09 November 2010

Adun Titi Serong bantu pesakit kanser

PARIT BUNTAR, 9 November – Hari ini ADUN Titi Serong, YB Drs. Khalil Idham Lim telah dikunjungi oleh seorang pesakit yang menderita penyakit kronik. Tan Lee Hong yang menderita penyakit kanser hampir 4 tahun telah hadir ke pejabat Yang Berhormat Adun untuk memohon sumbangan derma bagi meringankan beban yang ditanggungnya sekarang terutama untuk menampung kos kemoterapi dan belanja ubatan.

Ketika sesi temubual bersama Yang Berhormat di pejabatnya hari ini, En. Tan telah memaklumkan bahawa beliau telah menderita penyakit kanser ini sejak dari tahun 2007 lagi dan kali terakhir beliau menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Besar Pulau Pinang adalah pada tahun 2008 yang lalu.

Selepas 2 tahun rawatan kemoterapi itu dijalankan keatasnya simpton penyakit kronik itu kini menyerang organ hatinya pula dan telah disahkan bahawa beliau kini mengidap kanser dibahagian hati. Ibarat, 'sudah jatuh ditimpa tangga’, begitulah nasib yang menimpa Encik Tan Lee Hong, 49 tahun yang kini sudah tidak lagi mampu untuk bekerja kerana masalah kesihatannya yang semakin teruk.


Foto 1 - Sumbangan berupa wang tunai telah disampaikan oleh YB Drs. Khalil Idham Lim di Pejabat DUN Titi Serong kepada Encik Tan Lee Hong (tengah). Bersama beliau ialah Pembantu Khas kepada YB, Encik Ahmad Tajuddin bin Khawari (kanan).

Ketika ditemui selepas menerima sumbangan itu, Encik Tan menyatakan bahawa beliau sangat berterima kasih diatas sifat murah hati Yang Berhormat Adun kerana membantu beliau disaat beliau sangat memerlukan ehsan serta bantuan lebih-lebih lagi kini beliau sering tidak sihat dan hilang pekerjaan. (alb-media)

ZAMBRY PERLU AKUI KESILAPAN BUKAN MEMPERTAHANKAN PERKARA YANG SALAH : PESURUHJAYA PAS PERAK

2 Zulhijah 1431H.
Mohd Hafez Sabri

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menyokong tindakan Dewan Pemuda PAS Negeri Perak kerana telah mengecam tindakan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang masih meneruskan amalan perbuatan khurafat dan syirik ketika merasmikan program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar dalam DUN Manong sebelum ini.

Menurut beliau perkara yang diamalkan , Zambry yang didakwa telah meletak ancak ke tiang seri di tapak pembinaan rumah jelas menunjukkan Zambry tidak sensitif terhadap isu umat Islam yang menyentuh berkenaan umat Islam di Perak

Menurut Pesuruhjaya PAS Perak itu lagi, amalan khurafat ialah perbuatan atau perkara-perkara yang menyalahi hukum syarak yang masih terdapat dalam aktiviti masyarakat. Kepercayaan yang telah kuat bertapak dan berakar umbi dalam masyarakat itu seolah-olah telah menjadi satu pegangan atau tradisi yang mesti dilakukan dalm majlis-majlis atau perayaan tertentu.

Selain itu beliau juga menyatakan, Antara perkara khurafat yang dibuat oleh Zambry ialah meletak ancak ke tiang seri di tapak pembinaan rumah Syarat dan adat Istiadat yang mesti di buat untuk mendirikan rumah baru seperti mengantungkan buah kelapa muda di tiang seri rumah, menanam tahi besi ,emas , perak , tembaga pada setiap tiang seri rumah dan menepung tawar sebagai upacara memulih rumah tersebut.

Beliau juga menyatakan, Acara-acara khurafat tersebut biasanya akan dilakukan oleh Bomoh, kononnya untuk mengelakkan daripada di ganggu oleh jin dan syaitan dan untuk mendapatkan kesejahteraan dan keselamatan kepada semua penghuni rumah tersebut. Sebenarnya upacara tersebut tidak lebih daripada upacara menjamu jin dan tidak ada kena mengena dengan keselamatan dan kesejahteraan penghuni rumah itu.

Selain itu Pesuruhjaya PAS Perak itu juga mengharapkan agar rakyat Perak dapat menjauhkan diri dari amalan-amalan khurafat sepertimana yang diamalkan oleh Zambry, atau mana-mana amalan yang boleh menggugat akidah umat Islam. Hal ini kerana perkara berkaitan akidah adalah perkara yang penting dan merupakan perkara teras dalam kehidupan umat Islam, jika akidah tergugat maka seluruh amalan yang lain turut tidak diterima Allah SWT.

“TEPUNG TAWAR”, KHURAFAT DALAM MASYARAKAT MELAYU.

2 Zulhijjah 1431H
Drs. Khalil Idham Lim.

Upacara tepung tawar, merupakan suatu amalan budaya melayu, ianya tiada seberang nas yang menunjukkan Islam menganjurkannya, Nabi saw langsung tidak pernah melakukannya, apatah lagi para sahabat.

Baru-baru ini kita dapat lihat beberapa gambar yang disiarkan di internet, jelas menunjukkan bahawa pemimpin tertinggi BN Perak turut serta dalam upacara yang tidak diketahui nasnya dalam syarak, upacara yang boleh diketegorikan termasuk dalam amalan khurafat dalam masyarakat Melayu, ia sama seperti mana yang kita tonton dalam drama melayu yang berketegori drama seram, ada memaparkan adegan seram dan pemujaan yang tiada dalam amalan Islam.

Namun, bagi masyarakat Melayu, ianya merupakan suatu upacara yang mempunyai tujuan tujuan yang baik, dengan pengharapan yang tinggi kepada yang berkuasa, doa dirafa’kan dalam upacara tersebut dan seterusnya di aminkan beramai-ramai.

Persoalan yang kita perlu dan sewajibnya tercetus dalam hati kita, adakah amalan ini mengikut lunas syarak, masakan Islam itu menghalang kita dari menganjurkan majlis yang mempunyai tujuan yang murni, akan tetapi di dalam Islam, ada syarak (cara) yang menjadikan amalan kita itu sahih serta boleh menjana pahala.

Mengenai “tepung tawar”, ia adalah berasal dari kata “ditampung tangan untuk menerima penawar (ubat),” upacara ini dipercayai ada unsur falsafah yang karut, di antara cara-cara menepung tawar yang sempat di baca, bahawa Orang yang hendak ditepung tawari mula-mula menerima ataupun mengambil sedikit (sejumput) beras putih, beras kuning, bertih dan bunga rampai, lalu menaburkannya ke atas ribaan atau keliling badan orang yang ditepung tawari, kadang-kadang disertai dengan ucapan ‘selamat’, “murah rezeki”’ “sehat”’ dan sebagainya.

Kelihatan seperti tiada unsur syarak yang meletakkan bahawa Allah swt sebagai tempat berharap yang utama.

Anjuran majlis tertentu seperti majlis tahlil, bacaan yasin beramai-ramai kita boleh katakan ianya berstatus ibadah kerana bersandarkan kepada nas walaupun ada pendapat mengatakan tidak.

فذكر إن الذكرى تنفع المؤمنين ( الذاريات : 55 )

“Maka ingatlah karena peringatan dapat memberikan manfaat kepada orang-orang yang beriman”.

Cuba tanya kepada masyarakat Bandar yang sering ke surau dan masjid mengenai aktiviti tepung tawar tersebut, saya yakin dan percaya, ramai yang akan mengatakan bahawa upacara sebegitu adalah amalan khurafat dan diada-adakan dalam masyarakat melayu, bahkan ada yang mengatakan bahawa ianya adalah amalan agama hindu.

Mufti Perak diseru memainkan peranan untuk mendorong Jawatankuasa Fatwa bersidang dengan segera supaya mengeluarkan fatwa mengenai tepung tawar ini .

MEDIA BN JANGAN JADI PAK TURUT DALAM ISU BANJIR DI KEDAH

2 Zulhijjah 1431H.

PARIT BUNTAR, 8 November :- Berhubung dengan dakwaan Kerajaan Persekutuan bahawa Kerajaan Negeri Kedah melepaskan tanggungjawab untuk membantu mangsa banjir di negeri itu adalah tuduhan yang tidak berasas serta berniat jahat.

Sepertimana yang disebut di dalam Bernama bahawa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kerajaan negeri Kedah supaya tidak melepaskan tanggungjawab untuk membantu penduduk terjejas banjir di negeri itu kepada kerajaan persekutuan semata-mata.

BN telah menjadikan isu bencana alam ini sebagai satu isu untuk memburukkan Kerajaan Negeri Kedah di bawah pimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak, demikian manurut ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim.

Sepatutnya malapetaka yang menimpa negeri Kedah dijadikan sabagai pembentuk rasa insaf, insaf dengan kekuasaan Allah swt, mereka (BN) di dalam radio dan televisyen asyik memperingatakan bahawa jangan politikkan isu banjir adalah retorik sahaja.

Mereka (BN) seolah-olah bersorak dan gembira dengan kejadian banjir besar di Kedah kerana berpeluang untuk dijadikan isu seterusnya menggambarkan kerajaan negeri Kedah tidak bertanggungjawab serta melepaskan tanggungjawab dengan bantuan media BN yang disifatkan sebagai “pak turut”.

Tambahnya, media hanya membuat liputan pimpinan BN dan mereka (media BN) tidak sepantas gerak kerja pimpinan kerajaan negeri Kedah dalam menghulurkan bantuan ke seluruh pelusuk kawasan yang terkena banjir, ini hakikatnya, seterusnya melakukan sidang media dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak bersumber.

Berdasarkan temuramah yang dilakukan terhadap penduduk disitu oleh wartawan TV3 dalam bulletin utama, mangsa banjir yang ditemui mengatakan tidak nampak batang hidung pemimpin yang mereka pilih, persoalannya, perlukah batang tubuh pemimpin hadir disetiap pelusuk kawasan banjir? Adakah tidak memadai bantuan yang mewakili pemimpin mereka.

Kerajaan negeri Kedah telah memperuntukkan hampir RM1 juta untuk membantu mangsa banjir di samping RM500,000 daripada wang zakat yang diumumkan Sultan Kedah baru-baru ini menunjukkan kepimpinan negeri komited menjaga kebajikan rakyat.

“paparan media BN seolah-olah menggambarkan bahawa PR langsung tidak menjalankan tugas amanah yang dipikulkan atas bahu mereka, yang dipaparkan hanyalah BN yang dicadang hampir setiap hari baik di radio mahupun televisyen yang merupakan media BN kata Drs. Khalil Idham Lim yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak.

Baru-baru ini kita dapat melihat sendiri, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak mengiringi sultan kedah Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah melawat mangsa banjir, nampaknya media terlepas peluang untuk mengambil gambar pemimpin ini.

Menurut sumber misi bantuan banjir di kawasan akan bergerak ke Kampung Empa dan Kampung Seberang Paya di Dun Bukit Lada untuk menghantar bantuan kepada mangsa di kawasan terbabit yang terputus hubungan dengan kawasan lain sejak beberapa hari yang lalu.

LOCENG PRU 13: UMNO GADAI GERIK LAGI?

2 Zulhijjah 1431H.
SAFARIZAL SALEH

Kenyataan Media (8 November 2010)

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) menunggu reaksi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak dan juga Umno Bahagian Gerik terhadap kenyataan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) yang akan memperkenalkan calon-calon yang telah diperuntukan kepada parti tersebut bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 nanti selepas Sambutan Tahun Baru Cina tahun hadapan.

Parlimen Kawasan Gerik sebenarnya telah diperuntukan kepada Umno dahulu kerana kompesisi penduduk di situ adalah majoriti berbangsa Melayu iaitu 73.49 %, tetapi pada ketika Tan Sri Haji Mohammad Tajol Rosli Mohammad sebagai Pengerusi Umno Perak yang juga Ketua Umno Gerik telah menggadai kawasan tersebut kepada GERAKAN.

Persoalannya, adakah Umno Perak di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan terus memberikan peruntukan Parlimen Gerik tersebut kepada GERAKAN lagi? Adakah kepimpinan Umno Gerik akan membiarkan Parlimen Gerik yang sepatutnya ditandingi oleh mereka dibiarkan begitu sahaja?

Sudah tentu kekecewaan penduduk di Gerik dengan sikap Umno yang tidak sensitif terhadap perkara tersebut perlu dihukum. Bagi pihak PAS dan Pakatan Rakyat (PR), DPPN Pk komited akan mengekalkan semua kawasan yang penduduknya majoriti berbangsa Melayu akan ditandingan oleh PAS. Perkara ini telah dimuktamadkan oleh kepimpinan PR bagi memastikan perjuangan penduduk setempat akan terus terbela.


ZAWAWI HASSAN
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

UPACARA TIANG SERI: ZAMBRY BOHONG & ANGKUH

01 Zulhijjah 1431 H
Oleh : safarizal saleh

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) merasa kesal dengan sikap berbohong Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kepada rakyat ertahankan tindakannya semasa menghadiri dan melakukan upacara meletakkan ancak ke tiang seri program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar, Manong baru-baru ini.

DPPN Negeri Perak setelah beliau masih tetap menafikan serta mempPk mempunyai bukti jelas dalam bentuk rakaman video bahawa Datuk Seri Zambry jelas berbohong dalam mempertahankan tindakannya itu dan ianya boleh ditonton di http://www.youtube.com/watch?v=UDTh54uDh1k

DPPN Pk melihat, perbuatan tersebut jelas amalan syirik dan bertentangan dengan ajaran Islam. Apa yang amat dikesali, Datuk Seri Zambry masih menafikannya dan tidak mengaku bersalah atas tindakannya. Mengapa perlu meletakkan kesalahan tersebut kepada orang lain? Mengapa juga tidak mahu mengaku akan kesilapan tersebut?

DPPN Pk berharap agar Datuk Seri Zambry bertaubat dan menginsafi akan perbuatannya tersebut. Apa yang lebih penting adalah mengaku akan kesilapan tersebut dan bertaubat agar tidak lagi mengadakan tindakan seperti tersebut. Bagi DPPN Pk jelas inginkan agar Datuk Seri Zambry sedar akan perbuatannya yang syirik tersebut bakal mengundang ikutan rakyat yang mana bertentangan dengan ajaran Islam.

Pemuda PAS Miri Lancar Orang Muda Geng Kamek

01 Zulhijjah 1431 H
www.pas-miri.blogspot.com

AlhamduliLLAH.Lancar dan berjaya. Itulah gambaran awal program yang julung kali diadakan di bandaraya Miri melibatkan remaja bermotorsikal sekitar Miri. Biarpun digelar mat ataupun minah rempit;ia tidak menjadi halangan pada Dewan Pemuda PAS Miri dalam menyantuni remaja ini dengan kaedah dakwah melalui minat para remaja ini.

Program disertai kira kira 24 buah motorsikal termasuk seorang penunggang OKU berjalan dengan baik. Majlis perasmian disempurnakan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat,Saudara Khairul Faizi. Dalam ucapan beliau merakamkan rasa syukur pada ALLAH dengan respon baik serta kesungguhan peserta itu mengikuti program "Orang Mudak Geng Kamek" dengan mengikuti setiap adab dan akhlak sepanjang konvoi.

Biarpun para peserta biasanya dibiarkan dijalanraya tanpa arah tuju;PAS mengambil inisiatif mendekati mereka;malahan sepanjang program peserta akan singgah dalam program sumbangan kebajikan bagi menyaksikan masalah rakyat khasnya di pinggir Miri serta tidak melupakan program ibadah dengan Solat Berjemaah dan Tazkirah.

Beliau mengingatkan Sirah mengajar tentang peripenting Orang Muda atau Remaja
dalam membantu usaha dakwah ISLAMIYYAH.Tambahnya lagi,sewajarnya program sebegini diteruskan dan dikembangkan agar dapat menghapuskan budaya negatif dikalangan mat/minah motor,agar dapat menyumbang kepada masyarakat.

Turut serta dalam melepaskan konvoi di Pasaraya Emart ialah Ketua Penerangan Kawasan,Ir M Azwani dan pimpinan Dewan Pemuda PAS Miri.Program turut melibatkan singgah kebajikan disekitar Permyjaya dan bergerak ke Boulevard dalam penyebaran risalah maklumat Pakatan Rakyat.

Destinasi terakhir ialah di Luak Esplanade dimana peserta telah bersolat Asar secara berjemaah di hadapan Pantai Luak .

Ia menjadi bukti bahawa kemana kita pergi Solat wajib dilakukan malah menjadi Syiar ISLAM dalam menunjukkan kekuatan Jemaah ISLAM itu sendiri.

Beberapa aktiviti menarik seperti pertandingan Motor Lambat,Motor Paling Selamat dan FUTSAL Pantai diadakan.

PAS Miri Santuni Masyarakat Iban

01 Zulhijjah 1431 H
Oleh : PAS Miri

PAS For ALL sekali lagi diterjemahkan melalui program pembelaan rakyat dan kebajikan di sekitar pinggir Desa Senadin dan Kg Sealine. Diketuai YDP PAS Kawasan Miri;Tuan Haji Jofri serta pimpinan Kawasan beserta anggota Dewan Himpunan Penyokong PAS ;rombongan telah turun menyampaikan bantuan serta mendengar sendiri permasalahan rakyat setempat.

Turut serta ;Sdr Khairul Faizi yang dalam rangka lawatan kerja bertemu Pemuda PAS Kawasan. Kebanyakan penduduk ditemui amat kecewa dengan janji pemimpin BN khasnya berkaitan pampasan kepada penduduk yang terlibat pada kebakaran 2 bulan yang lalu.

Tidak diberi pampasan malah terpaksa membayar harga tinggi untuk mendapatkan rumah baru yang dibina kroni BN di Desa Senadin.

Selain itu bagi penduduk sekitar Kg Senadin pula menghadapi masalah tiada sambungan bekalan air dan elektrik sempurna. Bayaran mahal sehingga 3000 diperlukan untuk penyambungan melalui pihak swasta iaitu SESCO dan LAKU.

Janji demi janji ADUN setempat yang kononnya akan menyegerakan penyelesaian masalah ini terus diimpikan walaupun sudah 5 kali pilihanraya. Mereka kesal dan telah menyatakan sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk membuat perubahan.

Tuan Haji Jofri yang ditemubual menyatakan komitmen dan usaha PAS untuk membawa permasalahan ini dan dengan penubuhan dewan Himpunan Penyokong yang insyaALLAH bakal dirasmikan Tuan Guru Presiden ;PAS for ALL kini benar benar diterjemahkan di negeri Bumi Kenyalang ini.ALLAHUAKBAR!

Aidiladha disambut Rabu, 17 November

01 Zulhijjah 1431 H

KUALA LUMPUR - Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Korban atau Aidiladha pada hari Rabu, 17 Nov ini bersamaan 10 Zulhijjah 1431 Hijrah. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah mengumumkan tarikh itu semalam bagi menyempurnakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, setelah diperkenankan oleh Raja-Raja Melayu.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini diisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1431 Hijrah ialah pada 17 Nov 2010 Masehi.

Oleh yang demikian, Hari Raya Korban (10 Zulhijjah) bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Rabu, 17 November 2010 Masihi,” katanya.

Sinar Harian/-

Obor-obor bantu kesan kanser

01 Zulhijjah 1431 H

LONDON - Para pengkaji Britain mendapati teknik obor-obor bercahaya dalam gelap dengan menggunakan sel berkilau, mampu mengesan tumor jauh di dalam tubuh manusia.

Penyelidik Britain, Profesor Norman Maitland berkata, beliau percaya dengan menggunakan teknik ini, ia mampu mengesan tumor 10 kali ganda lebih baik daripada mesin pengesan CT.

Menurutnya, tumor yang terbentuk jauh di dalam tubuh manusia sukar dikesan pada peringkat awal dan diagnosis awal adalah sangat kritikal untuk mengubati apa jenis kanser.

"Ia adalah sebuah proses yang melibatkan sejenis protein yang didapati daripada haiwan tersebut, kemudian dimasukkan ke dalam sel kanser manusia.

"Apabila sel itu mula menyala, sebuah kamera khas digunakan untuk mengesan kawasan bercahaya, menunjukkan di mana kawasan tumor tersebut," katanya.

Menurutnya lagi, teknik itu mula digunakan selepas beliau mendapati penulenan protein cahaya yang terdapat pada obor-obor yang dilakukan seorang ahli kimia Amerika Syarikat, Roger Tsien, dua tahun lalu, mungkin berguna dalam diagnosis kanser.

Sinar Harian/-

Kawal aktiviti pembangunan Lojing

01 Zulhijjah 1431 H
Oleh : YULPISMAN ASLI

KOTA BHARU 7 Nov. – Kawalan dan pemantauan aktiviti pembangunan di tanah tinggi Lojing hendaklah mengikut garis panduan kawasan pembangunan khas yang telah diwujudkan.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah, ia bagi memastikan pembangunan di tanah tinggi itu tidak akan menyebabkan masalah tanah runtuh dan hakisan.

“Beta percaya penubuhan Jajahan Kecil Lojing baru-baru ini dapat memantau dan mengawal segala aktiviti pembangunan di tanah tinggi Lojing secara langsung bersama-sama Jabatan Alam Sekitar,” titah baginda.

Sultan Muhammad V bertitah demikian ketika buat pertama kali merasmikan pembukaan Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-12 selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu.

Turut berangkat Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kecuali Datuk Md. Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) dan Drs. Saipul Bahrin Mohamad (Pas-Selising) yang kini berada di tanah suci Mekah kerana menunaikan ibadat haji.

Dalam titah baginda, Sultan Muhammad V turut menyarankan supaya kerajaan negeri melalui agensi yang bertanggungjawab dalam membangunkan industri pelancongan mencari produk-produk baru seperti pelancongan kesihatan dan agama yang berpotensi untuk dimajukan.

Baginda bagaimanapun mengingatkan bahawa semua aktiviti pelancongan yang hendak dilaksanakan perlu selari dengan tuntutan syarak dan tidak bercanggah dengan kesucian agama Islam.

Mengenai sektor industri pula, baginda menyarankan fokus diberikan kepada industri kecil dan sederhana (IKS) kerana majoriti usahawan Melayu terlibat dalam kategori itu.

“Sehubungan itu, keperluan prasarana di setiap kawasan perindustrian perlu dinaik taraf dan dilengkapkan bagi mengukuhkan lagi sektor ini serta menjamin kemasukan pelabur-pelabur baru.

“Beta juga mengharapkan kerajaan negeri mempromosikan dengan lebih giat lagi produk-produk IKS Kelantan sehingga ke peringkat nasional dan antarabangsa. Usahawan-usahawan IKS pula perlu menghasilkan produk-produk yang berkualiti dan berdaya saing,” titah baginda.

Sultan Muhammad V turut menyarankan supaya kerajaan negeri merangka hubungan perdagangan bagi tujuan meluaskan pemasaran produk berjenama Kelantan ke peringkat nasional dan antarabangsa.

Ini termasuk memanfaatkan hubungan jaringan perdagangan dan kerjasama ekonomi dengan negara serantau dan pertumbuhan segi tiga Indonesia-Malaysia-Thailand.

“Usaha menarik pelaburan ke negeri ini perlu digiatkan termasuk menjalin hubungan perdagangan dengan China yang seharusnya diteroka bagi menggalakkan pembangunan ekonomi negeri,” titah baginda.

Dalam konteks itu, baginda menyambut baik penganjuran Ekspo Cheng Ho yang dijadual pada 21 hingga 26 November ini kerana ia mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi di negeri ini melalui penyertaan syarikat-syarikat pengeluar dari dalam dan luar negara selain selaras dengan hasrat menjadikan Kelantan hab halal di rantau ini.

Baginda turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dalam membantu meningkatkan rangkaian jalan raya yang baik di negeri ini melalui cadangan projek ‘Central Spine Road’ iaitu pembinaan jalan baru dan menaik taraf jalan Persekutuan sepanjang 390 kilometer dari Kuala Krai sehingga Simpang Pelangai, Pahang.

“Beta juga berharap Kerajaan Persekutuan akan meneruskan pelaksanaan pembinaan jalan baru dari Kota Bharu ke Kuala Krai dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

“Beta juga menaruh harapan yang tinggi agar Kerajaan Persekutuan dapat menyediakan agihan peruntukan yang sesuai dan adil dalam pelaksanaan pelan pelaburan sektor awam RMK-10 bagi negeri ini selaras dengan agenda pembangunan negeri Kelantan.

“Ini bagi memastikan pembangunan di negeri Kelantan selari dengan pembangunan dan kemajuan yang dikecapi oleh negeri-negeri lain,” titah baginda.

Utusan Malaysia/-

Zaid undur timbalan, letak semua jawatan PKR

01 Zulhijjah 1431 H

Calon timbalan presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim membuat pengumuman mengejut untuk menarik diri daripada bertanding jawatan berkenaan.

Selain itu, Zaid yang juga pengerusi perhubungan PKR Wilayah Persekutuan juga mengumumkan beliau meletakkan semua jawatannya dalam PKR.

“Saya tawar diri menyertai parti ini atas kepercayaan saya boleh membawa politik progresif; memupuk dan memperkembangkan demokrasi dan ketelusan di negara ini. Saya sebenarnya silap,” katanya dalam satu kenyataan di blognya.

Menurut Zaid, sepanjang pemilihan PKR, membuktikan bahawa kepimpinan parti itu secara aktif membiarkan salah laku dan penipuan berleluasa dengan tujuan mencapai objektif tertentu.

“Saya yakin mana-mana parti politik dengan sikap hipokrit dan nilai-nilai palsu tidak akan mampu menawarkan sebarang pembaharuan yang bermakna kepada rakyat di negara ini.

"Saya mengambil keputusan ini kerana tidak ada usaha oleh kepimpinan parti untuk menangani manipulasi dan amalan tidak adil serta penyelewengan dalam pemilihan itu meskipun ia telah berulang-kali ditimbulkan,” katanya.

Keputusan yang diambil itu, menurutnya adalah kekecewaan sepenuhnya bahawa beliau tidak boleh meneruskan proses pemilihan yang cacat.

Sehubungan itu, Zaid yang sebelum ini pernah menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, sebelum meletakkan jawatan dan meninggalkan Umno berkata beliau akan tetap komited terhadap perjuangan pembangkang.

Katanya, beliau akan terus bercakap berhubung isu yang membabitkan rakyat jelata dan terus berjuang bagi memastikan rakyta mendapat kerajaan yang lebih baik.

“Akhir sekali, saya berharap peminat Anwar Ibrahim tidak lagi menganggap saya sebagai ‘spoiler’yang akan menghalang perarakan mereka ke Putrajaya. Saya ucapkan maju jaya kepada mereka,” katanya.

Perebutan jawatan timbalan presiden PKR menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Zaid, dua naib presiden PKR - Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub.

Selepas lebih satu pertiga daripada kira-kira 200 cabang PKR melangsungkan pemilihannya, Azmin kini terus mengungguli jawatan nombor dua dalam parti itu.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi daripada 87 cabang yang telah mengadakan pemilihannya, Azmin - di depan dengan majoriti 2,620 undi.

Beliau secara keseluruhan mendapat 6,525 undi, Zaid mendapat 3,905 manakala Mustaffa pula mendapat 1,215 undi.

Malaysiakini/-

WAHAI DR ASRI, DI ANTARA DS ANWAR DENGAN YB ZUL KULIM SIAPA PATUT LETAK JAWATAN?

01 Zulhijjah 1431 H
Oleh : WFAUZDIN NS

SEKALI lahi YB Zul Kulim `firaun besar' menyokong jawapan Dr Asri di dalam menghadapi kritikan berbagai pihak terhadap bekas Mufti Perlis ini. Dr Asri tetap mempertahankan saranannya agar DS Anwar bersara dari politik dan sebagai tidak menampakkan `kiblat' sebenar beliau dalam politik, beliau mengambarkan di dalam PR terdapat `dinosour' begitu juga di dalam Umno.

Katanya Dr Asri, momentum rakyat akan hilang kerana rakyat tidak lagi terikat dengan kisah lalu. Justeru itu pemimpin seperti DS Anwar mesti bersara dan diserahkan kepada yang baru untuk mengekalkan momentum yang ada. Begitulah lebih kurang maksud Dr Asri.

Apa dia kisah lalu itu, wahai Dr Asri? Kisah kezaliman yang berlaku ke atas DS Anwar sehingga tercetusnya gelombang reformasi itukah yang dimaksudkan kisah lalu? Maksud beliau, rakyat tidak perlu lagi mengingati kisah itu?

Dr Asri mungkin tidak terlibat atau campurtangan langsung sewaktu DS Anwar dizalimi, sewaktu berpuluh ribu rakyat juga dizaklimi akibat menentang kezaliman Tun Mahathir ketika era reformasi.

Bukan sedikit rakyat yang menderita, dipukul, dibuang kerja, ditukarkan tempat kerja, dihalang kenaikan pangkat dan berbagai lagi hanya kerana memperjuangkan seorang tokoh Melayu bekas TPM yang dizalimi.

Momentum itu berterusan walaupun setelah DS Anwar dibebaskan dari penjara kerana perjuangan rakyat tidak lagi kepada batang tubuh DS Anwasr, sebaliknya perjuangan yang lebih luas untuk kepentingan rakyat jelata.

Hasil dari momentum pertama di era reformasi, berlanjutan sehingga kepada Pilihanraya Umum Ke 12 yang mana rakyat berjaya menyedarkan Umno/Bn bahawa mereka telah bertindak zalim dan tidak adil kepada rakyat.

Kemenangan besar PR di dalam PRU Ke 12 bukan lagi atas faktor DS Anwar seperti di dalam PRU Ke 10. Inilah momentum yang dibawa sehingga kini dan tidak timbul persoalan momentum ini akan berkurangan selagi DS Anwar berada diarus politik tanahair. Bahkan, samada Dr Asri terima hakikat atau tidak, momentum ini pastinya lebih hebat di bawah pimpinan DS Anwar di dalam PRU Ke 13 nanti.

Jika ingin membicarakan soal momentum berkurangan atau soal tiada lagi pengaruh, orang yang paling tepat untuk dinasihatkan berundur oleh Dr Asri adalah YB Zul Kulim itu sendiri.

Beliau MP Kulim yang dipilih berdasarkan parti bukan individu. Kini beliau tiada parti ibarat `roh tidak bertuan' menjadi seperti hantu berkeliaran. Di Kulim, momentum sokongan terhadap YB Zul boleh dikatakan langsung `Zero'. Beliau hanya berada di kerusi itu sekarang semata-mata atas sokongan undang-undang yang menyokongnya berada disitu.

Beliau tidak lagi disokong oleh parti yang diwakilinya dahulu. Inilah orang yang sepatutnya Dr Asri nasihatkan untuk berundur dan kosongkan kerusi yang tidak berkat itu.

Usahlah Dr Asri bertungkus lumus mempertahankan apa yang beliau tulis sebelum ini. Beliau menuduh pemimpin pembangkang melenting dengan tulisannya itu. Bila masanya pemimpin pembangkang melenting? Beliau berhak menegur DS Anwar bahkan ke peringkat menasihatkan DS Anwar bersara dari politik tanpa hujah dan alasan yang kukuh, masakan ahli parti tidak boleh menegur beliau?

Jangan ingat bila kita semua menyokong tulisan atau kenyataan beliau sebelum ini, maka tulisan atau kenyataan beliau yang akan datang maka kita wajib menyokongnuya.

Yang benar kita sokong dan puji, tetapi jika kenyataan yang tidak benar malah menampakkan kebodohan perlu apa kita sokong? Buat YB Zul Kulim, jika kamu setuju atau sokong kenyataan Dr Asri itu, tunggu apa lagi? Letak saja jawatan MP Kulim dengan kadar segera.

Jangan pulangkan wang warga emas melalui Umno

01 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Ali Hashim

BATU MAUNG, 7 Nov: Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan menghalang mana-mana warga emas untuk mengembalikan wang penghargaan sebanyak RM100 seorang yang diterima sebelum ini.

Namun begitu pemulangan wang tersebut sekiranya benar, hendaklah dilakukan melalui pejabat daerah untuk dipulangkan kepada kerajaan negeri dan bukannya melalui Umno.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng selepas meraikan majlis kesyukuran di Kampung Permatang Tepi Laut, semalam.

Menurutnya, walaupun sebelum ini Umno Pulau Pinang mendakwa mengumpulkan sejumlah wang penghargaan warga emas tetapi sehingga ke hari ini, kerajaan negeri tidak menerima senarai nama dan pengesahan warga emas mengenai pemulangan wang tersebut.

"Kita tidak pernah menghalang warga emas yang ingin memulangkan wang penghargaan tersebut, tetapi mereka haruslah menurut prosedur yang telah ditetapkan.

"Ianya harus dikembalikan kepada kerajaan negeri melalui pejabat daerah dengan menyertakan butir-butir peribadi sepertimana yang tercatat pada permohonan mereka dalam sistem daftar yang ada serta tidak melalui Umno atau saluran lain," ujarnya lagi.

Beliau juga mengingatkan warga emas supaya tidak menggunakan Umno sebagai saluran kerana parti tersebut akan mempolitikkan isu tersebut.

Tambahnya lagi, seandainya Umno benar-benar ikhlas untuk mengembalikan wang tersebut, maka tindakan terbaik yang boleh mereka ambil ialah membantu warga emas supaya menghadirkan diri ke pejabat daerah serta memadamkan nama mereka dari senarai nama penerima.

Pada minggu lalu Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Norman Zahalan mendakwa akan mengembalikan wang yang telah dikutip melalui akaun kerajaan negeri tanpa mengikuti prosedur yang telah ditetapkan.

"Umno tidak boleh memasukkan wang yang mereka dakwa sebagai kutipan dari warga emas kerana tindakan tersebut adalah salah dan tidak menurut cara yang betul.

"Apa yang dibimbangi kemungkinan besar wang yang didakwa sebagai wang pemulangan dari warga emas itu bukan datang dari warga emas yang sebenarnya, tetapi dari sumber yang tidak sahih atau pun rasuah dan dari sumber yang haram," tegasnya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malik Abul Kassim.

Harakahdaily/-

Awang Selamat wartawan pendusta

01 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Ahmad Fadhli Shaari

Saya ingin melahirkan kekesalan terhadap tulisan Awang Selamat di dalam Mingguan Malaysia pada hari ini (7 November 2010) yang jelas melakukan serangan peribadi kepada al-Mursyidul Am PAS, YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ekoran kegagalan PAS mempertahankan Dun Galas di dalam pilihanraya kecil 4 November yang lalu.

Di bawah tajuk ‘Maafkan Nik Aziz’, Awang Selamat yang tidak diketahui identiti sebenarnya ini memulakan serangan ke atas PAS kononnya mempunyai penyokong yang seringkali melakukan provokasi.

Barangkali kerana sering berlindung di bawah lumut dalam tempurung sempit Umno, Awang Selamat telah buta atau membutakan matanya sendiri untuk melihat telatah penyokong Umno yang jelas sekali lebih gemar melakukan provokasi.

Butakah Awang Selamat untuk melihat telatah penyokong Umno yang secara tidak berakhlak melakukan tindakan yang tidak bermoral sama ada sewaktu penamaan calon mahupun hari pengundian bagi mencetuskan kemarahan penyokong Pakatan Rakyat?

Di dalam isu wang zakat yang dianggap rasuah oleh Umno, wartawan pengecut Awang Selamat ini nampaknya terus keliru untuk membezakan wang zakat dan rasuah. Wang zakat yang mencetuskan kontroversi itu diberikan kepada orang-orang asli yang memeluk agama Islam.

Sememangnya ia diberikan semenjak dahulu lagi dan tidak menunggi saat pilihanraya kecil diadakan sahaja. Wang kertas yang dihulurkan tersebut bukanlah kepunyaan YAB Menteri Besar Kelantan yang disifatkan oleh Awang Selamat sebagai ‘sedekah’ itu, tetapi merupakan salah satu peruntukan asnaf zakat yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JHEAIK).

Ia bukanlah seperti pemimpin Umno yang merompak hasil royalti minyak Kelantan lalu dihulurkan di atas nama wang ehsan seperti yang dilakukan oleh beberapa kerat pemimpin Umno sanjungan Awang Selamat.

Jika ia merupakan rasuah, pihak Umno dicabar untuk membawa kes ini ke mahkamah dan jangan hanya berselindung di sebalik nama murahan Awang Selamat yang melacurkan pena wartawan untuk kepentingan ‘perut’ semata-mata.

Awang Selamat seterusnya memfitnah Tuan Guru Nik Abdul Aziz di dalam isu pertikaman lidah dengan salah seorang ulama besar Umno iaitu Mohd Nor Deris. Menurut Awang Selamat, “Nik Aziz kelihatan melenting dan enggan bersalam dengan Mohd Nor”.

Untuk pengetahuan si wartawan pendusta ini, insiden ini bermula apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz menghulurkan salam kepada Mohd Nor Deris lalu tidak disambut oleh Mohd Nor Deris dengan alasan PAS berkawan dengan DAP.

Ini disahkan sendiri oleh Mohd Nor kemudiannya dengan menyatakan tangan Tuan Guru ialah tangan syaitan menerusi kasyafnya. Sekali lagi dinyatakan, Mohd Nor Deris yang tidak menyambut huluran tangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Tulisan ini hanyalah sebagai satu respons kepada Awang Selamat yang telah sekian lama berlindung di sebalik nama samaran dan menyembunyikan identiti yang sebenar. Jika beginilah sikap penulisan wartawan yang bertugas di Utusan Melayu (M) Berhad ini, jangan disalahkan pihak kami jika wartawan mereka tidak dibenarkan membuat sebarang liputan mahupun mendekati pejabat Menteri Besar Kelantan nanti.

Harakahdaily/-