04 Januari 2011

Harga minyak naik lagi.

29 Muharram 1432H.
Cina Islam

Harga minyak Petrol RON97 akan naik lagi RM 0.10 seliter mulai 12.00 tengah malam ini dari RM 2.30 kepada RM 2.40 seliter. Kenaikkan ini dilihat dari jangkaan kenaikan yang akan berterusan kepada RON97 yang akan mencecah harga kepada lebih RM 3.00 seliter pada penghujung tahun ini mengikut satu maklumat yang saya perolehi.

Bagaimanapun harga petrol RON 95 masih kekal tidak berubah pada RM1.85 seliter.

Selain itu minyak Petrol RON95 juga akan mengalami beberapa kali kenaikan pada tahun ini pada kadar yang belum dipastikan lagi menurut sumber yang kami perolehi juga.

Inilah hadiah tahun baru 2011 untuk seluruh rakyat Malaysia.

Khusrin goyah, sidang tergempar boleh diadakan

29 Muharram 1432H.

Cadangan pindaan perlembagaan Selangor bagi memberi kuasa kepada kerajaan negeri dan sultan untuk melantik tiga jawatan utama kerajaan negeri itu boleh dilakukan secara retrospektif atau dikebelakangkan, kata speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Teng Chang Khim.

"Jika rang undang-undang menyatakan bahawa pindaan akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2011, maka ia akan menjadi retrospektif,” katanya kepada wartawan di Shah Alam hari ini.

Jika cadangan pindaan itu mempunyai kesan retrospektif, ia akan memberi kesan kepada pelantikkan setiausaha kerajaan negeri Selangor yang baru, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, yang dibidas pemimpin Pakatan Rakyat.

Namun, menurut Teng, adalah terlalu awal untuk menyatakan perkara berkenaan kerana beliau belum melihat rang undang-undang itu ataupun dimaklumkan secara rasmi oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung cadangan beliau untuk memanggil sidang tergempar.

Menjelaskan perkara itu, Teng berkata sidang DUN yang ditangguhkan sehingga Mac ini sebenarnya tidak memerlukan perkenaan Sultan bagi sidang tergempar diadakan.

Katanya, di bawah Peraturan 10(3), speaker boleh memanggil sidang tergempar jika mendapati alasan yang diberikan oleh menteri besar mempunyai “kepentingan umum”.

Menurut Teng, perkara berkenaan telah disampaikan secara lisan kepadanya oleh Khalid semalam tetapi tiada keputusan boleh dibuat sehingga ia dibuat secara bertulis.

Malaysiakini/-

Program Mesra Rakyat Di Kampung Baru Chenderong




29 Muharram 1432H.
YB V.Sivakumar

KAMPAR : DAP DUN Tronoh dan DAP DUN Menglembu telah menganjurkan satu program mesra rakyat pada 2 Januari 2011. Program ini bermula pada jam 8.30 pagi di Kampung Baru Chenderong di DUN Tualang Sekah. YB V.Sivakumar dan YB Lim Pek Har telah berjumpa dengan penduduk kampung baru di Pasar Awam Chenderong dan di kedai-kedai yang berhampiran.

Program ini diadakan untuk membolehkan pemimpin-pemimpin DAP menjalin hubungan rapat dengan masyarakat tempatan. Program ini juga membolehkan wakil rakyat mengetahui masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung baru. Risalah-risalah juga telah diedarkan supaya orang ramai mendapat maklumat lengkap dan pandangan alternatif.

Selain daripada itu, saudara Tan Boon Ping, Pengerusi Biro Pendaftaran Pemilih DAP Negeri Perak juga telah mengatur pendaftaran pengundi baru di Kampung Baru Chenderong. Program berlanjut sehingga jam 10 pagi. Selepas itu, rombongan ini telah menuju ke pasar pagi Tanjung Tualang di DUN Malim Nawar.

Di situ, kedua-dua wakil rakyat bersama beberapa orang pengerusi cawangan DAP dan bekas Ahli-ahli Majlis Daerah Batu Gajah telah berjumpa dengan orang ramai termasuk penjaja-penjaja pasar pagi. Program mesra rakyat di kedua-dua DUN ini mendapat sokongan dan sambutan hangat dari kalangan semua lapisan masyarakat. Program tamat jam 12 tengahari di Medan Selera Tanjung Tualang.

Masalah sosial : Berpunca dari pemimpin BN rosak akhlak

29 Muharram 1432H.
Mohd Hafez Sabri

IPOH, 4 Januari Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menyatakan saban tahun Negara diliputi dengan kes-kes gejala sosial dan kerosakan moral seperti kes pembuangan bayi, kes pembunuhan dan kes rasuah.

Beliau menyeru agar rakyat Malaysia berfikir sejenak dimanakah letaknya punca masalah-masalah ini.

Menurut beliau, umumnya semua orang mengetahui bahawa agama merupakan benteng penghalang utama daripada masalah-masalah sosial tersebut berlaku. Tetapi sekarang kita lihat pegangan agama rakyat sudah rosak dan antara punca utamanya ialah rakyat Malaysia kini mempunyai pemimpin yang zalim dan ketandusan akhlak yang baik.

Beliau mengulas mengenai kes seorang menteri kanan kerajaan Malaysia yang dikatakan merogol pembantu rumah mereka. Kes ini dibocorkan Wikileaks yang mendedahkan maklumat diplomasi kerajaan Amerika. Paling teruk ialah isteri menteri tersebut tahu akan kejadian tersebut tetapi cuba disembunyikan kerajaan UMNO BN.

Memetik ucapan beliau “ Jika inilah tahap pegangan agama seorang menteri yang diamanahkan untuk memimpin rakyat, tidak hairanlah rakyat Malaysia terpaksa berhadapan dengan kes pembuangan bayi, kes pembunuhan dan pelbagai lagi kes yang membuatkan kehidupan di Malaysia semakin tidak aman, disebabkan rakyat mempunyai pemimpin yang rosak ini”

Pesuruhjaya PAS Perak itu menyeru agar seluruh rakyat Malaysia mengambil ikhtibar akan kes yang berlaku itu.

Menurut beliau kini rakyat Malaysia sudah hilang kepercayaan terhadap kerajaan BN kerana memiliki pemimpin yang mempunyai masalah akhlak dan integriti yang sangat kritikal

“ Rakyat kena tolak kerajaan BN. Bukan sahaja untuk kesejahteraan kita, tetapi bayangkan bagaimana pemimpin ini akan mendidik anak-anak kita, tentulah rosak anak-anak kita. Rosak generasi seterusnya” tegas beliau.

Pesuruhjaya PAS Perak itu juga mengajak rakyat Malaysia untuk bertaqwa kepada Allah. Takutlah daripada menerima akibat sama seperti kaum-kaum terdahulu seperti kaum Firaun dan kaum Namrud, di mana mereka ini dipimpin oleh pemimpin-pemimpin zalim yang akhirnya mengakibatkan diri mereka sendiri bersama dengan rakyat-rakyat mereka dihancurkan Allah Taala kerana maksiat yang mereka lakukan.

Dr. Asri : Hindari pertandingan joran

29 Muharram 1432H.

Umat Islam di negara ini digesa menghindari penyertaan pertandingan memancing atau joran yang berkonsepkan perjudian kerana ia adalah haram dan dosa besar, bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Katanya, perkara itu semakin membimbangkan kerana kebanyakan pertandingan berkenaan yang begitu meluas dijalankan di negara ini, hari ini adalah berasaskan 'judi' atau qimar.

"Masyarakat pula tidak mengambil serius tentang pembabitan unsur atau asas perjudian dalam kebanyakan pertandingan joran yang diadakan. Dalam Islam judi atau qimar adalah haram dan tersenarai dalam dosa-dosa besar.

"Qimar atau judi bermaksud 'setiap pertandingan yang mensyaratkan pemenang mengambil sesuatu dari yang kalah'. Dalam qimar atau judi ada pihak yang rugi dan yang untung atas pertaruhan tersebut. Hal ini berlaku dalam kebanyakan pertandingan joran dalam negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Dr Asri, pertandingan joran yang berasaskan prinsip perjudian itu membabitkan pelbagai pihak; kerajaan negeri, kerajaan tempatan, majlis perbandaran, parti-parti politik, sekolah, syarikat perniagaan, persatuan dan lain-lain.

Katanya, wang pertaruhan yang dinamakan 'yuran penyertaan' yang diambil itu dijadikan hadiah untuk yang menang, atau keuntungan kepada pengajur atas kekalahan peserta.

“Pembayaran wang penyertaan kebanyakannya bukan untuk kemudahan yang dinikmati oleh peserta, sebaliknya sebagai wang pertaruhan. Ini terbukti setiap peserta dikehendaki membayar berdasarkan mata pancing yang digunakan.

“Wang yang terkumpul itu juga dijadikan hadiah, atau keuntungan penganjur jika peserta gagal. Unsur pertaruhan itu jelas. Biasanya, lebih besar pertaruhan, lebih lumayan hadiah,” katanya.

Dr Asri berkata sebenarnya, yuran penyertaan itu jika sekadar pembayaran peserta menggunakan kemudahan yang disediakan seperti makan minum, duit kenderaan dan seumpamanya, maka ia bukan judi dan pertaruhan.

“Namun, apabila ia menjadi wang terkumpul untuk hadiah pemenang, maka itu adalah satu perjudian. Konsep ini hampir sama dengan apa yang digunakan oleh syarikat-syarikat loteri yang pernah menamakan diri mereka 'loteri kebajikan',” katanya.

Nik Aziz : Hanya Santapan Malam dengan Agong, hentikan andaian dan kenyataan.

29 Muharam 1432H

YAB Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS hari ini mengeluarkan kenyataan yang menafikan pertemuan yang diadakan dengan pimpinan UMNO atas jemputan KDYMM Yang Dipertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan adalah rundingan kerajaan perpaduan dan hanya majlis santapan diraja dan tidak ada kaitan dengan rundingan kerajaan perpaduan yang digembar gembur oleh sesetengah pihak.

Dengan kenyataan rasmi pada hari ini saya kita berakhir sudah isu yang diperkatakan pada baberapa hari terakhir ini.

Kenyataan Media Tuan Guru Menteri Besar Kelantan
Merangkap al-Mursyidul Am PAS

Ekoran beberapa kenyataan yang mengelirukan berkaitan pertemuan saya dengan KDYMM Yang Dipertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan baru-baru ini, saya suka menjelaskan seperti mana berikut :

Sewaktu saya berada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, saya telah dikunjungi oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi yang membawa titah KDYMM Yang Dipertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan meminta saya mengadap baginda bersama-sama beberapa orang pemimpin termasuk

Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ke majlis santapan malam di Istana Terengganu, yakni istana baginda di Kuala Lumpur. Atas dasar menghormati dan menjunjung titah Tuanku saya telah menghadiri majlis tersebut.

Adalah sangat tidak beretika dan tidak beradab bagi saya untuk menceritakan apa-apa yang menjadi perbualan semasa mengadap.

Oleh itu, saya menyeru semua pihak sama ada media atau mana-mana individu supaya tidak membuat andaian yang tidak menentu dan berharap dapat menghentikan sebarang kenyataan yang tidak tepat demi menjaga kehormatan dan nama baik pihak istana.

Terima kasih. Wassalam.

“MEMBANGUN BERSAMA ISLAM”

TUAN GURU HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Duit kertas 100 trilion


29 Muharam 1432H

HARARE - Wang kertas lama Zimbabwe dengan nilai m:uka 100 trilion menjadi rebutan pelancong di negara itu untuk dijadikan sebagai cenderamata ekonomi.

Wang 100 trilion dolar Zimbabwe - dengan 12 angka kosong - adalah nilai tertinggi yang dikeluarkan bank negara itu dan kini dijual pada harga AS$5 (RM15) sekeping.

Wang itu, beserta wang kertas lain dengan nilai sehingga jutaan, bilion dan trilion tidak digunapakai lagi sejak dua tahun lalu apabila matawang Amerika Syarikat mula digunakan di negara itu bagi memadamkan rekod inflasi Zimbabwe yang terlampau tinggi.

Semasa kemuncak kegawatan ekonomi di negara Afrika itu pada 2008, di mana inflasi meningkat sehingga bilion peratus dan harga barang naik pada setiap jam, 100 trilion hanya mampu membeli beberapa barangan runcit.

Pelajar sekolah di Zimbabwe juga tidak dapat memahami penggunaan sebenar nombor dan angka akibat penggunaan wang kertas bernilai jutaan dan bilion dolar di negara itu.

Dalam satu lawatan sambil belajar, murid-murid tidak kagum apabila diberitahu batu granit di negara itu berusia 700 juta tahun kerana pada masa itu, 700 juta dolar Zimbabwe hanya boleh membeli sebuku roti.

Khusrin dalam ketakutan, tidak ada kelayakan dan adab ?


29 Muharam 1432H
Oleh : Hafizi Pauzi

PARIT BUNTAR, 4 Jan :- Isu pelantikan SUK Kerajaan Negeri Selangor yang boleh dikatakan membelakangi persetujuan MB Selangor yang mana Khusrin, 54, telah dipilih oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan bagi menggantikan Datuk Ramli Mahmud, yang perkhidmatannya berakhir pada 31 Disember lalu

Walaubagaimana pun, Khusrin seperti dilaporkan, masih belum melaporkan diri kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Menurut sumber dari pejabat Menteri Besar, tiada arahan dikeluarkan bagi menahan Khusrin daripada pergi ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang terletak pada tingkat 19 bangunan itu.

Khusrin dipetik sebagai berkata, beliau menjelaskan bahawa YAB Menteri Besar Selangor enggan jumpa beliau (Khusrin).

“Saya rasa beliau perlu belajar lagi adab selaku tetamu di mana-mana tempat beliau pergi,” kata ADUN Titi Serong, YB Drs. Khalil Idham Lim ketika ditemui di sini.

"Pesoalannya sekarang adakah benar MB tidak mahu jumpanya atau Khusrin dalam ketakutan untuk berjumpa Tan Sri Khalid" soalnya.

Dalam pada itu, menurut sumber mengatakan bahawa beliau arif tentang peraturan dan tahu apa yang boleh atau tidak boleh dilakukannya dan mengakui yang beliau tidak berkemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.

“Selangor adalah negeri yang maju, banyak pelabur asing melabur di Selangor, ramai juga tenaga mahir yang fasih berbahasa Inggeris serta bermoral yang sedia berkhidmat untuk jawatan itu, mengapa KSN pilih calon yang tiada kemahiran dalam bahasa utama dunia itu,” soalnya yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak.

Dalam masa yang sama MB Selangor dalam kenyataannya selepas menghadap Sultan Selangor yang mencadangkan supaya kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan SPA untuk mencari penyelesaian terbaik dan MB Selangor mengucapkan terima kasih kepada DYMM Sultan atas nasihat dan pandangan baginda.

" Saya juga menyokong cadangan MB Selangor untuk mengadakan sidang Dewan Negeri Selangor tergempar bagi meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang Negeri kepada Sultan dan Menteri Besar." Jelasnya.

Menurutnya itu mungkin langkah yang paling wajar untuk mengelak gangguan melampau dari Kerajaan persekutuan dalam kemelut itu.

Pewarna teh tiruan rosakkan hati


29 Muharam 1432H

KUALA LUMPUR 3 Jan. – Bahan pewarna sintetik atau tiruan yang digunakan dalam pembuatan teh timbang boleh mendatangkan komplikasi buruk kepada organ hati sekiranya pengambilannya diamalkan.

Pakar pemakanan, Heng Kiang Soon berkata, penggunaan pewarna tiruan hanya untuk menjadikan sesuatu makanan lebih menarik, tetapi membahayakan penggunanya.

‘‘Masyarakat seharusnya mengelak daripada membeli makanan yang menggunakan pewarna tiruan seperti teh timbang kerana kesannya amat buruk kepada hati manusia.

‘‘Bahan tersebut bukan hanya digunakan untuk membuat teh timbang malah penggunaannya melibatkan banyak produk lain contohnya minuman dan makanan ringan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan mengenai teh timbang atau teh sukat yang amat digemari oleh penduduk di Kelantan yang sebenarnya boleh memudaratkan kesihatan.

Ketua Penolong Pengarah Kanan (Keselamatan dan Kualiti Makanan) Jabatan Kesihatan Kelantan, Ahmad Nadzri Sulaiman berkata semalam, teh berkenaan yang sering digunakan peniaga kedai kopi sebenarnya mengandungi bahan pewarna tiruan (bukan semula jadi) yang berbahaya kepada kesihatan.

Kiang Soon menambah, fungsi organ hati akan terjejas jika terus dibebankan dengan bahan-bahan tiruan tersebut.

Katanya, ibu bapa perlu sedar kesan buruk yang bakal dialami dengan pengambilan pewarna tersebut berlebihan khususnya kepada anak-anak kecil.

‘‘Selain teh timbang, makanan ringan kanak-kanak juga menggunakan bahan pewarna tiruan yang agak tinggi supaya produk tersebut lebih menarik untuk dimakan,” katanya

Pekan Kuno Tongli


29 Muharam 1432H

Pekan Tongli merupakan sebuah kampung air yang bersejarah, ia terletak di provinsi Jiangsu di timur China. Pekan ini amat terkenal dan menarik ramai pelancong berkunjung ke sini, kerana bangunan kunonya yang cantik dan suasana budayanya yang istimewa.

Sekiranya anda melancong ke pekan Tongli, saudara boleh berjalan kaki di jalan-jalan atau menaiki perahu, sambil menikmati pemandangan yang indah di kiri kanan jalan atau sungai di pekan ini.

Pekan Tongli dikelilingi oleh tasik, 15 batang sungai yang membahagikan pekan ini menjadi 7 buah pulau. Jalan-jalan dan rumah-rumah dibina di kiri dan kanan sungai. Setiap rumah di pekan ini menghadap sungai dan penduduk tempatan boleh mendayung perahu di sungai yang bersimpang-siur.

Oleh itu, jambatan, jeti dan perahu boleh didapati di merata-rata tempat di pekan kuno ini. Antara jambatan tersebut, Jambatan Siben yang dibina lebih 700 tahun yang lalu, masih kukuh sehingga kini. Manakala Jambatan Dubu yang panjangnya hanya 2 meter dan lebarnya kurang daripada satu meter, hanya boleh dilalui oleh dua orang jika mereka bertembung di sana.

Binaan di pekan ini mempunyai ciri-ciri tersendiri, yang paling istimewa ialah dinding dan pintu batu bata yang diukir dengan corak bunga, pokok, burung, pemandangan alam, atau manusia. Ukiran ini memperlihatkan harapan penduduk bagi kehidupan yang aman sejahtera dan kaya. Satu lagi keistimewaan seni bina di sini ialah setiap pekarangan rumah dihiasi dengan pokok dan bunga malahan batu besar yang berbentuk bukit.

Terdapat banyak bangunan yang dibina pada zaman Dinasti Ming dan Dinasti Qing di Pekan Tongli ini. Antaranya Taman Tuisi merupakan taman yang paling istimewa. Di taman ini, terdapat banyak ukiran kayu yang sangat halus. Oleh sebab keistimewaan dan kecantikannya, banyak penggambaran filem dan drama TV dilakukan di sini.

Dewan Jiayin yang dibina pada tahun 1922, juga bernama Dewan Shamao. Ia mempunyai seni bina zaman Dinasti Ming. Ukiran kayu menghiasi taman ini di merata sudut.

Dewan Chongben terletak di utara Jambatan Changqing. Kompleks ini terdiri daripada tiga buah bangunan utama, bangunan yang paling belakang adalah yang paling tinggi, manakala bangunan di depan merupakan yang paling rendah. Maka Dewan Chongben juga digelar sebagai "naik pangkat tiga kali". Terdapat lebih 100 buah ukiran di kompleks ini, yang menarik ramai pelancong.

Rumah penduduk biasa di pekan Tongli lebih kecil, tetapi susunannya yang rapi dan hiasannya yang cantik juga tidak kurang menarik berbanding dengan bangunan-bangunan besar tersebut.

Pelancong yang melawat pekan Tongli kebanyakannya bermalam di sini, kerana dengan cara ini, barulah mereka dapat menghayati budaya tempatan dengan sepenuhnya.

Menurut taklimat pemandu pelancong, terdapat hotel empat bintang malahan lima bintang di pekan ini, tetapi kebanyakan pelancong berminat menginap di hotel biasa. Hotel-hotel yang biasa itu merupakan rumah penduduk tempatan, mereka menjadikan bilik kosong sebagai bilik tamu, pelancong boleh tinggal dan makan bersama-sama tuan rumah.

Tips: Pekan Tongli hanya sejauh 18 kilometer dari bandar Suzhou, dan 80 kilometer dari Shanghai. Sekiranya saudara berminat melancong ke Tongli, saudara boleh pergi ke sana dengan menaiki bas.

CRI/-

UMNO politikkan isu Wali Band: Pas


29 Muharam 1432H

Ketua Penerangan Pas Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, UMNO juga dilihat keliru dengan beberapa peraturan yang ditetapkan sepanjang penganjuran konsert itu sehingga melemparkan tuduhan dasar Kerajaan Negeri hanya “hangat-hangat tahi ayam” dalam soal hiburan.

“Kami rasakan UMNO Kelantan keliru dengan mempertikaikan hal percampuran lelaki dan perempuan dalam konsert berkenaan kerana mungkin percampuran yang dilihat itu adalah ahli dalam sesebuah keluarga.

“Jika betul ada campur lelaki dan perempuan bukan muhrim, itu dilakukan penonton secara senyap-senyap. Apa yang penting Kerajaan Negeri sudah mematuhi setiap syarat mengasingkan jantina dalam konsert itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, jika memang ada percampuran jantina pihak berkenaan perlu buktikan kerana pihaknya sudah melakukan sebaik mungkin supaya setiap syarat penganjuran dipatuhi.

Oleh itu, pihaknya menafikan dakwaan penganjuran itu dibuat semata-mata untuk menarik minat golongan muda sehingga mengetepikan dasar perjuangan yang dibawa Kerajaan Negeri selama ini.

Dr Mohamed Fadzli berkata, UMNO dinasihatkan supaya tidak mempertikaikan dasar yang dibuat Kelantan selama ini kerana ia dilaksanakan mengikut undang-undang yang terkandung dalam Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Zailah Mohd Yusof pula menafikan Kerajaan Negeri sudah lari dari dasar perjuangan selama ini dengan penganjuran konsert berkenaan dan menegaskan Kerajaan Negeri masih berpegang dengan dasar itu.

“Hiburan dianjurkan namun ia mengikut syarat-syarat yang ditetapkan Kerajaan Negeri. Oleh itu sebelum membuat tuduhan lebih baik UMNO periksa dulu banyak benda bercanggah dengan Islam yang dilaksanakan mereka selama ini.

“Mengenai kaunter lelaki dan wanita pula jangan disalahkan, kerana Kerajaan Negeri tetap melaksanakan dasar yang sama. Itu kelemahan dari sudut penguatkuasaan premis itu sendiri jika mereka tidak mematuhinya,” kata Ahli Parlimen Rantau Panjang itu.

Semalam di Rantau Panjang, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan menyifatkan dasar yang dibuat Kerajaan Negeri mengenai beberapa perkara termasuk hiburan hanya hangat-hangat tahi ayam.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu juga mempersoalkan keberkesanan pelaksanaan pengasingan lelaki dan perempuan sepanjang konsert berkenaan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, anjuran SekretariatMisi Cakna Palestin dengan kerjasama Kerajaan Negeri.

Teguk arak sambut tahun baru 2011


29 Muharam 1432H

SEREMBAN - Mungkin ketaksuban terhadap budaya kuning dari Barat mempengaruhi sekumpulan 17 lelaki dan wanita beragama Islam meneguk minuman keras bagi menyambut ketibaan tahun baru 2011.

Mereka dicekup dalam operasi dilancarkan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di pusat hiburan dan karaoke sekitar bandar ini, Nilai dan Jempol.

Ketua Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, operasi bermula kira-kira jam 9.30 malam, 31 Disember lalu dan berakhir kira-kira jam 5 pagi, keesokannya.

"Dua daripada 17 pengunjung beragama Islam ditahan adalah wanita. Semuanya berumur dalam lingkungan 20 hingga 30-an.

"Mereka dipercayai mengambil minuman keras ketika berhibur di tiga premis hiburan dan karaoke di Nilai, satu di Seremban serta beberapa lokasi lain sekitar Bahau, Jempol,” katanya, di sini, semalam.

Beliau juga mengesahkan sembilan pengunjung lelaki yang ditahan adalah penjawat awam.

Ahmad Zaki berkata, semua individu terbabit ditahan mengikut Seksyen 78 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 kerana mengambil minuman keras.

Menurutnya, mereka berdepan hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya sabit kesalahan.

"Dalam operasi sama, dua pengunjung lelaki beragama Islam turut ditahan kerana dipercayai berkelakuan seperti wanita.

"Kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 66 enakmen sama memperuntukkan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zaki berkata, operasi berkenaan yang membabitkan 40 pegawai dan anggota JHEAINS, Unit Tatatertib Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol serta Majlis Keselamatan Negara, turut menahan sembilan individu kerana disyaki berkhalwat.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 61 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992, membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau tidak lebih dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali sekiranya sabit kesalahan,” katanya.

Menurutnya, individu ditahan di sekitar bandar ini dan Nilai dibawa ke IPD Seremban, sementara yang ditahan di Bahau dibawa ke IPD Jempol untuk tindakan lanjut.

Kedah kutip RM50j premium balak

29 Muharam 1432H
Oleh : ROSLINDA HASHIM

ALOR SETAR - Kedah mengutip premium balak lebih RM50 juta bagi 2010, hampir 205 peratus lebih tinggi berbanding kutipan semasa di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, peningkatan itu adalah hasil keberkesanan sistem tender terbuka yang dilaksanakan sejak Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pemerintahan negeri.

“Perubahan polisi yang dibuat ternyata membuahkan hasil dan bukan untuk menindas mana-mana pihak. Jika saya boleh ubah dasar dan polisi dalam pentadbiran untuk kesejahteraan rakyat, saya akan buat.

“Apa yang saya buat ketika memperkenalkan tender terbuka balak, ada yang tidak puas hati tapi syukur kerana perubahan itu menyebabkan hasil balak meningkat hampir 205 peratus,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara, Kedah berjaya meningkatkan hasil balak 205 peratus berbanding sebelum 2008 dengan hasil kutipan adalah hanya sekitar RM8 juta bawah pimpinan Kerajaan BN.

Apabila diambil alih Kerajaan PR pada 2008, hasil balak mencecah RM35 juta dan meningkat kepada RM38 juta pada 2009.

“Tahun ini sukacita saya maklumkan hasil balak negeri bertambah baik mencecah RM50 juta. Hasil balak premium ini adalah atas keluasan tanah 2,400 hektar,” katanya.

Azizan berkata, kejayaan itu adalah hasil ketelusan Kerajaan Negeri mengubah polisi kepada yang lebih baik yang diyakini dapat menambah pendapatan, seterusnya dapat digunakan untuk pembangunan rakyat.

“Inilah polisi yang terbaik pernah saya ubah. Pemberian balak tidak lagi diberi secara anugerah dan setelah saya umumkan dibuat tender terbuka, polisi ini amat berkesan. Ia secara tidak langsung dapat menghindari gejala rasuah dan kronisme,” katanya.

Azizan yakin rakyat kini semakin memahami tindakan Kerajaan Negeri.

PAS Perak nafi wujud kem

29 Muharam 1432H.

IPOH - Pas Perak tidak pernah berpecah, malah kem yang didakwa kononnya wujud itu adalah fitnah semata-mata, kata Setiausaha Pas Negeri, Misbahul Munir Masduki.

Beliau berkata, tuduhan itu hanyalah cubaan untuk memecahbelahkan Pas negeri itu.

Menurutnya, kepimpinan dan pengaruh Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebenarnya digeruni oleh pimpinan UMNO sehingga mereka terpaksa mengada-adakan cerita kononnya Pas Negeri sedang bergolak.

“UMNO sebenarnya bermasalah dan berpecah. Saya tahu ada Ketua-ketua UMNO Bahagian tertentu di Perak ini tidak setuju dengan kepimpinan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

“Itulah yang cuba disembunyikan mereka kerana tidak mahu kelemahan itu diketahui umum,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Misbahul Munir berkata demikian mengulas dakwaan Ketua Pemuda UMNO Negeri, Maslin Sham Razman terdapat dua kem di dalam Pas iaitu pro-DAP yang diketuai Mohammad Nizar dan kem yang menentang.

Beliau berkata, ada rakan-rakan UMNO yang ditemuinya mengakui perkara itu tetapi tidak berani untuk bersuara kerana bimbang kepentingan mereka akan ditarik balik.

Menurut beliau, tuduhan mereka terhadap Pas adalah berniat jahat dan hasrat mereka untuk melihat pemimpin Pas bergaduh sesama sendiri tidak akan berjaya.

Mengenai perancangan Pas Perak untuk tahun 2011, beliau berkata, Pas Negeri sedang menumpukan usaha memantapkan kawasan-kawasan yang ditandingi Pas pada Pilihan Raya Umum lalu.

“Kita mahu pastikan kesemua 20 kerusi yang diwakili Pas di Perak akan dimenangi pada PRU ke 13 nanti,” katanya.

Sinar Harian/-

Khusrin: MB enggan jumpa saya

29 Muharam 1432H

Setiausaha kerajaan negeri Selangor yang baru dilantik, Datuk Mohd Khusrin Munawi gagal mendapatkan temujanji bagi berjumpa dengan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung upacara angkat sumpah jawatannya.

Upacara itu perlu diadakan sebelum beliau boleh menjalankan tugas-tugasnya termasuk mengambil bahagian pada mesyuarat dewan undangan negeri dan tugas ex-officio yang lain.

"Saya telah menulis (kepada Khalid) hari ini, dan juga cuba bercakap dengan setiausaha sulitnya tetapi belum mendapat respon,” katanya kepada wartawan pada sidang media di pejabat barunya di bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di Sham Alam.

Meskipun dijangka tidak akan mengangkat sumpah dalam masa terdekat ini, Khusrin berkata beliau masih boleh menjalankan tugas-tugas termasuk membabitkan pentadbiran kerajaan negeri, sumber manusia dan perkara-perkara merancang.

"Saya akan buat kerja mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada selagi tiada arahan selanjutnya dari JPA. Kalau hari ini saya diarahkan pergi (oleh JPA), saya akan pergi...tiada masalah," katanya.

Sambil menyifatkan perkara itu sebagai cabaran besar sepanjang 24 tahun berkhidmat di Selangor, beliau menegaskan tidak mempunyai masalah dan ia juga tidak akan menjejaskan tugasnya sebagai penjawat awam.

''Saya maklum yang Menteri Besar akan berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan selagi saya tidak diarah balik ke Kerajaan Persekutuan, saya akan jalankan tugas mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. Saya juga telah memohon untuk mengangkat sumpah rahsia di hadapan Menteri Besar melalui surat pagi ini, tetapi masih belum ada jawapan,'' katanya..

Khusrin menegaskan, beliau tidak pernah bersikap rasis dan tidak bermasalah untuk bekerjasama dengan menteri besar dan exco-exco lain.

Beliau juga tidak faham mengapa diserang dan ditohmah sejak mula menjadi Pengarah JAIS oleh beberapa pihak, sedangkan beliau menjalankan tugas mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Katanya, sebagai penjawat awam, beliau tahu peraturan dan tahu apa yang boleh atau tidak boleh dilakukannya.

Pada masa sama, beliau turut menolak dakwaan pelantikannya itu adalah strategi kerajaan BN untuk merampas semula Selangor atau beliau akan bersikap rasis berikutan latar belakangnya sebagai bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

"Apa yang saya boleh buat...undi setia saya pun tak boleh saya jamin".

Katanya beliau telah menjadi mangsa serangan peribadi oleh pelbagai pihak sejak bermulanya isu penahanan bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang didakwa mengajar agama Islam tanpa tauliah di Selangor pada November 2009.

"Banyak isu negatif dilemparkan terhadap saya yang menggambarkan seolah-olah saya pegawai yang bermasalah, tidak patuh kepada arahan serta mempunyai agenda politik tertentu.

"Perlu ditegaskan bahawa apa yang saya buat sepanjang saya bertugas di Jais dan Mais adalah mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada.

"Saya mengakui saya memang ada kekurangan untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dan percaya masalah itu tidak menjadi halangan bagi saya teruskan khidmat saya sebagai SUK," katanya.

Jangan cuci pakaian kotor di tempat awam

29 Muharram 1432H.
Drs. Khalil Idham Lim

Saya suka untuk meminjam kenyataan yang pernah dinyatakan Exco kerajaan negeri, Dr Halimah Ali dalam kenyataannya pada bulan July tahun lepas yang meminta rakan-rakannya menyelesaikan masalah mereka melalui meja rundingan bukannya melalui media

Menurutnya tindakan kita mencuci pakaian kotor di tempat awam (wash dirty linen in public) amat tidak sesuai sekali dengan semangat kita berpakat dalam Pakatan Rakyat.

Adapun tujuan saya mengangkat kembali pandangan yang baik dan bernas ini adalah untuk mengingatkan semua pihak supaya cukup berhati-hati dalam menggunakan media yang terbuka luas sehingga nanti bukan menjadi senjata untuk menikan parti dan diri sendiri.

Sering saya ingatkan dalam banyak ucapan dan tulisan saya bahawa musuh sebenar kita adalah BN dan semua ahli parti komponennya. Sedarlah rakan seperjuangan kita adalah semua ahli dan penyokong Pakatan Rakyat, khususnya parti yang kita menjadi ahlinya. Mereka adalah rakan kongsi kita untuk sungkurkan BN.

Satu trend baru yang saya lihat ialah sesetengah pihak sudah tidak suka bermesyuarah dan berdeplomasi dengan jalan yang paling efektif untuk menyelesaikan masalah dalaman namun menggunakan media alternatif seperti blog, facebook, twitter dan sebagainya untuk melemparkan pandangan yang sepatutnya diselesaikan diperingkat dalaman parti.

Kalau ada maklumat penting berhubunglah dengan pimpinan parti yang sesuai bukannya berhubung dengan media atau menulis dalam media masing-masing.

Seperkara lagi berlakulah secara adil untuk menghukum seseorang dengan adakan dia dihadapan pengadilan seperti mahkamah baru hak dirinya boleh membela diri, selepas itu hukumlah selepas semua keterangan dikumpulkan.

Kerana itu pandangan Dr. Halimah yang saya kira hampir dilupakan itu saya angkat kembali untuk mengigatkan saya dan semua rakan taulan untuk terus berpijak dibumi nyata dalam menempuh liku-liku perjuangan ang masih panjang ini.

Merujuk kepada banyak aduan yang cuba dikemukakan kepada saya dalam soal rumah tangga termasuk untuk bercerai sejak saya menjadi ADUN, saya lebih awal sebelum pengadu mencerita lebih panjang terus arahkan dengan bahasa yang cukup berhemah dengan mengatakan masalah itu hanya dapat diselesaikan di Pejabat Agama.

Demikianlah apa saja masalah yang ada bawalah berbincang diperingkat dalaman parti sendiri ataupun Pakatan Rakyat dan jangan sesekali menggunakan media awam atau media kepunyaan peribadi untuk melemparkan permasalah untuk dibincang.

Nanti ada yang kata ingatkan cerdik tapi nampak kurang cerdik....

Mangsa rogol rayu identiti tidak didedah

29 Muharam 1432H

NGO Indonesia yang memperjuangkan kes dakwaan rogol oleh seorang menteri kabinet semasa pentadbiran mantan perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata mangsa dan keluarganya merayu agar identiti mereka dirahsiakan.

Ini kerana mereka bimbang impak skandal itu ke atas mereka dan kemungkinan menteri berkenaan yang kini berkhidmat di bawah pentadbiran perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mempunyai kesan kepada mereka meskipun berada di Indonesia.

Menurut sepucuk surat yang didakwa ditulis oleh adik perempuan mangsa - yang disiarkan di beberapa blog - dan dihantar ke kedutaan Indonesia dan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, kejadian rogol itu terus dirahsiakan kerana “menteri berkenaan mempunyai banyak wang dan kenalan di Indonesia.”

“Adalah dikhuatiri sesuatu akan berlaku kepada keluarga dan kakak saya seperti yang berlaku dalam kes Altantuya di Malaysia,” petik surat yang ditulis pada pertengahan 2007 itu yang merujuk kepada pembunuhan kejam warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ketika dihubungi ketika itu, pengarah Migrant Care yang berpangkalan di Jakarta, Anis Hidayah memberitahu Malaysiakini mereka tidak boleh menghebahkan kes itu kerana mangsa dan keluarganya- meskipun telah menjalani sesi kaunseling - menolak untuk membuat kenyataan umum dan mengheret menteri berkenaan ke mahkamah.

Isu yang tertersorok selama tiga tahun itu muncul semula di alam siber sejak beberapa minggu lalu apabila ia dikatakan didedah oleh laman WikiLeaks.

Ketua pengarang The Malay Mail, Datuk Ahirudin Attan juga menulis mengenai pendedahan WikiLeak dalam blog Rocky Bru kelolaannya. Menurut beliau Pejabat Perdana Menteri yang ketika itu di bawah Abdullah juga menerima laporan berkenaan.

Pada 27 Disember 2009, kumpulan pelindung pendatang asing, Tenaganita mendesak kejadian rogol yang didakwa berlaku pada 19 Jun 2007 itu disiasat.

Pada laporan bertarikh Ogos 2007, Anis berkata perjumpaannya dengan mangsa berkenaan pada 24 Julai tahun yang sama di rumah mangsa di Madukara, Banjarnegara Jawa Tengah untuk mendapatkan maklumat.

Setelah dipujuk, mangsa berkenaan yang telah bekerja selama lapan tahun sebagai pembantu rumah kepada menteri berkenaan, akhirnya mengakui majikannya itu telah merogolnya.

Mangsa bagaimanapun merayu kepada Anis dan dua aktivis Migrant Care supaya kes perogolannya tidak dihebahkan kerana “bimbang malu ke atas dirinya, keluarga dan juga masyarakat di kampung mereka.”

Katanya, “beliau hanya orang kecil berbanding (menteri itu) adalah orang besar, jadi beliau amat takut dan meminta kes rogol itu ditutup,” petik laporan Anis.

Persoal wanita bersalin: Pemuda Gerakan didesak pohon maaf

29 Muharam 1432H

KUALA LUMPUR, Jan 3: Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang melemparkan satu soalan yang bersifat diskriminasi terhadap semua warga wanita apabila beliau mempersoalkan kemampuan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh untuk berkhidmat ketika cuti bersalinnya.

Setelah mendapat berita bahawa Hannah telah masuk bulan ke empat menggandung anak pertamanya, Tan melemparkan satu soalan berat di Twitter, di mana beliau bertanya sama ada seseorang itu akan memilih Jessica Lai, pemimpin Beliawanis MCA atau Hannah yang akan cuti bersalin tidak berapa lama lagi.

“Saya membayangkan bahawa saudari mungkin tidak dapat untuk berkhidmat di kawasan saudari ketika cuti bersalin, di mana saudara berhak. Walau macammanapun, tahniah atas kehadiran anak saudari,” jawab Tan ketika disoal Hannah mengenai maksud sebenar kenyataannya.

Namun, jawapan Tan tidak disenangi para pengikut Twitternya sendiri, dengan ada yang memberikan komen bahawa Tan telah melampaui batas mempersoalkan kemampuan wanita ketika cuti bersalin.

“Salam Tuan Tan, saya rasa saudara telah melampaui batas. Kita hanya manusia dan hanya boleh melakukan yang terbaik,” kata Benny Paul dalam mempertahankan Hannah.

“Mungkin semua pemimpin yang dipilih tidak boleh mengandung untuk 5 tahun,” kritik satu lagi pengikut Tan yang bernama Hoong Ling.

Akibat desakan bertubi-tubi, Tan akhirnya terpaksa mengeluarkan satu kenyataan penafian.

“Saya tak pernah kata seorang pemimpin yang dipilih tidak boleh mengandung atau mengambil cuti bersalin. Saya hanya memberikan fakta kepada rakyat untuk memilih. Adakah salah untuk memberitahu bahawa seseorang akan pergi cuti bersalin?

"Hanya persepsi anda terhadap kenyataan saya yang membingungkan,” jelas Tan.

Kenyataan Tan itu dibalas dengan penuh keyakinan oleh Hannah yang mengatakan bahawa beliau boleh bertugas jauh lebih rajin daripada sesetengah Ahli Parlimen Barisan Nasional walaupun beliau sedang cuti bersalin.

“Saya berharap orang macam saudara tidak akan menjadi menteri satu hari nanti,” bidas Hannah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang turut mengikuti perkembangan di Twitter tersebut, hari ini mengeluarkan satu kenyataan menuntut Tan untuk meminta maaf kepada Hannah dan kaum hawa atas kenyataan sinis dan merendahkan martabatkan wanita.

“Beliau kena ingat kaum hawa merangkumi 49 peratus penduduk Malaysia. Jika benar beliau berhasrat menjadi seorang pemimpin yang dipilih rakyat, beliau mesti mempunyai tanggungjawab untuk berkhidmat kepada konsistuen lelaki dan perempuan tanpa prejudis.

"Saya menyeru Tan untuk meminta maaf pada Hannah dan semua kaum hawa atas kejahilan beliau dan mendidik dirinya tentang kesamaan gender,” bidas Teresa.

Projek tebatan banjir sudah 10 tahun berlalu

29 Muharam 1432H

RANTAU PANJANG, 3 Jan: Projek tebatan banjir yang membabitkan kos sehingga RM2 bilion kini dicanang kembali selepas projek diuar-uarkan sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menjadi kenyataan.

Ketika merasmikan jambatan Sultan Ismail Petra di Tendong, Pasir Mas kira-kira 10 tahun lalu Dr Mahathir sebagai perdana menteri mengumumkan kerajaan pusat akan membina projek tebatan banjir RM2 bilion di Kelantan.

Ketika itu lakaran projek RM2 bilion diedar kepada orang ramai yang hadir pada majlis berkenaan. Dan selepas kira-kira 10 tahun berlalu, projek tersebut difahamkan tidak disenarai dalam rancangan pembangunan Malaysia iaitu Rancangan Malaysia Ke-8, RMK-9 atau RMK-10.

Namun semalam projek itu diuar-uarkan kembali. Kali ini disebut pula Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika melawat mangsa banjir di sini.

Bagaimanapun beliau mengakui projek itu tidak dimasukkan dalam RMK-11 kecuali dalam jumlah yang kecil sahaja.

Mengulas isu berkenaan, Adun Gual Periuk, Mohamad Awang berkata, cadangan membina tebatan banjir sudah lama diuar-uarkan, namun ia tidak menjadi kenyataan sehingga sekarang.

”Malah pengakuan menteri tiada peruntukan bagi membina projek berkenaan menggambarkan tiada kesungguhan kerajaan persekutuan bagi mengatasi masalah banjir di sini.

”Sedangkan di sebelah Thailand benteng bagi mencegah banjir sudah lama dibina. Sebab itu setiap kali hujan lebat di negara jiran, air mudah melimpah di sebelah Rantau Panjang,” katanya di sini.

Sebelum ini seramai 494 penduduk yang tinggal di tebing Sungai Golok di Rantau Panjang berpindah ekoran banjir yang berlaku Sabtu lalu.

Mangsa banjir yang tinggal di sekitar kedai lama Rantau Panjang berpindah ke stesen kereta api.

Mohamad juga berkata, banjir mudah melimpah di kawasan berkenaan kerana sebuah jabatan kerajaan membina pusat kuarantin sehingga menimbuskan laluan air di kawasan terbabit.

”Sebelum ini pada mesyuarat pembangunan di peringkat jajahan Pasir Mas saya sudah bangkitkan perkara itu, namun pembinaan pusat kuarantin diteruskan juga tanpa ada sistem saluran yang sesuai.

”Sepatutnya pembentungan lebih besar dibina bagi mengelakkan air bertakung sehingga menyebabkan banjir,” ujarnya.

Beliau juga berkata, mangsa banjir yang berpindah mendapat bantuan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Menurutnya penghulu ditugas memantau mangsa banjir bagi memastikan mereka mendapat bantuan yang disediakan.

Bagaimanapun kata beliau mangsa hanya berada di pusat pemindahan satu malam sahaja dan pulang ke rumah selepas air surut.

Sementara itu anggota parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof bertungkus lumus menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang tidak berpindah.

Tegas kawal harga minyak masak, elak disorok

29 Muharram 1432H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 3 Jan: Kerajaan digesa memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku kenaikan harga minyak masak tahun ini bagi mengelakkan berlakunya perbuatan menyorok barang kawalan itu.

Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli (gambar) berkata, selagi kerajaan tidak mengeluarkan satu kenyataan yang tegas, spekulasi kenaikan harga akan terus berlaku dan peniaga akan terus menyoroknya manakala pengguna pula membuat pembelian panik.

"Sehingga hari ini kabinet belum buat keputusan lagi sama ada nak naikkan harga (minyak masak) ataupun tidak.

"Jadi kalau ada khabar angin kenaikan harga ini, memang munasabahlah. Ini akan menimbulkan suasana kenaikan harga barang.

"Saya harap kerajaan bertegas mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak akan menaikkan harga minyak masak dalam tempoh setahun ini," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kehabisan bekalan minyak masak di Lembah Klang dan beberapa negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak seminggu lalu.

Beliau yang juga ahli Parlimen Kuala Krai turut berkata, pengumuman kerajaan akan melegakan semua pihak dan peniaga tidak boleh mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang.

"Pengumuman kerajaan paling tidak akan melegakan rakyat dan menolak sebarang khabar angin dan juga hasrat mana-mana pihak untuk menaikkan harga barang," katanya.

Menurutnya juga, bekalan minyak masak dalam negara tidak akan habis kerana Malaysia merupakan negara pengeluar utama minyak.

"Bekalan tak habis, tapi ada pihak yang mengambil kesempatan berpunca daripada khabar angin dan ketidaktegasan kerajaan menangani situasi ini," katanya.

Minyak masak adalah barangan terkawal dengan harganya ditetapkan RM3.30 sekilogram bagi sawit tulen, sawit campuran (RM3.60) dan kampit plastik (RM2.50).

Terdapat peniaga yang menyorok bekalan barangan itu selepas timbul spekulasi harga akan naik sebanyak 40 sen sekilogram.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memberikan jaminan bahawa harga minyak masak tidak akan dinaikkan buat masa ini.

Timbalan menterinya, Datuk Tan Lian Hoe berkata, jaminan itu dibuat kerana bekalan minyak masak mencukupi dan tindakan diambil termasuk menyelaras dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk mempercepatkan bekalan kepada semua kedai.

Beliau berkata, kekurangan minyak masak disebabkan pembelian panik berikutan khabar angin bahawa harga barang keperluan ini akan dinaikkan.

Najib bertemu Nik Aziz : Bertenang dan tunggu kenyataan rasmi

29 Muharram 1432H.

Satu kejutan dan berita yang mengemparkan menghiasi berita politik tanah air bila Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengakui bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akhir Disember lalu.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan hasil pertemuan itu kerana demi menjaga peraturan yang sepatutnya dilakukan oleh setiap pemimpin.

Selain itu Setiausaha Akhbar kepada YAB MB Kelantan, Ust.Ahmad Fadhli Shaari sebagai berkata penjelasan lanjut berhubung pertemuan itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat dan dijangka dalam masa 24.

Saya meminta semua penyokong Pakatan Rakyat khususnya ahli PAS supaya bertenang dan tidak melakukan tafsiran sendiri sebelum kenyataan rasmi dikeluarkan oleh YAB MB Kelantan.

Jauh sekali terpelusuk kepada provokasi pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memporak perandakan Pakatan Rakyat dan PAS.

Semuga penjelasan yang bakal dikeluarkan oleh pihak YAB MB Kelantan akan merungkaikan segala persoalan dan tafsiran yang pelbagai kepada pertemuan itu.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
ADUN TITI SERONG
.