04 Januari 2011

UMNO politikkan isu Wali Band: Pas


29 Muharam 1432H

Ketua Penerangan Pas Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, UMNO juga dilihat keliru dengan beberapa peraturan yang ditetapkan sepanjang penganjuran konsert itu sehingga melemparkan tuduhan dasar Kerajaan Negeri hanya “hangat-hangat tahi ayam” dalam soal hiburan.

“Kami rasakan UMNO Kelantan keliru dengan mempertikaikan hal percampuran lelaki dan perempuan dalam konsert berkenaan kerana mungkin percampuran yang dilihat itu adalah ahli dalam sesebuah keluarga.

“Jika betul ada campur lelaki dan perempuan bukan muhrim, itu dilakukan penonton secara senyap-senyap. Apa yang penting Kerajaan Negeri sudah mematuhi setiap syarat mengasingkan jantina dalam konsert itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, jika memang ada percampuran jantina pihak berkenaan perlu buktikan kerana pihaknya sudah melakukan sebaik mungkin supaya setiap syarat penganjuran dipatuhi.

Oleh itu, pihaknya menafikan dakwaan penganjuran itu dibuat semata-mata untuk menarik minat golongan muda sehingga mengetepikan dasar perjuangan yang dibawa Kerajaan Negeri selama ini.

Dr Mohamed Fadzli berkata, UMNO dinasihatkan supaya tidak mempertikaikan dasar yang dibuat Kelantan selama ini kerana ia dilaksanakan mengikut undang-undang yang terkandung dalam Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Zailah Mohd Yusof pula menafikan Kerajaan Negeri sudah lari dari dasar perjuangan selama ini dengan penganjuran konsert berkenaan dan menegaskan Kerajaan Negeri masih berpegang dengan dasar itu.

“Hiburan dianjurkan namun ia mengikut syarat-syarat yang ditetapkan Kerajaan Negeri. Oleh itu sebelum membuat tuduhan lebih baik UMNO periksa dulu banyak benda bercanggah dengan Islam yang dilaksanakan mereka selama ini.

“Mengenai kaunter lelaki dan wanita pula jangan disalahkan, kerana Kerajaan Negeri tetap melaksanakan dasar yang sama. Itu kelemahan dari sudut penguatkuasaan premis itu sendiri jika mereka tidak mematuhinya,” kata Ahli Parlimen Rantau Panjang itu.

Semalam di Rantau Panjang, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan menyifatkan dasar yang dibuat Kerajaan Negeri mengenai beberapa perkara termasuk hiburan hanya hangat-hangat tahi ayam.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu juga mempersoalkan keberkesanan pelaksanaan pengasingan lelaki dan perempuan sepanjang konsert berkenaan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, anjuran SekretariatMisi Cakna Palestin dengan kerjasama Kerajaan Negeri.

Tiada ulasan: