25 November 2021

Tapak perkuburan Muslim terbesar di Eropah bakal dibina

 

LONDON: Tapak perkuburan Islam terbesar di Eropah bakal dibina melibatkan tanah seluas 33.9 hektar di barat Blackburn, Lancashire.

Rancangan tersebut diumumkan hartawan Zuber dan Mohsin Issa bersaudara yang sebelum ini membeli rangkaian pasar raya terkemuka Asda.

Memetik laporan Daily Mail, tempat tersebut yang dinamakan Taman Memorial Issa mempunyai 35,000 tapak perkuburan atau bersamaan 40 padang bola sepak.

“Tapak baharu ini membantu menampung tanah perkuburan Islam terbesar sedia ada, The Garden Of Peace yang dibuka di timur London pada 2002 dengan mempunyai 10,000 tapak dan kini semuanya telah diduduki.

“Rancangan tapak baharu yang dibuat Yayasan Issa iaitu sebuah badan amal diasaskan hartawan bersaudara dibuat ekoran peningkatan kematian akibat Covid-19,” ujarnya.

Kedua-dua hartawan yang sebelumnya bekerja sebagai pencuci tandas dan membeli Asda tahun lepas, juga memenangi persetujuan perancangan untuk membina masjid bernilai 5 juta pound (RM28 juta) di bandar asal mereka Blackburn.

Bagaimanapun, rancangan hartawan tersebut mendapat bantahan penduduk tempatan yang menyatakan kebimbangan dengan kesesakan dan kepupusan hidupan liar di tapak perkuburan tersebut
dibina.

Setakat ini lebih daripada 2,800 orang telah menandatangani petisyen yang membantah cadangan itu dan Majlis Hyndburn meminta lebih banyak maklumat mengenai pembangunan yang dijalankan. – AGENSI

Tiada ulasan: