oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah
JABATAN Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu perlu bertindak pro aktif dengan memeriksa semua projek mega atau tidak mega yang dibuat era kepimpinan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, walaupun Menteri Besar (MB), Datuk Ahmad Said hanya mengarahkan tiga projek mega diperiksa.
Tiga projek mega yang diarahkan diperiksa ekoran runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, iaitu Terminal Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.
Pengarah JKR negeri, Rosly Zainal pula ketika menyambut arahan itu berkata, usaha sedang dibuat untuk mengumpul satu pasukan jurutera untuk memeriksa tahap keselamatan tiga projek mega yang baru siap di negeri ini.
Sepatutnya, walaupun tanpa apa-apa arahan, JKR Negeri Terengganu perlu bertindak menjalankan pemeriksaan berkala terhadap keselamatan bangunan-bangunan dan semua projek yang dibuat dalam era bekas Menteri Besar Terengganu, DSIJ yang dikatakan seorang pemimpin bertaraf dunia.
Tidak usah tunggu arahan. Lagipun, dari kenyataan MB Terengganu, permintaan supaya JKR memantau bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sudah dibuat tetapi belum ada apa-apa tindakan sehinggalah bumbung itu runtuh.
Kalau boleh, JKR Negeri menjalankan siasatan terhadap tahap keselamatan iaitu menjurus kepada aspek teknikal dan reka bentuk serta sama ada pembinaan tiga projek itu mengikut spesifikasi atau tidak.
Dalam masa yang sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula mestilah terus menjalankan siasatan terhadap pelbagai spekulasi yang mengaitkan pembangunan projek-projek mega di Terengganu dengan unsur-unsur rasuah dan penyelewengan.
Dalam masa yang sama, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga perlu mempunyai jawatankuasa sendiri menyiasat kawan-kawannya, khususnya bekas-bekas Ketua Pemuda Umno bahagian, kalau-kalau mereka juga terkait dan terlibat dengan projek mega yang runtuh ini.
Jangan nanti, selepas JKR dapat jawapan, SPRM tahu cerita sebenarnya, tetapi Hishammuddin masih terkial-kial menerima pelbagai cerita palsu dari kawan-kawannya yang kebulor jawatan di dalam Umno negeri, hingga menyebabkan Hishammuddin tersilap membuat perhitungan.
Jesteru, Presiden Umno dan timbalannya, patutlah menimbang semula perlantikan Hishammuddin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu kerana kemelut politik Terengganu bukan disebabkan Datuk Ahmad Said sebaliknya disebabkan ‘ada kisah pembangunan projek mega’ yang mahu diselidungkan dari pengetahuan umum.
Hari ini, selepas bumbung stadium runtuh, ia mendedahkan banyak perkara. JKR kena siasat. SPRM kena siasat. Orang-orang politik kena siasat dan yang penting, jika ada bukti, hadapkan mereka ini ke muka pengadilan kerana mereka ‘tidak amanah ketika diberikan amanah’ untuk pembangunan negeri.
JKR tidak perlu menunggu arahan kerajaan negeri, tetapi mestilah mempunyai inisiatif untuk mengambil tanggungjawab mencegah lebih baik dari mengubati manakala SPRM juga sepatutnya tidak menunggu sehingga bumbung stadium runtuh baru hendak sibuk-sibuk merakamkan gambar-gambar bagi tujuan penyiasatan.
PAC di peringkat negeri dan PAC di peringkat Parlimen juga perlu turun menjalankan siasatan. Jangan cuba menyembunyikan sesuatu. Jika ia tidak disiasat dan tidak dibendung, penyakit ini akan terus merebak dan akhirnya, bukan sahaja bumbung stadium runtuh, malahan, kerajaan juga akhirnya akan runtuh.
Sehingga hari ini, selepas kejadian bumbung stadium runtuh, tidak kedengaran suara Geng 10 yang membidas Datk Ahmad Said melantik bekas pemandu ambulan menjadi pengerusi sebuah syarikat kerajaan negeri (GLC).
Tetapi lebih baik rasanya memberi tempat kepada orang yang tidak berpendidikan tinggi jika nyata mereka tidak menyeleweng, daripada meletakan seseorang yang mendakwa bertaraf dunia tetapi melantik kontraktor yang hanya mampu memasang bumbung yang boleh bertahan, setahun sahaja.
Ramai yang merindui cerita Geng 10 yang cukup hebat menyerang kepimpinan Menteri Besar. Mereka sepatutnya turut menyerang mereka yang bertanggungjawab membina stadium yang bumbungnya boleh runtuh sedangkan mereka melantik kontraktor dari luar Negara.
Geng 10, di manakah pakar-pakar strategi yang mereka ada kerana pakar-pakar ini sepatutnya digunakan untuk menjalankan kerja-kerja yang baik dan bukan membuat kerja menghantar sms bernada ugutan dengan niat mahu memboikot persidangan DUN Terengganu.
Ingat! Semua pihak yang bertanggungjawab, hendaklah menjalankan pemeriksaan terhadap semua projek terdahulu dan jika perlu, siasat juga siapa sebenarnya kontraktor yang mendapat projek ini…hem,hem,hem….orang kampong semua dah tahu!