04 Januari 2011

Pekan Kuno Tongli


29 Muharam 1432H

Pekan Tongli merupakan sebuah kampung air yang bersejarah, ia terletak di provinsi Jiangsu di timur China. Pekan ini amat terkenal dan menarik ramai pelancong berkunjung ke sini, kerana bangunan kunonya yang cantik dan suasana budayanya yang istimewa.

Sekiranya anda melancong ke pekan Tongli, saudara boleh berjalan kaki di jalan-jalan atau menaiki perahu, sambil menikmati pemandangan yang indah di kiri kanan jalan atau sungai di pekan ini.

Pekan Tongli dikelilingi oleh tasik, 15 batang sungai yang membahagikan pekan ini menjadi 7 buah pulau. Jalan-jalan dan rumah-rumah dibina di kiri dan kanan sungai. Setiap rumah di pekan ini menghadap sungai dan penduduk tempatan boleh mendayung perahu di sungai yang bersimpang-siur.

Oleh itu, jambatan, jeti dan perahu boleh didapati di merata-rata tempat di pekan kuno ini. Antara jambatan tersebut, Jambatan Siben yang dibina lebih 700 tahun yang lalu, masih kukuh sehingga kini. Manakala Jambatan Dubu yang panjangnya hanya 2 meter dan lebarnya kurang daripada satu meter, hanya boleh dilalui oleh dua orang jika mereka bertembung di sana.

Binaan di pekan ini mempunyai ciri-ciri tersendiri, yang paling istimewa ialah dinding dan pintu batu bata yang diukir dengan corak bunga, pokok, burung, pemandangan alam, atau manusia. Ukiran ini memperlihatkan harapan penduduk bagi kehidupan yang aman sejahtera dan kaya. Satu lagi keistimewaan seni bina di sini ialah setiap pekarangan rumah dihiasi dengan pokok dan bunga malahan batu besar yang berbentuk bukit.

Terdapat banyak bangunan yang dibina pada zaman Dinasti Ming dan Dinasti Qing di Pekan Tongli ini. Antaranya Taman Tuisi merupakan taman yang paling istimewa. Di taman ini, terdapat banyak ukiran kayu yang sangat halus. Oleh sebab keistimewaan dan kecantikannya, banyak penggambaran filem dan drama TV dilakukan di sini.

Dewan Jiayin yang dibina pada tahun 1922, juga bernama Dewan Shamao. Ia mempunyai seni bina zaman Dinasti Ming. Ukiran kayu menghiasi taman ini di merata sudut.

Dewan Chongben terletak di utara Jambatan Changqing. Kompleks ini terdiri daripada tiga buah bangunan utama, bangunan yang paling belakang adalah yang paling tinggi, manakala bangunan di depan merupakan yang paling rendah. Maka Dewan Chongben juga digelar sebagai "naik pangkat tiga kali". Terdapat lebih 100 buah ukiran di kompleks ini, yang menarik ramai pelancong.

Rumah penduduk biasa di pekan Tongli lebih kecil, tetapi susunannya yang rapi dan hiasannya yang cantik juga tidak kurang menarik berbanding dengan bangunan-bangunan besar tersebut.

Pelancong yang melawat pekan Tongli kebanyakannya bermalam di sini, kerana dengan cara ini, barulah mereka dapat menghayati budaya tempatan dengan sepenuhnya.

Menurut taklimat pemandu pelancong, terdapat hotel empat bintang malahan lima bintang di pekan ini, tetapi kebanyakan pelancong berminat menginap di hotel biasa. Hotel-hotel yang biasa itu merupakan rumah penduduk tempatan, mereka menjadikan bilik kosong sebagai bilik tamu, pelancong boleh tinggal dan makan bersama-sama tuan rumah.

Tips: Pekan Tongli hanya sejauh 18 kilometer dari bandar Suzhou, dan 80 kilometer dari Shanghai. Sekiranya saudara berminat melancong ke Tongli, saudara boleh pergi ke sana dengan menaiki bas.

CRI/-

Tiada ulasan: