25 November 2021

Tiket VTL darat Singapura-Johor bagi 30 hari habis dijual

 Gambar fail menunjukkan lalu lintas keluar masuk dari Singapura dan Johor Bahru, di Tambak Johor. - Foto NSTP

Gambar fail menunjukkan lalu lintas keluar masuk dari Singapura dan Johor Bahru, di Tambak Johor. - Foto NSTP

SINGAPURA: Tiket bagi Laluan Perjalanan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) (Darat) yang ditawarkan oleh Transtar Travel Pte Ltd (Transtar) habis dijual untuk 30 hari akan datang, kurang 30 minit selepas tiket mula dijual.

Syarikat bas Singapura itu adalah antara dua syarikat bas yang dibenar menawarkan 64 perjalanan ulang-alik antara Singapura dan Johor bermula 29 November ini.

Orang ramai yang ingin membeli tiket secara dalam talian memberitahu Berita Harian Singapura mereka tidak dapat mengakses portal itu seawal 8.15 pagi tadi.

Sebaliknya, beberapa minit kemudian, mesej di laman sesawang Transtar menyatakan kesemua tiket bagi 30 hari akan datang sudah habis dijual.

VTL darat Singapura-Malaysia yang akan bermula Isnin ini dapat menampung 2,880 orang sehari dalam fasa pertama

Buat masa ini, VTL (Darat) menggunakan laluan tambak hanya dibuka kepada warga, penduduk tetap (PR) atau pemegang pas jangka panjang negara yang mereka masuk.

Ini merangkumi hingga 1,440 warga, PR atau pemegang pas jangka panjang Singapura yang dibolehkan memasuki Singapura setiap hari serta 1,440 warga, PR atau pemegang pas jangka panjang Malaysia yang dibolehkan memasuki Malaysia.

Kapasiti kemasukan pula akan disemak setiap minggu, bergantung pada keadaan semasa pandemik COVID-19.

Singapura dan Malaysia semalam mengumumkan VTL (Darat) bermula Isnin ini bagi membolehkan orang yang sudah divaksinasi penuh untuk mengunjungi negara masing-masing tanpa perlu dikuarantin.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) Singapura semalam, ia bertujuan memberi keutamaan bagi mereka yang bekerja di negara masing-masing, untuk menziarahi keluarga mereka.

"Singapura dan Malaysia bermatlamat untuk meluaskan VTL (Darat) untuk merangkumi lebih ramai pelawat, termasuk pelawat umum, mengambil kira keadaan kesihatan.

"Seterusnya kami juga akan berusaha ke arah menyambung semula perjalanan menerusi Linkedua di Tuas," kata PMO.

Dalam fasa pertama VTL (Darat), pelawat perlu menaiki bas VTL disediakan Transtar dan Handal Indah (juga dikenali sebagai Causeway Link), yang mengendalikan 64 khidmat setiap hari dari 7.30 pagi hingga 9.30 malam setiap setengah jam.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Gan Kim Yong, berkata kapasiti VTL (Darat) akan disemak setiap minggu, dan bergantung kepada keadaan pandemik di kedua-dua negara.

"Ini sudah dibincangkan bersama Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dalam satu sidang video semalam.

"Ideanya adalah kami akan menyemak setiap minggu untuk melihat jika ada skop untuk meningkatkan kapasiti setiap minggu dan kami berharap keadaan ini akan kekal stabil," katanya.

VTL (Darat) itu bermula sejajar dengan VTL Udara antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang juga bermula Isnin ini.

Di bawah VTL (Darat), pelawat yang memasuki Singapura perlu diuji negatif dalam Ujian Rapid Antigen (ART) atau Reaksi Rantai Polimerase (PCR) dalam tempoh dua hari sebelum berangkat ke Singapura.

Pelawat yang memasuki Malaysia menerusi VTL (Darat) turut perlu mengambil ART atau PCR dalam tempoh dua hari sebelum berangkat tetapi mereka perlu menjalani ujian juga apabila tiba di Terminal Bas Larkin Sentral.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai VTL (Darat) di laman https://www.safetravel.ica.gov.sg/ dan https://www.miti.gov.my.

SYARAT MEMASUKI SINGAPURA MENERUSI VTL (DARAT) DARI MALAYSIA

1. Pastikan anda sudah divaksinasi penuh dan mempunyai sijil vaksinasi sah dengan kod QR.

2. Tempah tiket bas VTL (Darat), sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tiba.

- Pusat Pertukaran Bas Sementara Woodlands: https://www.transtar.travel

- Terminal Queen Street https://www.causewaylink.com.my

3. Mohon Pas VTP di laman https://go.gov.sg/vtl-portal, sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tiba. Hanya bagi Pemegang Pas Tempoh Panjang (LTPH) Singapura. Warga dan PR tidak perlu.

BERSIAP MEMULAKAN PERJALANAN

4. Hantar butiran peribadi dan perjalanan serta perisytiharan kesihatan menerusi e-khidmat Kad Ketibaan SG (https://go.gov.sg/sgarrivalcard). Sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tiba.

5. Ambil ujian yang dikendali oleh profesional sebelum berangkat (ART atau PCR). Perlu negatif dan laporan ujian dalam bahasa Inggeris. Dalam dua hari sebelum tiba.

6. Siapkan dokumen (dalam bahasa Inggeris) untuk diperiksa (pasport, tiket bas VTL Darat, sijil vaksinasi, VTP (bagi pemegang pas tempoh panjang), ujian negatif sebelum berangkat, Kad Ketibaan SG yang sudah diisi)

7. Tiba di Terminal Bas Larkin Sentral 1 jam lebih awal, dan naik bas diperuntukkan ke Singapura.

SELEPAS TIBA

8. Muat turun aplikasi TraceTogether, daftar profil dan aktifkan aplikasi. Kanak-kanak 7-12 tahun dan mereka yang tidak boleh guna alat mudah alih boleh menerima token TraceTogether. Kanak-kanak 6 tahun dan ke bawah tidak perlu guna TraceTogether. - AGENSI

Tiada ulasan: