20 Julai 2008

MB Perak : Ahli PBT hendaklah pikul tanggungjawab

IPOH, 18 July :- Semua 338 orang Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah memikul amanah yang besar ini berasaskan kepada prinsip keadilan yang merupakan cabaran dan iltizam, demikian antara isi ucapan Y.A.B. Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin semasa meresmikan Majlis Perlantikan Jawatan dan Angkat Sumpah Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.


Hadir sama dalam Majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam, YB. En. Nga Kor Meng, Setiausaha Kerajaan Negeri, YB. Dato' Dr. Abd. Rahman Hashim, Speaker Dewan Negeri Perak, YB. En. Sivakumar a/l Varatharaju Naidu , Exco-Exco Kerajaan Perak, Dato Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Penasihat Undang-undang dan Ahli-Ahli Yang Berhormat Pakatan Rakyat Perak.


Yang Dipertua Majlis Daerah Kerian (MDK) En. Ismail Hassan menerima surat pengakuan penerimaan jawatan .


Menteri Besar menegaskan bahawa unsur rasuah, diskriminasi tidak ada tempat dan toleran dalam kerajaan hari ini. Sambil menyifatkan bahawa semua yang terlantik bertanggunjawab menyelesaikan masalah yang lapuk dalam PBT seperti longkang tersumbat, dan banjir yang berterusan sekian lama.

Tegasnya dengan nada serius, ahli PBT jangan pentingkan elaun dan parti masing-masing sahaja.

Ir. Nizar berkata inilah peluang keemasan untuk ahli-ahli PBT mempamerkan kebolehan masing-masing, berilah khidmat cemerlang di tempat masing-masing.

Menteri Besar juga berharap ada persaingan antara PBT, yang mana cemerlang, paling lengkap, paling bahagia inilah yang kita kehendaki. Katanya "kita tidak mahu lihat bila rakyat lihat pejabat perbandaran, mereka kata inilah pejabat rasuah dan beri masalah kepada mereka"

Kesan dari khidmat PBT yang baik kata Menteri Besar mereka akan sayang kepada kita dan tidak akan teragak-agak untuk membayar cukai, lesen dan sebagainya. Seterusnya mengurangkan jumlah tunggakan.

Ir. Nizar juga cukup yakin dengan pilihan yang dibuat dan berterima kasih kerana sanggup bersama-sama dengan Kerajaan PR, jalankanlah tugas dengan adil amanah dan telus, katanya.

Dengan itu akan menarik pelabur untuk datang melabur bukannya lari dari Perak dan lebih malang tidak melabur di Malaysia.