk Dr Hasan Ali supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) dirombak kerana didakwanya telah 'memalukan' pegawai kerajaan - akan dijadikan isu di Bagan Pinang.

Menjawab soalan tersebut, Hadi berkata: "Masalah dalaman yang ditimbulkan oleh media akan diselesaikan. Tidakjadi masalah."

Hadi juga ditanya mengenai peluang PAS menang dengan meletakkan pesuruhjaya negeri itu sendiri bertanding di Bagan Pinang, memandangkan dalam pilihanraya umum tahun lalu, parti itu tewas di 12 daripada 13 kerusi DUN yang ditandinginya di Negeri Sembilan.

Dalam jawapannya, presiden PAS itu berkata: “Kita melihat perubahan, tujuh daripada lapan pilihanraya kecil (sejak pilihanraya umum tahun lalu) kita menang, ini satu perubahan, adanya anjakan paradigma di kalangan pengundi di Semenanjung.”

Ditanya mengenai pengundi pos yang berjumlah lebih 4,000 orang dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang, Hadi berkata, terserah kepada pemilih yang mempunyai hak untuk mengundi.

HarakahDaily.Net/-

Biodata calon PAS Bagan Pinang.

NAMA: ZULKEFLY MOHAMAD BIN OMAR

PROFESION: AHLI PERNIAGAAN

UMUR: 45 TAHUN

TARIKH LAHIR: 14/5/1964

KELULUSAN: MASTER SAINS (UPM) & IJAZAH KOMUNIKASI (UITM)

NAMA ISTERI: SAEIAH BINTI TARMIZI

ANAK:6 ORANG

AHMAD FAKHRURAZI 20 TAHUN
FARAH WAHIDAH 18 TAHUN
MOHAMAD FADLI 14 TAHUN
MOHAMAD FADHIL 11 TAHUN
FADHLIN SAKINAH 8 TAHUN
MOHAMAD FAWWAS 4 TAHUN

JAWATAN DALAM PAS:

-PESURUHJAYA PAS NEGERI SEMBILAN- 2 PENGGAL (2007 - HINGGA SEKARANG)
-TIMBALAN PESURUHJAYA PAS NEGERI SEMBILAN - 1 PENGGAL - (2005 - 2007)
-SETIAUSAHA BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI SEMBILAN (2001-2005)
-EXCO PEMUDA PAS PUSAT (2001 - 2005)
-PEMANGKU KETUA PEMUDA PAS NEGERI SEMBILAN (2004 - 2005)
-TIMBALAN KETUA PEMUDA PAS NEGERI SEMBILAN (2001 - 2004)
-KETUA PENERANGAN PEMUDA PAS NEGERI SEMBILAN (1999 - 2001)
-BENDAHARI DEWAN PEMUDA PAS SEREMBAN (1997 - 1999)

LAIN-LAIN JAWATAN:

-PENGERUSI 'NO INCINERATOR' BROGA
-TIMBALAN PENGERUSI TERAS KEUPAYAAN MELAYU NEGERI SEMBILAN

PENGALAMAN KERJA:

-PENGARAH URUSAN, L & R ENTERPRISE SDN BHD.
-PENGURUS KANAN, IS TECHNOLOGIES TELECOMMUNICATION SDN BHD.
-PERANCANG PEMASARAN, TELEKOM MALAYSIA BERHAD.
-EKSKUTIF PERHUBUNGAN KORPORAT, PUSAT ZAKAT SELANGOR.
-PEGAWAI PERHUBUNGAN, KOPERASI CELCOM BERHAD.
-PEGAWAI PERHUBUNGAN, BIRO ANGKASA.

Rasuah politik: Hukuman parti tidak sama dengan hukuman rakyat !

Calon BN bagi pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang, Tan Sri Isa Samad mendakwa isu beliau terbabit dalam rasuah politik tidak berbangkit lagi kerana beliau telahpun menjalani hukuman penggantungan keahliannya dalam Umno selama tiga tahun. Persoalannya sekarang adakah hukuman itu memadai tanpa satu lagi hukuman yang lebih besar yang akan ditentukan oleh rakyat di Bagan Pinang.

Sebelum ini Isa digantung selama tiga tahun mulai 24 Jun 2005 kerana terlibat dengan rasuah kerana melanggar etika pemilihan pemilihan pucuk pimpinan Umno pada tahun 2004

Dalam pemilihan tersebut, Isa mendapat undi tertinggi untuk tiga jawatan naib presiden Umno, tetapi kemenangannya dibatalkan kerana didapati bersalah melanggar kod etika pemilihan.

Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan.


Bercakap kepada pemberita selepas diumumkan sebagai calon BN bagi pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang, Isa berkata, beliau juga bukannya melakukan satu kesalahan jenayah. Satu dakwaan yang saya anggap memperbodohkan rakyat di Malaysia dan bagan pinang. Siapakah yang boleh menerima rasuah bukannya satu kesalahan jenayah.

Sebaliknya, tegas bekas menteri besar Negeri Sembilan itu, beliau melanggar kod etika sewaktu pemilihan pucuk pimpinan Umno. Sedangkan kod etika itu dikaitkan dengan rasuah dan rasuah adalah jenayah yang berat di malaytsia.

Anehnya desakan Parti pemabgkang semasa itu dan sekarang Pakatan Rakyat supaya orang seperti Isa disiasat olewh SPRM tidak diambil peduli oleh pihak berkenaan. Persoalannya jutaan ringgit untuk merasuah perwakilan bagi mengundinya sehingga mendapat undi tertinggi dari mana duitnya ?

Malah Isa mendakwa berdasarkan tahap sokongan yang ditunjukkan oleh akar umbi dan kempen yang akan dijalankan, beliau katanya akan menang dengan majoriti lebih besar.

Isa mewakili kerusi DUN Linggi sejak 1978 dan pada 2004 beliau beralih bertanding kerusi parlimen Jempol dan kemudiannya dilantik sebagai menteri wilayah persekutuan, jawatan kerajaan terakhir yang eliau sandang sebelum metelakkan jawatan pada tahun 2005, selepas keahliannya dalam Umno digantung selama tiga tahun atas kesalahan rasuah ketika bertanding jawatan naib presiden pada 2004.

Sebelum itu, Isa pernah bertanding jawatan-jawatan penting di peringkat pusat. Pada 1993, Isa bertanding jawatan ketua Pemuda Umno tetapi tewas kepada Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.

Pada tahun berikutnya, Isa mencuba nasib pula bertanding jawatan naib presiden Umno tetapi tewas juga, sehinggalah memenangi jawatan naib presiden pada 2004 tetapi dibatalkan .

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan lawan BN di DUN Bagan Pinang

PORT DICKSON: Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar, 45, dipilih sebagai calon parti itu untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Bagan Pinang 11 Oktober ini.

Pengumuman mengenainya dibuat oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di markas DAP di Port Dickson malam tadi.

Isa Samad sah calon BN DUN Bagan Pinang

PORT DICKSON: Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bilik operasi BN di sini, sebentar tadi. Pilihan raya itu akan diadakan pada 11 Okt manakala penamaan calon akan berlangsung Sabtu ini.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor daripada BN pada 4 September lalu.

PAS dijangka mengumumkan calonnya malam ini.

Bagan Pinang: Dewan Harian PAS putus calon petang ini

Dewan Harian PAS pusat akan bermesyuarat petang ini untuk memuktamad pemilihan calonnya bagi pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang pada 11 Oktober depan.'

Nama calon tersebut akan diumumkan malam ini bertempat di markas PAS Batu 9, Jalan Pantai Teluk Kemang oleh presiden parti, Datuk Seri Abdul Had Awang.

Calon BN pula akan diumumkan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang ini di Markas Gerakan BN di Batu 6, Bagan Pinang.

Ahli jawatankuasa PAS pusat, Dr Hatta Ramli ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

"Mesyuarat petang ini akan memuktamadkan pemilihan untuk diumumkan malam ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau juga ditanya sama ada mesyuarat itu akan turut membincang teguran Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali yang mencadangkan supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) dirombak.

Menurut Dr Hatta, setahu beliau, ia tiada dalam agenda mesyuarat petang ini.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Azman yang juga naib ketua bahagian Teluk Kemang, menewaskan Ramli Ismail dari PAS yang mendapat 4,097 undi.

Ramli yang juga yang dipertua PAS kawasan tersebut, adalah antara tiga calon PAS yang disebut-sebut akan dipilih bertanding dalam pillihan raya kecil tersebut.

Dua lagi nama yang disebut-sebut ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar dan bekas ketua Dewan Ulama PAS negeri itu, Kassim Tahir.

Manakala BN pula besar kemungkinan mencalonkan ketua Umno bahagian Teluk Kemang, Tan Seri Isa Samad.

Sehingga ini, beliau mendapat sokongan padu Umno bahagian itu untuk dicalonkan bertanding dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang.

Malaysiakini/-

GANESAN TIADA HAK PANGGIL SIDANG DUN, PJ PAS PERAK

Oleh : mohd hafez sabri

Ipoh, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menegaskan sekali lagi bahawa Yb V. Sivakumar adalah speaker yang sah, manakala Ganesan dengan jelas adalah speaker yang tidak sah kerana cara Ganesan dilantik sebagai speaker adalah tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

Beliau menegaskan bahawa “Kedudukan Ganesan hingga kini masih lagi tidak sah dan tidak jelas. Dan beliau telah melanggar Perlembagaan Negeri yang melarang seseorang memegang dua jawatan dalam satu masa. Beliau masih jadi peguam sewaktu dilantik jadi Speaker Dewan. Sebenarnya yang bermasalah adalah Ganesan bukannya Yb V.Sivakumar.”

“Kita juga sedia maklum apa yang diputuskan dalam Sidang DUN 2 september baru-baru ini adalah sah dan sama statusnya dengan sidang yang diadakan dibawah pokok kerana dihalang oleh umno/bn untuk adun-adun PR masuk bersidang secara baik di dalam dewan sebelum ini dan ianya adalah sah kerana pada satu-satu masa hanya boleh ada satu DUN sahaja. DUN di pengerusikan Ganesan tidak sah kerana kuasa mempengerusikan sidang DUN masih di bawah Yb V.Sivakumar,” katanya.

Tambah beliau lagi “ Seluruh rakyat Perak mengetahui bahawa Yb V. Sivakumar masih lagi Speaker Dewan kerana ia diangkat keluar dari Dewan secara paksa pada Mei lalu dalam cubaan rampasan kuasa Umno-BN, sememangnya insiden mengusung keluar secara paksa speaker dari dalam dewan adalah tindakan ganas umno/bn yang telah memalukan seluruh rakyat Negeri Perak”

Umno/bn amal demokrasi zalim- Pesuruhjaya PAS Perak

Oleh : mohd hafez sabri

Ipoh, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain, menyarankan kepada Barisan Nasional (BN) dan Umno supaya segera mengundurkan diri dari persada politik negara. Tambahan, BN dan Umno sudah banyak membawa kemusnahan dan keruntuhan kepada rakyat negara ini melalui sistem amalan demokrasi yang zalim.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media terbarunya disini semalam.

"BN dan Umno sepatutnya sudah mengundurkan diri sebagai pemerintah dalam negara ini. Ini adalah kerana selagi mereka memerintah negara maka amalan demokrasi yang mereka amalkan banyak menzalimi rakyat,

"Akta seperti ISA adalah satu sistem lapuk penjajah yang masih lagi diguna pakai walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan melebihi daripada 52 tahun," katanya.

Ujarnya, Akta tersebut katanya jelas bercanggah dengan Islam yang melarang penggunaan sistem zalim dan menganiayai rakyat seperti yang diamalkan oleh BN dan Umno ini. "Amalan memenjarakan rakyat tanpa bicara ini adalah satu sistem zalim yang menzalimi rakyat kerana tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya," kata beliau.

Lihat pula bagamana, umno/bn amat cekap dan bijak membazirkan wang rakyat. Menurut beliau rakyat masih ingat bagaimana, umno/bn juga berjaya membazirkan wang rakyat dalam isu pembinaan Zon Bebas Niaga Pelabuhun Klang (PKFZ). Projek yang diselubungi oleh pelbagai kontroversi tersebut menyaksikan pertambahan kos yang meningkat sebanyak RM3.5 billion daripada kos asal.

Tambah beliau lagi “Bukan sahaja Kerajaan gagal menyiasat kegagalan projek tersebut, ia sebaliknya bersetuju pula untuk memberikan pinjaman (soft loan) sebanyak RM4.681 billion kepada Port Klang Authority (PKA). Pesuruhjaya PAS Perak itu juga menyatakan episod ini adalah satu daripada banyak contoh daripada kerajaaan yang mendedahkan konflik kepentingan, rasuah, dan salah pengurusan yang melibatkan ahli politik, ahli perniagaan dan penjawat awam.

Jelas Ustaz Abu Bakar lagi, rakyat disarankan supaya mengundurkan BN-Umno dengan tangan mereka melalui keputusan pilihan raya yang akan datang sekiranya Umno masih tidak mahu berundur.

Tambahnya, beliau yakin dengan kuasa yang ada pada rakyat, BN dan Umno dapat diundurkan dari terus memerintah negara dalam pilihan raya DUN Perak tidak lama lagi dan pilihanraya umum ke-13 yang akan datang.

"Hanya dengan mengundurkan mereka secara paksa oleh rakyat sahaja maka kestabilan politik, ekonomi dan sosial dapat dipulihkan kembali tanpa melalui proses-proses kezaliman, korupsi dan penganiayaan yang diamalkan oleh mereka," tambahnya.

Saya menghidap 6 jenis penyakit

Email : abdulhalim yaacob

Saya menghidap 6 jenis penyakit: tekanan darah tinggi (hipertensi), radang tiroid (thyroid) gastrik, angin dalam badan, strok (mulai 17.9.1999) dan batu dalam pundi-pundi kencing.

Serangan strok telah menyebabkan separuh badan saya lumpuh dan kini telah beransur pulih serta telah berupaya memandu motokar. Menurut doktor, tiada ubat khusus bagi strok kecuali penghidapnya rajin bersenam. Ia adalah berpunca daripada penghidapan tekanan darah tinggi.

Dua lagi penyebab serangan strok ialah kencing manis (diabetes) dan kadar kolesterol (LDL) tinggi dalam darah (high cholesterol). Batu dalam pundi-pundi kencing sebesar kepala anak mancis telah keluar pada suatu pagi ketika saya membuang air kecil dan mujurlah saya tidak merasa sakit. Serangan angin dalam badan sering berlaku lebih 10 tahun dahulu lazimnya datang ketika dinihari sewaktu sedang tidur menyebabkan saya merasa sakit di bahagian dada sehingga belikat.

Gastrik adalah berpunca daripada terlalu banyak berfikiran negatif (susah hati) serta sering membiarkan perut kosong dan doktor menasihatkan supaya saya tidak mengambil makanan pedas dan masam, juga tidak meminum kopi dan makan ais krim terutama yang banyak mengandungi vanila. Radang tiroid mula dikesan dalam tahun 1982 apabila saya demam yang agak teruk dan kemudian saya diberi sejenis ubat bernama 'carbimazole' dan kini telah pulih. Tekanan darah tinggi mungkin berpunca daripada pemakanan di samping saya juga adalah seorang perokok semenjak 1968 dan tidak pernah melakukan senaman. Walaupun saya telah lebih 10 tahun menghentikannya, tetapi tekanan darah saya masih tinggi (170/95).

Akhirnya saya menemui makanan yang ramai penderita tekanan darah tinggi, kencing manis, strok dan banyak lagi membuat pengakuan bahawa ia berkesan iaitu Alpha Lipid. Saya tidak bermaksud menggalakkan anda mengamalkannya. Tetapi jika anda inginkan maklumat lanjut sila layari http://www.curatirana.alphalipid.cc/

Ingatlah penghidapan kencing manis, darah tinggi, darah rendah,strok, kanser, gout dan sebagainya adalah warisan atau genetic yang tidak memilih mangsa serta tiada amaran pula. Oleh itu, mencegah adalah lebih baik dari merawat. Apa-apa keputusan adalah di tangan anda. Saya sekadar untuk berkongsi pengalaman sahaja.

Kini H1N1 pula membimbangkan semua orang. Selain memperbanyakkan doa ke hadirat Ilahi, kita disuruh berikhtiar!

Pergunakanlah 5 peluang sebelum datang yang 5; masa hidup sebelum mati, masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum miskin dan masa lapang sebelum sempit (maksud hadis: Bukhari dan Muslim).

MENCEGAH ADALAH LEBIH BAIK DARI MERAWAT.


Puasa 6 Syawal vs Puasa Qada'

Email : Mohd Sabri Mohd Noor

Ulama berbeza pendapat antara puasa sunat enam hari pada bulan Syawal dengan puasa ganti (qada) Ramadan.

Pendapat pertama mengatakan tidak dibolehkan niat puasa ganti bersama puasa sunat Syawal. Ini kerana berdasarkan hadis setiap amalan berdasarkan niat.

Sebagai contoh, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam menggariskan adakah puasa enam boleh diniat sekali dengan puasa ganti: `Niat puasa enam tidak boleh disekalikan dengan puasa qada.

Imam As-Syafi'i (di dalam Kitab Al-Umm) berpendapat dalam mensyarahkan bab `seyang tiap amalan dengan niatnya' bahawa: Hendaklah dibezakan ibadat puasa Ramadan, puasa nazar, puasa kafarah, puasa qada dan puasa sunat.

Imam Jalaluddin As-Suyuti (di dalam Kitab Al-Isybah) juga berpendapat hendaklah diasingkan puasa Ramadan atau nazar atau puasa sunat. Namun, seseorang yang berniat puasa qada ketika Syawal boleh juga dikurniakan pahala puasa enam (tanpa menjatuhkan niat itu) mengikut pendapat sebahagian ulama.'

Pendapat kedua mengatakan dibolehkan niat bersama, malah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa sunat enam hari dengan berniat hanya puasa qada pada bulan Syawal.

Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus.

Bekas ketua jawatankuasa fatwa al-Azhar, Sheikh `Atiyyah Saqr, berkata seseorang yang tertinggal puasa pada Ramadan boleh berpuasa sunat enam hari Syawal dengan niat bersama puasa ganti.

Menurutnya, orang yang berpuasa itu akan mendapat ganjaran berganda secara serentak; menggantikan puasa yang ditinggal dan mendapat ganjaran puasa enam hari Syawal.

"Bagaimanapun, dianjurkan seseorang itu menggantikan puasa tertinggal secara berasingan dengan puasa enam hari Syawal (supaya mendapat ganjaran yang lebih)."

Ada juga ulama berpendapat puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tiba Ramadan akan datang.

Sesetengah ulama berpendapat, orang yang mempunyai hutang puasa Ramadan hendaklah `membayar' terlebih dulu, kemudian baru dikerjakan sunat puasa enam. Tidak mendapat sunat puasa enam jika ia juga diniatkan sebagai puasa qada.

Perbezaan pendapat itu sudah tentu memberikan pilihan dan ruang kepada umat Islam dalam melaksanakan amal ibadat, sesuai dengan konsep taysir (kelapangan) yang menjadi satu aspek penting dalam syariah, selagi mana tiada larangan terhadapnya.

Waktu-waktu yang mustajabnya doa

Email : Alwi Joe
Oleh : Ismail bin Marsyud bin Ibrahim Ar-Rumaih


Allah memberikan setiap waktu dengan keutamaan dan kemuliaan yang berbeza-beza, di antaranya ada waktu-waktu tertentu yang sangat baik untuk berdoa, akan tetapi kebanyakan orang mensia-siakan kesempatan yang baik tersebut. Mereka menyangka bahawa seluruh waktu memiliki nilai yang sama dan tidak berbeza. Setiap muslim seharusnya memanfaatkan waktu-waktu yang utama dan mulia untuk berdoa agar mendapatkan kejayaan, keuntungan, kemenangan dan keselamatan. Adapun waktu-waktu mustajaba tersebut antara lain ialah

(1). Sepertiga Akhir Malam

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda.

"Ertinya : Sesungguhnya Rabb kami yang Maha Berkah lagi Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia hingga berbaki sepertiga akhir malam, lalu berfirman ; barangsiapa yang berdoa, maka Aku akan kabulkan, barangsiapa yang memohon, pasti Aku akan perkenankan dan barangsiapa yang meminta ampun, pasti Aku akan mengampuninya" . (Shahih Al-Bukhari, kitab Da'awaat bab Doa Nisfullail 7/149-150)

(2). Tatkala Berbuka Puasa Bagi Orang Yang Berpuasa

Dari Abdullah bin 'Amr bin 'Ash Radhiyallahu 'anhu bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda.

"Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak". (Sunan Ibnu Majah, bab Fis Siyam La Turaddu Da'watuhu 1/321 No. 1775. Hakim dalam kitab Mustadrak 1/422. Dishahihkan sanadnya oleh Bushairi dalam Misbahuz Zujaj 2/17),

(3). Setiap Selepas Shalat Fardhu

Dari Abu Umamah, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam ditanya tentang doa yang paling didengari oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala, baginda Shallallahu 'alaihi wa sallam menjawab.

"Ertinya : Di pertengahan malam yang akhir dan setiap selesai shalat fardhu".
(Sunan At-Tirmidzi, bab Jamiud Da'awaat 13/30. Dishahihkan oleh Al-Albani di dalam Shahih Sunan At-Tirmidzi 3/167-168 No. 2782).

(4). Ketika Saat Perang Berkecamuk

Dari Sahl bin Sa'ad Radhiyallahu 'anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa
sallam bersabda.

"Ertinya : Ada dua doa yang tidak tertolak atau jarang tertolak ; doa ketika saat adzan dan doa ketika perang berkecamuk". (Sunan Abu Daud, kitab Jihad 3/21 No. 2540. Sunan Baihaqi, bab Shalat Istisqa' 3/360. Hakim dalam Mustadrak 1/189. Dishahihkan Imam Nawawi dalam Al-Adzkaar hal. 341. Dan Al-Albani dalam Ta'liq Alal Misykat 1/212 No. 672).

(5). Sesaat ketika Hari Jum'at

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu bahawa Abul Qasim Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda.

"Ertinya : Sesungguhnya pada hari Jum'at ada satu saat yang tidaklah bertepatan
seorang hamba muslim shalat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah melainkan akan diberikan padanya, beliau berisyarat dengan tangannya akan sedikitnya waktu tersebut". (Shahih Al-Bukhari, kitab Da'awaat 7/166. Shahih Muslim, kitab Jumuah 3/5-6)

Waktu yang sesaat itu tidak boleh diketahui secara tepat dan masing-masing riwayat menyebutkan waktu tersebut secara berbeza-beza, sebagaimana yang telah disebutkan oleh Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari 11/203.

Dan kemungkinan besar waktu tersebut berada ketika saat imam atau khatib naik ke mimbar sehingga selesai shalat Jum'at atau sehingga selesai waktu shalat ashar bagi orang yang menunggu shalat maghrib.

(6). Ketika Waktu Bangun Tidur Pada Malam Hari Bagi Orang Yang Sebelum Tidur Dalam Keadaan Suci dan Berdzikir Kepada Allah

Dari 'Amr bin 'Anbasah Radhiyallahu 'anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda.

"Ertinya :Tidaklah seorang hamba tidur dalam keadaan suci lalu terbangun pada malam hari kemudian memohon sesuatu tentang urusan dunia atau akhirat melainkan Allah akan mengabulkannya" . (Sunan Ibnu Majah, bab Doa 2/352 No. 3924. Dishahihkan oleh Al-Mundziri 1/371 No. 595)

Terbangun tanpa sengaja pada malam hari.(An-Nihayah fi Gharibil Hadits 1/190)
Yang dimaksudkan dengan "ta'ara minal lail" terbangun dari tidur pada malam hari.

(7). Doa Di antara Adzan dan Iqamah

Dari Anas bin Malik Radhiyallahu 'anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa
sallam bersabda.

"Ertinya : Doa tidak akan ditolak di antara adzan dan iqamah". (Sunan Abu Daud, kitab Shalat 1/144 No. 521. Sunan At-Tirmidzi, bab Jamiud Da'waat 13/87. Sunan Al-Baihaqi, kitab Shalat 1/410. Dishahihkan oleh Al-Albani, kitab Tamamul Minnah hal. 139)

(8). Doa Ketika Waktu Sujud di Dalam Shalat

Dari Ibnu Abbas Radhiyallahu 'anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda.

"Ertinya : Adapun pada waktu sujud, maka bersungguh-sungguhl ah berdoa keraan saat itu sangat tepat untuk dikabulkan". (Shahih Muslim, kitab Shalat bab Nahi An Qiratul Qur'an fi Ruku' wa Sujud 2/48)

Yang dimaksudkan adalah sangat tepat dan layak untuk dikabulkan doa kamu.

(9). Ketika Saat Sedang Hujan

Dari Sahl bin a'ad Radhiyallahu 'anhu bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda.

"Ertinya : Dua doa yang tidak pernah ditolak ; doa ketika waktu adzan dan doa ketika waktu hujan". (Mustadrak Hakim dan dishahihkan oleh Adz-Dzahabi 2/113-114. Dishahihkan oleh Al-Albani dalam Shahihul Jami' No. 3078).

Imam An-Nawawi berkata bahawa penyebab doa pada waktu hujan tidak ditolak atau jarang ditolak ialah kerana pada saat itu sedang turun rahmat khususnya curahan hujan pertama di awal musim. (Fathul Qadir 3/340).

(10). Ketika Saat Ajal Tiba

Dari Ummu Salamah bahawa Rasulullah 'alaihi wasallam mendatangi rumah Abu Salamah (pada hari wafatnya), dan beliau mendapati kedua mata Abu Salamah terbuka lalu beliau 'alaihi wasallam memejamkannya kemudian bersabda.

"Ertinya : Sesungguhnya tatkala ruh dicabut, maka pandangan mata akan
mengikutinya' . Semua keluarga histeria. Baginda 'alaihi wasallam bersabda : 'Janganlah kalian berdoa untuk diri kalian kecuali kebaikan, kerana para malaikat mengamini apa yang kamu ucapkan". (Shahih Muslim, kitab Janaiz 3/38)

(11). Ketika Malam Lailatul Qadar

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman.

"Ertinya : Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar". (Al-Qadr : 3-5)

Imam As-Syaukani berkata bahawa kemuliaan Lailatul Qadar mengharuskan doa setiap orang pasti dikabulkan. (Tuhfatud Dzakirin hal. 56)

(12). Doa Ketika Hari Arafah

Dari 'Amr bin Syu'aib Radhiyallahu 'anhu dari bapaknya dari datuknya bahawasanya Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda.

"Ertinya : Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah". (Sunan At-Tirmidzi, bab
Jamiud Da'waat 13/83. Dihasankan oleh Al-Albani dalam Ta'liq alal Misykat 2/797 No. 2598)

Rumah terbuka Kerajaan Pulau Pinang pada 3 Oktober

Email : Zamri Keciks

PULAU PINANG, 29 Sept: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengadakan Rumah Terbuka 'Adilfitri' bertempat di Dewan Politeknik Seberang Perai, Permatang Pauh pada 3 Oktober akan datang bermula jam 9.30 pagi.

Menurut Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei Aik program yang dirangka itu bermatlamat menyemai perpaduan antara semua kaum tanpa mengira fahaman politik serta memberi peluang rakyat bertemu kepimpinan negeri sambil mengamalkan amalan yang terpuji.

"Kerajaan Negeri mengalu-alukan semua rakyat berkunjung ke hari terbuka Aidilfitri yang akan diadakan di Dewan Politeknik Seberang Perai di Permatang Pauh pada 3 Oktober ini. Semua makanan tradisional termasuk kuih muih hari raya disediakan, " tegasnya.

Antara dijangka hadir untuk bersama memeriahkan majllis berkenaan ialah Tuan Yang Terutama, Tun Dato' Seri Utama, Haji Abdul Rahman Abas serta isterinya Toh Puan Dato' Seri Utama, Hajjah Majimor Shariff serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Katanya lagi, turut meraikan lagi ialah semua Ketua Jabatan, agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, perwakilan asing serta pemimpin Badan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

"Marilah kita memupuk perpaduan demi kesepaduan negeri dan negara kita yang disayangi. Jauhkan perasaan benci yang nyata merugikan kestabilan ekonomi, politik dan rakyat, " tambah beliau yang juga Adun Komplek Tun Abdul Razak (Komtar).

KENYATAAN MEDIA : Segerakan sidang DUN untuk buktikan Pakatan Rakyat bukan bersandiwara untuk pulau.

BN mendakwa pakatan Rakyat bersandiwara,dan kelmarin Dr. Zambry menyatakan Sidang Dun akan diadakan pada masa yang sesuai.

PAS Perak dan Pakatan Rakyat (rujuk kenyataan saya sebelum ini) sudah menyatakan pendirian yang sejelas-jelasnya tidak akan hadir dalam Sidang DUN yang dipanggil speaker haram, Ganesan.

Justeru itu saya suka untuk memberi beberapa kenyataan baru dalam hal yang berkaitan :-

1. Saya meminta supaya BN jangan berteka-teki untuk mengadakan sidang DUN seperti yang didakwa Zambry dan Ganesan. Segerakan memanggil sidang seperti dikawa akan diadakan.Saya dari beberapa hari lepas menunggu panggilan surat berkenaan untuk menjawabnya dengan segera.

2. Begitu juga teman-teman ADUN Pakatan Rakyat Perak yang lain tertanya-tanya manakah surat yang dimaksudkan Ganesan.

3. Bagi saya panggilan sidang yang akan dibuat Ganesan sekiranya benar akan mempercepatkan lagi urusan pembubaran DUN Perak seperti yang dijangkakan dan diharapkan oleh pakatan Rakyat malah oleh Rakyat Perak, kerana dengan sidang yang saya anggap tidak sah dipanggil oleh Ganesan akan menyeret negeri perak kepada kancah kecelaruan politik negeri Perak yang lebih dasyat dan teruk.


DRS. KHALIL IDHAM LIM,
Ketua Penerangan PAS Perak/
ADUN Titi Serong/
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan
Pakatan Rakyat Perak.

Pusing kanan, pusing kiri, nama Isa juga yang disebut sebagai calon

TELOK KEMANG: Walaupun di selubungi kontroversi di sebalik karier politiknya tetapi Barisan Nasional (BN) dijangka akan meletakkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Pemilihan Isa sebagai calon dilihat dapat memenuhi kehendak pengundi DUN Bagan Pinang yang masih mahukan beliau berkhidmat kepada penduduk setempat berdasarkan perkhidmatannya sebelum ini sebagai menteri besar dan juga wakil rakyat di kawasan itu.

Berdasarkan rekod pengalamannya, Isa pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Linggi selama enam penggal, termasuk sepenggal sebagai Ahli Parlimen Jempol.

Menurut sumber, Umno Telok Kemang yakin kepimpinan Umno Pusat di bawah Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan membuat pilihan yang tepat berdasarkan kemampuan dan penerimaan seseorang itu di kalangan pengundi.

"Kita yakin (Umno) Pusat akan memilih Tan Sri Isa sebagai calon kerana beliau memang dikenali dan masih diterima oleh penduduk di sini.

"Dan BN perlu membuat pertimbangan yang sewajarnya kerana faktor calon itu sendiri bakal menjadi penentu untuk BN mengekalkan penguasaan di Bagan Pinang," kata sumber tersebut kepada mStar Online.

Malah penerimaan Isa di DUN Bagan Pinang juga dilihat bersesuaian kerana beliau merupakan Ketua Umno Bahagian Telok Kemang di samping mempunyai rantaian sanak saudara dan keluarga yang ramai di situ.

Bagan Pinang terletak dalam Parlimen Telok Kemang yang mempunyai lima kerusi DUN dengan tiga daripadanya milik pembangkang iaitu Chuah dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lukut (DAP) dan Port Dickson (PKR).

Satu lagi kerusi iaitu DUN Linggi dimenangi BN.

Sokongan dan penerimaan penduduk setempat terhadap Isa juga dapat dilihat berdasarkan cadangan pada peringkat awal oleh Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Telok Kemang yang hanya menyenaraikan nama beliau sebagai calon.

Kerusi Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohamad Noor, 54, pada 4 September lepas. Azman adalah ADUN daripada BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pada 3 Oktober ini dan jika ada pertandingan, hari pengundian adalah pada 11 Oktober.

Dalam pada itu Bernama melaporkan, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa BN telah menerima lebih daripada satu nama yang dicadangkan sebagai calon di DUN Bagan Pinang.

Muhyiddin turut berkata beliau yakin calon yang akan diumumkan BN pada petang esok tidak akan mendapat bantahan malah akan diterima oleh semua ahli parti dan parti-parti komponennya.

Kenyataan Muhyiddin itu mungkin sedikit sebanyak dapat memberi petunjuk kepada kemungkinan Isa akan dipilih sebagai calon untuk mewakili BN.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika dihubungi berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti untuk memilih calon yang paling layak untuk mewakili parti itu.

"Saya serah kepada pucuk pimpinan, saya sendiri pun tak tahu siapa yang akan dipilih, kita tunggu sahaja pengumuman yang akan dibuat oleh Timbalan Presiden esok," katanya.

Diminta mengulas sama ada BN akan mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menang di DUN Bagan Pinang jika meletakkan calon berpengalaman seperti Isa, beliau berkata: "Saya enggan komen mengenai perkara ini, ini semua hanya spekulasi, saya yakin dengan keputusan kepimpinan peringkat pusat."

mStarOnline/-

Status-quo Selcat kekal, soal siasat terbuka diteruskan - MB Selangor

SHAH ALAM: Mesyuarat khas tiga penjuru selama dua jam malam tadi memutuskan status-quo Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat) dikekalkan walaupun tatacaranya dipertikaikan keras oleh Pesuruhjaya PAS Selangor dan pegawai-pegawai daerah negeri itu sejak lebih dua minggu lalu.

Justeru, Selcat akan menjalankan sesi inkuiri secara terbuka manakala keanggotaannya yang kini terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kekal, tidak akan dirombak untuk disertai mereka yang bukan merupakan wakil rakyat.

Selcat yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat susulan pilihan raya umum tahun 2008 tidak akan dibubarkan sama sekali, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Kita mendapat persefahaman bahawa isu ini boleh diselesaikan antara kita dan mengambil langkah-langkah memperbetulkan, mesti diperbetulkan, yang lain terus dikendalikan secara terbuka dan mempunyai akauntabliti yang dipertanggungjawabkan," kata Khalid selepas mempengerusikan mesyuarat itu.

"Ia akan (tetap) berfungsi (mengendalikan soal siasat) secara terbuka," kata beliau ketika ditemui di Bangunan SUK di sini.

Mesyuarat tiga penjuru ini dihadiri oleh anggota Selcat, Exco Kerajaan Negeri Selangor dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri termasuk ketua majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bagaimanapun Khalid memberitahu, pihaknya mengambil kira teguran dan beberapa cadangan yang membolehkan supaya terdapat komunikasi teratur antara pihak-pihak yang mengendalikan Selcat dan juga pegawai-pegawai kerajaan.

"Tidak ada, Selcat tidak akan dibubarkan," katanya.

"Selcat adalah satu badan yang ditubuhkan di bawah Dewan Undangan Negeri. Oleh itu, apa-apa perubahan tentang pertanggungjawaban Selcat jika perlu, jika perlu akan kita bawa untuk perbincangan di Dewan Undangan Negeri.

"Pada masa ini tiada perbincangan untuk dibawa ke Dewan Undangan Negeri," katanya.

Ketika ditanya sama ada terdapat cadangan untuk mengubah keanggotaannya, Khalid berkata:

"Tidak ada... Selcat ini ketetapannya (keanggotaan) ialah seperti mana yang kita telah persetujui, seperti yang telah diputuskan dalam Dewan Undangan Negeri," katanya.

mStarOnline/-

Suri rumah terkejut temui kalimah Allah pada daging

Seorang suri rumah terkejut terlihat kalimah Allah pada daging yang dibeli oleh anaknya di Alor Setar, Kedah, semalam.

Rashadah Abdul Rani, 57, berkata kalimah Allah itu dapat dilihat dengan jelas selepas daging itu dipotong dalam bentuk kepingan sebesar tapak tangan kanak-kanak dan direndam dalam air.

"Saya menyuruh anak saya membeli sekilo daging di Pasar Alor Gunung untuk dijadikan juadah saya dan suami bersahur kerana kami berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal.

"Selepas memotong dan merendamnya dalam air, anak perempuan saya yang menolong di dapur terlihat kalimah Allah pada enam keping daging tersebut," katanya kepada pemberita yang menemui beliau di rumahnya hari ini.

Rashadah berkata beliau akan mengeringkan daging itu untuk disimpan dan dijadikan bahan untuk tujuan perubatan.

Sementara itu, cucu saudaranya yang merupakan pengamal perubatan alternatif, Suhaila Saad, 32, berkata beliau telah merujuk perkara itu kepada seorang lagi pengamal perubatan alternatif yang dipanggil Syeikh.

"Syeikh mengatakan ia adalah tanda kebesaran Allah dan hendak tunjukkan kepada umat Islam bahawa di mana sahaja kita berada kita perlu berpandukan kepada paksinya," kata Suhaila.

MalaysiaKini/-

Panel rayuan kekal hukuman sebat Kartika

Panel Rayuan Mahkamah Tinggi Syariah Pahang hari ini mengekalkan keputusan hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor.

Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata keputusan itu dibuat selepas panel tersebut membuat semakan terhadap prosedur penghakimannya.

Bagaimanapun tarikh pelaksanaan hukuman tersebut belum diputuskan panel berkenaan yang turut dianggotai Ketua Hakim Syarie Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman, katanya ketika dihubungi Bernama.

Kartika dihukum denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 20 Julai lalu selepas mengaku salah minum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.

Hukuman sebat itu kemudian ditangguhkan baru-baru ini bagi menghormati bulan puasa.

MalaysiaKini/-

Ibrahim Ali nyanyuk, bagai kacang lupakan kulit

KUALA KRAI, 29 Sept:Sikap kurang ajar Datuk Ibrahim Ali menghina Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di ibaratkan oleh Pemuda PAS Negeri sebagai Kacang Lupakan Kulit.

Ketuanya, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman berkata Ibrahim Ali telah melampau dalam tindakannya apabila mendesak Nik Abdul Aziz meletak jawatan bersandarkan beberapa tanggapan salah beliau sendiri.

katanya, Ibrahim Ali seperti seorang yang berjalan di siang hari tetapi asyik mendongak kepala ke atas sehinggakan tidak nampak apa yang berlaku di sekelilingnya.

"Ibrahim Ali boleh melihat dengan mata kasar pembangunan yang berlaku di negeri ini,begitu banyak sekali pasaraya yang timbul,pembangunan fizikal mestilah selari dengan rohani, bagi beliau hanyalah mementingkan kebendaan sahaja" katanya lagi.

Pemerintahan PAS di Kelantan bermula tahun 1990 hingga sekarang, berjalan dengan baik dan tidak adapun pembangunan yang tergendala.

"Saya hairan mengapa beliau mempertikaikan kesihatan seseorang sedangkan itu semua datang dari Allah, lagipun sehingga hari ini kita masih lagi dapat bersama dengan Tuan Guru dalam pelbagai program dan hari ini beliau ke Gua Musang dan singgah di Kuala Krai untuk sama-sama meraikan majlis Aidil fitri ini"katanya lagi.

Menyentuh tindakan segera yang akan diambil oleh PAS Kelantan,Abdul Latiff berkata,peringkat awal ini, Pemuda PAS negeri menyerah sepenuhnya kepada Pemuda PAS Pasir Mas untuk mengambil langkah-langkah seperti turun ke peringkat akar umbi membuat bancian sejauh manakah sokongan rakyat di Pasir Mas menyokong Ibrahim Ali ini.

"Kita tidak akan mengikut rentak Ibrahim Ali ini yang seluruh rakyat negara ini sudahpun mengenali beliau yang suka merempuh apa sahaja di hadapan asalkan beliau dapat berdiri,kalau dulu dalam Umno pun kena tendang seumur hidupnya,menumpang pula di tangga PAS dan telah berikrar untuk bersama Tuan Guru tetapi kini beliau bukan sahaja tidak mengenang budi Tuan Guru malah telah menghina rakyat Pasir Mas sendiri"katanya lagi.

Sementara itu bagi Bendahari PAS Pusat,Dr.Mohd Hatta Ramli, tindakan Ibrahim Ali adalah keterlaluan tanpa mengambil kira sentimen rakyat Kelantan yang berdiri teguh di belakang Tuan Guru sehinggakan Pilihanraya ke 12 baru-baru ini PAS telah mencapai kemenangan besar di Kelantan dan ini juga hasil kebijaksanaan Tuan Guru dalam berpolitik dan mentadbir Kelantan.

"Paling tidakpun Ibrahim Ali seharusnya menghormati rakyat negeri ini dan tindakan beliau menghina Tuan Guru dengan panggilan yang tidak sewajar dikeluarkan kepada seorang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi amatlah dikesali."katanya lagi.

Sebelum ini kita lihat tindakan Ibrahim seolah-olah berunsur perkauman ketika perbahasan di Parlimen dan seperti tidak mengakui wujudnya masyarakat majmuk di negara ini sedangkan Tuan Guru begitu pintar dalam perjuangan untuk menyatupadukan pelbagai kaum dan kita boleh lihat perpaduan kukuh antara kaum di Kelantan ini.

Manakala bagi Ketua Pemuda PAS Kuala Krai,Mahadi Mat Zain berkata keperibadian Ibrahim Ali dengan Mursyidul Am PAS adalah amat tidak setaraf.

"Pemuda PAS Kuala Krai mendesak Ibrahim Ali agar memohon maaf secara bertemu dengan Tuan Guru dan menarik balik perkataan nyayuk yang dituju kepada Tuan Guru" ujarnya.

Ibrahim Ali telah mengeluarkan sepuluh sebab mengapa Tuan Guru patut meletak jawatan dan telah menghina seorang tokoh ulamak,sedangkan dalam Islam sendiri telah menjelaskan amat berbeza seseorang yang mempunyai ilmu dengan orang yang tidak mempunyai ilmu.

"Saya yakin ilmu Ibrahim Ali dalam bidang keagamaan amatlah nipis jika dibandingkan dengan Tuan Guru dan sifat nyayuk sememangnya tiada dalam diri seseorang yang tinggi ilmu agamanya" katanya lagi.

Bagi Pemuda PAS Kuala Krai,Ibrahim Ali adalah seorang yang mempunyai sifat nyayuk kerana tidak sedar siapa diri beliau dan siapa yang membantu beliau untuk menjadi Ahli Parlimen Pasir Mas.

"Ketika ramai rakyat negara ini memberi gelaran sebagai Katak Lompat amat tepatlah kerana tidak mempunyai parti yang diperjuangkan,seperti Umno,S46 dan Bebas dan jelaslah beliaulah yang nyayuk dan seharusnya meletak jawatan" ujar beliau lagi.

Dalam perkembangan lain,ustaz Abdul Latif Abdul Rahman yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kuala Krai berkata pada tahun ini sambutan AidilFitri digabungkan bersama semua Dun dan Parlimen dengan menyembelih dua ekor lembu serta menyediakan satay, lemang,roti jala dan kuih muih. Lebih 3000 masyarakat Kuala Krai termasuk kaum India dan Tionghua telah menghadirinya.-mks/mna

HarakahDaily.Net/-

Bagan Pinang: Berjuang untuk Islam - Mursyidul Am

GUA MUSANG, 29 Sept: Mursyidul Am PAS,Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi pesanan kepada semua petugas parti PAS yang akan dan sedang bertungkus lumus di Dun Bagan Pinang agar berjuang untuk menegakkan agama Islam bukan untuk parti PAS semata-mata.

Beliau berharap walaupun Bagan Pinang sebelum ini adalah milik umno-BN,tetapi ia tidak mustahil akan beralih kepada PAS berdasarkan senario politik semasa yang berlaku sekarang ini.

"Kini kita tengok sudah banyak PRK yang berlaku dan Alhamdullillah berpihak kepada Pakatan Rakyat dan sebelum ini di Parlimen Kuala Terengganu walaupun milik umno tetapi PAS berjaya mengambil alih dan ini adalah berkat kerjasama Pakatan Rakyat,"katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis sambutan Jubli Perak Maahad Muhammadi Gua Musang semalam,turut hadir di majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam,Pendidikan dan Dakwah,Dato Mohd Amar Nik Abdullah.

"Penglibatan orang Islam tidak kira piliharaya umum maupun kecil,seharusnya diajar berjuang untuk Islam bukannya parti kerana kalau berjuang kerana parti,lepas sahaja pilihanraya kita hanya ada dua iaitu menang atau kalah, tetapi kalau berjuang kerana Islam ia melibatkan Syurga atau Neraka,"katanya lagi.

Sebelum itu, beliau menyeru warga di Gua Musang agar menjadikan sumbangan derma kepada tempat-tempat yang berfaedah diteruskan sepanjang masa.

"Kita orang Islam seharusnya menyediakan sebanyak mungkin bekalan pahala untuk digunakan di akhirat nanti,caranya mudah sahaja iaitu salurkan wang ringgit ke tempat-tempat yang membawa kebaikan seperti pembinaan masjid,asrama sekolah untuk anak-anak kita dan sedekah,"ujar beliau.

Maahad Muhammadi Gua Musang yang sudah menjangkau usia 25 tahun menyambut jubli peraknya tahun ini mempunyai seramai 840 pelajar dengan guru seramai 52 orang kini memerlukan sumbangan derma dari orang ramai untuk membina sebuah asrama bagi menempatkan pelajar terutamanya dalam aliran tahfiz.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan derma ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad,nombor akaun : 03-063-01-000330-5.

HarakahDaily.Net/-

Bagan Pinang: Pengundi bukan Melayu bersedia buat perubahan

BAGAN PINANG, 29 Sept: Rakyat perlu membuat perubahan setelah 52 tahun Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah Negara khususnya di Negeri Sembilan.

Masyarakat tionghua dan India pula telah bersedia membuat perubahan dan diharapkan para pengundi Melayu turut serta menolak Umno-BN dalam pilihan raya kecil N.31 Bagan Pinang, 11 Oktober ini.

Setiausaha Politik Khas kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Encik Yau Con Seng berkata 52 tahun BN memerintah gagal membela rakyat.

Katanya, pengundi bukan Melayu terutama masyarakat tionghua akan membuat perubahan memilih Pakatan Rakyat.

"Kita (tionghua) sudah faham dengan perjuangan PAS melalui slogan 'PAS For All' dan akan terus memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat.

"52 tahun Umno dan kerajaan Barisan Nasional memerintah Negara dan taraf kehidupan rakyat tidak banyak berubah," ujarnya yang dipetik Buletin Online ketika ditemui, semalam.

Beliau melahirkan rasa kebimbangan terhadap pengundi Melayu yang masih disifatkan tidak banyak berubah.

"Masa untuk kita (rakyat) berubah telah tiba dan saya harap pengundi tionghua seramai 1,500 orang semua mengundi PAS.

"Kita (tionghua) jangan beri satu undi pun kepada calon Barisan Nasional dalam pilihan raya kali ini.

"Saya harap pengundi Melayu pun sedia untuk buat perubahan kerana pengundi Cina dan India sudah 'berani' (berubah),"jelasnya.

Menurutnya, masyarakat tionghua kini tidak takut lagi dengan �hudud� kerana telah diberi penjelasan.

Katanya, undang-undang hudud hanya untuk orang Islam dan tidak melibatkan masyarakat bukan Islam di Negara ini.

HarakahDaily.Net/-