STOCKHOLM: Perdana Menteri Sweden, Magdalena Andersson semalam, meletak jawatannya hanya beberapa jam selepas dilantik.
Beliau membuat keputusan mengejutkan itu selepas belanjawan tahunan yang dibentangkannya tidak diluluskan di Parlimen dan salah satu parti di bawah kerajaan campuran, Greens Party, meninggalkan gabungan itu.
Beliau yang juga anggota Demokrat Sosial, berkata amalan Perlembagaan adalah kerajaan campuran perlu dibubarkan apabila satu parti menarik sokongan, selain enggan memimpin kerajaan yang keabsahannya akan dipersoal.
Andersson berharap untuk dipilih semula ke jawatan itu tidak lama lagi kerana ketua kerajaan minoriti hanya terdiri daripada parti Demokrat Sosial.
Rentetan beberapa peristiwa, Andersson muncul wanita pertama dipilih sebagai Perdana Menteri Sweden selepas mencapai perjanjian saat akhir dengan Left Party untuk menaikkan pencen bagi pertukaran sokongan dalam undian semalam.
Bagaimanapun, Centre Party yang kecil kemudian menarik balik sokongannya terhadap belanjawan Andersson, susulan konsesi dibuat kepada Left Party, menyebabkan bajetnya gagal meraih undi mencukupi untuk diluluskan di Parlimen.
Parlimen sebaliknya mengguna pakai belanjawan alternatif dibentangkan pembangkang konservatif, Moderat, Kristian Demokrat dan Demokrat Sweden berhaluan kanan.
Pemimpin Greens Party, Per Bolund, berkata pihaknya tidak boleh bertolak ansur dengan 'belanjawan bersejarah pembangkang, yang julung kalinya digubal bersama sayap kanan' dan bertindak keluar daripada kerajaan.
Selain itu, beliau mendakwa pemotongan cukai dirancang pembangkang ke atas petrol akan membawa kepada pelepasan karbon lebih tinggi.
Speaker Parlimen, Andreas Norlen, hari ini berkata beliau menerima peletakan jawatan Andersson dan akan menghubungi pemimpin parti sebelum memutuskan bagaimana untuk meneruskannya. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan