25 November 2021

Pelarian Syria diselimut kedinginan, jangan abai tanggungjawab kita

 

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

HAMPIR sedekad Syria dibadai derita dan kejerihan, tepatnya tempoh sembilan tahun ini adalah fasa kehidupan yang sangat memeritkan. Ratusan ribu mati menggeletak, jutaan rakyat Syria menjadi pengungsi di pelbagai negara termasuk di Eropah. Syria adalah sebahagian daripada tanah Syam, buminya pernah dipijak oleh ar-Rasul SAW yang mulia bahkan menjadi tanah kuburan kepada ratusan para sahabat Nabi SAW. Negara ini dalam rakaman sejarahnya telah melahirkan ribuan para ulama serta pemikir ummah, namun hari ini telah berantakan akibat peperangan, bahkan ditindan lagi kedukaan dengan wabak Covid-19 yang menaufan dunia.


Peta luka umat Islam Syria seperti tiada pancingan pesona buat warga dunia, darah yang tumpah seperti darah kerbau yang tiada nilainya. Bertempiklah sehingga bergegar dunia, bagi yang tak peduli mereka tetap tak kisah. Gaza yang merintih, al-Quds yang dijajah, Rohingya yang disembelih, Bosnia yang rawan, Afghanistan yang terkepung kelaparan atau Kashmir yang disergap kesakitan. Peta luka umat Islam memerlukan kepedulian ummat, tidak cukup kita mengeluh dan berpeluk tubuh di hadapan kaca TV.

Kemuncak musim sejuk dengan suhu di bawah paras minus sangat mendera para pengungsi yang tidak pasti bilakah kubangan darah di tanah air mereka akan berhujung. Kemuncak musim sejuk dengan salju putih memenuhi kawasan pengungsian seolah berada di kutub Utara, timbunan salju sehingga beberapa kaki ini juga mengheret duka pelarian.

Pelarian Syria yang berada di sempadan Turki agak bernasib baik kerana keprihatinan kerajaan pimpinan Erdogan yang menyediakan ruang yang lebih baik untuk pelarian. NGO antarabangsa seperti IHH juga menfokuskan dengan baik untuk bantuan pelarian Syria seperti mewujudkan sekolah-sekolah untuk anak pelarian. Rejim Bashar pernah melepaskan air empangan ke Antakia kerana berang dengan sikap kerajaan Turki yang dilihat seolah campurtangan dalam soal pengungsi dari Syria.

Kerajaan Turki telah membuka banyak peluang kehidupan kepada pelarian Syria sama ada peluang kerja atau pendidikan. Penulis juga menjadi saksi mata dalam tempoh sembilan tahun ini bagaimana bangunan-bangunan kediaman baru muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Krisis kemanusiaan pasca Arab Spring semakin memburuk di khemah pelarian Syria di sempadan Lubnan, juga sebelah Jordan terutama dengan kedatangan musim sejuk yang menggigit tulang temulang. Jutaan pengungsi warga Syria yang lari daripada konflik berdarah Syria semenjak sembilan tahun lalu berhadapan dengan situasi yang paling getir apabila musim sejuk menyerkap mereka dengan kekurangan makanan, pakaian, selimut, alat pemanas dan ubatan.

Dalam tempoh sembilan tahun ini, kematian akan meningkat setiap hari terutama kanak-kanak, bayi dan warga emas, malah kelaparan luar biasa yang dialami sehingga ada yang terpaksa memakan tikus dan kucing seperti yang pernah berlaku seawal setahun dua krisis Syria.

Penulis berpeluang lebih lapan kali mengikuti misi bantuan Muslim Care Malaysia ke sempadan Turki dan juga Jordan yang merupakan jiran Syria. Termasuk misi membantu pelarian Syria di benua Eropah seperti di negara Austria, Republik Chech dan Jerman. Rombongan Muslim Care membawa bantuan musim sejuk seperti selimut tebal, pakaian sejuk, makanan dan sebagainya dan paling penting mempunyai enam buah sekolah pelarian Syria. Seramai 22,000 anak-anak pelarian telah mengikuti pendidikannya sekolah Muslim Care Malaysia. Menurut Haji Zulkifli Wahijan, sekolah-sekolah pelarian mendapat pengiktirafan daripada UNICEF akan kecemerlangan pengurusan. Malah, kos perbelanjaan bulanan untuk sekolah pelarian ini juga sangat tinggi ditanggung oleh Muslim Care Malaysia (MCM).

Muslim Care Malaysia tidak pernah lelah dan akan terus memberikan komitmen berterusan untuk membantu saudara akidah terutama di musim sejuk yang sangat menggigit tulang. Bantuan rakyat Malaysia sangat besar maknanya kepada mereka, luka dan sakit mereka adalah nestapa kita yang pasti dipertanggungjawabkan di hadapan Rabbul Jalil. Kami sedang berusaha untuk mengumpulkan dana musim sejuk sebanyak dua juta ringgit untuk diagihkan kepada mangsa peperangan Syria.

Sumbanglah melalui akaun MUSLIM CARE MALAYSIA

Maybank: 564490413882
Bank Islam: 14014010147470
Bank Muamalat: 14010007654717

WhatsApp/ mesej bank in slip setiap sumbangan kepada Zulkifli (60192518771), Safwan (60134886447) atau Johari (60169978323). – HARAKAHDAILY 25/11/2021

Penulis ialah anggota misi bantuan tanpa sempadan, penulis dan pendakwah.

Tiada ulasan: