Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR
HAMPIR sedekad Syria dibadai derita dan kejerihan, tepatnya tempoh sembilan tahun ini adalah fasa kehidupan yang sangat memeritkan. Ratusan ribu mati menggeletak, jutaan rakyat Syria menjadi pengungsi di pelbagai negara termasuk di Eropah. Syria adalah sebahagian daripada tanah Syam, buminya pernah dipijak oleh ar-Rasul SAW yang mulia bahkan menjadi tanah kuburan kepada ratusan para sahabat Nabi SAW. Negara ini dalam rakaman sejarahnya telah melahirkan ribuan para ulama serta pemikir ummah, namun hari ini telah berantakan akibat peperangan, bahkan ditindan lagi kedukaan dengan wabak Covid-19 yang menaufan dunia.