13 Disember 2008

Wakil rakyat DAP cari terowong rahsia di Ipoh

Wakil rakyat DAP mengepalai usaha mencari terowong rahsia bawah tanah sepanjang dua kilometer di Ipoh untuk dijadikan daya tarikan pelancong di negeri yang baru dikuasai parti itu.

M Kulasegaran, ahli parlimen Ipoh Barat, berkata terowong misteri akan dikesan mulai bulan depan dengan kerjasama dua bekas pekerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang mendakwa pernah memasukinya, sekitar tahun 1960-an.

Menurut Bernama, wakil Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan akan turut menyertai usaha mengesan terowong peninggalan penjajah Inggeris yang didakwa menghubungkan empat bangunan warisan di situ.

Dua pekerja yang pernah bertugas di bangunan Dewan Bandaran Ipoh - sebelum ini dijadikan pejabat ketua polis Perak - diminta menolong mencari jalan masuk ke terowong berkenaan yang dipercayai dibina sekitar 1940-an.


Kulasegaran berkata demikian selepas melawat bangunan Dewan Bandaran Ipoh hari ini.

Seorang bekas pekerja itu S Arumugam, 73, yang turut menyertai
lawatan itu berkata beliau pernah memasuki terowong itu sekitar 1960 semasa masih bekerja dengan MBI.

Beliau mendakwa pintu masuknya mempunyai tangga dan terletak
di bahagian hadapan bangunan dewan berkenaan, lapor agensi berita itu lagi.

Tambahnya, terowong itu mampu memuatkan tiga orang dalam satu masa dan kelihatan seakan-akan longkang besar dengan ketinggian antara 1.5 hingga 1.8 meter.

"Laluan di sepanjang terowong terbabit mempunyai lampu di bahagian kiri dan kanan untuk memberi pencahayaan sempurna supaya mereka yang melaluinya dapat melihat dengan lebih jelas," Arumugam dipetik berkata.

Kulasegaran menambah, terowong itu dipercayai digunakan oleh
pihak berkuasa Inggeris untuk menghubungkan bangunan berkenaan ke mahkamah dan stesen kereta api untuk membawa penjenayah berbahaya seperti pengganas komunis.

Katanya lagi, jika berjaya ditemui, terowong berkenaan akan menjadi satu produk pelancongan di negara ini sama seperti yang ditemui di Vietnam dan Singapura.

Perak beli Toyota Camry ganti Perdana V6

IPOH: Kerajaan Perak hari ini meluluskan pembelian 16 kereta Toyota Camry 2.4 sebagai kenderaan rasmi anggota Exco kerajaan negeri dan pegawai kanannya bagi menggantikan Proton Perdana V6 yang dianggap telah uzur.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata keputusan itu dibuat kerana kos membaiki serta menyelenggara Proton Perdana yang digunakan sekarang adalah tinggi disebabkan kenderaan itu sudah lama dan sering mengalami kerosakan.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco hari ini, beliau berkata pembelian itu membabitkan perbelanjaan lebih RM2 juta.

“Tempahan sedang diusahakan manakala kereta Proton Perdana yang bermasalah itu akan dijual,” katanya.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 13 November lalu, kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dilaporkan membelanjakan RM1.3 juta bagi kos penyelenggaraan dan baik pulih kenderaan rasmi Menteri Besar serta Exco pada 2004 hingga Mac 2008. - Bernama

MB Perak adakan kunjung hormat ke Pejabat MB Kedah.

IPOH, 12 Dis :- YAB Menteri Besar Perak, Ir. Muhammad Nizar jamaluddin akan mengadakan kunjungan hormat bertemu YAB Menteri Besar Kedah pada petang 14 Disember, Ahad ini. Demikian satu kenyataan resmi dari Pejabat Menteri Besar Perak.

Ikut serta bersama rombongan tersebut ialah ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim dan ADUN Kuala Kutau, Abdul Yunus Jamhari.

Pada sebelah malam pula satu ceramah perdana yang membarisi kedua Menteri Besar negeri pakatan Rakyat itu akan diadakan di Kompleks PAS Kedah pada jam 9.00 malam. Difahamkan inilah ceramah sulong YAB Menteri Besar Perak di negeri Kedah.

Sebelum ini Ir. Nizar pernah sampai ke Stadium Darul Aman Alor Setar bagi menyaksikan pertandingan bolasepak antara kedua negeri.