BEIJING: China sedang menghadapi krisis penularan jangkitan COVID-19 paling sukar sejak hari pertama wabak itu bermula di negara itu pada akhir 2019.
Negara itu sedang meningkatkan usaha untuk menghapuskan penularan, sedangkan negara dunia lain sudah mula mengamalkan pendekatan 'hidup dengan COVID-19'.
Pendekatan China itu menjejaskan ekonomi dan kebajikan rakyat negara itu, dengan penularan mencapai tahap tertinggi mencatatkan paling banyak kes harian susulan penularan varian Delta yang amat berjangkit.
Varian virus itu juga kini menjadi kes dominan sejak China dapat menewaskan jangkitan coronavirus yang kali pertama dilaporkan muncul di Wuhan dua tahun lalu.
Namun kali ini, walaupun banyak langkah diambil untuk menghapuskan jangkitan, termasuk menguji golongan bayi dan menutup taman Shanghai Disneyland buat sementara, patogen itu terbukti lebih sukar dihapuskan.
Sepanjang tempoh 18 bulan lalu, data menunjukkan tiada sebarang kes jangkitan dilaporkan pada satu pertiga tempoh itu dan jangkitan sifar dicatatkan dalam 177 hari daripada sejumlah 540 hari.
Ini jauh lebih rendah berbanding purata kira-kira 85,000 kes setiap hari di Amerika Syarikat (AS), meskipun penduduk China empat kali ganda lebih ramai.
Namun sejak adanya varian Delta, pencapaian China dalam mengekalkan jangkitan sifar semakin berkurangan.
Jangkitan virus Delta masih berlaku walaupun ada langkah ketat termasuk kuarantin selama berminggu-minggu dan sekatan sempadan yang ketat semasa musim panas dan musim luruh.
Perkara itu menimbulkan cabaran baru susulan negara paling ramai penduduk di dunia itu memasuki musim sejuk, apabila kitaran virus lebih berjangkit dijangka berlaku bersamaan dengan lonjakan perjalanan sempena cuti seperti Tahun Baru Cina pada Februari ini.
Namun, kejayaan awal yang terhasil daripada strategi China mengawal keadaan menjadi jangkitan sifar sebelum ini menguatkan azam Beijing, walaupun selepas ketibaan varian Delta yang lebih pantas berjangkit lagi bahaya.
Negara lain yang sebelum ini mengamalkan pendekatan jangkitan sifar seperti Australia dan Singapura menganggap terlalu sukar untuk meneruskan pendekatan itu untuk menghapuskan COVID-19.
Pegawai Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, Dr Wu Liangyou, berkata kini, China adalah satu-satunya negara yang masih mengamalkan pendekatan terbabit.
"Kenaikan penularan baru di negara jiran China dan di seluruh dunia mewujudkan cabaran rumit bagi musim sejuk ini.
"Itulah sebabnya China tidak boleh mengurangkan sistem pertahanannya terhadap COVID-19, namun tugas ini 19 tidak mudah," katanya pada satu taklimat di Beijing awal bulan ini,
Walaupun selepas lima minggu usaha gigih dilakukan China untuk melawan jangkitan di seluruh negara, masih terdapat segelintir kes tempatan baru setiap hari.
Pendekatan tegar itu mendapat pujian di China, di mana penduduknya tidak perlu takut terhadap virus yang membunuh lebih lima juta orang di seluruh dunia.
Walaupun COVID-19 kali pertama dikesan di China, kurang 5,000 orang di negara itu meninggal dunia akibatnya, namun menghapuskan COVID-19 tidak akan menjadi lebih mudah.
Pengarah di Universiti Stanford, Dr Jason Wang, berkata adalah matlamat tidak munasabah untuk mencapai jangkitan sifar tetapi tidak mustahil.
"Pendekatan sifar COVID-19 ini, terutama dengan pelbagai varian, akan sangat sukar dilakukan." - AGENSI.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan